Wednesday, May 01, 2019

Cerpen - Belum Tidur Lagi?

Assalamualaikum & Salam Sejahtera


Tajuk: Belum Tidur Lagi?
Karya : Aryanie Ismail

Fikah menutup pintu bilik setelah semua rakan-rakannya masuk ke dalam bilik masing-masing. Hari sudah lewat benar. Selesai menonton filem yang dimuat turun oleh Nina di pendrivenya tadi, mereka berbual-bual sebentar sambil mendengar lagu. Sesekali mereka menari mengikut rentak lagu yang berkumandang. Hanya di bilik Fikah sahaja mereka boleh menonton kerana Fikah memasang smart TV di biliknya dan bilik Fikah adalah bilik yang paling besar. Itu adalah rutin mereka lima sekawan apabila hujung minggu. Itulah cara mereka mengekalkan persahabatan mereka memandangkan hari bekerja, masing-masing jarang dapat berjumpa walaupun tinggal serumah.

 

Fikah membetulkan cadar yang kusut masai dek kerana mereka melompat dan  menari di atas katilnya. Bantal-bantal yang berteraburan di atas lantai dikutip dan disusun semula di atas katil. Fikah membaringkan diri di atas katil sambil melihat telefon bimbitnya. Dia masih belum mengantuk. Dia jarang tidur awal walaupun di hari bekerja. Matanya seperti tidak mahu tertutup selagi belum menjengah ke pukul 12 malam. Dia melihat jam di skrin telefon bimbitnya. Sudah pukul 3 pagi.

 

Sedang leka bermain game di telefon bimbitnya, tiba-tiba ada satu pesanan whatsApp masuk. Fikah melihat notification kecil yang muncul di bahagian atas skrin telefonnya. Hanya nombor yang keluar tiada nama penghantar, bermakna orang yang menghantar mesej tersebut bukanlah di kalangan rakan-rakannya.

 

“Eh nombor siapa pulak ni?” tanyanya kehairanan. Namun dia membuka juga pesanan yang diterima. Bimbang sekiranya ada kecemasan dari kenalan atau ahli keluarga yang memerlukan pertolongan di pagi buta begini.

 

‘Belum tidur lagi? Boleh tolong saya tak? Boleh tak awak? Ya, awaklah! Awak yang tengah baca mesej saya ni. Tolong saya ya. Saya tahu awak seorang yang baik hati. Saya selalu perhatikan awak. Awak suka tidur lewat kan? Saya suka kalau awak tidur lewat, sebab sekurang-kurangnya saya tidak keseorangan. Awak tolong saya ya, lepas awak tolong saya bolehlah kita main sama-sama. Boleh kan? Boleh kan awak?’

 

Fikah sedikit cemas apabila membaca pesanan yang dihantar. Dia memandang sekeliling. Ni prank ke apa? Selama ini dia diperhatikan? Siapa yang memerhatikan dia? Fikah melihat nombor pengirim, nombor itu sedikit pelik bukan seperti nombor biasa-biasa.

 

“Ish, siapa pulak yang main mesej-mesj pagi-pagi buta ni?” gumam Fikah. “Ni mesti dia orang ni nak kenakan aku ni,” teka Fikah menuduh rakan-rakan serumahnya. Hanya mereka sahaja yang tahu dia suka tidur lewat.

 

Fikah kembali melihat telefon di tangan. Butang read more ditekan untuk membaca pesanan seterusnya.

 

‘Awak tolong bukakan ikatan kat atas kepala saya ni. Saya dah rimas asyik kena ikat je. Kaki saya pun tak boleh berjalan dengan betul sebab dah kena ikat juga dihujungnya. Saya hanya boleh melompat-lompat sahaja. Awak tolong saya ya. Tolong bukakan ikatan kepala saya ni.’

Spontan Fikah mencampakkan telefon bimbit di tangan. Terasa meremang dan seram membaca pesanan yang dihantar. Dengan tangan terketar-ketar Fikah menarik selimut dan berselubung. Dalam hati dia memaki-maki sesiapa jua yang cuba mempermainkannya.

 

FIKAH terjaga apabila terdengar pintu biliknya diketuk. Dia melihat keluar jendela. Matahari sudah tegak di kepala. Fikah keluar dari bilik. Di ruang tamu dilihatnya teman-teman serumahnya sedang menjamu selera.

 

“Eh, beb. Lambat kau bangun. Dah dekat pukul 2 petang ni. Lepas kita orang keluar dari bilik, kau begadang lagi ke?” tanya Nina.

 

Mereka semua sudah sedia maklum akan tabiat Fikah yang memang suka tidur lewat. Begadang yang dimaksudkan adalah perkataan Indonesia yang membawa maksud berjaga sehingga larut malam atau awal pagi.

 

“Siapa yang prank aku malam tadi?” soal Fikah tanpa menjawab pertanyaan Nina. Dia bengang dimainkan sebegitu rupa. Bukan mereka tidak tahu dia seorang yang penakut.

 

Prank apa ni beb?” soal Siti pula. Dia berpandangan dengan Nina. Setelah keluar dari bilik Fikah, mereka semua terus masuk tidur.

 

Lagi dua orang rakan serumahnya hanya mendiamkan diri. Mereka berlima tinggal di rumah teres setingkat yang mempunyai 3 bilik. Fikah menyewa satu bilik bersendirian, bilik utama yang dilengkapi dengan bilik air, manakala empat orang lagi rakannya masing-masing berkongsi bilik.

 

“Ni, siapa yang bagi mesej ni kat aku?” soal Fikah. Dia memasukkan kata laluan membuka telefon bimbitnya dan terus menyerahkan telefon bimbitnya kepada Nina.

 

Nina mengambil dan melihat skrin. Dia memandang Fikah dengan wajah yang keliru. Kemudian menyerahkan telefon bimbit kepada Fikah semula.

 

Fikah menyambut dan melihat skrin telefon bimbitnya. Dia cuba mencari pesanan yang diterimanya pagi-pagi buta tadi.

 

“Eh, mana pula mesej semalam?” Fikah cuba mencari sekali lagi. Beberapa mesej yang sudah dibaca, dipadam namun mesej semalam tidak dijumpai. Fikah terduduk.

 

“Kau ni mamai lagi ni. Dahla, jom makan. Asni ada masak nasi lemak ni,” ajak Asni.

 

Fikah keliru. Adakah dia bermimpi? Kenapa ketakutan tu terasa seperti benar-benar berlaku.

 

“Hei, termenung lagi tu buat apa? Marilah makan.” Nina menepuk bahu Fikah.

 

Fikah tersenyum sambil mengangguk. Menutup kegundahan hati.

 

“FIKAH, aku dah siap ni. Kau nak sambung gosok baju ke?” tanya Nina.

 

“Ya, biarkan je dulu. Kejap lagi aku sambung. Tengah pilih baju,” sahut Fikah dari dalam bilik. Baju yang ingin dipakai untuk seminggu bekerja dimasukkan ke dalam bakul dan dibawa ke bilik kecil yang terletak bersebelahan bilik air kedua.

 

“Kau dah nak masuk tidur ke?” soal Fikah apabila dilihatnya Nina sudah mematikan suis televisyen dan menutup lampu ruang tamu.

 

“Yalah. Aku ngantuk sangat ni. Esok aku kena pergi pejabat awal. Boss aku dari Singapura turun sini.”

 

“Kawan-kawan lain pun semua dah masuk bilik?” tanya Fikah hairan. Selalunya mereka masih lagi bermalas-malasan di ruang tamu.

 

“Semua dah masuk bilik dah. Penat la tu. Lagipun dah nak dekat pukul 11 malam dah ni.” Nina ketawa perlahan.

 

Begitulah rutin hari minggu mereka. Bukan boleh berehat sangat. Ada yang membasuh kain, melipat kain, mengemas rumah, masak, menggosok kain dan sebagainya.

 

“Okay. Good night!” ucap Fikah.

 

Nina mengangguk sambil menguap. Kemudian dia masuk ke dalam bilik dan menutup pintu. Tinggallah Fikah sendirian di dalam bilik kecil itu. Fikah mula menggosok baju. Baju yang sudah digosok disangkutkan di penyangkut yang tersedia di dalam bilik kecil itu. Sambil menggosok dia menyanyi kecil.

 

Kemudian Fikah terdengar bunyi paip air terbuka dari bilik air sebelah.

 

“Siapa pulak yang pergi bilik air? Tak dengar pun bunyi orang buka pintu bilik pun?” gumam Fikah sendirian. Dia memanggil nama rakan-rakannya satu persatu namun tiada yang menyahut.

 

Bunyi air mengalir semakin jelas diselangi bunyi seperti orang menepuk-nepuk permukaan air.

 

Pap! Pap! Pap!

 

Fikah berhenti menggosok. Dia cuba memasang telinga. Bunyi air mengalir masih kedengaran. Fikah melangkah ke bilik air. Pintu bilik air tidak tertutup sepenuhnya. Perlahan-lahan dia menolak daun pintu tanpa membuka lampu. Dalam samar-samar Fikah ternampak bayangan tubuh yang berbalut kain berwarna putih terlompat-lompat di dalam baldi yang berisi air yang melimpah-limpah kerana paip yang terbuka. Fikah menggosok mata, cuba melihat dengan lebih jelas. Dia terundur ke belakang apabila makhluk yang melompat itu memandang ke arahnya. Wajahnya kelihatan gelap, hanya matanya sahaja yang merah menyala. Fikah menutup mata, cuba menjerit namun suara tidak terkeluar.   

 

Kemudian keadaan menjadi sunyi seperti sedia kala. Perlahan-lahan Fikah membuka lampu bilik air dan daun pintu dikuak seluasnya. Tiada apa yang berlaku di dalam bilik air. Tiada paip yang terpasang dan baldi yang terdapat di situ dalam keadaan telangkup. Fikah mengurut dada.

 

Fikah mematikan lampu bilik air dan kembali ke bilik kecil untuk sambung menggosok baju. Dia menyangkut baju yang sudah siap digosok dan mengira baju dan tudung yang tergantung. Ada lima pasang kesemuanya, cukup untuk seminggu.

 

Fikah melihat ke dalam bakul. Eh, ada lagi pakaian yang masih belum digosok?

 

“Rasanya aku ambik cukup-cukup je baju aku tadi. Ni baju mana pulak ni?” Fikah mengambil baju yang berwarna putih itu dari dalam bakul.

 

“Eh, baju ni masih basah lagi,” kata Fikah. Dia memerah baju itu dan airnya yang sedikit berpasir jatuh ke dalam bakul. Fikah mengangkat tinggi baju tersebut untuk melihat dengan lebih jelas.

 

“Eh, kain apa ni? Tak berjahit pun?” Fikah hairan. Dia membelek kain tersebut, di bahagian atas dan bawahnya terikat seperti bunjut. Fikah terkejut dan mencampakkan kain tersebut. Bulu romanya berdiri tiba-tiba. Ketakutan mula menghantui.

 

Kemudian telefon bimbitnya berbunyi. Lekas Fikah melihat pesanan yang masuk tanpa melihat siapa pengirimnya terlebih dahulu.

 

Saya dah basuh kain kafan saya tu. Tolong gosokkan. Bukakan sekali ikatan atas kepala dan bawah kaki tu.

 

“Argghhhh!” Fikah menjerit. Nyaring! Telefon bimbit terlepas dari tangan.

 

Jeritannya membangunkan seisi rumah. Mereka semua menerpa ke arah Fikah yang ketakutan.

 

“Kenapa Fikah?” soal Nina. Dia memeluk Fikah. Tubuh kawannya itu mengigil.

 

Fikah menunjukkan telefon bimbit dan kain kafan yang basah di atas lantai.

 

Nina mengambil telefon bimbit Fikah. Kemudian dia memandang lantai yang ditunjukkan oleh Fikah. Tiada apa pun di situ. Nina mengisyaratkan supaya Asni membawa Fikah ke ruang tamu sementara dia mengemas bilik kecil itu dan membawa baju-baju Fikah ke dalam biliknya.

 

Kemudian Nina menyertai rakan-rakan serumahnya di luar. Mereka sedang memujuk Fikah yang menangis.

“Apa yang berlaku Fikah?” tanya Nina, simpati melihat Fikah berkeadaan begitu. Tubuhnya kelihatan menggigil. Dia menyerahkan telefon bimbit Fikah.

 

Fikah menyambut telefon bimbitnya dengan tangan yang terketar-ketar. Dia cuba mencari mesej yang baru diterimanya tadi untuk ditunjukkan kepada rakan-rakannya. Namun mesej itu tidak ada. Hilang begitu sahaja seperti mesej yang diterima awal pagi semalam.

 

“Aku rasa rumah ni ada yang tak kenalah. Semalam aku dah kena ganggu. Hari ni dia ganggu aku lagi.”

 

“Apa yang kau nampak?” tanya Asni. Dia duduk merapati Siti. Seram pula apabila Fikah berkata begitu.

 

“Aku tak tahu. Aku tak nampak dengan jelas, cuma..” Fikah sukar mahu menceritakan apa yang dialaminya. Sudah tentu rakan-rakannya tidak mahu mempercayainya.

 

“Perasaan kau sahaja tu, Fikah. Aku rasa lebih baik kau pergi berehat aje. Esok nak kerja. Jom aku teman kau masuk bilik,” ajak Nina.

 

Tanpa berkata sepatah kata, Fikah menurut. Kepalanya terasa pening. Dia menurut sahaja apabila Nina membaringkannya di atas katil dan menutup lampu. Kemudian Nina keluar membiarkan Fikah sendirian.

 

Fikah cuba menutup  mata. Tidak mahu memikirkan apa yang dialaminya tadi. Dia mengiring ke sebelah kiri, sebelah kakinya memeluk bantal peluk. Tiba-tiba hidung Fikah menghidu bau yang busuk. Bau hanyir disulami bau tanah yang basah. Fikah membuka mata. Dia tergamam apabila melihat ada mata yang merah menyala sedang merenung tajam ke arahnya. Wajah lembaga itu hitam seperti terbakar.  

 

‘Belum tidur lagi? Tolong saya ya. Tolong bukakan ikatan kepala saya ni.”

 

Rupanya dia telah memeluk lembaga itu yang disangkanya bantal peluk. Fikah terus pengsan!

 

FIKAH pulang awal dari tempat kerja hari ini. Badannya benar-benar tidak sihat. Sesudah membersihkan diri, Fikah baring di atas katil. Setelah menelan ubat yang dibekalkan oleh doktor tadi, Fikah terlena.

 

Tidur Fikah terganggu apabila dia terasa wajahnya seperti dihembus-hembus. Kemudian dia terdengar suara orang ketawa dan katilnya bergoyang-goyang.

 

Fikah membuka mata. Dia melihat sesusuk tubuh yang berbalut kain berwarna putih sedang melompat-lompat di atas katilnya, sesekali melangkahi badannya. Fikah terasa ingin menjerit namun suaranya tidak keluar. Biliknya gelap, Fikah tidak nampak wajah orang yang melompat-lompat itu namun dia tahu itu bukanlah manusia. Sudah maghrib atau sudah larut malam sekarang ni?

Makhluk itu terus-terusan melompat di atas katil membuatkan tubuh Fikah terlambung-lambung. Suara ketawa kedengaran semakin jelas. Semakin lama semakin kuat. Fikah meraba-raba meja sisi dan mencari suis lampu. Setelah jumpa, suis dipetik dan ruang  biliknya menjadi terang.

 

Makhluk yang melompat-lompat tadi terus hilang entah ke mana. Fikah mengucap panjang. Dia berlari keluar dari bilik. Suasana di luar bilik juga gelap. Dia mengetuk pintu bilik rakan-rakannya dan memanggil-manggil nama rakan-rakannya namun tiada seorang pun yang menjawab. Seperti hanya dia sahaja di dalam rumah ketika ini. Fikah sudah menangis ketakutan.

 

Fikah mahu masuk semula ke dalam bilik namun tubuhnya terlanggar seseorang.

 

‘Awak, tolong bukakan ikatan kepala saya ni. Tolong.’

 

“Arghhh…!” Fikah menjerit apabila melihat makhluk bernama pocong itu berdiri di hadapannya.

 

“Jangan kacau aku! Jangan kacau aku!” jerit Fikah. Dia terduduk. Menangis ketakutan.

 

‘Tolong bukakan ikatan kepala saya ni. Awak je yang boleh tolong saya.’

 

“Kau pocong! Kau hantu! Kau syaitan! Kau jangan kacau aku!” Fikah menjerit lagi.

 

‘Awak yang kacau saya dulu. Awak yang buka jalan untuk saya dekat dengan awak. Awak dan kawan-kawan awak suka main lompat-lompat atas katil awak. Awak nak jadi macam saya kan? Buka ikatan saya dan kita boleh main lompat-lompat bersama-sama.’

 

“Tolonglah…tolong jangan kacau aku.” Fikah terketar-ketar cuba mencari jalan keluar. Merangkak-rangkak dia bergerak mencari pintu utama.

 

Pocong itu mengikut Fikah dengan terlompat-lompat.

 

‘Tolong bukakan ikatan kepala saya ni. Tolong bukakan ikatan kepala saya ni. Tolong bukakan ikatan kepala saya ni.’

 

Kata-kata itu bergema berulang kali, setiap kali pocong itu melompat. Fikah cuba membaca apa sahaja ayat yang dihafalnya. Ketakutan yang melampau membuatkan Fikah hampir terkencing.

 

“Kenapa kau kacau aku? Aku tak buat apa-apapun. Tolonglah…” terketar-ketar Fikah bertanya.

 

‘Buka ikatan saya dan kita boleh main lompat-lompat bersama-sama.’

 

Pocong itu berhenti di hadapan Fikah, menghalang pergerakan Fikah. Dia menundukkan tubuhnya seperti sedang rukuk. Mukanya dihalakan ke arah Fikah. Mata merahnya memandang Fikah.

 

‘Tolong bukakan ikatan kepala saya ni.’

 

Fikah menjerit-jerit ketakutan seperti histeria.

 

“Astahgfirullahalazdhim. Kenapa kau ni Fikah?”

 

Serentak itu suasana rumah menjadi terang benderang. Nina dan Asni yang baru pulang dari tempat kerja berlari mendapatkan Fikah. Fikah meronta-ronta apabila dipegang oleh Nina. Kemudian pandangannya menjadi gelap.

 

FIKAH membuka mata. Dia memerhatikan sekeliling. Dia berada di dalam biliknya. Empat orang rakan serumahnya duduk mengelilinginya.

 

“Kau kenapa Fikah?” Nina bertanya.

 

“Aku..aku kena kacau. Ada pocong!” adu Fikah

 

Rakan-rakannya berpandangan sesama sendiri.

 

“Kau orang tak percaya dengan aku kan? Betul pocong tu kacau aku! Ingat tak mesej yang aku ceritakan hari tu? Yang aku tanya siapa yang cuba prank aku tu?” Fikah memandang rakan-rakannya.

 

“Sudah dua kali aku terima terima mesej minta aku tolong bukakan ikatan kepala dia. Mulanya aku rasa macam aku dipermainkan. Kemudian aku terima lagi mesej meminta perkara yang sama sewaktu aku tengah gosok baju semalam. Dan hari ini pocong tu benar-benar muncul depan aku. Dia bersungguh-sungguh suruh aku bukakan ikatan kain dia.” Fikah sudah menangis.

 

Rakan-rakannya sudah tidak tahu mahu berbuat apa. Kenapa hanya Fikah yang diganggu? Sepanjang mereka di sini tidak pernah pula salah seorang dari mereka diganggu.

 

Fikah sudah gelisah. Dia menundukkan kepala. Di tengah-tengah di antara rakan-rakannya dihujung katil, berdiri pocong yang selalu mengganggunya. Mahkhluk itu memandangnya dengan mata yang merah. Fikah menggeletar. Dia berharap sangat rakan-rakannya yang lain juga nampak kewujudan pocong tersebut. Fikah mengangkat tangan dan menunjuk ke arah pocong itu. Rakan-rakannya melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Fikah  namun mereka tidak nampak apa yang cuba ditunjukkan oleh Fikah.

 

“Aku rasa baik kita telefon mama Fikah. Kita beritahu apa yang berlaku pada Fikah,” cadang Asni.

 

“Elok juga cadangan kau tu,” sahut Siti. “Kalau boleh minta dipagarkan sekali rumah ni. Aku dah rasa semacam pulak.” Siti mengusap lengan yang terasa meremang tiba-tiba. Sebenarnya dia percayakan Fikah. Dia tahu makhluk halus itu wujud namun dia sendiri belum pernah melihatnya dan berharap sangat semoga dia tidak akan melihatnya sampai bila-bila.

 

“Baiklah, nanti aku bagitahu mama dia.” Nina setuju untuk mengkhabarkan keadaan Fikah kepada mamanya. Semoga keluarga Fikah akan mengikhtiarkan sesuatu.

 

“Fikah, kami masuk tidur dulu ya. Awak berehat tau.” Nina mengusap tangan Fikah.

 

Laju Fikah  menggeleng. Pergelangan tangan Nina dipegangnya kejap.

 

“Tolong jangan tinggalkan aku seorang. Aku takut. Nina kau temankan aku kat sini, please! Tidur dengan aku malam ni,” rayu Fikah. Dia tidak sanggup dibiarkan sendirian. Pocong itu sudah mula berani menampakkan dirinya walaupun suasana terang.

 

“Fikah, jangan macam ni. Kesian Asni pulak tidur sorang-sorang,” tolak Nina.

 

“Nina, dia datang Nina. Dia ada kat sini. Dia tengah tengok aku. Aku takut. Please Nina.”

 

Spontan rakan-rakannya menjerit kecil. Mata mereka memandang sekeliling.

 

“Kami tak nampak apa-apapun Fikah. Kau penat ni. Kau rehat ya. Esok aku minta mama kau datang tengok kau kat sini,” pujuk Nina.

 

Nina, please…” Fikah menangis.

 

“Tak apalah Nina. Kau temankan Fikah tidur sini malam ni,” ujar Asni. Kasihan pula melihat Fikah begitu.

 

“Habis tu kau macamana?” soal Nina.

 

Asni mengangkat bahu. Dia sebenarnya takut juga tidur bersendirian apatah lagi melihat kejadian yang menimpa Fikah.

 

“Apa kata kau dan aku tidur sini temankan Fikah. Boleh kan Fikah?” tanya Nina sambil memandang Fikah.

 

Fika mengangguk laju.

 

Asni menarik nafas lega.

 

“Er.. kalau macam tu kami berdua pun nak tidur sini jugaklah.” Pantas Siti mengusul. Dia memandang Zira rakan sebiliknya. Zira mengikut sahaja.

 

“Ha, kalau semua dah setuju, kita semua tidur sini ajelah malam ni. Kita bentang toto kat bawah ni,” cadang Nina.

 

Mereka semua bersetuju dan berlari ke bilik masing-masing mengambil toto, bantal dan selimut. Fikah memandang ke arah tempat pocong tadi berdiri. Dia menarik nafas lega kerana pocong tadi sudah tiada di situ.

 

Malam itu Fikah tidak dapat melelapkan mata. Gelisah sahaja dia sepanjang malam. Puas dicuba untuk melelapkan mata namun lena masih belum mahu bertandang. Rakan-rakannya sudah lama dibuai mimpi. Dengan kehadiran rakan-rakannya di sini sekurang-kurangnya hilang sedikit ketakutan Fikah. Fikah memejamkan mata.

 

Belum tidur lagi?’

 

Fikah tergamam mendengar suara garau itu. Dia merasakan ada pergerakan di sebelahnya.

 

Belum tidur lagi? Boleh tolong saya?

 

Fikah membuka mulut mahu menjerit, namun suaranya tidak keluar. Mata masih dipejam rapat. Dia tidak berani membuka matanya.

 

Kemudian badan Fikah terlambung-lambung. Dia tahu pocong tersebut mempermain-mainkannya, melompat-lompat di atas tilamnya.

 

Fikah membuka sedikit matanya, cukup untuk dia mengintai. Dia melihat pocong tersebut melompat-lompat. Badannya berpusing-pusing tatkala melompat namun mukanya tidak bergerak dari memandang ke arah Fikah.

 

“Erkk…erkk…” Fikah cuba untuk menjerit. Peluh sudah bercucuran walaupun biliknya dipasang penghawa dingin.

 

Fikah cuba memusingkan tubuhnya sewaktu terlambung-lambung. Dia mahu menjatuhkan dirinya ke lantai. Sekiranya dia jatuh pasti akan mendarat di tubuh Nina yang tidur di bawah. Nina pasti akan terbangun.

 

Dengan sekuat tenaga Fikah memusingkan badan.

 

“Bukkkk!”

 

Tubuh Fikah jatuh di atas tubuh Nina. Bibirnya mendarat di pipi Nina.

 

Nina terkejut lantas terbangun. Tubuh Fikah ditolak perlahan ke sisi. Terasa sakit tubuhnya dihimpit Fikah.

 

“Aduh, macamana kau boleh jatuh ni Fikah? Sakitlah!” jerit Nina.Asni yang berada di sisi Nina turut terbangun. Dia terpinga-pinga apabila melihat Fikah yang terpaku di sebelah Nina. Dia memandang ke arah katil dan matanya terbuntang luas.

 

Siti dan Zira juga terjaga apabila mendengar suara Nina menjerit tadi. Mereka juga tergamam apabila melihat ke arah katil.

 

Zira dan Siti perlahan-lahan merangkak menuju ke arah rakan-rakannya yang lain. Siti sudah menggeletar tubuh badannya. Lengan Zira dipaut kejap.

 

Asni mencuit Nina dan dengan isyarat mata dia menyuruh Nina melihat ke arah katil.

 

Nina memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Asni dan dia terduduk ketakutan.

 

Di atas katil, kelihatan mereka berlima sahabat sedang bergelak ketawa. Mereka menyanyi sambil terlompat-terlompat di atas katil. Yang lebih menyeramkan di antara mereka seekor pocong juga turut serta terlompat-lompat bersama mereka.

 

Mereka berlima berpelukan sesama sendiri. Siti dan Asni sudah menangis ketakutan. Kini mereka faham apa yang dialami oleh Fikah.

 

Tiba-tiba pocong tersebut berhenti melompat. Kemudian pocong tersebut memandang ke arah mereka berlima.

 

‘Belum tidur lagi? Jom main lompat-lompat’