Tajuk : Ku Nanti Kepulanganmu
Penulis : Aryanie Ismail
Tarikh Disiarkan : Simpanan peribadi
“Kau okay tak?” tanya Saiful.
Nadia mengangguk. Termengah-mengah dia mengambil nafas. Dalam hatinya menyumpah-nyumpah. Di jelingnya Farhan yang tersengih-sengih. Kalau diikutkan hatinya mahu dia menumbuk si Farhan tu. Kurang ajar!
“Awak ni bila marah cantiklah Nadia” usik Farhan.
Nadia menjelirkan lidahnya. Tak senonoh!
“Ei, awak ni buat saya geram aje” Farhan tidak serik mengusik Nadia. Saiful di sebelah yang merenungnya tidak dihiraukan. Peduli apa dengan budak lembut tu. Seronok benar dia dapat mengusik Nadia.
“Boleh tak kau jangan ganggu aku. Aku benci tengok muka kau. Kalau aku dan Saiful kena gigit anjing tadi, nahas kau aku kerjakan.” marah Nadia. Geram benar dia melihat gelagat Farhan yang sering mengganggunya.
“Jangan benci-benci, nanti awak suka. Kalau awak suka, saya lagi suka.”
Sekali lagi Farhan dijelingnya. Ini bukan pertama kali malah seringkali dia dan Saiful melalui lorong itu, pasti mereka dikejar anjing. Kalau tidak kerana Farhan yang suka mengagah anjing tersebut sudah tentu mereka tidak perlu berjoging di waktu tengahari begini. Selalunya Farhan yang kebetulan melalui lorong yang sama akan lari terlebih dahulu, meninggalkan dia dan Saiful terkial-kial di belakang cuba menyelamatkan diri.
“Sudahlah Saiful. Jangan dilayan orang gila ni. Jom kita masuk kelas.” Nadia mengajak Saiful masuk ke dalam kelas. Malas mahu bertelagah dengan Farhan.
“Alah Nadia. Dengan mamat lembut ni kau berkawan. Cubalah kau cari kawan lelaki yang gagah macam aku ni.” perli Farhan. Dia ketawa sambil diikuti oleh rakan-rakannya yang lain.
Nadia mencebik Farhan. Lengan Saiful dipautnya. Dia memandang wajah Saiful. Mengerti perasaan Saiful.
“Jangan ambil hati dengan mereka Saiful” pujuk Nadia.
“Saya dah biasa begini Nadia. Mulut orang nak bercakap tiada siapa boleh menghalangnya.” sayu suara Saiful. Dia memandang Nadia, tersenyum menyembunyikan kedukaannya. Mereka berpisah di hujung koridor memandangkan kelas mereka berlainan. Saiful tua setahun dari Nadia. Walaupun secara zahirnya Saiful kelihatan lembut, namun Nadia yakin di sebalik kelembutannya tersembunyi naluri kelakian Saiful. Sejak dari kecil mereka berkawan, Entah kenapa Nadia berasa selamat apabila berjalan dengan Saiful. Lagipun Saiful merupakan jiran sebelah rumahnya. Emak dan ayah juga percayakan Saiful. Ke mana dia pergi, pasti Saiful ada bersama.
NADIA tersenyum sendiri. Setiap hari dia pasti akan melalui lorong tersebut. Kenangan bersama Saiful 12 tahun yang lalu sering membuatkannya ketawa sendiri. Entah di mana Saiful agaknya ketika ini. Selepas tamat PMR Saiful telah pergi ke Perak. Dia mendapat peluang belajar di Sekolah Menengah Teknik di sana. Mereka cuma berhubung melalui surat sahaja. Saiful juga tidak pulang ke rumah bila cuti menjelang. Selepas tamat SPM, Saiful meneruskan pelajaran di peringkat lebih tinggi dan Nadia sendiri melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Malangnya hubungan mereka semakin hari semakin jauh dan seterusnya terputus begitu sahaja. Entah Saiful masih ingat lagi atau tidak akan dirinya. Bagaimana rupa Saiful sekarang? Masih terkenang di ingatannya Saiful berjumpa dengannya sebelum pergi ke Perak.
“Nadia…”
Nadia terpaku mendengar suara Saiful yang berbisik memanggil namanya. Di pandangnya wajah nakal Saiful yang menunduk dan hanya sesekali memandangnya. Saiful boleh diketegorikan sebagai lelaki kacak namun sayang sekali dia berperwatakan lembut. Kadang kala kasihan juga Nadia apabila melihat Saiful diejek oleh rakan-rakannya. Nadialah orang pertama yang akan dicari oleh Saiful untuk menceritakan masalahnya. Nadia sabar menanti butir bicara Saiful selanjutnya.
“Kalau aku tak ada nanti, kau akan rindukan aku tak?”
“Mestilah aku akan rindukan kau. Kaulah kawan baik aku Saiful. Kawan ketawa dan kawan menangis. Kalau kau tak ada nanti, siapa yang nak temankan aku lagi? Siapa yang nak selamatkan aku dari dibuli oleh Farhan?” sebak Nadia mengenangkan Saiful yang akan pergi jauh darinya.
“Aku takut kalau aku tak dapat melindungi kau Nadia. Tapi sebaik mungkin aku akan jaga engkau. Yang pasti, aku akan sentiasa rindukan kau” kata Saiful.
Suasana sepi antara mereka. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
“Bila kau sampai sana nanti, tulislah surat kepada aku ya. Kau jangan lupakan aku” pesan Nadia.
“Aku tidak akan lupakan kau. Nadia, boleh tak kalau kau tunggu sampai aku balik?”
Nadia tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Saiful. Nada suara Saiful juga agak berlainan, namun dia hanya mengangguk sahaja.
“Kalau aku dikejar anjing nanti, siapa yang nak lari bersama-sama dengan aku?” Nadia berseloroh.
“Saya akan pastikan yang Farhan tidak akan mengganggu awak lagi” kata Saiful serius.
Nadia tidak tahu apa yang telah diperkatakan oleh Saiful kepada Farhan kerana selepas itu memang Farhan tidak lagi mengganggunya.
Nadia tersentak, lamunannya hilang entah kemana apabila bunyi bingit hon kereta dari arah belakang. Bingit dan bertalu-tali. Hish, tidak reti bersabarkan orang belakang ni? sempat Nadia merungut. Dengan cepat dia melajukan kenderaannya. Diusap-usap dadanya. Nasib baiklah aku tak ada sakit jantung.
Setelah memarkir keretanya di halaman rumah, Nadia berlari-lari naik ke atas rumah. Waktu Maghrib sudah hampir ke penghujungnya, takut kalau dia tidak sempat mengerjakan kewajipan terhadapNya. Pesanan Saiful supaya dia menjaga solat sentiasa kemas dalam ingatannya. Hari ini sekali lagi dia terpaksa pulang lewat, banyak kerja yang harus disiapkan. Fikirnya tadi mahu mengerjakan solat di surau pejabat, tapi memandangkan dia hanya bersendirian di pejabat, dibatalkan sahaja niatnya.
“Ya ALLAH, budak ni!” tegur Puan Fauziah yang hampir dilanggar oleh Nadia. Menggeleng kepala melihat gelagat anak tunggalnya itu.
Selesai solat, Nadia membantu emaknya menghidang lauk pauk untuk hidangan makan malam.
“Assalamualaikum…”
Salam yang dihulurkan dijawab dengan ikhlas. Nadia pantas membuka pintu dan melihat seorang lelaki tersenyum memandangnya.
Nadia termangu. Direnungnya wajah lelaki di hadapannya “Er.., cari siapa?” tanyanya. Wajah lelaki di hadapannya ini mirip benar dengan wajah Saiful, cuma penampilannya jauh berbeza. Nadia ingin bertanya, namun dibatalkan hasratnya, bimbang tersilap orang.
“Emak ada?” tanya lelaki itu sambil tersenyum manis.
“Ada. Er, sebentar ya. Mak!”panggil Nadia.
“Eh..,bila balik?” tanya Puan Fatimah yang baru keluar dari dapur.
“Tengahari tadi sampai makcik.. Ni ha, ada lauk mak suruh hantar.”
“Marilah naik. Jemputlah makan sekali.” Pelawa Makcik Timah.
“Tak apalah Makcik. Lain kali saja.” Saiful berlalu, namun sempat mengenyitkan mata pada Nadia.
Nadia memerhatikan wajah lelaki bertubuh sasa itu dengan penuh tanda tanya.
“Siapa tu mak?” soal Nadia kepada emaknya.
“Lah, kan itu Saiful. Jiran kita dulu. Kawan baik kamu.” Ujar Makcik Timah seraya berlalu ke dapur.
Nadia termangu di situ. Saiful? Berubah benar dia. Tidak lembut seperti dahulu. Tapi kenapa Saiful langsung tidak mahu menegurnya? Sudah lupakah Saiful dengannya? Mustahil.
“SAIFUL? Betul ke Saiful ni?” tanya Nadia meminta kepastian.
“Kenapa? Tak percaya ke?” usik Saiful lagi.
“Apa bukti kalau awak ni Saiful?” duga Nadia.
Saiful mengeluarkan saputangan berwarna kehijauan dari poket seluarnya dan menghulurkan kepada Nadia.
Nadia menyambut sambil membelek-belek saputangan tersebut. Dia mencari-cari sesuatu. Kemudian dia memandang Saiful.
“Awak dah berubah. Jauh berubah.” perlahan suara Nadia. Saputangan yang terukir namanya dan nama Saiful itu digenggam erat. Itu adalah hadiah daripadanya sewaktu Saiful mahu berangkat ke Perak. Dia tidak menyangka Saiful masih menyimpannya.
“Awak suka dengan perubahan saya ni?” tanya Saiful.
“Perubahan awak ni bagus untuk masa depan awak Saiful. Saya tumpang gembira.”
“Awak yang membuatkan saya berubah.”
“Saya?” Nadia kehairanan.
Saiful mengangguk. “Saya sayangkan awak dari dulu lagi Nadia. Tapi saya tak berani nak luahkan isi hati sebab saya tahu awak pasti tidak akan menerima lelaki macam saya. Maksud saya…lelaki yang tidak pasti kelelakiannya. Saya pergi jauh mencari kekuatan diri dan alhamdulillah, saya berjaya menjadi seorang lelaki sejati pada fizikalnya.”
“Tapi, kenapa baru sekarang awak balik Saiful? Setelah 12 tahun..”
“Kenapa? Awak dah ada kekasih ke?” Saiful merenung wajah Nadia dalam kesamaran malam. Angin yang bertiup terasa membahang.
Nadia ketawa “Kalau iya, bagaimana?”
Saiful menarik nafas dalam-dalam. Dia berdiri dan berpeluk tubuh. Tubuhnya sasa, kelihatan otot-otot lengannya yang tegap di sebalik T-shirt lengan panjang yang dipakainya.
“Saya tidak boleh memaksa awak untuk menunggu saya, Nadia. Saya faham dan saya turut bahagia sekiranya awak gembira. Nampaknya saya bertepuk sebelah tangan. Sebelum pulang ke sini, saya sudah bersedia menghadapi apa-apa sahaja kemungkinan. Seandainya awak tidak terima saya, saya redha. Mungkin jodoh saya bukan dengan awak”
Saiful berpaling menatap Nadia. “Siapa lelaki yang bertuah itu Nadia? Awak tidak mahu memperkenalkan dia dengan saya?”
“Kasih awak terlalu murni buat saya Saiful. Bila saya dah yakin, dan bila tiba masanya nanti, saya akan kenalkan dengan awak, Saiful. Dia lelaki yang baik,. Saya pasti awak akan suka dengan pilihan saya. Dan yang lebih penting, awak kenal dengan dia” Nadia tersenyum, berlari meninggalkan Saiful yang termangu.
Dua bulan telah berlalu….
Nadia menjengok ke luar jendela. Keadaan di luar sana agak riuh dan meriah.
“Aku takutlah” kata Nadia memandang Hanim yang sedang menggeledah kotak make-upnya.
“Rilekslah. Duduk sini cepat, aku nak jampi sikit supaya make-up aku menjadi hari ni.” arah Hanim.
“Alah kau ni. Bukannya nak kahwin pun. Lagipun aku kan dah cantik, kau tak payah risau.” Usik Nadia.
“Sayang oi! sebab cantiklah aku risau. Takut nanti aku solekkan engkau dah jadi tak cantik.”
Nadia ketawa. Dia duduk dan menghadap cermin solek. Dengan perlahan Hanim menyentuh wajahnya.
“Ha,dah siap! Cantik juga kerja tangan aku. Dah tak macam Nadia lagi, tapi macam Siti Nurhaliza.” puji Hanim.
“Ah, engkau angkat bakul sendiri. Tapi yalah. Aku ni memang cantik rupanya.” Nadia memuji diri sendiri.
Hanim ketawa. “Manalah Saiful tak tertarik”
Nadia turut ketawa. Sewaktu dia memperkenalkan wajah kekasihnya kepada Saiful sebulan yang lalu, dapat dilihatnya riak wajah Saiful penuh kegembiraan. Kasih yang dihulur bersambut jua akhirnya. Bukan kerana Saiful segak dan kacak, tapi kerana Saiful yang memahami dirinya, yang akan melindunginya bila dia memerlukan. Suara orang memberi salam menambahkan getaran di dada Nadia.
“Dah sampailah Nadia rombongan pihak lelaki” kata-kata Hanim disambut dengan senyuman. Dia sabar menanti perbincangan antara keluarganya dan keluarga Saiful. Sesekali kedengaran ketawa mereka yang berada di luar beradu. Debaran di dada Nadia semakin bertambah apabila tiba-tiba pintu biliknya terkuak dan ibu Saiful datang menyarungkan cincin pertunangan di jari manisnya.
No comments:
Post a Comment