Tuesday, January 01, 2019

Cerpen - Amira

Assalamualaikum & Salam Sejahtera 

Tajuk : Amira
Penulis : Aryanie Ismail
Tarikh disiarkan: Harmoni (2006)
AMIRA mengusap kepala tiga ekor kucingnya. Seekor daripadanya sudah besar merangkap ibu kepada dua ekor yang lainnya. Amira menyeringai apabila sesekali jari-jemarinya dicakar dan digigit. Tetapi itu bukan masalah buatnyer. Dia sudah biasa. Baginya, itu adalah cara binatang peliharaannya menunjukkan rasa sayang terhadapnya. Matanya yangsudah agak kering dan sedikit merah ke¬rana menangis sejak dari tadiditenyeh-tenyeh dengan jari-jemari.
"Buang ajelah kucing-kucing tu." Kata-kata ayah pagi tadi masih berbekas di hatinya.
"Mira, apa lagi yang kamu buat tu? Mari cepat masuk, makan! Ayah dah lama tunggu," jeritan emak kedengaran dari dalam rumah.
Perlahan-lahan Amira bangun dan memanjat anak tangga satu persatu naik ke rumah. Ketiga-tiga ekor kucing peliharaannya mengekori langkahnya.
"Pergi usir kucing tu keluar," marah emak. Amira tunduk. Dengan perlahan, kakinya mengusir kucing-kucing tersebut.
"Kamu ni suka sangat kucing. Kita ni bukannya mampu sangat nak pelihara kucing-kucing tu. Itu dah bertiga. Sedikit masa lagi bertambah entah berapa agaknya," sampuk ayah yang sudah duduk bersila di atas tikar mengkuang. Matanya memandang perut ibu kucing yang semakin membesar.
"Buang ajelah kucing tu," Amira tunduk lagi. Tidak berani menatap wajah ayahnya. Air matanya mahu menitis lagi tapi ditahannya. Sesekali matanya melirik memandang emak yang sedang sibuk mengisi pinggannya dengan lauk yang tidak seberapa. Emak kelihatan agak kepenatan sambil tangannya memegang perutnya yang semakin membesar. Tidak lama lagi Amira akan mendapat adik.
Dia sedar, keluarganya bukan orang berada. Ayahnya bekerja sebagai penarik beca sedangkan ibu tidak bekerja. Emak dan ayah selalu mengingatkannya supaya berjimat cermat dan rajin belajar. Kata emak, hanya dengan ilmu dapat memperbaiki kehidupan mereka nanti.
"Sudahlah tu Mira. Mari duduk sini," emak menggamit Amira supaya duduk di sebelahnya. Pinggan yang sudah berisi diletakkan di hadapan Amira. Setelah mencuci tangan dengan lafaz bismillah di memulakan suapan.
****************************
Petang itu, setelah pulang dari sekolah, tanpa menukar pakaian, Amira memanggil kucing-kucingnya. Memang itu adalah kebiasaanya. Sampai sahaja di rumah, dia akan memastikan yang kucing-kucingnya dalam keadaan baik. Namun setelah beberapa lama, binatang kesayangannya masih juga tidak kelihatan.
"Mak ... !!!" laungan Amira kedengaran.
"Ada apa?" terkocoh-kocoh pula ibunya keluar dari dapur Sambil mengesat matanya yang mula berair, dia bertanya. "Ayah dah buang ke kucing-kucing Mira?"
"Kamu pasti ke? Cuba kamu tengok kat dapur," pujuk emak sambil menggeleng kepala melihat telatah Amira.
Dengan pantas Amira berlari ke dapur . Sebaik sahaja terpandang kelibat binatang kesayangannya, dia tersengih. Ketiga-tiga ekor kucingnya sedang asyik menikmati tulang-tulang ayam.
"Tadi Mak Mah datang. Dia bagi tulang-tulang ayam sisa kenduri semalam. Katanya, untuk kucing kamu," beritahu emak sebelum sempat Amira bertanya.
"Sudah, kamu pergi mandi. Dalam periuk tu pun ada lebih ayam masak merah dan rendang daging Mak Mah kasi. Kejap lagi ayah balik boleh kita makan sama-sama," Amira menjerit keriangan. Mak Mah memang baik hati. Dia sayangkan Mak Mah. Dengan pantas Amira mencapai tuala. Bukan selalu dia dapat menikmati masakan begitu.
Hanya bila ada kenduri-kendara atau musim perayaan sahaja makanan seperti itu dapat dijamahnya.
**************************
Pagi itu Amira tidak ke sekolah. Sudah puas dinasihati tapi hatinyaberdegil tidak mahu mendengar nasihat emak dan ayah. Dia berasa kasihan melihat ibu yang terbatuk-batuk dan selesema sejak malam tadi.
"Marilah Nab, kita pergi klinik," pujuk ayah. Emak menggeleng. Dia mengusap-usap dadanya yang terasa sakit akibat batuk berterusan. Air mata Amira tumpah lagi. Kasihan pada emak.
"Marilah ... ," pujuk ayah lagi. Emak tetap menggeleng kepala. "Tak apalah bang. Kalau pergi klinik nanti dah tentu kena keluarkan duit nak beli ubat."
"Tak apalah Nab. Abang masih ada duit lagi. Cukuplah untuk buat bayaran di klinik nanti. Lagipun takut kalau apa-apa terjadi pada kandungan kamu nanti," terang ayah.
Emak tetap menggeleng, "Tak apa lah bang. Banyak lagi yang kita harus fikir. Persekolahan Amira, perbelanjaan harian. Lepas ni, kalau bayi ni lahir lagi banyak duit yang nak kena pakai. Lagipun sakit saya ni sakit biasa aje, esok lusa baiklah tu."
Ayah mengeluh melihat kedegilan emak. Amira tertunduk. Dia rasa dirinya banyak menyusahkan emak dan ayah. Patutlah ayah selalu bising tentang kucing-kucingnya.
Kucing-kucing itu harus diberi makan. Setiap kali memasak nasi emak harus melebihkan sukatannya sedikit, lauk ikan misalnya harus juga dilebihkan. Kalaulah dia tidak memelihara kucing, sudah tentu emak dan ayah dapat berjimat sedikit.
Emak sudah beransur pulih. Akhirnya emak dengar juga nasihat ayah. Amira termenung lagi. Hatinya runsing. Fikirannya gelisah. Diusap-usapnya badan anak kucingnya yang diletakkan di atas riba. Mata anak kucingnya merah,hidungnya berair.
Air mata Amira tumpah lagi buat kesekian kalinya. Anak kucing itu diam sahaja di atas pangkuannya tidak seperti selalu, asyik bergelut. Amira tidak sanggup melihat kucing kesayangannya mati. Mahu dibawa ke klinik haiwan, dia tiada duit. Mahu meminta dari ayah, dia tidak sanggup lagi menyusahkan ayah.
"Mira ... kamu buat apa di sini?" tanya emak. Amira diam.
"Kucing kamu sakit?" tanya emak lagi. Amira mengangguk.
"Mak ... " perlahan suara Amira.
"Kenapa?" emak bertanya.
"Boleh tak ... er .. kita bawa Nemo pergi klinik?" Emak mengeluh berat. Bukan dia tiada perasaan. Hatinya tersentuh juga apabila mendapat tahu kucing kesayangan anaknya sakit atau mati. Dia juga sayangkan binatang, cuma dia rasa tidak sanggup menyeksa binatang. Sedangkan hidup mereka tiga beranak pun agak susah. Pernah juga mereka sekeluarga hanya makan nasi yang dicampurkan air kerana tidak cukup wang belanja.
"Bukan tak boleh. Nanti cuba Mira tanya ayah," Amira tunduk. Dia tidak berani mahu meminta pada ayah lagi.
Malam itu selepas memberi kucing-kucingnya makan, Amira memasukkan kucing-kucingnya ke dalam kandang. Cuma Nemo sahaja yang tidak dikurungnya. Nemo dibawanya masuk ke dalam bilik. Amira membaringkan Nemo di atas tilamnya yang sudah nipis itu. Mulutnya tidak henti-henti berdoa supaya anak kucingnya itu akan sembuh seperti sedia kala. Malam itu dia tidur bertemankan air mata.
Esoknya, Amira bangun dengan senang hati. Nemo sudah beransur sihat. Matanya sudah baik, cuma sekali-sekala Nemo terbersin.
"Kamu nak bela ke semua kucing tu Mira?" tanya ayah sewaktu merekaberehat di beranda selepas sarapan. Mata bulat Amira memandang ayah. Dia takut untuk menyatakan hasratnya. Ayah menunggu dengan sabar jawapan daripada Amira. Akhirnya lambat-lambat, Amira mengangguk.
"Mira kesian dengan kucing-kucing itu ayah. Lagipun anak-anaknya masih kecil.”
"Tak lama lagi, ibu kucing itu akan beranak, bertambahlah bilangannya. Kamu yakin kamu mampu jaga dia?" tanya ayah lagi. Amira menunduk. Dia tahu maksud ayah. Kalau bertambah lagi bilangan kucingnya, maknanya bertambah jugalah beban ayah.
Beca bergerak perlahan-lahan meninggalkan pekarangan rumah. Amira membiarkan matanya dibasahi air mata tanpa ada niat untuk mengelapnya. Di memangku kedua-dua anak kucingnya, Nemo don Kemo. Kedua-dua anak kucing itu meronta-ronta minta dilepaskan. Namun, Amira mengemaskan pegangannya. Sesekali diciumnya anak-anak kucing itu.
"Pak Abu dah janji akan menjaga anak-anak kucing ni. Mereka sekeluarga sukakan kucing. Ayah pun kesian pada anak-anak kucing ni tapi daripada kita menyeksanya, lebih baik kita beri pada orang yang memang mampu menjaganya dengan baik," kata ayah. Amira hanya diam mendengar kata-kata ayah itu.
"Kata Pak Abu lagi, kamu boleh datang tengok anak-anak kucing ni bila-bila kamu mahu. Nanti ayah akan hantarkan," sambung ayah lagi. Amira tersenyum. Dia bersyukur kerana Pak Abu sudi menjaga anak-anak kucingnya. Bagaimanapun, dia tetap bersedih kerana terpaksa berpisah dengan Nemo dan Kemo. Tapi dia tidak mahu membebankan keluarganya lagi.
Beca ayah berhenti di hadapan kedai makan Pak Abu. Azizi dan Azizah, anak Pak Abu berlari-Iari mendapatkannya. Mereka berebut-rebut mengambil Nemo dan Kemo. Amira hanya memerhatikan dengan harapan mereka akan menjaga kedua-dua ekor kucingnya dengan baik.