Showing posts with label Novel - Cantik. Show all posts
Showing posts with label Novel - Cantik. Show all posts

Friday, July 05, 2019

Novel - Cantik (Bab 5)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Tajuk : Cantik
Penulis : Yanie Ismail
Penerbit : DearNovel

BAB 5 

Aku terjaga apabila wajahku terasa berbahang. Aku memicingkan mata dan mengangkat lenganku menahan panahan matahari dari terus membakar kulit wajah.

Kepala aku terasa sedikit pening. Aku memicit kepala sambil memejam mata seketika. Apabila terasa kembali tenang aku buka mata perlahan-lahan.

Kenapa aku di sini? Aku cuba mengingati apa yang berlaku semalam sehingga aku boleh tidak sedarkan diri.

Azrin! Pantas nama itu melintas difikiran.

“Azrin! Azrin!” pintu bilik Azrin aku ketuk. Apabila tiada jawapan, aku cuba memulas tombol pintu. Berkunci! Aku cuba merapatkan telinga ke daun pintu, sekadar untuk memastikan ada atau tidak orang di dalam. Tiada sebarang bunyi dari dalam.

“Mana pulak dia pergi ni? Apa yang terjadi pada aku sebenarnya?” Aku sedikit keliru. Cuba mengingati apa yang terjadi malam tadi. Sedang membaca yasin, aku terdengar bunyi bising dan aku keluar dari bilik. Kemudian aku mengetuk pintu bilik Azrin. Tidak lama selepas itu pintu bilik Azrin terbuka. Di situ aku lihat berdiri seorang nenek yang wajahnya berkedut seribu dengan rambut yang mengerbang. Aku menjerit memanggil nama Azrin kemudian terus tidak sedarkan diri.

Nenek semalam seperti pernah aku jumpa, tapi di mana ya? Aku cuba mengingat namun kepalaku terasa pening. Selain Azrin dan aku, siapa lagi yang tinggal di sini? Adakah nenek itu nenek Azrin? Tapi kenapa Azrin tak pernah sebut apa-apapun pun pasal nenek tu. Ah, aku bermimpi agaknya. Mungkin kerana kepenatan mengemas semalam.

Aku masuk semula ke dalam bilik untuk membersihkan diri. Perut pula tiba-tiba terasa lapar.

Sesudah mandi aku ke dapur. Mahu melihat apa yang boleh dimakan atau dimasak. Kalau ada mee segera pun jadilah.

Di dapur, kulihat di atas meja sudah tersusun sebuah pinggan diletakkan secara telangkup menutupi pinggan yang berada di bawah. Aku angkat pinggan yang telangkup itu. Ada bihun goreng. Memang kesukaan aku ni.

Aku menarik kerusi dan duduk di situ. Gelas yang tersedia di situ aku angkat untuk mengisi air teh kosong yang masih panas.Secebis kertas jatuh ke lantai. Aku mengambil dan membacanya.

 

Tuai padi antara masak

Esok jangan layu-layuan

Makan ini setelah nampak

Saya keluar mencari makan

 

Ish, berpantun pulak si Azrin ni. Mencari makan apa kalau makanan dah terhidang di depan mata. Adakah maksud si Azrin ni, dia pergi bekerja? Aku tergelak kecil. Perlu ke berpantun bagai nak beritahu dia pergi kerja?

“Kerja apa ya si Azrin tu? Hari Ahad pun bekerja. Kerja jadi cikgu kut? Tapi cikgu apa? Cikgu masakan? Atau cikgu solekan?” teka aku sambil ketawa.

Aku makan perlahan-lahan tanpa sedar licin sudah bihun di pinggan. Rasa tak cukup pula sebab perut aku terasa lapar lagi. Aku berjalan menuju ke peti sejuk. Mencari makanan. Kulihat ada lebihan buah epal yang sudah dipotong semalam. Warna buah epal itu masih putih lagi dan kelihatan segar. Selalunya buah epal yang sudah dibelah pasti akan menjadi lebam.

Aku membawa pinggan yang berisi buah menuju keruang tamu. Aku menekan remote control TV dan mencari siaran yang menarik.

“Eh, Melodi. Syok jugak layan ni.” Aku menyelesakan diri di atas sofa. Sambil makan buah, mata aku ralit menonton berita terkini dunia artis.

Panggg!!!

Aku terkejut. Bunyi itu datangnya dari arah dapur.

“Ya Allah, aku lupa nak letak pinggan aku makan tadi ke sinki.” Aku berlari ke dapur. Kulihat seekor kucing berwarna hitam, menghidu-hidu pinggan yang sudah retak dua itu, tetapi seperti takut untuk menghampiri.Aku menghalau kucing berwarna hitam itu supaya menjauhi pinggan. 

Kucing hitam itu menyeringai dan berbunyi kuat apabila melihat aku. Aku terkejut kerana hampir sahaja aku dicakarnya.

“Eh kau ni. Masuk ke rumah orang entah dari mana, lepas tu nak marah orang pulak!” bebelku.

Kucing hitam itumenyorok di tepi peti ais. Menderam-deram seperti marahkan sesuatu. Tanpa mempedulikan kucing itu, aku mengemas lantai dan membuang pinggan yang pecah tadi.

Nampaknya aku kena ganti la pinggan Azrin yang pecah ni.

Kucing hitam itu aku hampiri. Menderam-deram ia memandangku dan sesekali menyeringai menampakkan taringnya. Risau dicakar, aku membuka pintu rumahseluas-luasnya dan menolak kucing hitam itu mengguna mop lantai perlahan-lahan menuju ke luar.

Meowwww!!!

Aku dengar kucing itu menjerit nyaring disebalik pintu yang baru kututup. Langkah kaki aku halakan ke bilik setelah televisyen dan kipas kumatikan suisnya. Baik aku layan movie online, otakku sudah membayangkan beberapa buah cerita yang menjadi senarai pilihan.

Selesai solat aku membawa komputer riba ke atas katil dan akuberbaring.Suasana tengari ini terasa tenang tanpa gangguan. Nyaman dan sunyi. Wah, betapa aku suka suasana begini.

Aku membuka laman sesawang dan mencari filem apa yang akan kutonton. Aku menekan pilihan genre seram. Terpapar di skrin komputer aku semua filem yang dikategorikan sebagai seram.

Aku memilih cerita Hindustan yang berjudul Khamoshiyan. Memang menarik ceritanya. Lebih kurang satu jam menonton, mataku terasa layu. Mengantuk. Beberapa kali aku tersengguk-sengguk. Entah bila aku terlelap aku pun tidak pasti.

Bangun sahaja aku lihat persekitaran aku gelap. Teraba-raba aku aku bangun memetik suis lampu berhampiran pintu bilik. Habislah dah berapa waktu solat aku terlepas ni. Kenapalah asyik mengantuk sahaja mata aku. Aku berpaling semula dan terkejut melihat Azrin sedang duduk di birai katil.

“Eh, bila masa awak masuk bilik saya ni?” soalku, terkejut. Cuba menahan rasa marah. Aku tidak suka cara Azrin menceroboh bilikku. Walaupun ini adalah rumahnya namun dia harus menghormati hak aku sebagai penyewa di sini.

Azrin hanya tersenyum tanpa menjawab pertanyaanku.

Dia memerhatikan aku tidur ke? Dah berapa lama pula dia di situ agaknya? Tak reti nak buka lampu?

“Er, kenapa awak tak hidupkan lampu?” soalku. Suara aku seperti tertelan. Aku berdehem sedikit.

Azrin membetulkan duduknya. Kali ini aku lihat penampilannya seperti biasa sahaja. Rambutnya yang hitam berkilat dibiarkan lepas. Jika dihadapan walid dan adikku tempoh hari Azrin mengenakan selendang.

“Saya dah duduk di sini dari petang tadi. Saya balik tengok awak tengah tidur. Saya tak mahu mengganggu. Jadi saya pun duduklah di sini, tengok awak tidur. Ralit tengok awak tidur, saya pun tidak sedar dah malam.” Azrin ketawa kecil.

Tengok aku tidur? Okay, tak kelakar. Seram pula aku mendengar kata-kata Azrin. Kenapa pula dia nak tengok aku tidur?

“Awak sangat cantik walaupun sedang tidur. Saya suka tengok.” Azrin bangun. Dia mendekatiku.

“Awak pergi mandi dulu. Nanti kita makan sama-sama ya.” Azrin mengelus pipiku. Aku tergamam, tidak sempat mahu mengelak.

Azrin keluar dari bilik meninggalkan aku kebingungan. Seram pula aku dengan perangai Azrin ni. Jangan-jangan dia ni… aku mengeliat kegelian. Tidak mahu memikirkan kumungkinan itu. Aku wanita tulen ya. Aku sukakan lelaki bukan kaum sejenis. Alahai, peliknya perangai Azrin ni.

Aku segera masuk ke bilik air untuk mandi dan mengambil wuduk. Kemudian kain batik aku bentangkan dan mula membaca iqamat perlahan. Semasa membaca surah al-fatihah terasa bahuku ditepuk perlahan. Kukira Azrin mahu solat bersama. Aku melihat bayangan Azrin yang berdiri disebelah kananku. Lantas suara aku kuatkan sedikit cukup untuk  Azrin mendengarnya.

Sewaktu solat aku mendengar Azrin mendesir-desir membaca ayat lazim. Tumpuan aku sedikit terganggu. Aku tidak dapat menangkap apa yang Azrin baca hanya bunyi berbisik-bisik yang kuat. Aku cuba fokus dengan memejamkan mata.

Selesai membaca tahiyat akhir, aku memberi salam dan menoleh ke kanan. Aku tidak nampak wajah Azrin yang sedang duduk disebelahku. Telekung yang dipakainya menutupi keseluruhan wajahnya. Aku menoleh kekiri pula dan memberi salam kedua. Kemudian pandangan aku hala ke hadapan semula dan meraup wajah dengan tangan. Aku beristighfar beberapa kali.

Aku menoleh ke kanan semula, mahu bersalaman dengan Azrin.Tapi di sebelah kananku kosong! Tiada sesiapa. Kemana pula Azrin pergi? Aku menoleh ke kiri dan ke kanan, di belakang juga kucari namun Azrin tidak kelihatan di mana-mana. Aneh, mustahil begitu cepat Azrin keluar dari bilik.

Pintu yang memang terbuka kupandang curiga. Tidak mahu berfikir yang bukan-bukan, aku menadah tangan berdoa.Selesai berdoa, kain batik dan telekung kulipat dan letak di atas katil.

Melangkah keluar dari bilik aku terdengar suara Azrin menyanyi. Mendayu suaranya menyanyikan lagu Cindai. Ah, sudah!Dalam banyak-banyak lagu yang hit sekarang ni lagi Siti tu jugak yang dipilihnya. Perlahan-lahan aku menapak ke dapur dan berhenti tidak jauh daripada Azrin. Memerhatikan dia dari belakang.

“Sedap ke suara saya menyanyi sampai awak terpaku?”

Aku mengerutkan muka. Aku rasa sudah cukup perlahan aku menapak tadi, macamana minah ni boleh tahu aku ada kat belakang dia?

“Biasa aje,” jawab aku sambil ketawa kecil.

“Jemputlah duduk. Kita makan sama-sama.”

Pelawaan Azrin aku sambut dengan sengihan. Perut memang terasa lapar.

Azrin duduk berhadapan denganku. Rambut hitamnya yang panjang itu ditarik ke sisi.

Ya Allah cantiknya Azrin ni, aku memuji di dalam hati.

Azrin menjeling aku sambil ketawa kecil. Aku hanya mampu ketawa hambar apabila tertangkap merenung Azrin. Bukan aku sengaja tetapi kecantikan Azrin aku rasa seperti sesuatu yang mustahil. Terlalu sempurna.

Aku berdehem. “Azrin, awak ada sejadah lebih tak?” soalku baru teringat untuk bertanya.

Azrin menggeleng.

Aku mengeluh. Tak apalah, esok-esok kalau sempat aku ambik dari rumah walid, jika tidak aku beli sahaja.

Azrin membuka tudung saji. Mata aku sudah terbeliak menyaksikan nasi bryani yang terhidang bersama ayam masak merah dan dalca berserta sepinggan keropok. Liurku meleleh. Harum sungguh bau masakan Azrin.

Sebiji pinggan yang dihulurkan Azrin aku capai. Apabila pinggan sudah kuletak di depanku, aku melihat ada secebis kertas berwarna hijau yang dilipat. Azrin kupandang. Wajahnya selamba sahaja.Kertas yang berlipat dua itu aku buka.

 

Anak dara di pinggir telaga

Buat mengisi sebuah baldi

Kalau ada rasa curiga

Jangan simpan di dalam hati.

 

Apalah maksud pantun ni agaknya? Azrin kupandang sekali lagi. Dia hanya tunduk bermain dengan jari jemari.

“Mari kita makan!”

Ajakan Azrin aku sambut dengan anggukan. Terfikir juga kenapa Azrin suka meletakkan secebis kertas yang terkandung pantun di dalamnya. Pantun lama. Bukannya aku reti bab-bab menjual dan membeli pantun ni.

Aku menoleh semula melihat kertas yang aku letak di sisi. Mencerlung mataku apabila melihat titisan merah mengalir di setiap perkataan yang ditulis, seakan-akan kata-kata itu ditulis menggunakan darah!

Wednesday, July 03, 2019

Novel - Cantik (Bab 4)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Tajuk : Cantik
Penulis : Yanie Ismail
Penerbit : DearNovels

BAB 4      

Berdiri di hadapan kami seorang wanita berkebaya nyonya berwarna hitam. Kepalanya ditutup dengan selendang renda berwarna merah. Wajahnya disolek tipis, menyerlahkan kulitnya yang putih bersih. Kecantikannya benar-benar terserlah. Azrin! Bila masa pula dia balik dan bila pula dia masuk ke dalam rumah? Aku rasa aku tak dengar bunyi pintu dibuka pun.

“Azrin? Bila masa pulak awak balik? Kami tak perasan pun,” tegurku bagi menghilangkan rasa canggung.

Aku lihat Naim sudah terlopong. Aku cuit dia. Barulah dia tersedar. Tersenyum malu kerana tertangkap dalam keadaaan macam tu. Tulah, bila aku cerita tentang Azrin dia tak percaya. Sekarang lihatlah sendiri.

Azrin berjalan menghampiri kami. Lemah gemalai rentak langkahnya. Dia menjinjing beg raga seperti bakul yang diperbuat daripada rotan. Beg raga itu diletakkan di atastable top berhampiran sinki.Entah apa isi di dalamnya, tidak pula aku tahu. Sewaktu dia berjalan melewatiku, semerbak bau haruman yang dipakainya. Bau bunga kemboja.

“Kenapa tak mahu makan makanan yang saya masak? Pakcik dan makcik tak sudi ke?” tanya Azrin sambil tersenyum memandang umi dan walid.

Aku lihat umi dan walid terkedu. Dari tadi mereka hanya memerhatikan Azrin. Aku dah agak dah, sesiapa yang melihat Azrin pasti akan terpesona dengan aura dia.

“Penat sahaja saya masak. Tapi tak ada seorang pun yang sudi menjamah masakan saya.” Lenggok suara Azrin seakan merajuk. Tapi pada pendengaranku macam menggedik pula. Jangan mengada nak mengurat adik aku. Mengurat walid aku lagilah jangan berani-berani!

“Kenapa tercegat aje tu? Marilah duduk. Kita makan sama-sama ya. Saya pun lapar ni.” Azrin membuka pinggan yang terlangkup satu persatu. Apabila dia melewati Naim, aku perhatikan Naim sudah berpeluh. Aku tergelak dalam hati. Dah kenapa dia ni? Selalu bukan main lagi tunjuk macho.

Azrin mengambil tempat duduk di bahagian dia mula-mula sampai tadi. Aku mengambil tempat di sebelah Naim, bertentangan dengan umi.

“Silakan makan.” Azrin mempelawa. Dia memandang Naim dengan senyuman.

Cepat sahaja Naim mencapai mangkuk berisi nasi. Amboi, laju aje kalau pasal makan, kutuk aku dalam hati. Tadi bukan main kata tak nak makan masakan Azrin.

“Kak, betullah kata kau Azrin tu lain macam. Unik betul!”

Naim berbisik di telingaku. Mulut penuh dengan makanan punsibuk nak bercakap. Tak senonoh!

“Berapa umur dia agaknya kak?” tanya Naim lagi.

Aku hanya menjungkit bahu. Aku sendiri pun tidak tahu berapa umur Azrin tu. Kalau dilihat dari wajahnya aku rasa dalam pertengahan dua puluhan. Lebih kurang sama dengan aku.

“Sedap awak masak Azrin,” pujiku. Sumpah memang sedap masakan Azrin. Tak sangka aku wanita muda seperti Azrin pandai memasak. Lebih kurang macam masakan umi aku yang dah bertahun-tahun kerjanya memasak tu.

“Terima kasih. Biasa-biasa aje.” Sopan Azrin menjawab. Bibir merahnya dilap perlahan menggunakan napkin.

“Nanti bolehlah akak belajar masak dengan Cik Azrin ni.”

Ewah, Naim bersuara. Siap bercik-cik pula.

Azrin ketawa.

Aku lihat umi dan walid tidaklah begitu berselera menjamah makanan yang ada. Cuma aku dan Naim sahaja yang beria menambah.

Selesai makan aku menyuruh Naim membawa umi dan walid ke ruang tamu. Aku membantu Azrin membersihkan meja makan dan membasuh pinggan.

Aku melirik Azrin yang sedang membancuh kopi. Apabila dia menuang air panas yang berasap ke dalam teko, aku lihat mulutnya terkumat kamit seperti membaca sesuatu.

Dia ni sedang baca doa ke baca mentera? Syak wasangka mula terbit di sudut hati aku.

“Tak baik tau awak curiga dengan saya.”Tiba-tiba Azrin besuara.

Terkejut aku. Dia boleh baca ke apa yang ada dalam fikiran aku tadi?

“Er.. curiga apa?” tanyaku, buat-buat tidak faham.

Azrin membalikkan badan, menghadap ke arahku. “Awak percaya tak bila kita buat sesuatu dengan ikhlas, mesti hasilnya pun akan jadi terbaik.”

“Ya saya percaya. Tapi kalau kita buat benda yang tak baik, boleh ke dikatakan ikhlas?” tanyaku.

Azrin terus berpaling daripadaku sambil mendengus kasar. Sumpah, terkejut aku dengan tindak balas dia begitu. Salah cakap ke aku? Bukan aku menuduh dia buat benda tak baik, cuma aku saja mahu bertanya pendapatnya tapi tak sangka pula begitu sekali tindakan Azrin. Ah, lantaklah.

Selesai mencuci pinggan, aku menyertai mereka di ruang tamu. Kulihat langsir pintu gelongsor telah terselak sepenuhnya. Pintu gelongsor juga dibuka separuh. Angin malam terasa sejuk sampai ke tulang.

Aku berjalan ke arah pintu gelongsor, mahu menutup sedikit pintu kerana aku tidak tahan dengan angin sejuk.

“Jangan tutup pintu tu!!!”

Langkah aku terhenti apabila Azrin menjerit. Aku pandang wajah Azrin. Betul ke Azrin yang menjerit tadi? Kenapa suara dia tiba-tiba menjadi garau dan kasar?Persis suara yang menegurku sewaktu mula-mula aku bertemu dengan Azrin. Aku lihat walid, umi dan Naimberiak biasa sahaja sambil mereka menjamah buah epal yang dipotong Azrin tadi. Aku seorang sahaja ke yang perasan suara Azrin berubah? Sumpah suara yang aku dengar tadi sangat menakutkan.

Azrin aku pandang. Dia melemparkan senyuman. Aku memeluk tubuh yang terasa kedinginan, bercampur dengan seram sejuk.

Ya Allah, betul ke keputusan aku pindah rumah ni? Tiba-tiba hatiku berbolak balik. Semoga semuanya baik-baik sahaja, doaku dalam hati.

Aku duduk di sebelah Naim. Kulihat Naim bukan main rancak lagi berbual dengan Azrin. Hai, dah lupa ke girlfriend yang setia kat sana tu.

Aku lihat walid tidak banyak bercakap tapi mata walid sesekali melirik ke arah Azrin. Seperti ada sesuatu yang bermain di dalam fikiran walid. Umi pula ralit menonton televisyen. Aku pun turut menghalakan pandangan ke arah televisyen.Aku duduk sambil berpeluk tubuh. Aku seorang aje ke yang rasa sejuk sangat ni?

“Rasanya eloklah kami beransur. Hari pun dah jauh malam ni.”

Aku menoleh apabila mendengar suara walid. Walid sudah berdiri dan terus berjalan ke pintu utama. Umi dan Naim turut bangun dan mengekori langkah walid.

Aku turut menghantar mereka ke depan pintu. Bersandar, memerhatikan Naim yang sedang memakai kasutnya.

Entah kenapa aku terasa sebak berpisah dengan ahli keluargaku. Walaupun sebelum ini aku pernah tinggal di asrama, tetap juga aku merasa sebak apabila berjauhan dengan keluarga.

“Dah duduk jauh ni, pandai-pandai jaga diri. Jangan mudah percaya sangat dengan orang yang kita belum kenal. Jaga solat. Jangan pernah tinggal solat. Solat tu tiang agama. Rajin-rajin juga baca al-quran. Jangan sesekali kita lalai. Orang yang lalai ni senang diperdaya syaitan. Kalau ada apa-apa cepat beritahu kami.” Panjang pesanan daripada walid.

Aku menggangguk. Sebak aku tahan. Lain macam pula aku dengar nasihat walid. Mungkin walid tidak sedap hati aku berjauhan daripada keluarga. Ah, tapi bukan tidak biasa pun.

“Alah, tak payahlah nak sendu sangat kau ni kak. Macam tak biasa pulak. Lagipun bukan jauh sangat rumah sewa kau ni dengan rumah walid. Nanti hujung minggu kau jangan lupa balik tau,” pesan Naim pula.

“Jaga diri baik-baik ya, nak. Jangan lupa telefon umi selalu.” Umi menyentuh pipi aku dengan lembut.

“Assalamualaikum.” Ucap mereka hampir serentak.

Aku menjawab salam di dalam hati. Pemergian mereka aku iringi dengan rasa sayu. Entah kenapa aku terlebih sensitif pula malam ni.

Setelah kelibat mereka hilang dari pandangan, aku masih lagi berdiri di koridor. Memerhatikan laluan yang sunyi dan suram. Unit-unit rumah kulihat semuanya gelap sahaja seperti tidak berpenghuni. Sudah tidurkah mereka semua ni?

Cepat-cepat aku masuk semula ke dalam rumah apabila rasa meremang tiba-tiba. Lampu ruang tamu aku tutup dan membiarkan lampu kecil menerangi lorong bilik. Azrin sudah tidak nampak bayang. Mungkin sudah masuk ke dalam biliknya.

Jam di dinding aku kerling. Sudah masuk tengah malam namun mata aku masih belum mengantuk. Aku masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu bilik. Aku merebahkan badan di atas tilam. Terlambung sedikit tubuhku. Selesa betul tilam ni sama seperti tilam di bilik aku sendiri.

Aku hampir terlelap apabila tiba-tiba aku ternampak sesusuk tubuh berdiri memandang ke arah aku dari pantulan jendela bilik. Pantas aku bangun kerana terkejut. Aku menoleh ke arah pintu. Di situlah aku nampak bayang itu tadi.Bongkok seperti orang tua! Tapi sekarang tiada sesiapa pun di situ. Aku berjalan menghampiri tingkap dan menarik langsir menutup jendela. Jendela di bilik ini jenis yang kalis cahaya jadi jika malam akan memantulkan bayangan di dalam.

Lampu tidur aku nyalakan sebelum menutup lampu utama. Beg baju aku buka dan baju tidur kutarik. Langkahku laju menuju ke bilik air. Aku harus mandi dan solat dahulu sebelum tidur.

Selesai solat aku mengambil al-quran yang memang aku bawa di dalam beg sandang. Memandangkan mata aku masih belum mahu lelap, lebih baik aku mengaji. Aku mengambil keputusan membaca surah Yasin malam ini. Ini adalah satu amalan mudah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Itu pun masih juga gagal diamalkan oleh seorang muslim.Aku pernah baca satu hadis ni, menurut Ibnu Kasir dia ada menyatakan secara jelas bahawa setiap perkara sulit atau musibah dan malapetaka, malah sekiranya kita mengharapkan perkara yang baik-baik, maka bacalah surah Yasin.Bait-bait Surah Yasin dapat meluruhkan niat-niat jahat seseorang kerana kekuatan surahYasin itu sendiri dapat menghalau kegigihan syaitan atau jin kafir yang sedang menggoda manusia untuk melakukan hal hal yang mengundang dosa.Aku berharap sangat semoga kehadiran aku di rumah ini dipermudahkan.

Aku mula membaca surah Yasin dengan perlahan. Sungguh aku kusyuk dalam bacaan aku sendiri apabila tiba-tiba aku mendengar ada suara mendengus di luar bilik aku. Aku kuatkan sedikit suaraku apabila bacaan aku sampai pada ayat ke-58 yang membawa maksud ‘Salam sebagai ucapan dari Tuhan yang maha pengasih’.

SALAMUN QAULAM MIR RABBIR RAHIM

Aku baca ayat yang merupakan jantung surah Yasin itu dengan sedikit kuat sebanyak tujuh kali. Kemudian aku berhenti seketika. Mata aku halakan ke bawah pintu bilik, mahu melihat sekiranya ada bayangan dari celahan pintu. Gelap. Tidak ada cahaya yang tembus masuk. Bukan ke lampu lorong tengah ni aku biarkan terbuka tadi? 

Ah, mungkin perasaan aku sahaja. Aku sambung membaca surah Yasin. Semakin aku lanjutkan bacaan semakin kuat suara mendengus itu. Kali ini diikuti bunyi bising di luar bilik. Aku berlari keluar membuka pintu bilik. Ya Allah, gelapnya. Suis lampu bilik aku buka. Cukuplah cahaya itu menerangi kawasan ini.

Apa bunyi yang bising tadi? Sungguh aku mendengar dengan jelas. Tapi keadaan di luar ini tenang sahaja. Pintu bilik Azrin aku ketuk. Aku panggil nama Azrin dengan kuat apabila tiada sahutan dari dalam.

Tidak lama kemudian, pintu bilik Azrin terbuka.

“Azrin??!!”

Tuesday, July 02, 2019

Novel - Cantik (Bab 3)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera


Tajuk : Cantik
Penulis : Yanie Ismail
Penerbit : DearNovels

BAB 3

 “Kak, kau betul ke dah fikir masak-masak nak pindah ke rumah tu? Kau tak nak tengok rumah lain dulu?” Naim yang sedang duduk di atas katil bergerak-gerak membetulkan kedudukan. Nasiblah tilam aku tebal dan empuk. Tidak terkesan langsung dengan tubuh Naim yang besar tu. Kalau tak, mahu roboh dah katil aku tu.

"Berapa kali kau nak tanya ni dik? Dari kau asyik membebel je, baik kau tolong akak mengemas."

Excuse me. Kerja mengemas ni kan kerja orang perempuan. Aku teman kau ni pun dah kira baik tau kak. Kalau ikut hati aku baik aku keluar lepak dengan kawan lagi best.”

Penyangkut baju di tangan aku campak ke arahnya. Pantas pula dia menepis. Aku mencebik.

“Akak dah bayar deposit pun. Hari ni kan dah nak masuk rumah,” ujarku. Tangan masih lagi memilih baju-baju yang akan aku bawa. Aku memilih untuk membawa baju yang sesuai untuk dipakai ke pejabat dahulu. Pakaian santai, aku biarkan di sini sahaja.

“Tuan rumah kau macamana orangnya kak? Muda keatau dah tua macam nenek kebayan? Cantik ke atau menggerutu?”

 Aku menjeling Naim. Mulalah dia nak buat cerita mistik dia. Sengaja nak takutkan aku.

Aku duduk di sebelah Naim. Terasa penat pula berdiri memilih baju-baju tadi. Aku teringat sewaktu aku melihat rumah itu. Ada sedikit rasa cuak sebenarnya untuk menyewa di situ setelah kejadian aku terserempak dengan seorang nenek. Entah kenapa aku seperti merasakan bahawa nenek yang aku jumpa di perhentian bas itu adalah orang yang sama dengan nenek yang aku lihat di tingkat 13A itu walaupun nenek di tingkat 13A itu tidak kulihat wajahnya.

Teringat pula aku kepada pertemuan dengan tuan rumah pada hari yang sama. Dialah orangnya yang menegurku sewaktu aku ingin menaiki tangga ke tingkat atas. Hilang semangat aku ketika itu. Mana tidaknya, sudahlah muncul secara tiba-tiba, suaranya pula sewaktu menegurku kedengaran kasar, tidak sepadan dengan penampilannya. Tuan rumah aku itu seorang wanita yang sangat cantik, wajahnya lengkap bersolek dan dia berkebaya merah sewaktu menyambut kedatanganku. Kelihatan sangat bersopan santun. Apabila berhadapan denganku tutur bicaranya sangat lembut. Tuan rumah mempelawa aku melihat-lihat ke dalam rumah dan menunjukkan bilik yang akan aku sewa. Kerana tertarik dengan perwatakan tuan rumah dan susun atur rumah yang cantik dan selesa, akhirnya aku pun bersetuju untuk berpindah masuk. Tanpa sedar aku tersenyum-senyum sendiri.

“Kenapa kau tersenyum je kak? Housemate kau lelaki eh?”

Eh, dia ni. Mata aku jegil memandangnya. Mulut celopar betul. Terkekek-kekek dia ketawa melihat wajah aku.

“Tuan rumah akak tu perempuanlah! Dia ni unik betul tau. Kalau kau tengok mesti meleleh air liur. Cantik macam ni!” Aku mengangkat ibu jari. Siap aku tadah dengan telapak tangan kiri, memberitahu Naim betapa hebatnya tuan rumah itu. Tentang nenek yang kujumpa itu tidak pula aku beritahu kepada Naim. Aku tidak mahu Naim membuat spekulasi yang bukan-bukan. Bukan boleh percaya adikku yang seorang ini. Menyakat aku adalah hobinya nombor satu.

“Wah, ada cantik macam Maya ke?” soal Naim teruja.

Maya tu adalah teman wanita Naim. Gatal jugak Naim ni, kecik-kecik dah ada teman wanita. Mereka berkawan sejak dari sekolah menengah sampailah masuk universiti yang sama ni, masih kekal hubungan mereka. Aku juga yang masih membujang, aku tersengih.

“Aku dah agak dah mesti cantik lagi Maya kan? Aku pun tampan, sesuai sangatlah tu. Pandai kan aku pilih kak.” Dengan riaknya Naim bercakap. Mesti sebab dia tengok aku tersenyum tu yang dia perasan lebih.

“Maya tu memang lawa. Kau tu yang tak berapa nak lawa. Kau dengan Maya macam beauty and the beast!” sakatku dan ketawa melihat riak muka Naim yang kelat.

“Tapi yang ni lagi lawa dik. Akak pun tak tahu macamana nak describe aura dia tu,” sambungku. Membayangkan penampilan tuan rumah yang aku jumpa hari tu. Aku yang pada mulanya berbelah bahagi mahu menyewa di situ, terus bersetuju tanpa banyak bantahan.

“Hebat sangat ke dia tu?” soal Naim dengan sinis. Mesti marah sebab aku kutuk dia tadi.

“Dia ni macam wanita klasik tau. Ala, yang macam kita selalu tengok dekat TV tu cerita klasik-klasik yang perempuannya berkebaya gitu. Gaya dia berpakaian, bercakap dan berjalan sangat tertib seperti wanita melayu terakhir.”

“Lepas tu rambutnya disanggul tinggi. Ada bunga dicelah telinga, macam tu kan?” sambung Naim, terbahak-bahak dia ketawa.

Bahunya aku pukul. Kuat! Padan muka, tangan aku yang sakit. Geram betul dengan dia ni.

“Wujud lagi ke orang macamtu kak? Zaman sekarang ni mana ada orang macam tu lagi. Sekarang zaman moden. Semua dah berubah mengikut peredaran zaman. Kalau masih bergaya macam tu, alahai old schoolnya!” ejek Naim.

“Kalau kau tak percaya, kau tengok ajelah nanti.” Malas aku mahu berbalah dengan Naim. Dia aje yang nak menang.

Tapi sungguh, memang tuan rumah aku tu sangat klasik. Seperti wanita zaman dulu-dulu. Wajahnya sangat jelita. Tubuh badannya menggiurkan. Aku yang perempuan ini pun ralit memandang. Dalam hati asyik memuji kecantikan ciptaan ilahi. Aku rasa seperti tidak percaya ada manusia yang sesempurna itu.

“Jomlah kak kita turun bawah, mesti umi dan walid dah tunggu lama. Aku pun tak sabar nak tengok tuan rumah kau nanti.” Naim bangun dan membantu membawa turun beg pakaian aku.

Di bawah, walid dan umi sudah menanti kami di dalam kereta. Sepanjang perjalanan, tidak banyak yang kami bualkan, sesekali walid dan umi menyelit kata-kata nasihat untukku.

Sampai di hadapan rumah sewaku yang bernombor 13itu, aku menjenguk. Sunyi sahaja. Kemana si Azrin ni pergi? Bukan dia tidak tahu aku akan pindah masuk hari ini.

Aku cuba menghubungi Azrin. Tapi masih sama seperti sebelum ini, nombor Azrin memang tidak penah dapat dihubungi. Seakan nombor itu tidak wujud. Pelik betul aku.

“Habis tu macamana kita nak masuk ni? Hari pun dah nak dekat maghrib.” Walid mula bersuara.

“Tak ada lampuke kat koridor kondo ni kak? Gelap aje. Tengok depan sana tu walaupun ada lampu tapi samar-samar je, suram! Kat tengah ni pulak lampu berkelip-kelip. Sebijik macam dalam cerita-cerita seram.”

Sumpah aku rasa macam nak cili-cili je mulut Naim yang celopar tu. Bercakap tak tengok tempat. Main redah ikut suka dia aje.

Telefon bimbit aku berbunyi ringkas menandakan ada pesanan masuk.

Azrin! Aku membaca pesanan yang dihantar.

“Oh, Azrin keluar sekejap. Dia kata ada barang yang dia lupa beli. Dia suruh kita masuk dulu. Kunci ada kat dalam kasut….”aku berjeda sambil memerhatikan rak kasut yang tinggi itu dari luar.

“Hah!Dalam kasut tumit tinggi warna merah tu!” Aku menuding jari ke arah kasut berwarna merah. Berkilat warnanya. Aku cuba capai namun tangan aku tidak sampai.

“Kau tolong dik. Kau kan panjang tangan,” pintaku.

“Tangan panjang. Bukan panjang tangan!” tegas Naim.

Aku ketawa kecil. Terasa lah tu dengan ungkapan tu.

Agak susah juga bagi Naim untuk mencapai kunci itu namun akhirnya setelah mencuba beberapa kali, akhirnya berjaya juga. Dia menyerahkan kunci itu kepadaku.

Tanpa berlengah aku membuka pintu pagar dan kemudian pintu utama. Aku menolak daun pintu rumah perlahan-lahan sambil mengucap salam kesejahteraan dengan suara yang kuat walaupun aku tahu tiada sesiapa di dalam rumah. Kan sunah memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah. Tiba-tiba angin kuat menyerbu menampar wajah aku. Spontan aku menekup muka dengan telapak tangan. Umi dan walid di belakangku seakan tergamam.

Dari mana datangnya angin tadi? fikirku pelik. Aku masuk ke dalam rumah. Suis lampu di tepi dinding aku petik. Terang benderang ruang tamu rumah itu. Aku lihat semua tingkap tertutup dan pintu gelongsor rumah ditutupi langsir berwarna coklat tanah. Masih sama seperti kali pertama aku melihat rumah ini.

“Walid rasa lain macam aje rumah ni.”

Tu dia, walid dah bersuara. Dia sememangnya tidak mengizinkan aku pindah pada awalnya. Tetapi setelah dipujuk akhirnya walid memberi keizinan. Alasanku, tidak sanggupmeredah kesesakan lalulintas untuk ke tempat kerja nanti. Setelah berjanji yang aku akan selalu pulang ke rumah barulah walid memberi persetujuan.

“Dah, tutup pintu tu dulu. Mari kita solat maghrib berjemaah.” Umi menolak tubuh aku dengan lembut. Aku berjalan mengunci pagar dan menutup pintu rumah. Selak pintu di bahagian dalam turut aku pasang.

“Bilik kau kat mana kak?” soal Naim.

“Tu yang belah hujung sekali tu.” Aku menuding jari ke arah bilik yang di pintunya tergantung bingkai kecil bergambar bunga.

“Kenapa kau asyik dapat yanghujung-hujung aje kak? Seram betul!”

“Diam aje boleh tak?” marahku.

Naim tersengih. “Jom, umi.” Dia memimpin umi ke dalam bilik.

“Wah, besarnya bilik kau kak! Siap ada bilik air lagi dalam ni. Patutlah kau beria sangat!” Aku dengar Naim menjerit dari dalam. Teruja betul dia. Baru dia tahu kenapa aku pilih rumah ni.

“Kita solat dekat luar ni ajelah. Kakak, pergi cari sejadah,” arah walid.

“Okay.” Aku berlalu ke bilik. Menggeledah mencari sejadah. Tapi sehelai sejadah pun tidak kutemui.Aku pula memang tidak membawa sejadah dari rumah. Dalam fikiran aku mungkin di sini sudah ada sejadah. Mungkin ada Azrin letak di mana-mana. Tapi, takkanlah aku nak cari dalam bilik yang lain pula? Macam tidak ada adab pula masuk ke bilik orang.

“Alamak, tak adalah walid.” Aku menggaru kepala yang berbalut dengan tudung.

“Kain batik ada tak?” soal walid.

Aku mengangguk. Memang aku ada membawa beberapa helai kain batik tadi.

“Pakai kain batik sahajalah. Hamparkan dekat sini. Cuba kakak cari kiblat dekat mana. Walid nak ambil wuduk dulu.”

Aku perhatikan walid masuk ke dalam bilik air yang terletak di bahagian luar, diantara bilik aku dan bilik yang satu lagi. Bilik Azrin pula bertentangan dengan bilik aku. Dapat aku bayangkan betapa besarnya bilik Azrin. Melalui aplikasi solat yang aku muat turun di dalam telefon, aku mencari arah kiblat dan membentangkan kain batik mengikut arah yang ditunjukkan.

Selesai solat maghrib, walid mengajak kami keluar untuk makan malam.

Aku mengemas dan melipat semula kain batik yang dijadikan alas solat tadi. Aku memakai tudung dan mengenakanfoundation di muka. Itu adalah asas makeup yang wajib aku kenakan walau kemana jua tujuanku.

“Lambatlah kau ni kak. Nak keluar pergi makan pun nak cantik-cantik. Nak makan dekat-dekat sini je,” laung Naim dari ruang tamu.

“Sibuklah kau ni. Biar kemana sahaja kita pergi, penampilan itu harus dijaga. Baru ada rasa yakin diri. Sabar sikit boleh tak!” ujarku sedikit merungut.

Bosan mungkin menunggu aku bersiap. Nak lilit tudung bagai, padahal boleh aje aku pakai tudung sarung macam umi.

Aku keluar dari bilik sambil tersenyum-senyum. Sudah bersedia untuk keluar rumah.

“Aku tengok macam tu jugak rupa kau kak. Tak ada berubah pun jadi rupa Siti Nurhaliza.”

Naim kujeling. Dia ni kalau kenakan orang memang hebat.

“Dah, jom,” kata walid sambil berjalan ke pintu utama.

“Jap, nak minum.” Aku cepat-cepat berlalu ke dapurmahu mencari air. Dahaga pula tekak.

Dapur rumah ini bersih dan kemas. Aku lihat di atas meja ada tudung saji. Gatal pula tangan aku nak tengok apa yang ada di dalam tudung saji itu.

Sebaik sahaja tudung saji aku angkat, aku lihat tersusun beberapa buah pinggan mangkuk yang berisi pelbagai jenis lauk. Azrin yang masak kah? Kagum juga aku. Wangi bau masakannya. Aku menghampiri sebuah pinggan yang terlungkup. Aku nampak ada secebis kertas terselit di situ. Aku ambil kertas berwarna kuning itu.

 

Dari Melaka pergi ke Pahang,

Singgah ke Johor beli berangan;

Saya mengucap selamat datang,

Jikalau salah dikeji jangan

 

Selamat menjamu selera, Aisha.

 

Azrin masak untuk aku dan keluarga aku? Terharu aku dengan sambutan Azrin atas kedatanganku. Umi, walid dan Naim aku panggil ke dapur.

Seperti aku, mereka juga teruja melihat lauk pauk yang pelbagai terhidang di atas meja.

“Kita nak makan ke makanan ni kak?” soal Naim. Dia sekadar memerhatikan hidangan di atas meja.

“Entahlah. Tapi kalau tengok nota yang ditulis ni, memang semua makanan ni untuk kita,” ujarku sambil menyerahkan kertas kecil itu kepada Naim.

Aku berbelah bahagi sama ada mahu menjamah atau tidak makanan yang terhidang ni. Tidak sangka Azrin sanggup bersusah payah masak untuk aku dan keluarga aku.

Naim membaca keratan pantun itu. “Fuh, memang klasik betul tuan rumah kau ni kak. Siap pantun bagai.”

“Habis tu macamana?” tanyaku.

“Tak nak aku makan makanan ni. Kita makan kat luar ajelah.” CadangNaim kemudiannya.

Aku pandang umi dan walid. Mereka berdua mengangguk tanda setuju.

Aku mengalah. Makanan ni boleh disimpan untuk esok, fikirku.

“Baiklah umi.

“Tak sudi ke merasa masakan saya?”

Aku yang sedang menutup tudung saji tergamam mendengar suara itu.

Serentak kami menoleh. Mulut aku terlopong. 


Monday, July 01, 2019

Novel - Cantik (Bab 2)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Tajuk : Cantik
Penulis: Yanie Ismail
Penerbit : DearNovels

BAB 2

Wajah nenek itu berkedut seribu seperti usianya sudah hampir mencecah ratusan tahun. Matanya terperosok ke dalam. Tulang pipinya cengkung. Jemari tangannya runcing dan kurus. Bulu romaku tiba-tiba terasa meremang.

Nenek itu masih merenung ke arahku. Kemudian dia tersenyum. Namun senyumannya itu tidak mampu menenangkan hatiku. Senyumannya seperti menyimpan satu muslihat.

“Eh, tak apalah nenek. Saya cari sendiri,” ujarku, tergesa-gesa mahu berlalu.

Belum sempat aku berpaling, terasatanganku dipegang. Sejuk. Aku perhatikan tangan kanan nenek itu kejap memegang pergelangan tanganku. Aku pandang nenek itu, dia berpaling ke hadapan.Tangannya kirinya diangkat dan dia menunjuk ke hadapan. Aku memerhatikan arah yang ditunjuk oleh nenek itu. Sayup-sayup kulihat papantanda nama kondominium yang ingin kupergi itu terpampang di bahagian atas bangunan. Aku menarik nafas lega. Cepat-cepat aku mahu beredar dari situ, tapi nenek itu masih tidak mahu melepaskan tanganku. Dia memandangku dengan sebuah senyuman sinis. Perlahan-lahan pegangan dilepaskan.

Dengan pantas aku mengucapkan terima kasih dan berjalan menuju ke kereta yang kuparkir di bawah pohon berhampiran perhentian bas. Sewaktu melewati beberapa orang yang sedang menunggu aku perasan mereka memandang semacam ke arahku. Wanita yang mula-mula aku tegur tadi memandangku sambil menggeleng-geleng.

“Harapkan muka je cantik tapi tak siuman rupanya.”

Aku berpaling ke arah suara itu. Itu lelaki yang memandang aku semacam tadi. Dia merenungku tajam. Dia bercakap pasal aku ke? Kurang ajar betul cakap aku tak siuman. Langkah pantas kuhayun menuju ke kereta.

Aku sampai di lokasi kondominium dalam setengah jam kemudian. Masuk ke dalam kawasan kondominium ini terbit rasa kagum. Cantik sungguh kawasan kondominium ini. Persekitarannya sunyi, bersih dan nyaman.

Aku mencari petak parkir yang tertera di atas kertas yang diberi oleh pengawal kondominium ini tadi sewaktu aku mendaftar masuk. Kemudian aku mencari lif.

Dari jauh aku melihat satu pintu kaca yang kukira jalan masuk ke kondominium itu.

Aku cuba menolak pintu kaca tersebut tapi tidak boleh dibuka.Terpaksalah aku menanti di situ dengan harapan ada sesiapa yang akan melalui pintu itu.

Tidak lama menunggu, ada sebuah keluarga tiba dan membuka pintu kaca itu menggunakan kad. Aku turut mencelah masuk sebelum pintu tertutup sendiri.

Wah, bagus juga ciri keselamatan di kondiminium ni. Maknanya bukan orang sembarangan boleh masuk ke dalam kawasan ni.

Lif di ruangan ini ada tiga unit namun hanya satu sahaja yang kulihat berfungsi. Itu pun dapat aku teka berdasarkan nyalaan nombor yang tertera di mana lif itu berada.

Ting!

Pintu lif terbuka. Aku mendahului keluarga tadi masuk ke dalam lif. Butang berangka 13A aku tekan. Aku menoleh memandang wanita yang masuk akhir sekali, yang kukira adalah si isteri. Memberi senyuman dan isyarat kening bertanyakan tingkat berapa tujuannya. Memandangkan aku berdiri berhampiran deretan butang bernombor itu, tidak salah sekiranya aku membantu.

Tetapi dia langsung tidak membalas senyumanku, sebaliknya reaksi wajahnya kelihatan pelik melihat nombor yang menyala. Dia kemudian menekan butang bernombor 3. Aku hanya mampu tersenyum hambar memandang kedua pasangan itu. Anak kecilnya dikendong oleh si ayah.

Aku lihat pasangan suami isteri itu berpandangan sesama sendiri kemudian mencuri-curi pandang kepadaku. Dah kenapa dia orang ni? Apa yang pelik pada aku? Aku belek baju yang tersarung dibadan. Elok sahaja tidak terbalik pun. Aku betulkan tudung di kepala. Kemudian aku pandang pasangan suami isteri itu sekali lagi. Keduanya melarikan padangan apabila tertangkap mereka mencuri pandang ke arahku. Aku kemudian menghalakan pandangan melihat nombor di skrin kecil yang semakin menaik.

Pintu lif terbuka ditingkat tiga dan pasangan suami isteri tadi keluar seperti tergesa-gesa. Seperti takutkan sesuatu. Sebelum pintu tertutup sepenuhnya aku melihat si isteri sekali lagi memandang aku dengan pandangan pelik.

Sampai di tingkat 13A aku keluar dari lif. Aku berhenti di hadapan lif sebentar. Jalan mana yang harus aku ambil? Aku keliru mahu mengambil lorong kanan atau kiri. Ah, lorong kanan dululah. Bukan kah di dalam Islam, apa sahaja yang kita lakukan haruslah dimulakan dengan kanan kecuali kalau masuk ke tandas.

Aku mencari-cari nombor rumah seperti yang dimaklumkan oleh tuan rumah. Rumah bernombor 13. Sah aku salah jalan kerana di sebelah kanan semua rumah bernombor genap. Aku berpatah-balik semula. Mata aku halakan ke kiri dan ke kanan melihat setiap unit rumah yang aku lalui. Semua rumah tertutup rapat pintunya. Sunyi! Tingkat 13A ini adalah tingkat yang paling atas di kondominium ini. 13A tu bermaksud tingkat 14. Menurut kepercayaan orang cina nombor 4 itu membawa maksud yang tidak baik, jadi mungkin sebab itu dilabel sebagai A, tekaku.

Aku berjalan di lorong kiri pula. Di sini juga begitu. Sunyi sahaja.

Satu persatu unit rumah aku perhatikan nombornya sehingga aku sampai ke rumah paling hujung. Di sebelah kiriku tertera nombor 13 di pintu rumah. Sah, ini rumah yg aku cari!

Aku berdiri di hadapan pintu rumah bernombor 13 itu. Punat loceng kutekan sekali. Dari luar aku dapat mendengar bunyi loceng sayup-sayup. Aku menunggu seketika. Punat loceng kutekan sekali lagi apabila lima minit sudah berlalu tanpa ada sesiapa yang menyambut kedatanganku. Aku mengeluh, mungkin tuan rumah tiada di rumah. Salah aku juga kerana tidak memaklumkan kedatanganku.

Tiba-tiba aku  mendengar bunyi pagar dibuka. Aku berpaling dan dari jauh aku melihat sesusuk tubuh seperti nenek tua yang sudah bongkok sedang berjalan.

“Er..nek!” panggilku.

Nenek itu langsung tidak berpaling memandangku. Aku mengejar nenek itu. Semakin laju kuberlari semakin jauh nenek itu daripadaku.

“Laju pulak orang tua ni jalan,” rungutku. Sampai di simpang menuju ke lif aku terpinga-pinga kerana nenek itu sudah hilang entah kemana. Mustahil dia sudah turun kerana aku tidak mendengar bunyi lif terbuka.

Adakah nenek tadi turun menggunakan tangga? Hebat betul nenek ni jika masih mampu menuruni tangga.

Pintu kecemasan yang berhampiran dengan lif aku buka dan aku perhatikan bahagian tangga menuju ke tingkat atas dan bawah. Aku merapati tangga dan mengintai ke bawah untuk melihat nenek tadi, tapi tiada bayang pun akan kewujudan nenek itu. Kemana nenek tadi pergi?

Kepala aku dongak memandang ke tingkat atas dari celahan tangga.

Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu. Aku menjadi sedikit pelik, bukan kah tingkat 13A ini adalah tingkat yang paling atas sekali? Jadi tangga ke bahagian atas ini pergi kemana? Aku mendaki beberapa anak tangga sebelum langkahku terhenti. Aku memasang telinga, memang benar aku mendengar bunyi seperti hentakan kasut bergema. Bunyi itu seperti dari atas menuju ke bawah. Bunyi itu seperti orang sedang berlari turun dengan laju.

Terasa meremang bulu romaku tiba-tiba. Pantas aku berlari turun semula dan keluar dari pintu kecemasan yang aku masuk tadi.

Aku mengurut dada dan menarik nafas. Tidak semena-mena nenek itu muncul semula di pandangan mataku. Kali ini dia berjalan semula menuju ke rumahnya tadi. Aku menurut dari belakang. Langkahnya laju. Kali ini aku tidak cuba untuk mengejar. Aku hanya memerhatikan nenek itu hilang disebalik pagar yang terbuka.

Perlahan-lahan aku mendekati unit rumah yang terbuka pagarnya itu tapi pintu di dalam tertutup. Punat loceng kutekan. Tiada tindak balas, kemudian aku masuk ke dalam ruangan kecil dan pintu kuketuk sambil memberi salam. Masih tiada sahutan malah suasana terus menjadi sunyi.

Tidak mahu berfikir yang bukan-bukan, aku berpaling dan melangkah semula ke rumah bernombor 13. Aku cuba mendail nombor telefon pemilik rumah namun masih tiada jawapan. Lantas aku menghantar pesanan ringkas. Memaklumkan kedatanganku.

Aku memerhatikan sekeliling. Agak suram dibahagian hujung ini. Aku melihat pintu kecemasan yang tertutup di sebelah kanan, bertentangan dengan koridor.Bermakna ada dua pintu kecemasan. Satu berdekatan dengan lif dan satu lagi berada di hujung sini. Aku sengaja berjalan ke situ dan cuba membukapintu dan mengintai ke arah tangga.Suram dan gelap keadaan di sini, sama seperti tangga di sebelah sana.

Kali ini aku nekad mahu naik ke tingkat atas. Pintu kecemasan aku renggangkan dan aku sendal menggunakan sebongkah batu bata yang memang ada di situ. Senang untuk aku berlari keluar jika terjadi apa-apa.

Belum sempat anak tangga kupijak, terdengar suara seseorang di belakang. Pantas aku berpaling. Hampir luruh jantungku apabila aku melihat sesusuk tubuh sedang berdiri memerhatikanku. 

Novel - Cantik (Bab 1)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera


Tajuk: Cantik
Penulis : Yanie Ismail
Penerbit: DearNovels

BAB 1 

Akhbar di tangan aku teliti. Ruangan iklan aku perhatikan dan kubaca satu persatu. Yang mana dirasakan sesuai dengan citarasaku dan lokasi yang berdekatan dengan tempat kerja, aku tandakan dengan bentuk bulatanmenggunakan pen marker berwarna merah yang aku pinjam dari Naim.

Sudah seminggu aku menjadi pembelisetia akhbar kecil itu. Tujuan aku hanya satu iaitu mencari bilik kosong untuk disewa. Bukan mudah rupanya mencari bilik yang sesuai dengan citarasa. Aku ni bukanlah jenis yang memilihsangat.Tapi dah alang-alang memilih tu, haruslah aku mencari bilik sewa yang memenuhi citarasaku. Jika boleh aku tidak mahu bilik yang terlalu kecil. Aku mahukan kawasan perumahan yang agak sunyi dan nyaman. Jadi aku harus membuat pilihan dengan bijak dan memilih dengan sebaiknya.

“Semoga kali ini ada rezeki aku,” doaku dalam hati.

“Kak, kau ada ambik beg stationery aku tak?” soal Naim yang masuk kebilik secara tiba-tiba.

Aku mengurut dada. Hai lah dia ni. Tak reti bagi salam ke? Jelingan aku hanya disambut dengan sengihan dari dia.

“Mana ada akak ambik. Kan tadi akak pinjam marker ni pun kau yang ambikkan,” ujarku sambil pandangan mata aku halakan semula menatap akhbar di tangan.

“Kau jangan hilangkan pulak marker tu kak. Dah banyak marker aku kau hilangkan dalam masa seminggu ni.”

Ewah, sempat pula dia perli aku.

“Alah, setakat marker macam ni berapa sen sangatlah. Dengan kakak sendiri pun nak berkira!”

“Kalau dengan kau, kak aku memang tak boleh nak berkira. Tapi aku hanya nasihatkan aje. Peringatan. Kau kan selalu je lupa kat mana kau letak barang. Maklumlah faktor penuaan memang aku tak boleh nak cakap apa kak.”

“Weh!” jeritku.

Dia hanya ketawa sambil melabuhkan punggung di sebelahku. Habis bergoyang katil aku kerana hentakan badan besarnya tu.

Aku meneliti semula akhbar di tangan. Kehadirannya tidak aku pedulikan. Perhatian aku lebih kepada akhbar di tangan. Aku membaca semula petak-petak iklan yang sudah aku tandakan. Hati aku tertarik dengan satu iklan ni. Iklannya sangat ringkas.

 

MENCARI BILIK YANG PRIVACY? HUBUNGI SAYA SEGERA.HANYA ADA SATU KEKOSONGAN!

 

Entah kenapa melihat sahaja perkataan privacy itu sudah menarik minatku. Aku mengambil telefon bimbit, mahu menyalin nombor telefon yang disertakan. Namun belum sempat aku habis menyalin, akhbar ditarik kasar.

“Kau dah dapat rumah yang kau cari ke kak?” soal Naim tanpa mempedulikan jelingan maut yang aku hadiahkan kerana mengganggu aku.

“Belum pilih lagi. Adalah beberapa iklan yang akak rasa sesuai. Tapi akak macam suka je tengok iklan ni.” Aku tunjuk satu iklan yang menarik perhatian aku tadi.

Dia meneliti dan membaca iklan tersebut. Kemudian dia pandang aku. Keningnya berkerut.

“Kau yakin ke kak? Tengoklah iklan ni ringkas semacam je. Kau cuba tengok iklan yang lain. Semua ada dinyatakan serba sedikit ciri-ciri bilik yang diiklankan. Alamat lengkap pun ada. Senang kalau kau nak cari review online. Ini tidak, dibuatnya rumah berhantu ke kan naya!”

Aku bingkas bangun apabila mendengar kata-kata Naim. Pehanya aku pukul. Kemudian aku menyeringai kesakitan. Peha ke besi ni, rungutku.

 “Alah, mungkin tuan rumah nak jimat kut,” kataku, cuba husnudzon. “Buat iklan macam ni kau ingat murah ke?”

“Memanglah tak murah kak. Tapi kalau nak jimat sekali pun, takkanlah ringkas sangat macam ni. Aku tengok pun tak menarik. Sewa bulanan pun tak ditulis. Kalau aku dah pangkah awal-awal ni kak. Kat mana rumah ni?” tanya Naim.

Aku menjungkit bahu. “Akak pun tak pasti. Nilah akak nak cuba tanya. Dah kau pulak sibuk kat sini.”

“Cari rumah lain ajelah kak. Ini kalau tak rumah hantu, entah-entah rumah pembunuh bersiri kut,” kata Naim.

“Eh, kau ni! Kalau kau cakap bukan-bukan lagi akak sumbat mulut kau dengan suratkhabar ni,” ugutku.

Naim ketawa. “Aku bukan apa kak. Zaman sekarang ni kita tak boleh nak percaya semua benda bulat-bulat. Orang yang kita nampak baik tu tak semestinya baik, begitulah juga sebaliknya.”

Aku mengeluh. Ada benarnya juga apa yang dikatakan oleh Naim itu.

“Kau tak rasa pelik ke kak?” tanya Naim.

“Pelik apanya?” jawabku sedikit bengang. Tumpuanku asyik terganggu.

“Yalah, sewa rumah tak diberitahu. Alamat pun tak ada.”

“Ish, kau ni. Banyak tanya pulak. Macam yang akak cakap tadi tulah. Mungkin orang ni nak berjimat. Kan dia dah tulis situ telefon nombor untuk dihubungi. So, telefon ajelah kalau berminat,” kataku.

“Tapi nama pun tak dinyatakan kat sini. Entah siapa-siapa yang tulis iklan ni.” Naim terus membebel.

“Eh kau ni, jangan peningkan kepala akak boleh tak?” marahku.

“Sukahati kau lah kak. Tapi kau tengok ni, siap tulis privacy. Apa yang privacy sangat? Takut aku dengar perkataan tu kak. Macam ada sesuatu. Eii seram!”

Privacy tu mungkin maksudnya suasana rumah yang sunyi. Tiada gangguan. Jiran sebelah menyebelah tak sibuk dan membawang hal dalam kain orang lain,” ujarku sekaligus menyedapkan hati sendiri.

“Kau suka ke macam tu kak? Jiran saling tak mengenal antara satu sama lain? Kalau jadi apa-apa kat kau tak ada siapa pun yang tahu tau. Lepas tu kau jangan lupa kak, kerja kau nanti mesti memerlukan kau kerja lebih masa. Kau tak takut ke nanti balik rumah sorang-sorang? Kau bayangkan kau naik lif sorang-sorang di tengah malam yang sunyi. Tiba-tiba ada satu bau yang sangat busuk. Sedangkan dalam lif tu hanya ada kau seorang.”

Aku kusyuk mendengar pendapat Naim sambil membayangkan suasana seperti itu.

“Lepas tu kau pun tercari-cari dari mana datangnya bau busuk itu. Perlahan-lahan kau menoleh kebelakang.... pom!!”

Serentak itu bahu aku terhenjut, terkejut!

“Aku terkentut la kak. Sakit perut,” dia mengekeh ketawa sambil berlalu pergi.

Hampir terkeluar kata-kata makian dari mulut aku. Hampeh punya adik. Tinggalkan bau busuk kat bilik aku.

Aku mengeluh perlahan. Naim ni buat aku seriau pulak. Ada juga betulnya apa yang diperkatakan oleh Naim tu.

Sekali lagi ruang iklan di akhbar itu aku lihat. Aku berkira-kira samada mahu meneruskan atau tidak. Walaupun tidak dinyatakan lokasi rumah namun perkataan privacyitu sangat menarik perhatian aku.Tidak salah rasanyajika aku tengok keadaan rumah tu dulu. Kalau rasa selesa, apa salahnyaaku menyewa di situ. Kalau tidak, aku carilah rumah lain. Apa susah!

Akhirnya aku nekad mahu mencuba.Aku menyalin semula nombor telefon yang tergendala sebentar tadi ke dalam telefon bimbitku.

Dengan lafaz bismillah, jari aku hala ke arah gambar gagang telefon, namun belum sempat aku menekan apa-apa, telefon bimbitku berbunyi. Aku mengerut dahi. Pelik! Ni nombor yang baru sahaja aku simpan. Bagaimana pula nombor aku boleh didail dari sebelah sana? Adakah tadi tanpa sedar aku telah menekan butang dail dan meninggalkan panggilan tidak berjawab? Eh, mustahil sangat! Aku membiarkan deringan mati dengan sendiri. Nak jawab ke tidak? Dalam aku berkira-kira begitu, telefon bimbitku berbunyi sekali lagi. Panggilan dari nombor yang sama!

“Assalamualaikum,” ucapku sebaik sahaja panggilan aku jawab.

Kedengaran seperti suara berbisik-bisik di sebelah sana.

“Hello.. hello..” panggilku lagi.

Masih kedengaran suara berbisik. Kali ini semakin bingit. Eh, nak bercakap ke tak ni? Segera aku matikan talian kerana telingakuterasa sakit mendengar bunyi itu. Mungkin ada gangguan talian, fikirku.

Kali ini aku pula yang mendail nombor telefon itu. Tiada bunyi deringan. Sunyi. Tiada sebarang bunyi di sebelah sana. Aku mencuba sekali lagi. Masih sama juga. Aku memandang skrin telefon pelik. Talianku matikan.

Telefon bimbit aku letakkan di sisi. Tangan mencapai semula akhbar. Mahu menghubungi pemilik rumah yang lain.

Tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi ringkas menandakan ada pesanan yang masuk.

WhatsApp, ujarku saat telefon aku angkat. Aplikasi itu aku buka. Pemilik rumah yang barusan sahaja menghubungi aku tadi menghantar lokasi melalui google map.

Aku meneliti lokasi yang dikongsi. Dekat kawasan bandar ini juga. Jadi tidaklah terlalu jauh dari rumah umi. Yang paling seronok, lokasi itu dekat dengan tempat kerja aku.

Aku membalas pesanan itu dengan bertanyakan harga sewa bulanan yang dikenakan dan berapa bulan deposit yang harus aku dahulukan.

Aku sabar menunggu jawapan dari sebelah sana. Senyap. Tiada tanda menaip atau sebagainya.

Sabar Aisha, bisikku sekadar memujuk diri sendiri.

Sepuluh minit berlalu, namun masih tiada balasan. Eh, lama pula dia ni nak balas mesej aku. Aku cuba mendail nombor telefon pemilik rumah itu sekali lagi namun seperti tadi, tiada langsung bunyi di sebelah sana.

Aku cuba menaip nama kondominium yang kongsikan oleh pemilik rumah tadi di carian google. Tetapi satu artikel mahupun gambar tentang kondominium itu tidak aku temui. Mungkin kondominium itu baru sahaja siap, tekaku.

Perlu ke aku pergi lihat keadaan rumah tu dulu? Kalau aku pergi hari ini pun apa salahnya memandangkan aku tidak ada aktiviti apa-apa sepanjang hari ini, fikirku. Aku nekad mahu melihat rumah itu hari ini juga.

Setelah meminta izin dari umi aku pun memandu ke tempat tersebut berpandukan lokasi yang dihantar oleh tuan rumah.Tidak aku khabarkan kepada pemilik rumah akan kedatanganku. Pelawaan Naim untuk menemani aku tolak. Nanti lagi bermacam-macam benda mengarut yang dicakapnya.

Setengah jam memandu, aku rasakan aku sudah sesat jalan. Berpusing-pusing aku mencari lokasi tempat itu dan berkali-kali juga aku berpusing di tempat yang sama. Peta yang tertera di telefon bimbit aku perhatikan. Eh, kenapa senyap tak ada arah ni? Haih, aku mengeluh.

Kereta aku perlahankan apabila tiba di satu perhentian bas. Di perhentian bas itu aku melihat ada beberapa orang sedang menunggu. Aku mengambil keputusan untuk bertanyakan arah. Mungkin aku sudah hampir di kawasan lokasi cuma bangunan sahaja yang belum aku temui.

Aku cuba menegur seorang wanita yang sedang asyik memerhatikan telefon bimbit sambil tersenyum-senyum. Namun kehadiran aku tidak dilayan, hanya sebuah jelingan yang kuterima. Aku mengalihkan pandangan ke arah seorang lelaki yang sedang berdiri bersandar di tiang perhentian bas itu. Lelaki itu tersengih-sengih memandang aku semacam. Terus aku batalkan niat untuk bertanya.

Di hujung perhentian bas itu, kulihat seorang tua yang sudah agak bongkok sedang duduk membelakangi jalan raya. Orang tua itu aku dekati.

“Assalamualaikum nenek. Er, nenek tahu tak tempat ni kat mana?” tanyaku seraya menunjukkan peta lokasi di telefon bimbitku.

Orang tua yang kupanggil nenek tadi menoleh ke arahku. Aku terundur beberapa langkah ke belakang kerana terkejut melihat wajah nenek itu.