Thursday, January 28, 2021

Novel - Adelia (Bab 6)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Tajuk : Adelia
Penulis : Aryanie Ismail
Penerbit: DearNovels

BAB 6

ADELIA berbuai di halaman. Perutnya sudah kenyang setelah selesai menjamu selera. Sekejap-kejap matanya memandang ke belakang, sekejap-sekejap dia melihat jam di tangan.

“Mana pulak Pak Mat ni? Nak kata dah balik, motosikal dia ada lagi. Lagipun Pak Mat tak pernah balik tanpa beritahu.” Adelia bersuara sendirian.

Dia melihat rumput-rumput di halaman.

“Pak Mat dah siap mesin rumput ke? Cepat betul! Tapi, kenapa rumput ni kelihatan sama sahaja macam tadi?”

Adelia rasa tidak sedap hati. Ke mana Pak Mat pergi?

Adelia cuba mengingati. Sebelum dia masuk ke dalam rumah tadi, Pak Mat kata hendak ke stor belakang.

Pantas Adelia melangkah ke belakang. Dia melihat pintu bilik stor tertutup rapat. Adelia membuka pintu bilik dan cuba memanggil nama Pak Mat.

Uhuk! Uhuk! Uhuk!

Tertunduk-tunduk Adelia menahan batuk sambil tangannya mengibas asap hitam yang menyerbu keluar dari dalam sebaik sahaja pintu stor dibuka.

Adelia menolak pintu bilik stor agar terbuka luas. Dia melihat asap berwarna hitam pekat berkepul-kepul keluar dari dalam bilik. Beberapa saat kemudian, keadaan kembali seperti biasa.

Bilik yang tadinya gelap-gelita kini sudah kembali terang-benderang.

Adelia berlari masuk ke dalam bilik, mencari Pak Mat.

“Pak Mat!” jeritnya apabila melihat Pak Mat terbaring di atas lantai.

“Pak Mat!”

Sekali lagi dia memanggil nama Pak Mat sambil tubuh Pak Mat digoncang kuat.

Adelia jadi tidak tentu arah. Apa yang terjadi kepada Pak Mat? Ya Allah, janganlah Kau ambik Pak Mat daripadaku, doa Adelia dalam hati.

Adelia panik. Apa yang harus dilakukannya?

Akhirnya Adelia mengambil keputusan untuk menarik Pak Mat keluar dari bilik untuk memberikan pengaliran udara. Tubuh Pak Mat terpaksa diseret sahaja kerana tenaganya terbatas.

Setelah sampai di pintu utama, Adelia menyandarkan badan Pak Mat di dinding dan kepala Pak Mat diturunkan hingga ke paras lutut supaya aliran darah mengalir ke otak.

Adelia tergesa-gesa mahu kembali ke dalam rumah agam. Dia harus menelefon ambulans, meminta pertolongan. Baru sahaja beberapa langkah, dia terdengar suara erangan.

Adelia menoleh. Terlihat sahaja Pak Mat yang sudah celik mata dan mula bergerak, pantas Adelia berpatah balik menghampiri.

“Pak Mat! Apa dah jadi ni?” tanya Adelia.

Risau melihat keadaan Pak Mat.

Perlahan-lahan Pak Mat cuba bangkit, tapi ditegah oleh Adelia.

“Macam mana aku boleh ada kat sini?” soal Pak Mat.

Bingung.

“Adelia jumpa Pak Mat pengsan dalam bilik ni tadi. Puas Adelia cari Pak Mat. Tu yang Adelia datang ke stor sebab dah lama Pak Mat tak keluar-keluar. Tengok-tengok Pak Mat dah terbaring,” beritahu Adelia.

Pak Mat memegang kepala. Perlahan-lahan apa yang berlaku sebelum dia pengsan tadi kembali menerpa ingatan. Dia ternampak lembaga berwarna hitam. Besar. Merah matanya.

Sudah lamakah makhluk itu berada di dalam sana? Mungkinkah makhluk itu dihantar untuk menakutkan Adelia pula? Mungkin seseorang sudah tahu mengenai Adelia?

“Pak Mat okey tak ni? Kalau tak, Adelia panggil ambulans ya?”

“Eh, tak payah. Aku okey sahaja.”

Pak Mat bangun perlahan-lahan.

Kali ini Adelia tidak menegah, sebaliknya membantu Pak Mat berdiri.

“Pak Mat nak pergi mana tu?” tanya Adelia apabila dilihat Pak Mat mula melangkah.

Dia memerhatikan Pak Mat masuk semula ke dalam bilik stor dan tidak lama kemudian keluar membawa mesin pemotong rumput.

“Pak Mat nak teruskan mesin rumput ke? Tak payah buat kerja dah Pak Mat. Pak Mat pergi balik sahaja berehat,” ujar Adelia.

Risau melihat keadaan Pak Mat.

“Aku masih kuat lagi. Kalau aku tak buat, siapa yang nak buat?”

“Tak mengapa, biar Adelia saja yang mesin rumput tu. Pak Mat pergi balik dan berehat. Dah petang sangat ni,” ujar Adelia.

Dia mahu mengambil mesin pemotong rumput dari tangan Pak Mat, tapi tangannya ditepis perlahan.

“Kau gila? Kalau orang nampak, tak pasal-pasal rumah ni jadi tular lagi tau. Siap dengan tajuk besar lagi, rumah berhantu di atas bukit. Mesin pemotong rumput bergerak sendiri.”

Adelia ketawa melihat gaya Pak Mat yang beria. Tahu pula orang tua ni pasal tular ni.

“Tak apalah, sekurang-kurangnya rumah ni jadi terkenal lepas tu,” usik Adelia.

“Yalah tu. Lepas tu dah tak ada lagi orang yang nak beli rumah ni!” marah Pak Mat.

“Kenapa Pak Mat beria nak jual rumah ni? Kan bagus kalau Pak Mat saja yang tinggal kat sini. Jadi Adelia pun tak kesunyian. Kita tinggal sama-sama kat rumah depan. Adelia pun tak payah lagi nak pindah-pindah ke rumah belakang tu setiap kali ada penyewa baru.”

“Aku tak mahu orang kata aku mengambil kesempatan atas harta Tan Sri.”

“Biarlah orang nak kata, Pak Mat. Pak Mat ni asyik nak fikir pasal orang saja. Mereka bukan peduli tentang kita pun. Baik tak payah peduli apa orang kata!” balas Adelia.

Geram dengan kedegilan Pak Mat.

“Adelia, cuba kau dengar cakap aku. Biar aku yang buat. Ini kerja aku. Sudah, kau pergi buatkan aku kopi,” suruh Pak Mat.

Adelia menjeling Pak Mat. Merajuk.

“Dah lama aku tak minum kopi yang kau buat. Kopi kau sedap,” puji Pak Mat.

Adelia mencebik. Pak Mat ni pandai memujuk secara halus.

“Betul Pak Mat okey ni? Larat ke nak potong rumput tu?” soal Adelia.

Mahu memastikan Pak Mat tidak apa-apa.

“Aku baik-baik sahaja. Sudah, aku nak pergi buat kerja dulu. Nanti aku nak minum kopi.”

Pak Mat melangkah, meninggalkan Adelia yang merenungnya tajam.

Adelia menarik nafas. Kemudian tersenyum nipis. Pantas langkah kaki diayun menuju ke dapur.      

No comments: