Wednesday, January 27, 2021

Novel - Adelia (Pengenalan)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera



Tajuk : Adelia
Penulis: Aryanie Ismail
Penerbit : DearNovels


PENGENALAN

Malam masih belum larut benar tetapi rumah agam di atas bukit itu benar-benar telah sunyi. Suasana sekitar suram, sunyi dan muram. Angin yang bertiup kencang menggoncang pepohonan berhampiran, menggeserkan dedauan dan menghasilkan bunyi seperti siulan.

Lampu-lampu jalan sudah banyak yang tidak berfungsi. Tiada siapa yang peduli. Tiada siapa yang mengambil tahu. Rumah-rumah yang berhampiran juga hanya terletak beberapa kilometer di antara satu sama lain dan rumah agam ini terletak di bahagian paling hujung.

          Seekor kucing parsi berwarna putih sedang asyik menjilat bulunya tanpa mempedulikan petir yang sabung menyabung di luar. Tiba-tiba kucing itu berhenti dari menjilat tubuhnya. Ia berdiri dan memasang telinga. Ekornya tegak dan bergoyang-goyang.

          Bunyi derapan tapak yang lembut menginjak lantai semakin mendekati. Kucing itu berlari mendapatkan kelibat yang semakin menghampiri. Tubuhnya digesel di kaki kelibat itu. Terdengar suara ketawa manja. Kucing itu menggolek-golekkan tubuhnya apabila bulunya diusap lembut oleh jejari halus nan runcing.

          Kelibat itu mengambil kucing berbulu lebat itu dan mendukungnya. Dia melabuhkan punggung di kerusi malas yang diperbuat daripada rotan. Bunyi berkeriut sesekali kedengaran apabila kerusi itu berayun.

Kucing parsi itu diam di dalam pelukan tuannya. Seakan mengerti yang tuannya ingin berteman di malam yang sepi ini. Kelibat itu menghalakan pandangan matanya ke arah tingkap yang tertutup rapat. Titisan hujan mula menjalar di dinding tingkap kaca itu, menambahkan kesyahduan malam.

          Seketika, dia bangun dan berdiri menghampiri tingkap. Si kucing parsi masih di dalam dukungan. Mata bening itu memandang keluar jendela yang gelap gelita. Sudah lama dia hidup begini. Sudah lama dia hidup dalam kesunyian.

Siang dan malam tiada beza baginya. Sama sahaja. Tetap sunyi dan sepi. Adakah akan tiba hari di mana dia akan bebas dari belenggu ini? Akan terungkaikah segala yang menjadi pertanyaan selama ini?  Atau, dia terpaksa hidup begini selama-lamanya? Menunggu dan terus menunggu sehingga kiamat. Dirinya sudah tidak lagi wujud di dunia nyata. Dia sendiri juga tidak tahu dunia apa yang dihuninya ketika ini.

          Dia mengeluh perlahan. Dengan langkah longlai dia membalikkan tubuh dan berjalan menjauhi tingkap. Gaun sutera berwarna putih yang dipakainya beralun lembut mengikut lenggok tubuhnya. Indah.

          Apa yang mampu dilakukannya kala ini hanya menanti dan terus menanti. Sampai bila, dia sendiri pun tidak pasti. Hidupnya sunyi tiada teman. Hanya kucing putih itu sahajalah yang menemaninya di sini.  

Bukan tidak pernah dia berjalan keluar dari rumah ini. Bersendirian. Dia tahu dan cukup faham jika dia keluar ke mana sahaja pun, dia masih tetap sendirian. Tiada siapa yang ingin berbicara dengannya. Tiada sesiapa yang nampak akan dirinya. Tetapi dia seronok. Dia boleh menghiburkan hati melihat gelagat orang yang dijumpainya.

Dan yang lebih penting, dia juga tidak perlu takut akan ancaman yang mungkin dihadapinya kerana berjalan bersendirian. Ancaman manusia yang tiada belas kasihan. Tetapi dia sudah bosan! Bosan tiada teman.

Setiap kali ada yang melewati kawasan rumah ini, pastinya akan berlari ketakutan. Entah kenapa.

          Dia mengeluh berat. Pintu gelongsor yang memisahkan balkoni dan ruang tamu di tingkat atas rumah agam itu ditolak perlahan. Angin menyerbu masuk dan mengibaskan rambutnya yang hitam lebat dan panjang itu, membawa haruman kasturi ke segenap ruang. Di situ dia tegak berdiri.

Tempias dari rintik-rintik hujan tidak langsung mengganggu dirinya. Kucing parsi yang di dalam dukungan mula meronta minta dilepaskan. Pegangan dilonggarkan dan kucing tersebut melompat turun dan berlari ke bawah kerusi di ruang tamu. Dia ketawa perlahan. 



No comments: