Thursday, January 28, 2021

Novel - Adelia (Bab 7)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Tajuk : Adelia
Penulis : Aryanie Ismail
Penerbit: DearNovels

BAB 7

PAK MAT melepaskan lelah setelah selesai menyiapkan kerja-kerja memotong rumput. Di waktu malam begini, penglihatannya agak terbatas. Badannya mula terasa sakit-sakit.

Dari tadi dia tidak habis berfikir tentang lembaga hitam berbulu yang mengganggunya di bilik stor tadi.

Bukan tidak pernah dia melihat makhluk itu. Makhluk itu yang sering mengganggu dia dan isterinya. Dia boleh tahu melalui bau yang muncul setiap kali makhluk berbulu itu datang.

Tapi dia tak sangka makhluk itu ada di sini juga. Di rumah agam ini.

Dia tidak takut, tetapi lebih kepada risau. Risau memikirkan Adelia. Bagaimana jika makhluk itu mengganggu Adelia?

Jika makhluk itu sudah berada di sini, mungkinkah seseorang sudah tahu mengenai Adelia? Atau adakah makhluk itu dihantar seseorang dengan tujuan tertentu?

Adakah dihantar oleh orang yang sama yang pernah cuba menghancurkan hidup Tan Sri Adam dan keluarganya? Apa sebenarnya yang dimahukan oleh orang itu? Bagaimana dia mahu membantu Adelia kerana dia tidak dapat melihat Adelia?

Pisau Rambo di dalam kocek bajunya dikeluarkan. Diperhatikan pisau kecil itu. Sepertinya bukan barang baru, tetapi pisau itu masih berada dalam keadaan baik, dijaga rapi oleh tuan punya.

Hatinya terdetik sesuatu. Pisau Rambo ini bukan biasa-biasa. Hanya orang tertentu sahaja yang pakai pisau seperti ini. Mungkinkah orang yang dicarinya selama ini pernah datang ke sini?

Pak Mat tergeliat kecil tatkala terasa ada usikan di daun telinganya. Pisau Rambo terjatuh daripada genggaman. Cepat-cepat dikutip dan disimpan semula ke dalam kocek baju.

“Ha, Pak Mat berangan apa tu?” usik Adelia.

Rumput kecil di tangan dialihkan dari telinga orang tua itu.

Adelia merapati meja kecil dan mengambil secawan kopi. Kopi yang masih panas itu dihulurkan kepada Pak Mat.

Tergelak kecil Pak Mat melihat cawan kopi yang bergerak sendiri.

Perlahan-lahan cawan kopi yang masih berasap itu disambut dengan senyuman yang menghiasi bibir. Aroma kopi yang bertebaran dinikmati dengan tenang. Pak Mat menghirup kopi panas itu.

“Alhamdulillah. Lama aku tak merasa kopi yang kau buat ni.”

“Kalau Pak Mat dan Mak Minah tinggal di sini, hari-hari Adelia boleh buatkan kopi untuk Pak Mat.”

Adelia melabuhkan punggung di sebelah Pak Mat.

Pak Mat diam sahaja. Matanya merenung kegelapan malam.

“Adelia nak minta maaf, Pak Mat.”

“Eh, dah kenapa pula kau nak minta maaf?” tanya Pak Mat.

“Yelah, Adelia selalu menyusahkan Pak Mat dan Mak Minah.”

“Kau jangan mengarutlah. Tak ada susah mana pun.”

Pak Mat menghirup lagi air kopi panas itu lagi. Dia tersenyum. Memang sedap air kopi yang dibuat oleh Adelia. Pekat dan likat.

“Tapi, Adelia rasa bersalah.”

Sayu kedengaran suara Adelia.

“Kau tak payah nak ungkit lagi cerita-cerita ni. Selagi nyawa aku masih dikandung badan, selagi itu kau akan aku jaga. Sudah, aku tak mahu lagi kau buka cerita pasal ni. Pening kepala aku.

“Andai nyawa aku tak panjang, aku nak kau tetap ingat pesan aku. Selagi kau masih boleh melihat dunia ini, solat jangan pernah tinggal. Mohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh semoga dibuka jalan dan diberi jawapan kenapa kau jadi begini.”

“Adelia tak pernah lupa pesan Pak Mat. Setiap hari sebelum tidur Adelia selalu berharap supaya esoknya Adelia bangun, keadaan akan berbeza. Tapi dah bertahun, Pak Mat. Bertahun Adelia tunggu saat tu tiba hingga akhirnya Adelia pasrah.”

Adelia berkata sayu.

“Sabarlah Adelia. Setiap apa yang berlaku mesti ada jawapannya. Aku yakin suatu hari nanti kebenaran akan terungkap kenapa kau jadi begini. Hati aku tak tenang sebenarnya dengan apa yang berlaku.

“Tapi aku sendiri dah buntu. Tapi percayalah, aku tak akan berputus asa. Aku dan Mak Minah akan terus berdoa semoga kita akan temui jawapan untuk semua ini. Aku harap aku dapat bantu kau sebelum aku mati,” ujar Pak Mat.

“Kalau Pak Mat mati, barulah Pak Mat boleh nampak Adelia sebab orang yang hidup tak boleh nampak Adelia. Boleh Pak Mat temankan Adelia kat sini. Adelia bosan, dah lama tak ada kawan,” usik Adelia sambil ketawa kecil.

Jauh di sudut hatinya, kecut mendengar perkataan mati.

Hanya keluhan kasar menyambut usikan Adelia tadi.

Adelia memerhatikan Pak Mat. Lain benar perangai Pak Mat. Tadi lelaki tua ini baik sahaja, tapi setelah selesai memotong rumput, anginnya berubah-ubah pula.

Adakah kerana dia kepenatan?

Adelia mengeluh. Terasa dia banyak menyusahkan Pak Mat. Pak Mat sudah tua. Sudah masanya untuk lelaki itu berehat. Menghabiskan sisa hidupnya dengan berehat dan beribadah. Bukan membanting tulang begini.

“Kau ada perasan apa-apa yang pelik tak?” soal Pak Mat tiba-tiba.

“Apa yang pelik?” Adelia membalas dengan soalan juga.

“Sesuatu yang di luar kebiasaan, yang tak pernah terjadi sebelum ni? Atau sesiapa yang kau tak pernah nampak sebelum ni, tiba-tiba muncul?

Adelia mengerut dahi. Cuba mencerna maksud pertanyaan Pak Mat.

“Budak-budak nakal yang suka baling-baling batu kat rumah ni, adalah. Kadang-kadang ada juga ternampak budak-budak nakal yang suka panjat pokok mangga dan pokok rambutan kat depan ni,” jawab Adelia.

“Dan kau pulak menakut-nakutkan budak-budak tu sampai semua lari lintang-pukang. Lepas tu mulalah orang bercerita tentang rumah berhantu ni.”  

Adelia ketawa kecil mendengar kata-kata Pak Mat. Dia sudah lali digelar hantu.

“Kau ada pernah nampak atau diganggu apa-apa ke?”

“Tak pernah pula, Pak Mat.” Adelia menggeleng.

Selama dia tinggal di sini, tidak pernah lagi dia diganggu. Siapa yang nak ganggu dia sedangkan tiada siapa pun yang dapat melihatnya. Sebab itu dia merasakan hidupnya sunyi.

“Atau ada sesiapa datang ke sini bila aku tak ada?”

Adelia mengerutkan dahi. Siapa pula yang berani datang ke sini? Apa maksud pertanyaan Pak Mat? Sudah dua kali Pak Mat menekankan pertanyaan itu.

“Kau jangan sesekali benarkan sesiapa pun masuk ke dalam rumah ni. Jaga rumah ni sebaiknya.”

“Tak ada siapa pun yang datang, Pak Mat. Mana ada yang berani datang ke sini. Kan rumah ni dah dikenali sebagai rumah angker. Siapa yang berani datang!”

Tanpa sedar, Adelia tertinggi suara. Kecil hati kerana menyangka Pak Mat menuduhnya.

“Aku balik dulu. Hari pun macam nak hujan.”

Pak Mat bingkas berdiri. Plastik hitam yang berisi rumput diangkat dan dikemaskan kedudukannya di bahagian belakang tempat duduk motosikalnya.

Adelia mengangguk sahaja.

“Esok pagi aku akan datang. Betulkan pintu bilik stor belakang tu. Tadi aku cuba cungkil tombol pintu tu sebab tak boleh buka dari dalam.”

“Err, Pak Mat... Apa yang berlaku sebenarnya kat dalam tadi?” soal Adelia.

“Pintu bilik stor tu tertutup tiba-tiba. Mungkin angin yang tolak. Bila aku cuba nak buka, tak dapat buka. Aku korek dengan pisau pun masih juga tak dapat buka. Panas agaknya kat dalam tu sampai aku pengsan,” balas Pak Mat.

“Tapi, tadi elok aje pintu tu masa Adelia buka. Tak berkunci pun.”

“Agaknya tak boleh dibuka dari dalam. Dari luar mungkin boleh.”

“Tapi...” Adelia mahu membantah. Dia merasakan ada sesuatu yang pelik.

“Ah, kau jangan fikir sangat. Pintu tu mungkin dah rosak. Dah lama. Esok aku tukar tombol pintu yang baru.”

“Baiklah,” balas Adelia.

Tidak jadi mahu bercerita kepada Pak Mat tentang kepulan asap hitam yang dilihatnya tadi.

“Adelia, mulai hari ini, kau jangan berjalan ke mana-mana. Tinggal sahaja di dalam rumah. Berhati-hati dan jaga diri. Kalau kau dengar atau lihat apa-apa yang mencurigakan, jangan berlagak pandai dengan bertindak sendiri. Telefon aku kalau ada apa-apa,” ujar Pak Mat sebelum menghidupkan enjin motosikalnya.

Adelia mahu membantah kata-kata Pak Mat, namun mematikan niatnya apabila melihat wajah Pak Mat serius sahaja.

Dia memerhatikan kelibat Pak Mat yang semakin kecil sebelum hilang daripada pandangan.

Kenapa ya Pak Mat berkelakuan pelik malam ni? Seperti menyorokkan sesuatu. Kenapa aku disuruh berhati-hati? Apa yang berlaku sebenarnya? Adakah Pak Mat curiga dengan aku?

Mungkin Pak Mat syak aku membawa seseorang ke dalam rumah tanpa pengetahuan Pak Mat. Adelia meneka.

“Ah, mengarut!” Adelia menjerit.

Kenapa Pak Mat mahu risau? Tidak ada sesiapa yang akan melihat dirinya. Dia tidak wujud pun di mata orang.

Jika ada yang datang menceroboh rumah agam ini, dia dahulu akan menakutkan mereka sehingga mereka semua lari lintang-pukang.

Sebenarnya bukan dia tidak nampak pisau Rambo yang jatuh daripada pegangan Pak Mat tadi.

Dia memerhatikan Pak Mat membelek pisau Rambo itu. Sengaja dia tidak memunculkan diri.

Kenapa Pak Mat membawa pisau Rambo? Tidak pernah pula Adelia melihat pisau itu sebelum ini.

Adelia masih betah duduk di luar. Angin malam berhembus agak kencang, sepertinya bila-bila masa sahaja bumi akan disirami hujan.

Adelia memerhatikan dedaunan pokok mangga yang meliuk-liuk ditiup angin, seperti melambai-lambai seseorang ke sini. Bunyi geseran dedauan berlaga memecah kesunyian malam.

Dentuman guruh menyentak semangat Adelia. Melalui biasan cahaya, dia ternampak kelibat seakan tubuh seseorang sedang berdiri di luar pagar memandang ke rumah agam ini. 

No comments: