Penerbit: DearNovels
SEBUAH bilik sederhana besar yang gelap itu hanya diterangi oleh cahaya lilin. Di
tengah-tengahnya terletak kemenyan yang masih berasap. Baunya memenuhi ruang
yang pengap.
Mantera dibaca. Dia menyeru satu nama.
Tidak lama kemudian, kelihatan kepulan asap hitam masuk melalui celahan
pintu. Berpecah, kemudian bersatu semula membentuk rupa lembaga. Hitam dan
besar. Matanya merah menyala.
Dia ketawa melihat kemunculan lembaga hitam itu.
“Bagus! Kau memang bagus. Semua suruhan aku kau berjaya lakukan setakat
ini. Aku perintahkan kau ganggu semua orang yang tinggal di rumah itu. Jangan
ada yang berani tinggal lama pun di situ. Kau faham?”
Lembaga hitam itu mendengus.
“Tugasan pertama telah berjaya kau lakukan dengan baik sekali. Suka hati
aku apabila semua keturunan dia berjaya dihapuskan. Sekarang hanya perlu
memastikan semua rancangan aku berjaya. Buat masa ini, kau tolong awasi sahaja
orang tua itu. Jangan buat sesuatu tanpa arahan daripada aku.”
Dendam yang membara dalam jiwanya tetap menyala walaupun musuh utamanya
telah berjaya dihapuskan. Dia tidak bisa bersenang-lenang selagi rancangannya
masih belum selesai sepenuhnya.
Daging mentah yang dibungkus di dalam kain berwarna kuning itu dibuka. Kain
kuning itu basah disimbahi darah. Ketulan daging besar dicampakkan ke arah
lembaga hitam itu. Pantas disambut lalu dimamah rakus.
Itu adalah habuan sebagai tanda terima kasihnya kepada makhluk
peliharaannya itu kerana telah berjaya melakukan tugasan yang disuruh.
Dia berpuas hati, tapi masih belum lega sepenuhnya. Enam telah berjaya
dihapuskannya. Yang lagi dua itu hanya menunggu masa sahaja.
Kalau yang dua itu tidak mengganggu rancangannya, mungkin dia akan berbaik
hati melepaskan mereka. Jika tidak, dia terpaksa menghapuskan mereka.
“Sudah, pergi kau! Jalankan tugas kau. Buat masa ini, kau intai dan
perhatikan mereka. Ingat, jangan buat apa-apa tanpa arahan daripada aku.”
Lembaga hitam yang kekenyangan itu hilang sekelip mata.
Suis lampu bilik ditekan. Bilik yang suram dan samar tadi terus menjadi
terang-benderang. Lilin dihembus sehingga padam. Bara kemenyan disimbah dengan
air.
Dia meliarkan pandangan di sekitar bilik sebelum menutup lampu dan keluar
dari bilik pengap itu. Kunci dikeluarkan dari poket seluar dan pintu bilik
dikunci sebaiknya.
Hanya dia sahaja yang memegang kunci bilik itu. Isterinya sudah diberi
amaran sekerasnya supaya tidak menceroboh bilik itu.
Setelah memastikan semuanya berada dalam keadaan baik, dia melangkah
menuruni tangga, ke ruang bawah pula. Tidak berniat untuk masuk ke dalam bilik
tidur.
Dia melabuhkan punggung di sofa. Kenangan lama mula bermain dalam fikiran. Kenangan yang masih kuat melekat dalam dirinya sehingga mencetuskan api kemarahan.
DIA tersentak apabila tubuh kecilnya didorong secara tiba-tiba menyebabkannya
hampir tersungkur. Bibirnya tercebik-cebik menahan perasaan. Dia keliru kenapa
ibu yang pernah menyayanginya sebelum ini bertindak sekasar ini.
Sorotan matanya yang digenangi air mengekori langkah ibu yang berkejar
mendapatkan seorang bayi yang hanya beberapa meter sahaja jaraknya. Bayi itu
diambil, dikendong dan dicium bertalu-talu.
Tiba-tiba terasa usapan di kepalanya. Dia memanggung kepala. Melihat wajah
yang sedang tersenyum memandangnya. Terus sahaja air matanya mengalir laju.
Tubuhnya dipeluk erat.
“Kenapa sayang layan anak kita macam ni?”
“Eh, dia bukan anak saya. Anak saya yang ni,” jawab ibu.
“Allah, abang tak fahamlah kenapa sayang berubah macam ni. Ini anak sulung
kita.”
“Tak bang, anak saya yang ini sahaja. Ini, bukan yang itu!” jerit ibu
sambil menunjuk ke arahnya.
Dia menyembamkan muka di dada ayah.
Semakin lama perangai ibu semakin bertambah teruk. Dia dilayan dengan
kasar. Ibu lebih menyayangi adik lelakinya.
Dia yang ketika itu berumur 10 tahun masih belum mengerti apa yang berlaku.
Dia juga anak ibu, tapi kenapa ibu tidak mahu mengaku dia sebagai anaknya?
Semakin membesar, dia semakin tersisih. Hanya ayah sahaja yang
menyayanginya. Tapi dia mahu ibu. Dia rindukan belaian ibu. Ibu yang suatu
ketika dahulu sangat menyayangi dirinya.
Perasaan benci kepada adik lelakinya itu semakin menebal. Setiap kali
melihat wajah adiknya itu, semakin dia terasa mahu melepaskan dendamnya. Ingin
dihapuskan adiknya itu agar dia dapat meraih kembali kasih sayang ibu.
Pernah dia cuba mendekati adiknya itu untuk bemain-main bersama, tetapi ibu
terus menengkingnya dan menjauhkan adik lelakinya. Semenjak itu, jika ada
sahaja peluang, dia akan melakukan kekasaran kepada adiknya itu.
Jika tiada sesiapa yang melihat, dia akan mencubit tangan adiknya sehingga
merah atau mengetuk kepala adiknya sehingga adiknya menangis. Semua itu
mendatangkan kepuasan kepadanya.
Setiap kali ibu cuba memujuk adik apabila adik menangis, setiap kali itu
dia akan memandang adiknya dengan penuh kebencian.
Menganjak ke alam remaja, dia dihantar ke sekolah berasrama. Terpaksa hidup
bersendirian jauh daripada keluarga. Dia juga jarang diambil pulang ke rumah
ketika cuti persekolahan.
Alasan ayah, ayah sibuk dan tidak sempat mengambilnya pulang. Jika diambil
pun, masanya banyak dihabiskan menghadiri kelas tambahan.
Dia juga sudah tidak pernah dibawa lagi bercuti bersama keluarga seperti
waktu-waktu dahulu. Alasan ayah, dia harus menumpukan perhatian pada pelajaran.
Dia tahu itu bukan sebabnya. Sebabnya adalah ibu. Ibu yang tidak mahu dia
ikut bersama.
Setelah tamat sekolah menengah, barulah dia tahu siapa dirinya sebenar.
Ayah dan ibu mengambilnya sebagai anak angkat sewaktu dia masih bayi lagi.
Ketika itu ayah dan ibu masih belum dikurniakan anak walaupun setelah beberapa
tahun berkahwin.
Apa yang dia tahu, hidupnya amat bahagia sehinggalah adik angkatnya lahir
sepuluh tahun kemudian.
Setiap kali memandang wajah adik angkatnya itu, perasaan dendamnya akan
membara.
Selepas sahaja tamat belajar, dia tidak pulang-pulang lagi. Terus sahaja
dia mencari pekerjaan, berkahwin dan memulakan hidup baharu.
Dia sudah tidak peduli dan tidak mengambil tahu tentang keluarga angkatnya itu.
DIA meraup wajah. Kenangan lama, tapi kesannya masih tetap terasa sehingga ke hari ini. Setiap kali mengingatkan zaman kecilnya yang tidak seindah kanak-kanak lain, hatinya menjadi sakit.
Setelah kematian kedua orang tuanya, adik lelakinya itu mencarinya kembali.
Tidak susah kerana adik angkatnya itu pernah terserempak dengannya di tempat
kerja.
Dia akui adik angkatnya itu melayannya dengan baik. Malah, adik angkatnya
pernah juga memujuknya berjumpa dengan ayah dan ibu.
Tetapi hatinya sudah keras. Sudah kecewa.
Yang paling menyakitkan hatinya adalah ketika wasiat dibacakan oleh peguam
arwah ayah angkatnya itu. Semua harta jatuh kepada adik-adik angkatnya. Hanya
sedikit jumlah wang yang diberi kepadanya.
Dari situlah dia tahu dia mempunyai dua adik angkat rupanya. Seorang adik
angkatnya itu tidak dapat menghadirkan diri kerana bekerja di luar negara.
Sakit hatinya bertambah-tambah. Dia sedar dia hanya anak angkat, tetapi
tidak adakah timbang rasa daripada ayah dan ibu angkatnya itu?
Mereka memang tidak pernah mengambil peduli tentang hidupnya. Susahkah
hidupnya? Senangkah hidupnya? Tidak ada yang ambil peduli.
Sebab itu tatkala adik angkatnya itu menawarkan sesuatu yang dirasakan
sangat menguntungkan hidupnya dan keluarganya di masa akan datang, dia menerima
tawaran itu dengan senang hati.
Namun, dendam di dada masih tetap membara. Dia tidak akan membiarkan adik
angkatnya itu hidup dengan tenang. Dari situ dia mula merangka rancangan
jahatnya.
PAK MAT bersandar di kerusi malas yang terletak di luar rumah. Malam-malam begini,
duduk berehat bersama secangkir kopi memang sangat mendamaikan.
Namun sejak akhir-akhir ini, kedamaian itu seakan direnggut pergi. Dia tahu
lambat-laun pasti segalanya akan terbongkar walau sehabis daya dia cuba
menyorokkannya.
Sekeping gambar dalam poket baju dikeluarkan. Lama dia menatap gambar itu.
Gambar itu diambil sewaktu pengebumian arwah majikannya.
Entah kenapa dia terfikir untuk mengambil gambar waktu itu. Mungkin untuk
mengingatkan dirinya sendiri tentang kematian yang pasti akan menjengah di
suatu ketika dan masa yang hanya Allah Maha Mengetahui.
Namun, bukan itu yang menarik perhatiannya. Wajah muram seorang anak muda
yang sedang duduk agak jauh dari kubur Tan Sri Adam menjadi perhatiannya.
Pandangan anak muda itu menghala ke arah seseorang yang berada di
sebelahnya. Dia ingat benar siapa yang duduk di sebelahnya ketika itu.
Ada sesuatu yang tersirat pada pandangan anak muda itu. Itu yang menjadi
tanda tanya sehingga ke hari ini. Siapa anak muda itu? Kenapa dia muncul ketika
majlis pengebumian itu?
Perlahan-lahan gambar itu disimpan kembali ke dalam poket baju. Cawan yang
berisi kopi pekat yang masih berasap itu diambil dan dihirup perlahan.
Nyaman. Matanya dipejam. Rapat.
Ketenangannya tergugat apabila dia tercium bau busuk yang tiba-tiba menerpa
hidungnya. Bau ini memang semakin kerap mengganggu sejak kebelakangan ini.
Dia dapat merasakan keselamatan dia dan isterinya mungkin dalam bahaya.
“Apa lagi yang kau nak? Tak cukup lagi apa yang tuan kau dah buat? Sekarang
kau datang nak kacau kami pula? Nyah kau!”
Mata dibuka. Merenung tajam ke suatu arah. Perlahan-lahan kepulan asap
hitam menghilang.
Nafas dihembus berat. Sebenarnya dia sudah lelah.
No comments:
Post a Comment