Thursday, January 28, 2021

Novel - Adelia (Bab 4)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Tajuk : Adelia
Penulis : Aryanie Ismail
Penerbit: DearNovels

BAB 4

HAKEEM memerhatikan cebisan kertas di tangan. Pasti inilah tempat yang dicarinya.

Dengan lafaz dan doa semoga dipermudahkan segala urusannya, dia melangkah dengan penuh yakin. Sambil mengejapkan pegangan fail di tangan, pintu utama bangunan yang gah itu dilalui.

Tidak semena-mena fail yang dipegang melayang sebelum jatuh ke lantai dan menerbangkan beberapa kepingan kertas berwarna putih berserakan.

Tubuhnya bergerak sedikit ke hadapan, namun dia berjaya mengimbangkan badan agar tidak terjatuh.

“Hei, kau buta ke?” herdik seorang wanita.

Matanya mencerlung memandang Hakeem. Kedua tangannya diletakkan di pinggang.

“Ambil telefon aku tu!” arahnya.

Jari yang runcing dengan kuku yang dicat warna biru senada dengan warna baju yang dipakainya tu dihala ke arah telefon bimbit yang jatuh berhampiran kaki Hakeem.

Hakeem tidak berganjak. Matanya tajam menatap wajah wanita di hadapannya ini.

“Nampaknya kau ni bukan sahaja buta kan? Pekak jugak! Aku suruh ambik telefon aku tu! Yang kau tercegat sahaja ni kenapa? Tak pernah tengok orang?!” marah wanita itu lagi sambil tersenyum sinis.

“Atau, kau tak pernah tengok wanita yang cantik macam aku? Sampai terkaku macam tu?”

Wanita itu ketawa mengekek.

Hakeem tunduk. Mengambil telefon bimbit yang tergeletak di sebelah kakinya. Sarung telefon bimbit yang berwarna putih di sebelahnya diambil sama.

Dia memasukkan telefon bimbit tersebut ke dalam sarungnya sebelum menyerahkan kepada wanita cantik dan seksi di hadapannya ini.

Wanita itu mengambil dengan hujung jarinya. Mimik mukanya mencebik. Tanpa sebarang ucapan, wanita itu terus berjalan pergi.

Hakeem memerhati langkah wanita itu yang diatur selari. Seperti berjalan di pentas peragaan lagaknya. Dia tergelak kecil.

Jalan kucing! Huh, lagi cantik jalan si Comot kucing sebelah rumah aku tu.

Kertas yang bertebaran di lantai dikutip dan dimasukkan ke dalam poket fail. Dia menepis habuk yang mungkin melekat di muka fail.

Nafas panjang ditarik sebelum langkah kaki diatur menuju ke lif yang berhampiran.

Sampai sahaja di tingkat 25, Hakeem melangkah keluar dengan penuh keyakinan. Dia membalas senyuman penyambut tetamu yang tersenyum manis menyambut kedatangannya.

Setelah diberitahu tujuan kedatangannya, dia diminta menunggu sebentar dan sehelai borang dihulur untuk diisi.

Hakeem mengambil tempat duduk yang sudah agak penuh dengan calon-calon yang menghadiri temu duga itu. Nampaknya mereka ini adalah pesaingnya.

Peluangnya untuk mendapatkan jawatan ini 50-50 sahaja. Tetapi dia benar-benar inginkan pekerjaan ini. Inilah satu-satunya peluang yang ada untuknya.

Dua jam kemudian, gilirannya pula dipanggil. Dia dibawa masuk ke dalam sebuah bilik yang berdinding kaca. Menantinya di dalam bilik itu adalah seorang lelaki agak berusia, namun wajahnya tenang dan matang, tersenyum sambil menganggukkan kepala.

Di sebelahnya seorang wanita bertudung litup dan jari-jemarinya bermain dengan sebatang pen. Dia turut tersenyum, kemudian menundukkan pandangannya.

“Assalamualaikum,” sapa Hakeem.

Suaranya sedikit bergetar. Ini bukan pertama kali dia menghadiri temu duga, namun perasaan gemuruh itu tetap ada.

“Waalaikumussalam, Encik... Hakeem.”

Lelaki itu berjeda seketika melihat nama yang tertera di resume yang dipegangnya.

“Silakan duduk.”

“Boleh kita mulakan?” tanya lelaki berumur itu, memandang wanita cantik di sebelah.

“Rasanya lebih baik kalau kita tunggu lagi lima minit. Lagipun ini temu duga yang terakhir.”

Wanita cantik itu kelihatan sedikit gelisah, tapi masih berupaya tersenyum. Matanya melirik jam di tangan.

Lelaki berumur itu mengangguk perlahan.

“Dia nak datang ke?”

Wanita cantik itu menjongket bahu.

“Tak pasti. Tapi dia dah balik ke pejabat dari tadi lagi. Bukan dia tak tahu hari ni ada temu duga. Setiausaha dia pun dah ingatkan.”

Lelaki berumur itu memandang Hakeem.

“Encik Hakeem tinggal di mana?” soalnya.

“Saya sebenarnya datang dari Kelantan, tuan,” jawab Hakeem tenang.

Haji Fauzi terkejut.

“Kelantan? Jauhnya! Awak asal dari Kelantan, tapi menetap di sini?”

“Sebenarnya saya memang dari Kelantan, tuan. Baru beberapa hari datang ke sini, menyewa hotel untuk sementara sebelum saya mencari rumah sewa,” ujar Hakeem, berterus terang.

“Oh, jadi memang niat nak mencari kerja di sinilah ya.”

“Ya, tuan,” jawab Hakeem.

“Eh, tak usah bertuan dengan saya. Rasa lain macam pula. Semua pekerja di sini panggil saya haji. Haji Fauzi.”

Lelaki berumur itu ketawa dengan kata-katanya sendiri. Wanita di sebelahnya tersenyum manis.

Hakeem mengangguk. Jadi, inilah Haji Fauzi. Dia pernah mendengar tentang Haji Fauzi.

“Kenapa ayang senyum?” soal lelaki berumur itu kepada wanita di sebelahnya.

Hakeem sedikit ternganga. Ayang? Adakah wanita di sebelah ini isterinya? Jarak umur mereka kelihatan ketara sekali.

Ah, wanita zaman sekarang bukan mengukur cinta dari segi umur, sebaliknya harta dan cara lelaki itu melayannya yang lebih penting.

Mungkin bagi wanita muda ini, lelaki berumur ini mampu menjaganya. Mampu memberi kesenangan yang dicarinya.

Pandangan Hakeem dihalakan kepada lelaki yang digelar Haji Fauzi itu pula. Dia tidak kenal Haji Fauzi secara peribadi. Hanya mendengar cerita daripada arwah ayahnya sahaja.

Dari segi penampilan, Haji Fauzi dilihatnya sungguh bergaya, matang dan wajahnya masih kacak. Melihat karisma yang ada pada dirinya memang tidak mustahil mana-mana wanita cantik akan terpikat dengannya.

“Tak ada apalah.”

Suara wanita itu lembut dan manja. Akhirnya mereka ketawa bersama.

Hakeem menelan liur. Ah, mereka berdua ini, nak bergurau pun biarlah kena pada tempatnya. Takkanlah di hadapan dia sekarang ini mereka boleh bergurau senda. Aduh!

Haji Fauzi melihat jam di tangan.

“Rasanya baik kita mulakan sekarang.”

Wanita cantik itu mengangguk sambil tersenyum.

Sungguh cantik senyumannya. Sempat Hakeem menikmati keindahan ciptaan Ilahi.

Haji Fauzi melihat sekali lagi resume Hakeem. Wajah tenang Hakeem dipandangnya. Wajah Hakeem mengingatkan dia kepada seseorang.

“Kamu ni belajar tinggi. Belajar di Mesir. Pernah bekerja di sana selama hampir lima tahun. Tapi, kenapa sekarang kamu mahu bekerja di Malaysia?”

Hakeem menarik nafas.

“Saya pulang semula ke tanah air selepas habis kontrak bekerja di sana. Lagipun kesian dengan atuk dan nenek yang menjaga adik saya setelah ayah dan ibu saya meninggal.”

Perlahan suara Hakeem. Dia sedikit terkilan kerana tidak dapat berbakti kepada kedua-dua orang tuanya sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir.

“Maafkan saya. Takziah atas kehilangan ibu bapa kamu.”

“Terima kasih, haji.”

“Baiklah, kita mulakan ya? Hakeem, cuba kamu ceritakan sedikit tentang diri kamu,” pinta Haji Fauzi.

Hakeem menarik nafas dan melepaskan perlahan-lahan. Dengan lafaz bismilllah, dia memulakan bicara.

“Nama saya, Hakeem...”

“Kenapa semua orang tak tunggu saya?!”

Satu suara yang kuat menerjah gegendang telinga serentak dengan bunyi daun pintu berlaga ke dinding.

Terenjat bahu Hakeem. Terkejut.

Hakeem berpaling. Berkerut dahinya melihat kelibat seorang wanita yang masuk ke dalam bilik temu duga dengan cara yang sungguh biadab. Dia masih muda, cantik, namun sungguh tiada adab.

Tidak hormat langsungkah dia kepada Haji Fauzi yang berada di dalam bilik ini?

“Serina, silakan duduk. Kami baru sahaja nak mulakan.”

Lembut suara Haji Fauzi menegur.

Serina mendengus kuat.

“Kenapa papa tak tunggu Serina? Kan Serina yang bertanggungjawab atas temu duga hari ini?”

Oh, jadi Haji Fauzi ini adalah ayahnya? Wah, beginikah perangai anak orang kaya? Langsung tiada rasa hormat terhadap ayahnya sendiri.

Haji Fauzi tersenyum sambil menggeleng.

“Temu duga yang dijadualkan pagi terpaksa ditunda ke petang hanya kerana urusan kamu. Kamu tahu tak berapa ramai calon yang datang hari ini? Nak tunggu kamu sampai bila? Petang kamu dah balik pun, kamu tak peduli tentang temu duga ni. Sampai HR terpaksa minta tolong dengan Sephia.”

“Tapi kan kita dah setuju untuk jawatan ni Serina yang akan pilih calon yang sesuai. Bukan papa, bukan dia!”

Jarinya dituding ke arah wanita yang bertudung litup itu.

Hakeem tersentak. Dahsyatnya wanita ini. Jika dia tiada langsung rasa hormat terhadap papanya, apatah lagi orang lain.

Dia menjeling sekilas wanita bertudung yang hanya menunduk. Sudah tentu wanita yang tiada adab ini membenci mama tirinya ini. Wanita yang boleh dikatakan lebih muda daripadanya, namun terpaksa menerima hakikat bahawa wanita cantik itu adalah mama tirinya.

Hakeem mengeluh kerana terpaksa menyaksikan drama seperti ini di petang begini.

“Papa yang suruh Sephia jalankan juga temu duga ni sebab sudah terlalu lama menunggu kamu. Siapa yang memilih tidak menjadi persoalan. Sama sahaja.”

Perlahan suara Haji Fauzi.

“Papa ni kenapa asyik lebihkan dia?” jerit Serina.

Hakeem tersentak lagi. Dalam satu hari ini dia menghadapi banyak kerenah manusia.

“Serina!” Haji Fauzi menahan geram.

Sephia memegang lengan Haji Fauzi. Menyabarkan lelaki itu. Haji Fauzi menghembus nafas berat.

“Kenapa kamu selalu sahaja curiga dengan papa? Papa beri kasih sayang sama rata semua untuk anak-anak papa. Adik kamu ni dah banyak beralah demi kamu.”

Hakeem memegang kepala. Ya Allah, dia sudah berfikir yang bukan-bukan. Wanita bertudung itu bukan isteri Haji Fauzi, tetapi anaknya.

Hakeem, kenapalah kau ni suka berfikir yang bukan-bukan? Hakeem mengutuk dirinya.

“Kalau macam tu, Serina keluar dululah. Biar papa dan dia sahaja yang memilih calon untuk jawatan ni. Serina pun banyak kerja lain lagi nak buat daripada menghadap temu duga yang membuang masa ini.”

Serina menghentakkan sedikit tangannya, berdiri dan berjalan menuju ke pintu. Sebelum itu sempat matanya melirik lelaki yang berdiam diri menjadi pemerhati sejak tadi.

Tombol pintu dipegang, namun pergerakannya terhenti tiba-tiba. Wajahnya berkerut, cuba mengingati sesuatu. Dia menoleh dan menapak perlahan-lahan ke belakang sambil matanya tidak lepas daripada memandang lelaki yang sedang menunduk itu.

Serina menarik semula kerusi dan melabuhkan punggung. Matanya tetap mencerlung tajam memerhatikan lelaki yang perlahan-lahan mengangkat kepala memandangnya. Mata mereka bertentangan.

Serina sedikit terkejut, namun akhirnya tersenyum sinis.

“Ini calon yang ke berapa, papa?” soalnya dengan nada yang agak manja.

Hakeem rasa tidak sedap hati. Seolah-olah akan berlaku sesuatu yang tidak akan disenanginya.

“Ini calon yang terakhir. Hakeem namanya.” Haji Fauzi menerangkan.

“Memandangkan ini calon terakhir, Serina rasa Serina nak ikut sertalah dalam temu duga ni,” kata Serina perlahan.

Kedengaran penuh dengan muslihat.

Haji Fauzi mengangguk setuju. Dia juga sudah letih dan mahu segera menamatkan temu duga ini. Hanya kerana sifat tidak bertanggungjawab Serina, maka terpaksa dia dan Sephia mengambil alih sesi temu duga ini.

Serina mengambil resume yang terletak di atas meja, di hadapan papanya. Dia meneliti dengan khusyuk apa yang tertulis di situ. Kemudian kepala diangkat, mata tajam merenung lelaki di hadapannya ini.

“Apa pendapat kamu tentang saya?”

Hakeem menelan liur. Soalan jenis apakah ini? Wanita ini inginkan pendapatnya mengenai dia? Apa yang mahu dijawabnya?

Hakeem mengambil masa untuk menjawab.

“Saya menunggu...” Serina berjeda.

“Serina,” tegur Haji Fauzi.

“Biar Serina sahaja yang kendalikan temu duga ini, papa. Papa duduk diam-diam sahaja. Atau papa dan dia boleh keluar dari bilik ni kalau papa nak,” kata Serina selamba, namun matanya tidak dikalih daripada memandang lelaki di hadapannya.

“Cik mahu saya bercakap tentang apa?” Hakeem bertanya akhirnya.

Baiklah dia terus bertanya maksud soalan Serina. Risau jika tersalah memberi pendapat.

“Tentang saya. Tentang wajah saya, perwatakan saya dan segalanya yang awak nampak tentang saya.”

Serina menggulung-gulung hujung rambut dengan jari runcingnya.

“Adakah cik mahukan jawapan yang jujur daripada saya?” soal Hakeem.

Serina kelihatan sedikit terkejut dengan jawapan Hakeem. Rasa tercabar, kepala diangguk laju. Mata tajam merenung lelaki di hadapannya ini.

“Baiklah. Pertama kali saya jumpa cik, saya rasakan cik seorang wanita yang berkarisma. Cantik. Penuh keyakinan.”

Kelihatan senyuman bangga terbit dari bibir merah Serina. Dia suka dipuji begitu. Dia menjeling Sephia yang kelihatan tenang di sebelah papanya.

Sephia tersenyum sahaja, namun entah mengapa Serina merasakan senyuman itu adalah senyuman mengejeknya.

“Tetapi agak kurang sopan,” sambung Hakeem.

Serina kelihatan mahu membantah, namun belum sempat mulutnya dibuka, suara Hakeem kembali bergema.

“Kali kedua saya berjumpa cik, menguatkan lagi kenyataan saya bahawa cik memang cantik. Memang berkarisma. Memang penuh keyakinan. Dan, memang kurang sopan.”

Hakeem tersenyum. Matanya memandang mata Serina, tepat.

“Hei, kau jangan nak kurang ajar ya! Kau tahu kau bercakap dengan siapa?” herdik Serina.

“Saya bercakap dengan seorang wanita yang langsung tiada adab. Wanita yang langsung tiada ciri-ciri kewanitaan dalam dirinya. Wanita yang suka meninggikan suara. Bukan sahaja dengan orang lain, malah dengan papanya sendiri.”

Perlahan, namun tegas kata-kata Hakeem.

“Keluar kau dari sini! Keluar!”

Serina bingkas berdiri. Tangannya dihala ke pintu. Menyuruh lelaki biadab ini keluar. Kurang ajar! makinya dalam hati.

Haji Fauzi cuba menyabarkan Serina, namun sia-sia sahaja apabila tubuh lelaki itu ditolak kasar.

Hakeem bangkit dari tempat duduknya. Menunduk sedikit tanda hormat kepada Haji Fauzi.

Haji Fauzi hanya menggeleng kepala. Terbias kekecewaan di wajahnya.

“Terima kasih.”

Hakeem keluar dari bilik itu. Nampaknya, rezeki tidak berpihak kepadanya. Tapi dia tidak akan berputus asa. Dia harus mencari jalan bagaimana mahu masuk ke dalam syarikat ini.

“Kenapa Serina jadi macam ni? Bercakap langsung tak ada adab. Papa tak pernah ajar anak-anak papa jadi biadab macam ni.”

Haji Fauzi memegang dadanya.

“Papa, Serina mahu papa ambil dia bekerja di sini!”

“Siapa?” Haji Fauzi sedikit terpinga.

“Hakeem!” tegas Serina sambil berlalu pergi.


No comments: