Penerbit : DearNovels
Tuesday, December 01, 2020
Novel - Adelia
Penerbit : DearNovels
Friday, July 26, 2019
Lesen Menyelam (Diving License)
Aduh, apa nak jadi dengan lesen diving ni?
Sebenarnya saya adalah sejenis yang takutkan air. Kenapa? Sebabnya pernah ada kenangan pahit.
Jadi beberapa tahun lepas, company bagilah trip incentive ni. Mula-mula dulu cadangnya nak pergi ke Turkey tapi masa tu ada pulak kejadian yang tak berapa best di sana jadi terpaksa tukar lokasi. Kawan-kawna pula nak pergi bercuti sambil bercanda di tepian pantai..aduh lemah..
Tapi ikut ajelah. Jadinya pergilah kami berlima orang ke Maldives.
Disebabkan peruntukan ada terlebih sedikit (alhamdulillah rezeki) yang mana harus digunakan sepenuhnya, maka keluarlah cadangan diving ni.
Kami 4 orang ni memang tak pernah ada experience pun hehe.. yang seorang tu dah pro sangat.
Maka, dalam keadaan yang terpaksa dan hati yang berdebar aku pun join jelah.
Bagi orang yang takutkan air memang dup dap rasanya..hahahaha..
Tapi alhamdulillah akhirnya lulus juga dengan cemerlang (yeke??) 3 hari kami di pulau redang ambik ujian setelah beberapa kali pergi kursus di kolam renang.
Subhanallah, bila berada di dalam air (di dasar) satu perasaan yang tak dapat digambarkan. Boleh menangis tau...cantik sangat!!! tapi dalam masa yang sama dup dap dup dap berdebar.
Okay, dah lulus tu bersemangatlah kami nak pergi menyelam kat Maldives tu 😜
Sampai je masa kat sana dah siap2 pilih pakaian memasing tibalah masa nk menyelam.
Seperti biasa masa awal-awal tu tentulah ada ujian basic kena hadap dulu seperti buka mask sepenuhnya dan pasang balik di dalam air tu. Buka corong oksigen dan pakai semula.
Dan.... taraaaaa... aku fail! Tak tahulah sebab nervous sgt ke atau sebab mata aku memang tak nampak bila kat laut tu (bila berada di bahagian yang tidak berapa dalam, airnya tidak berapa jernih sebab bercampur dengan pasir) Sudahla aku sejenis yang rabun. mana boleh nak pakai cermin mata kan sebab kena pakai goggle. Masa ni memang buat beberapa kali pun aku dah jadi blur.
Haha sudahnya aku give up...
Berhuhu jelah tgk kawan2 menyelam di laut Maldives tu.
Aku? Lepak-lepak jelah kat pantai Club Med tu ambil angin sambil-sambil baca buku.
Haruskah aku cuba beranikan diri semula? Hmmmm.....
Friday, July 05, 2019
Novel - Cantik (Bab 5)
Tajuk : Cantik
Penulis : Yanie Ismail
Penerbit : DearNovel
BAB 5
Aku terjaga apabila
wajahku terasa berbahang. Aku memicingkan mata dan mengangkat lenganku menahan
panahan matahari dari terus membakar kulit wajah.
Kepala aku terasa sedikit pening. Aku memicit kepala
sambil memejam mata seketika. Apabila terasa kembali tenang aku buka mata
perlahan-lahan.
Kenapa aku di sini? Aku cuba mengingati apa yang
berlaku semalam sehingga aku boleh tidak sedarkan diri.
Azrin! Pantas nama itu melintas difikiran.
“Azrin! Azrin!” pintu bilik Azrin aku ketuk. Apabila
tiada jawapan, aku cuba memulas tombol pintu. Berkunci! Aku cuba merapatkan
telinga ke daun pintu, sekadar untuk memastikan ada atau tidak orang di dalam.
Tiada sebarang bunyi dari dalam.
“Mana pulak dia pergi ni? Apa yang terjadi pada aku
sebenarnya?” Aku sedikit keliru. Cuba mengingati apa yang terjadi malam tadi.
Sedang membaca yasin, aku terdengar bunyi bising dan aku keluar dari bilik.
Kemudian aku mengetuk pintu bilik Azrin. Tidak lama selepas itu pintu bilik
Azrin terbuka. Di situ aku lihat berdiri seorang nenek yang wajahnya berkedut
seribu dengan rambut yang mengerbang. Aku menjerit memanggil nama Azrin
kemudian terus tidak sedarkan diri.
Nenek semalam seperti pernah aku jumpa, tapi di mana
ya? Aku cuba mengingat namun kepalaku terasa pening. Selain Azrin dan aku,
siapa lagi yang tinggal di sini? Adakah nenek itu nenek Azrin? Tapi kenapa
Azrin tak pernah sebut apa-apapun pun pasal nenek tu. Ah, aku bermimpi agaknya.
Mungkin kerana kepenatan mengemas semalam.
Aku masuk semula ke dalam bilik untuk membersihkan
diri. Perut pula tiba-tiba terasa lapar.
Sesudah mandi aku ke dapur. Mahu melihat apa yang
boleh dimakan atau dimasak. Kalau ada mee segera pun jadilah.
Di dapur, kulihat di atas meja sudah tersusun sebuah
pinggan diletakkan secara telangkup menutupi pinggan yang berada di bawah. Aku
angkat pinggan yang telangkup itu. Ada bihun goreng. Memang kesukaan aku ni.
Aku menarik kerusi dan duduk di situ. Gelas yang
tersedia di situ aku angkat untuk mengisi air teh kosong yang masih panas.Secebis
kertas jatuh ke lantai. Aku mengambil dan membacanya.
Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Makan ini setelah nampak
Saya keluar mencari makan
Ish, berpantun pulak si Azrin ni. Mencari makan apa
kalau makanan dah terhidang di depan mata. Adakah maksud si Azrin ni, dia pergi
bekerja? Aku tergelak kecil. Perlu ke berpantun bagai nak beritahu dia pergi
kerja?
“Kerja apa ya si Azrin tu? Hari Ahad pun bekerja.
Kerja jadi cikgu kut? Tapi cikgu apa? Cikgu masakan? Atau cikgu solekan?” teka
aku sambil ketawa.
Aku makan perlahan-lahan tanpa sedar licin sudah bihun
di pinggan. Rasa tak cukup pula sebab perut aku terasa lapar lagi. Aku berjalan
menuju ke peti sejuk. Mencari makanan. Kulihat ada lebihan buah epal yang sudah
dipotong semalam. Warna buah epal itu masih putih lagi dan kelihatan segar.
Selalunya buah epal yang sudah dibelah pasti akan menjadi lebam.
Aku membawa pinggan yang berisi buah menuju keruang
tamu. Aku menekan remote control TV
dan mencari siaran yang menarik.
“Eh, Melodi. Syok jugak layan ni.” Aku menyelesakan
diri di atas sofa. Sambil makan buah, mata aku ralit menonton berita terkini
dunia artis.
Panggg!!!
Aku terkejut. Bunyi itu datangnya dari arah dapur.
“Ya Allah, aku lupa nak letak pinggan aku makan tadi
ke sinki.” Aku berlari ke dapur. Kulihat seekor kucing berwarna hitam,
menghidu-hidu pinggan yang sudah retak dua itu, tetapi seperti takut untuk
menghampiri.Aku menghalau kucing berwarna hitam itu supaya menjauhi
pinggan.
Kucing hitam itu menyeringai dan berbunyi kuat apabila
melihat aku. Aku terkejut kerana hampir sahaja aku dicakarnya.
“Eh kau ni. Masuk ke rumah orang entah dari mana,
lepas tu nak marah orang pulak!” bebelku.
Kucing hitam itumenyorok di tepi peti ais. Menderam-deram
seperti marahkan sesuatu. Tanpa mempedulikan kucing itu, aku mengemas lantai
dan membuang pinggan yang pecah tadi.
Nampaknya aku kena ganti la pinggan Azrin yang pecah ni.
Kucing hitam itu aku hampiri. Menderam-deram ia memandangku
dan sesekali menyeringai menampakkan taringnya. Risau dicakar, aku membuka
pintu rumahseluas-luasnya dan menolak kucing hitam itu mengguna mop lantai perlahan-lahan
menuju ke luar.
Meowwww!!!
Aku dengar kucing itu menjerit nyaring disebalik pintu
yang baru kututup. Langkah kaki aku halakan ke bilik setelah televisyen dan
kipas kumatikan suisnya. Baik aku layan movie
online, otakku sudah membayangkan beberapa buah cerita yang menjadi senarai
pilihan.
Selesai solat aku membawa komputer riba ke atas katil
dan akuberbaring.Suasana tengari ini terasa tenang tanpa gangguan. Nyaman dan
sunyi. Wah, betapa aku suka suasana begini.
Aku membuka laman sesawang dan mencari filem apa yang
akan kutonton. Aku menekan pilihan genre seram. Terpapar di skrin komputer aku
semua filem yang dikategorikan sebagai seram.
Aku memilih cerita Hindustan yang berjudul Khamoshiyan.
Memang menarik ceritanya. Lebih kurang satu jam menonton, mataku terasa layu.
Mengantuk. Beberapa kali aku tersengguk-sengguk. Entah bila aku terlelap aku
pun tidak pasti.
Bangun sahaja aku lihat persekitaran aku gelap. Teraba-raba
aku aku bangun memetik suis lampu berhampiran pintu bilik. Habislah dah berapa
waktu solat aku terlepas ni. Kenapalah asyik mengantuk sahaja mata aku. Aku
berpaling semula dan terkejut melihat Azrin sedang duduk di birai katil.
“Eh, bila masa awak masuk bilik saya ni?” soalku,
terkejut. Cuba menahan rasa marah. Aku tidak suka cara Azrin menceroboh
bilikku. Walaupun ini adalah rumahnya namun dia harus menghormati hak aku
sebagai penyewa di sini.
Azrin hanya tersenyum tanpa menjawab pertanyaanku.
Dia memerhatikan aku tidur ke? Dah berapa lama pula
dia di situ agaknya? Tak reti nak buka lampu?
“Er, kenapa awak tak hidupkan lampu?” soalku. Suara
aku seperti tertelan. Aku berdehem sedikit.
Azrin membetulkan duduknya. Kali ini aku lihat
penampilannya seperti biasa sahaja. Rambutnya yang hitam berkilat dibiarkan
lepas. Jika dihadapan walid dan adikku tempoh hari Azrin mengenakan selendang.
“Saya dah duduk di sini dari petang tadi. Saya balik
tengok awak tengah tidur. Saya tak mahu mengganggu. Jadi saya pun duduklah di
sini, tengok awak tidur. Ralit tengok awak tidur, saya pun tidak sedar dah
malam.” Azrin ketawa kecil.
Tengok aku tidur? Okay, tak kelakar. Seram pula aku
mendengar kata-kata Azrin. Kenapa pula dia nak tengok aku tidur?
“Awak sangat cantik walaupun sedang tidur. Saya suka
tengok.” Azrin bangun. Dia mendekatiku.
“Awak pergi mandi dulu. Nanti kita makan sama-sama
ya.” Azrin mengelus pipiku. Aku tergamam, tidak sempat mahu mengelak.
Azrin keluar dari bilik meninggalkan aku kebingungan. Seram
pula aku dengan perangai Azrin ni. Jangan-jangan dia ni… aku mengeliat
kegelian. Tidak mahu memikirkan kumungkinan itu. Aku wanita tulen ya. Aku
sukakan lelaki bukan kaum sejenis. Alahai, peliknya perangai Azrin ni.
Aku segera masuk ke bilik air untuk mandi dan
mengambil wuduk. Kemudian kain batik aku bentangkan dan mula membaca iqamat
perlahan. Semasa membaca surah al-fatihah terasa bahuku ditepuk perlahan.
Kukira Azrin mahu solat bersama. Aku melihat bayangan Azrin yang berdiri
disebelah kananku. Lantas suara aku kuatkan sedikit cukup untuk Azrin mendengarnya.
Sewaktu solat aku mendengar Azrin mendesir-desir
membaca ayat lazim. Tumpuan aku sedikit terganggu. Aku tidak dapat menangkap
apa yang Azrin baca hanya bunyi berbisik-bisik yang kuat. Aku cuba fokus dengan
memejamkan mata.
Selesai membaca tahiyat akhir, aku memberi salam dan menoleh
ke kanan. Aku tidak nampak wajah Azrin yang sedang duduk disebelahku. Telekung
yang dipakainya menutupi keseluruhan wajahnya. Aku menoleh kekiri pula dan memberi
salam kedua. Kemudian pandangan aku hala ke hadapan semula dan meraup wajah
dengan tangan. Aku beristighfar beberapa kali.
Aku menoleh ke kanan semula, mahu bersalaman dengan
Azrin.Tapi di sebelah kananku kosong! Tiada sesiapa. Kemana pula Azrin pergi? Aku
menoleh ke kiri dan ke kanan, di belakang juga kucari namun Azrin tidak
kelihatan di mana-mana. Aneh, mustahil begitu cepat Azrin keluar dari bilik.
Pintu yang memang terbuka kupandang curiga. Tidak mahu
berfikir yang bukan-bukan, aku menadah tangan berdoa.Selesai berdoa, kain batik
dan telekung kulipat dan letak di atas katil.
Melangkah keluar dari bilik aku terdengar suara Azrin
menyanyi. Mendayu suaranya menyanyikan lagu Cindai. Ah, sudah!Dalam
banyak-banyak lagu yang hit sekarang ni lagi Siti tu jugak yang dipilihnya.
Perlahan-lahan aku menapak ke dapur dan berhenti tidak jauh daripada Azrin. Memerhatikan
dia dari belakang.
“Sedap ke suara saya menyanyi sampai awak terpaku?”
Aku mengerutkan muka. Aku rasa sudah cukup perlahan
aku menapak tadi, macamana minah ni boleh tahu aku ada kat belakang dia?
“Biasa aje,” jawab aku sambil ketawa kecil.
“Jemputlah duduk. Kita makan sama-sama.”
Pelawaan Azrin aku sambut dengan sengihan. Perut
memang terasa lapar.
Azrin duduk berhadapan denganku. Rambut hitamnya yang
panjang itu ditarik ke sisi.
Ya Allah cantiknya Azrin ni, aku memuji di dalam hati.
Azrin menjeling aku sambil ketawa kecil. Aku hanya
mampu ketawa hambar apabila tertangkap merenung Azrin. Bukan aku sengaja tetapi
kecantikan Azrin aku rasa seperti sesuatu yang mustahil. Terlalu sempurna.
Aku berdehem. “Azrin, awak ada sejadah lebih tak?”
soalku baru teringat untuk bertanya.
Azrin menggeleng.
Aku mengeluh. Tak apalah, esok-esok kalau sempat aku
ambik dari rumah walid, jika tidak aku beli sahaja.
Azrin membuka tudung saji. Mata aku sudah terbeliak
menyaksikan nasi bryani yang terhidang bersama ayam masak merah dan dalca
berserta sepinggan keropok. Liurku meleleh. Harum sungguh bau masakan Azrin.
Sebiji pinggan yang dihulurkan Azrin aku capai.
Apabila pinggan sudah kuletak di depanku, aku melihat ada secebis kertas
berwarna hijau yang dilipat. Azrin kupandang. Wajahnya selamba sahaja.Kertas
yang berlipat dua itu aku buka.
Anak dara di pinggir telaga
Buat mengisi sebuah baldi
Kalau ada rasa curiga
Jangan simpan di dalam hati.
Apalah maksud pantun ni agaknya? Azrin kupandang
sekali lagi. Dia hanya tunduk bermain dengan jari jemari.
“Mari kita makan!”
Ajakan Azrin aku sambut dengan anggukan. Terfikir juga
kenapa Azrin suka meletakkan secebis kertas yang terkandung pantun di dalamnya.
Pantun lama. Bukannya aku reti bab-bab menjual dan membeli pantun ni.
Aku menoleh semula melihat kertas yang aku letak di
sisi. Mencerlung mataku apabila melihat titisan merah mengalir di setiap perkataan
yang ditulis, seakan-akan kata-kata itu ditulis menggunakan darah!
Wednesday, July 03, 2019
Novel - Cantik (Bab 4)
Penerbit : DearNovels
BAB 4
Berdiri di hadapan kami
seorang wanita berkebaya nyonya berwarna hitam. Kepalanya ditutup dengan
selendang renda berwarna merah. Wajahnya disolek tipis, menyerlahkan kulitnya
yang putih bersih. Kecantikannya benar-benar terserlah. Azrin! Bila masa pula dia
balik dan bila pula dia masuk ke dalam rumah? Aku rasa aku tak dengar bunyi pintu
dibuka pun.
“Azrin? Bila masa pulak awak balik? Kami tak perasan
pun,” tegurku bagi menghilangkan rasa canggung.
Aku lihat Naim sudah terlopong. Aku cuit dia. Barulah
dia tersedar. Tersenyum malu kerana tertangkap dalam keadaaan macam tu. Tulah,
bila aku cerita tentang Azrin dia tak percaya. Sekarang lihatlah sendiri.
Azrin berjalan menghampiri kami. Lemah gemalai rentak
langkahnya. Dia menjinjing beg raga seperti bakul yang diperbuat daripada rotan.
Beg raga itu diletakkan di atastable top
berhampiran sinki.Entah apa isi di dalamnya, tidak pula aku tahu. Sewaktu dia
berjalan melewatiku, semerbak bau haruman yang dipakainya. Bau bunga kemboja.
“Kenapa tak mahu makan makanan yang saya masak? Pakcik
dan makcik tak sudi ke?” tanya Azrin sambil tersenyum memandang umi dan walid.
Aku lihat umi dan walid terkedu. Dari tadi mereka
hanya memerhatikan Azrin. Aku dah agak dah, sesiapa yang melihat Azrin pasti
akan terpesona dengan aura dia.
“Penat sahaja saya masak. Tapi tak ada seorang pun
yang sudi menjamah masakan saya.” Lenggok suara Azrin seakan merajuk. Tapi pada
pendengaranku macam menggedik pula. Jangan mengada nak mengurat adik aku.
Mengurat walid aku lagilah jangan berani-berani!
“Kenapa tercegat aje tu? Marilah duduk. Kita makan
sama-sama ya. Saya pun lapar ni.” Azrin membuka pinggan yang terlangkup satu
persatu. Apabila dia melewati Naim, aku perhatikan Naim sudah berpeluh. Aku
tergelak dalam hati. Dah kenapa dia ni? Selalu bukan main lagi tunjuk macho.
Azrin mengambil tempat duduk di bahagian dia mula-mula
sampai tadi. Aku mengambil tempat di sebelah Naim, bertentangan dengan umi.
“Silakan makan.” Azrin mempelawa. Dia memandang Naim
dengan senyuman.
Cepat sahaja Naim mencapai mangkuk berisi nasi. Amboi,
laju aje kalau pasal makan, kutuk aku dalam hati. Tadi bukan main kata tak nak
makan masakan Azrin.
“Kak, betullah kata kau Azrin tu lain macam. Unik
betul!”
Naim berbisik di telingaku. Mulut penuh dengan makanan
punsibuk nak bercakap. Tak senonoh!
“Berapa umur dia agaknya kak?” tanya Naim lagi.
Aku hanya menjungkit bahu. Aku sendiri pun tidak tahu
berapa umur Azrin tu. Kalau dilihat dari wajahnya aku rasa dalam pertengahan
dua puluhan. Lebih kurang sama dengan aku.
“Sedap awak masak Azrin,” pujiku. Sumpah memang sedap
masakan Azrin. Tak sangka aku wanita muda seperti Azrin pandai memasak. Lebih
kurang macam masakan umi aku yang dah bertahun-tahun kerjanya memasak tu.
“Terima kasih. Biasa-biasa aje.” Sopan Azrin menjawab.
Bibir merahnya dilap perlahan menggunakan napkin.
“Nanti bolehlah akak belajar masak dengan Cik Azrin
ni.”
Ewah, Naim bersuara. Siap bercik-cik pula.
Azrin ketawa.
Aku lihat umi dan walid tidaklah begitu berselera
menjamah makanan yang ada. Cuma aku dan Naim sahaja yang beria menambah.
Selesai makan aku menyuruh Naim membawa umi dan walid
ke ruang tamu. Aku membantu Azrin membersihkan meja makan dan membasuh pinggan.
Aku melirik Azrin yang sedang membancuh kopi. Apabila
dia menuang air panas yang berasap ke dalam teko, aku lihat mulutnya terkumat
kamit seperti membaca sesuatu.
Dia ni sedang baca doa ke baca mentera? Syak wasangka
mula terbit di sudut hati aku.
“Tak baik tau awak curiga dengan saya.”Tiba-tiba Azrin
besuara.
Terkejut aku. Dia boleh baca ke apa yang ada dalam
fikiran aku tadi?
“Er.. curiga apa?” tanyaku, buat-buat tidak faham.
Azrin membalikkan badan, menghadap ke arahku. “Awak
percaya tak bila kita buat sesuatu dengan ikhlas, mesti hasilnya pun akan jadi
terbaik.”
“Ya saya percaya. Tapi kalau kita buat benda yang tak
baik, boleh ke dikatakan ikhlas?” tanyaku.
Azrin terus berpaling daripadaku sambil mendengus
kasar. Sumpah, terkejut aku dengan tindak balas dia begitu. Salah cakap ke aku?
Bukan aku menuduh dia buat benda tak baik, cuma aku saja mahu bertanya
pendapatnya tapi tak sangka pula begitu sekali tindakan Azrin. Ah, lantaklah.
Selesai mencuci pinggan, aku menyertai mereka di ruang
tamu. Kulihat langsir pintu gelongsor telah terselak sepenuhnya. Pintu
gelongsor juga dibuka separuh. Angin malam terasa sejuk sampai ke tulang.
Aku berjalan ke arah pintu gelongsor, mahu menutup sedikit
pintu kerana aku tidak tahan dengan angin sejuk.
“Jangan tutup pintu tu!!!”
Langkah aku terhenti apabila Azrin menjerit. Aku
pandang wajah Azrin. Betul ke Azrin yang menjerit tadi? Kenapa suara dia
tiba-tiba menjadi garau dan kasar?Persis suara yang menegurku sewaktu mula-mula
aku bertemu dengan Azrin. Aku lihat walid, umi dan Naimberiak biasa sahaja
sambil mereka menjamah buah epal yang dipotong Azrin tadi. Aku seorang sahaja ke
yang perasan suara Azrin berubah? Sumpah suara yang aku dengar tadi sangat
menakutkan.
Azrin aku pandang. Dia melemparkan senyuman. Aku
memeluk tubuh yang terasa kedinginan, bercampur dengan seram sejuk.
Ya Allah, betul ke keputusan aku pindah rumah ni? Tiba-tiba
hatiku berbolak balik. Semoga semuanya baik-baik sahaja, doaku dalam hati.
Aku duduk di sebelah Naim. Kulihat Naim bukan main
rancak lagi berbual dengan Azrin. Hai, dah lupa ke girlfriend yang setia kat sana tu.
Aku lihat walid tidak banyak bercakap tapi mata walid
sesekali melirik ke arah Azrin. Seperti ada sesuatu yang bermain di dalam
fikiran walid. Umi pula ralit menonton televisyen. Aku pun turut menghalakan
pandangan ke arah televisyen.Aku duduk sambil berpeluk tubuh. Aku seorang aje
ke yang rasa sejuk sangat ni?
“Rasanya eloklah kami beransur. Hari pun dah jauh
malam ni.”
Aku menoleh apabila mendengar suara walid. Walid sudah
berdiri dan terus berjalan ke pintu utama. Umi dan Naim turut bangun dan
mengekori langkah walid.
Aku turut menghantar mereka ke depan pintu. Bersandar,
memerhatikan Naim yang sedang memakai kasutnya.
Entah kenapa aku terasa sebak berpisah dengan ahli
keluargaku. Walaupun sebelum ini aku pernah tinggal di asrama, tetap juga aku merasa
sebak apabila berjauhan dengan keluarga.
“Dah duduk jauh ni, pandai-pandai jaga diri. Jangan mudah
percaya sangat dengan orang yang kita belum kenal. Jaga solat. Jangan pernah
tinggal solat. Solat tu tiang agama. Rajin-rajin juga baca al-quran. Jangan
sesekali kita lalai. Orang yang lalai ni senang diperdaya syaitan. Kalau ada
apa-apa cepat beritahu kami.” Panjang pesanan daripada walid.
Aku menggangguk. Sebak aku tahan. Lain macam pula aku
dengar nasihat walid. Mungkin walid tidak sedap hati aku berjauhan daripada
keluarga. Ah, tapi bukan tidak biasa pun.
“Alah, tak payahlah nak sendu sangat kau ni kak. Macam
tak biasa pulak. Lagipun bukan jauh sangat rumah sewa kau ni dengan rumah
walid. Nanti hujung minggu kau jangan lupa balik tau,” pesan Naim pula.
“Jaga diri baik-baik ya, nak. Jangan lupa telefon umi
selalu.” Umi menyentuh pipi aku dengan lembut.
“Assalamualaikum.” Ucap mereka hampir serentak.
Aku menjawab salam di dalam hati. Pemergian mereka aku
iringi dengan rasa sayu. Entah kenapa aku terlebih sensitif pula malam ni.
Setelah kelibat mereka hilang dari pandangan, aku
masih lagi berdiri di koridor. Memerhatikan laluan yang sunyi dan suram.
Unit-unit rumah kulihat semuanya gelap sahaja seperti tidak berpenghuni. Sudah
tidurkah mereka semua ni?
Cepat-cepat aku masuk semula ke dalam rumah apabila rasa
meremang tiba-tiba. Lampu ruang tamu aku tutup dan membiarkan lampu kecil
menerangi lorong bilik. Azrin sudah tidak nampak bayang. Mungkin sudah masuk ke
dalam biliknya.
Jam di dinding aku kerling. Sudah masuk tengah malam
namun mata aku masih belum mengantuk. Aku masuk ke dalam bilik dan mengunci
pintu bilik. Aku merebahkan badan di atas tilam. Terlambung sedikit tubuhku.
Selesa betul tilam ni sama seperti tilam di bilik aku sendiri.
Aku hampir terlelap apabila tiba-tiba aku ternampak sesusuk
tubuh berdiri memandang ke arah aku dari pantulan jendela bilik. Pantas aku
bangun kerana terkejut. Aku menoleh ke arah pintu. Di situlah aku nampak bayang
itu tadi.Bongkok seperti orang tua! Tapi sekarang tiada sesiapa pun di situ.
Aku berjalan menghampiri tingkap dan menarik langsir menutup jendela. Jendela
di bilik ini jenis yang kalis cahaya jadi jika malam akan memantulkan bayangan
di dalam.
Lampu tidur aku nyalakan sebelum menutup lampu utama.
Beg baju aku buka dan baju tidur kutarik. Langkahku laju menuju ke bilik air. Aku
harus mandi dan solat dahulu sebelum tidur.
Selesai solat aku mengambil al-quran yang memang aku
bawa di dalam beg sandang. Memandangkan mata aku masih belum mahu lelap, lebih baik
aku mengaji. Aku mengambil keputusan membaca surah Yasin malam ini. Ini adalah
satu amalan mudah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Itu pun masih juga gagal
diamalkan oleh seorang muslim.Aku pernah baca satu hadis ni, menurut Ibnu Kasir
dia ada menyatakan secara jelas bahawa setiap perkara sulit atau musibah dan
malapetaka, malah sekiranya kita mengharapkan perkara yang baik-baik, maka
bacalah surah Yasin.Bait-bait Surah Yasin dapat meluruhkan niat-niat jahat
seseorang kerana kekuatan surahYasin itu sendiri dapat menghalau kegigihan
syaitan atau jin kafir yang sedang menggoda manusia untuk melakukan hal hal
yang mengundang dosa.Aku berharap sangat semoga kehadiran aku di rumah ini
dipermudahkan.
Aku mula membaca surah Yasin dengan perlahan. Sungguh
aku kusyuk dalam bacaan aku sendiri apabila tiba-tiba aku mendengar ada suara
mendengus di luar bilik aku. Aku kuatkan sedikit suaraku apabila bacaan aku
sampai pada ayat ke-58 yang membawa maksud ‘Salam sebagai ucapan dari Tuhan yang maha pengasih’.
SALAMUN QAULAM MIR
RABBIR RAHIM
Aku baca ayat yang merupakan jantung surah Yasin itu
dengan sedikit kuat sebanyak tujuh kali. Kemudian aku berhenti seketika. Mata
aku halakan ke bawah pintu bilik, mahu melihat sekiranya ada bayangan dari
celahan pintu. Gelap. Tidak ada cahaya yang tembus masuk. Bukan ke lampu lorong
tengah ni aku biarkan terbuka tadi?
Ah, mungkin perasaan aku sahaja. Aku sambung membaca
surah Yasin. Semakin aku lanjutkan bacaan semakin kuat suara mendengus itu.
Kali ini diikuti bunyi bising di luar bilik. Aku berlari keluar membuka pintu
bilik. Ya Allah, gelapnya. Suis lampu bilik aku buka. Cukuplah cahaya itu
menerangi kawasan ini.
Apa bunyi yang bising tadi? Sungguh aku mendengar
dengan jelas. Tapi keadaan di luar ini tenang sahaja. Pintu bilik Azrin aku
ketuk. Aku panggil nama Azrin dengan kuat apabila tiada sahutan dari dalam.
Tidak lama kemudian, pintu bilik Azrin terbuka.
“Azrin??!!”
Tuesday, July 02, 2019
Novel - Cantik (Bab 3)
Penerbit : DearNovels
BAB 3
“Kak, kau betul ke dah fikir masak-masak nak pindah ke rumah tu? Kau tak nak tengok rumah lain dulu?” Naim yang sedang duduk di atas katil bergerak-gerak membetulkan kedudukan. Nasiblah tilam aku tebal dan empuk. Tidak terkesan langsung dengan tubuh Naim yang besar tu. Kalau tak, mahu roboh dah katil aku tu.
"Berapa
kali kau nak tanya ni dik? Dari kau asyik membebel je, baik kau tolong akak
mengemas."
“Excuse me.
Kerja mengemas ni kan kerja orang perempuan. Aku teman kau ni pun dah kira baik
tau kak. Kalau ikut hati aku baik aku keluar lepak dengan kawan lagi best.”
Penyangkut baju di tangan aku campak ke arahnya.
Pantas pula dia menepis. Aku mencebik.
“Akak dah bayar deposit pun. Hari ni kan dah nak masuk
rumah,” ujarku. Tangan masih lagi memilih baju-baju yang akan aku bawa. Aku memilih
untuk membawa baju yang sesuai untuk dipakai ke pejabat dahulu. Pakaian santai,
aku biarkan di sini sahaja.
“Tuan rumah kau macamana orangnya kak? Muda keatau dah
tua macam nenek kebayan? Cantik ke atau menggerutu?”
Aku menjeling Naim.
Mulalah dia nak buat cerita mistik dia. Sengaja nak takutkan aku.
Aku duduk di sebelah Naim. Terasa penat pula berdiri
memilih baju-baju tadi. Aku teringat sewaktu aku melihat rumah itu. Ada sedikit
rasa cuak sebenarnya untuk menyewa di situ setelah kejadian aku terserempak
dengan seorang nenek. Entah kenapa aku seperti merasakan bahawa nenek yang aku
jumpa di perhentian bas itu adalah orang yang sama dengan nenek yang aku lihat
di tingkat 13A itu walaupun nenek di tingkat 13A itu tidak kulihat wajahnya.
Teringat pula aku kepada pertemuan dengan tuan rumah
pada hari yang sama. Dialah orangnya yang menegurku sewaktu aku ingin menaiki
tangga ke tingkat atas. Hilang semangat aku ketika itu. Mana tidaknya, sudahlah
muncul secara tiba-tiba, suaranya pula sewaktu menegurku kedengaran kasar,
tidak sepadan dengan penampilannya. Tuan rumah aku itu seorang wanita yang
sangat cantik, wajahnya lengkap bersolek dan dia berkebaya merah sewaktu
menyambut kedatanganku. Kelihatan sangat bersopan santun. Apabila berhadapan
denganku tutur bicaranya sangat lembut. Tuan rumah mempelawa aku melihat-lihat
ke dalam rumah dan menunjukkan bilik yang akan aku sewa. Kerana tertarik dengan
perwatakan tuan rumah dan susun atur rumah yang cantik dan selesa, akhirnya aku
pun bersetuju untuk berpindah masuk. Tanpa sedar aku tersenyum-senyum sendiri.
“Kenapa kau tersenyum je kak? Housemate kau lelaki
eh?”
Eh, dia ni. Mata aku jegil memandangnya. Mulut celopar
betul. Terkekek-kekek dia ketawa melihat wajah aku.
“Tuan rumah akak tu perempuanlah! Dia ni unik betul
tau. Kalau kau tengok mesti meleleh air liur. Cantik macam ni!” Aku mengangkat
ibu jari. Siap aku tadah dengan telapak tangan kiri, memberitahu Naim betapa
hebatnya tuan rumah itu. Tentang nenek yang kujumpa itu tidak pula aku beritahu
kepada Naim. Aku tidak mahu Naim membuat spekulasi yang bukan-bukan. Bukan
boleh percaya adikku yang seorang ini. Menyakat aku adalah hobinya nombor satu.
“Wah, ada cantik macam Maya ke?” soal Naim teruja.
Maya
tu adalah teman wanita Naim. Gatal jugak Naim ni, kecik-kecik dah ada teman
wanita. Mereka berkawan sejak dari sekolah menengah sampailah masuk universiti
yang sama ni, masih kekal hubungan mereka. Aku juga yang masih membujang, aku
tersengih.
“Aku
dah agak dah mesti cantik lagi Maya kan? Aku pun tampan, sesuai sangatlah tu.
Pandai kan aku pilih kak.” Dengan riaknya Naim bercakap. Mesti sebab dia tengok
aku tersenyum tu yang dia perasan lebih.
“Maya
tu memang lawa. Kau tu yang tak berapa nak lawa. Kau dengan Maya macam beauty and the beast!” sakatku dan ketawa
melihat riak muka Naim yang kelat.
“Tapi
yang ni lagi lawa dik. Akak pun tak tahu macamana nak describe aura dia tu,” sambungku. Membayangkan penampilan tuan
rumah yang aku jumpa hari tu. Aku yang pada mulanya berbelah bahagi mahu
menyewa di situ, terus bersetuju tanpa banyak bantahan.
“Hebat
sangat ke dia tu?” soal Naim dengan sinis. Mesti marah sebab aku kutuk dia
tadi.
“Dia
ni macam wanita klasik tau. Ala, yang macam kita selalu tengok dekat TV tu
cerita klasik-klasik yang perempuannya berkebaya gitu. Gaya dia berpakaian,
bercakap dan berjalan sangat tertib seperti wanita melayu terakhir.”
“Lepas
tu rambutnya disanggul tinggi. Ada bunga dicelah telinga, macam tu kan?” sambung
Naim, terbahak-bahak dia ketawa.
Bahunya
aku pukul. Kuat! Padan muka, tangan aku yang sakit. Geram betul dengan dia ni.
“Wujud
lagi ke orang macamtu kak? Zaman sekarang ni mana ada orang macam tu lagi.
Sekarang zaman moden. Semua dah berubah mengikut peredaran zaman. Kalau masih
bergaya macam tu, alahai old schoolnya!”
ejek Naim.
“Kalau
kau tak percaya, kau tengok ajelah nanti.” Malas aku mahu berbalah dengan Naim.
Dia aje yang nak menang.
Tapi
sungguh, memang tuan rumah aku tu sangat klasik. Seperti wanita zaman
dulu-dulu. Wajahnya sangat jelita. Tubuh badannya menggiurkan. Aku yang
perempuan ini pun ralit memandang. Dalam hati asyik memuji kecantikan ciptaan
ilahi. Aku rasa seperti tidak percaya ada manusia yang sesempurna itu.
“Jomlah
kak kita turun bawah, mesti umi dan walid dah tunggu lama. Aku pun tak sabar
nak tengok tuan rumah kau nanti.” Naim bangun dan membantu membawa turun beg
pakaian aku.
Di
bawah, walid dan umi sudah menanti kami di dalam kereta. Sepanjang perjalanan, tidak
banyak yang kami bualkan, sesekali walid dan umi menyelit kata-kata nasihat
untukku.
Sampai
di hadapan rumah sewaku yang bernombor 13itu, aku menjenguk. Sunyi sahaja.
Kemana si Azrin ni pergi? Bukan dia tidak tahu aku akan pindah masuk hari ini.
Aku
cuba menghubungi Azrin. Tapi masih sama seperti sebelum ini, nombor Azrin memang
tidak penah dapat dihubungi. Seakan nombor itu tidak wujud. Pelik betul aku.
“Habis
tu macamana kita nak masuk ni? Hari pun dah nak dekat maghrib.” Walid mula
bersuara.
“Tak
ada lampuke kat koridor kondo ni kak? Gelap aje. Tengok depan sana tu walaupun
ada lampu tapi samar-samar je, suram! Kat tengah ni pulak lampu berkelip-kelip.
Sebijik macam dalam cerita-cerita seram.”
Sumpah
aku rasa macam nak cili-cili je mulut Naim yang celopar tu. Bercakap tak tengok
tempat. Main redah ikut suka dia aje.
Telefon
bimbit aku berbunyi ringkas menandakan ada pesanan masuk.
Azrin!
Aku membaca pesanan yang dihantar.
“Oh,
Azrin keluar sekejap. Dia kata ada barang yang dia lupa beli. Dia suruh kita
masuk dulu. Kunci ada kat dalam kasut….”aku berjeda sambil memerhatikan rak
kasut yang tinggi itu dari luar.
“Hah!Dalam
kasut tumit tinggi warna merah tu!” Aku menuding jari ke arah kasut berwarna
merah. Berkilat warnanya. Aku cuba capai namun tangan aku tidak sampai.
“Kau
tolong dik. Kau kan panjang tangan,” pintaku.
“Tangan
panjang. Bukan panjang tangan!” tegas Naim.
Aku
ketawa kecil. Terasa lah tu dengan ungkapan tu.
Agak
susah juga bagi Naim untuk mencapai kunci itu namun akhirnya setelah mencuba
beberapa kali, akhirnya berjaya juga. Dia menyerahkan kunci itu kepadaku.
Tanpa
berlengah aku membuka pintu pagar dan kemudian pintu utama. Aku menolak daun
pintu rumah perlahan-lahan sambil mengucap salam kesejahteraan dengan suara
yang kuat walaupun aku tahu tiada sesiapa di dalam rumah. Kan sunah memberi
salam sebelum masuk ke dalam rumah. Tiba-tiba angin kuat menyerbu menampar
wajah aku. Spontan aku menekup muka dengan telapak tangan. Umi dan walid di
belakangku seakan tergamam.
Dari
mana datangnya angin tadi? fikirku pelik. Aku masuk ke dalam rumah. Suis lampu
di tepi dinding aku petik. Terang benderang ruang tamu rumah itu. Aku lihat semua
tingkap tertutup dan pintu gelongsor rumah ditutupi langsir berwarna coklat
tanah. Masih sama seperti kali pertama aku melihat rumah ini.
“Walid
rasa lain macam aje rumah ni.”
Tu
dia, walid dah bersuara. Dia sememangnya tidak mengizinkan aku pindah pada
awalnya. Tetapi setelah dipujuk akhirnya walid memberi keizinan. Alasanku, tidak
sanggupmeredah kesesakan lalulintas untuk ke tempat kerja nanti. Setelah
berjanji yang aku akan selalu pulang ke rumah barulah walid memberi persetujuan.
“Dah,
tutup pintu tu dulu. Mari kita solat maghrib berjemaah.” Umi menolak tubuh aku dengan
lembut. Aku berjalan mengunci pagar dan menutup pintu rumah. Selak pintu di
bahagian dalam turut aku pasang.
“Bilik
kau kat mana kak?” soal Naim.
“Tu
yang belah hujung sekali tu.” Aku menuding jari ke arah bilik yang di pintunya
tergantung bingkai kecil bergambar bunga.
“Kenapa
kau asyik dapat yanghujung-hujung aje kak? Seram betul!”
“Diam
aje boleh tak?” marahku.
Naim
tersengih. “Jom, umi.” Dia memimpin umi ke dalam bilik.
“Wah,
besarnya bilik kau kak! Siap ada bilik air lagi dalam ni. Patutlah kau beria
sangat!” Aku dengar Naim menjerit dari dalam. Teruja betul dia. Baru dia tahu
kenapa aku pilih rumah ni.
“Kita
solat dekat luar ni ajelah. Kakak, pergi cari sejadah,” arah walid.
“Okay.”
Aku berlalu ke bilik. Menggeledah mencari sejadah. Tapi sehelai sejadah pun
tidak kutemui.Aku pula memang tidak membawa sejadah dari rumah. Dalam fikiran
aku mungkin di sini sudah ada sejadah. Mungkin ada Azrin letak di mana-mana. Tapi,
takkanlah aku nak cari dalam bilik yang lain pula? Macam tidak ada adab pula
masuk ke bilik orang.
“Alamak,
tak adalah walid.” Aku menggaru kepala yang berbalut dengan tudung.
“Kain
batik ada tak?” soal walid.
Aku
mengangguk. Memang aku ada membawa beberapa helai kain batik tadi.
“Pakai
kain batik sahajalah. Hamparkan dekat sini. Cuba kakak cari kiblat dekat mana.
Walid nak ambil wuduk dulu.”
Aku
perhatikan walid masuk ke dalam bilik air yang terletak di bahagian luar,
diantara bilik aku dan bilik yang satu lagi. Bilik Azrin pula bertentangan
dengan bilik aku. Dapat aku bayangkan betapa besarnya bilik Azrin. Melalui aplikasi
solat yang aku muat turun di dalam telefon, aku mencari arah kiblat dan
membentangkan kain batik mengikut arah yang ditunjukkan.
Selesai
solat maghrib, walid mengajak kami keluar untuk makan malam.
Aku
mengemas dan melipat semula kain batik yang dijadikan alas solat tadi. Aku memakai
tudung dan mengenakanfoundation di
muka. Itu adalah asas makeup yang wajib aku kenakan walau kemana jua tujuanku.
“Lambatlah
kau ni kak. Nak keluar pergi makan pun nak cantik-cantik. Nak makan dekat-dekat
sini je,” laung Naim dari ruang tamu.
“Sibuklah
kau ni. Biar kemana sahaja kita pergi, penampilan itu harus dijaga. Baru ada
rasa yakin diri. Sabar sikit boleh tak!” ujarku sedikit merungut.
Bosan
mungkin menunggu aku bersiap. Nak lilit tudung bagai, padahal boleh aje aku
pakai tudung sarung macam umi.
Aku
keluar dari bilik sambil tersenyum-senyum. Sudah bersedia untuk keluar rumah.
“Aku
tengok macam tu jugak rupa kau kak. Tak ada berubah pun jadi rupa Siti
Nurhaliza.”
Naim
kujeling. Dia ni kalau kenakan orang memang hebat.
“Dah,
jom,” kata walid sambil berjalan ke pintu utama.
“Jap,
nak minum.” Aku cepat-cepat berlalu ke dapurmahu mencari air. Dahaga pula
tekak.
Dapur
rumah ini bersih dan kemas. Aku lihat di atas meja ada tudung saji. Gatal pula
tangan aku nak tengok apa yang ada di dalam tudung saji itu.
Sebaik
sahaja tudung saji aku angkat, aku lihat tersusun beberapa buah pinggan mangkuk
yang berisi pelbagai jenis lauk. Azrin yang masak kah? Kagum juga aku. Wangi
bau masakannya. Aku menghampiri sebuah pinggan yang terlungkup. Aku nampak ada
secebis kertas terselit di situ. Aku ambil kertas berwarna kuning itu.
Dari Melaka pergi ke Pahang,
Singgah ke Johor beli berangan;
Saya mengucap selamat datang,
Jikalau
salah dikeji jangan
Selamat
menjamu selera, Aisha.
Azrin
masak untuk aku dan keluarga aku? Terharu aku dengan sambutan Azrin atas
kedatanganku. Umi, walid dan Naim aku panggil ke dapur.
Seperti
aku, mereka juga teruja melihat lauk pauk yang pelbagai terhidang di atas meja.
“Kita
nak makan ke makanan ni kak?” soal Naim. Dia sekadar memerhatikan hidangan di
atas meja.
“Entahlah.
Tapi kalau tengok nota yang ditulis ni, memang semua makanan ni untuk kita,”
ujarku sambil menyerahkan kertas kecil itu kepada Naim.
Aku
berbelah bahagi sama ada mahu menjamah atau tidak makanan yang terhidang ni.
Tidak sangka Azrin sanggup bersusah payah masak untuk aku dan keluarga aku.
Naim
membaca keratan pantun itu. “Fuh, memang klasik betul tuan rumah kau ni kak.
Siap pantun bagai.”
“Habis
tu macamana?” tanyaku.
“Tak
nak aku makan makanan ni. Kita makan kat luar ajelah.” CadangNaim kemudiannya.
Aku
pandang umi dan walid. Mereka berdua mengangguk tanda setuju.
Aku
mengalah. Makanan ni boleh disimpan untuk esok, fikirku.
“Baiklah
umi.
“Tak
sudi ke merasa masakan saya?”
Aku
yang sedang menutup tudung saji tergamam mendengar suara itu.
Serentak
kami menoleh. Mulut aku terlopong.





