Penulis : Aryanie Ismail
Penerbit: DearNovels
Alunan lunak suaranya
sesekali kedengaran mendendangkan lagu. Suka benar hatinya. Jika penghuni yang
baru ini kekal lama, maka dia tidak akan kesunyian lagi.
Dia hanya memerhatikan
seorang lelaki tua yang sibuk membersihkan kawasan persekitaran. Lelaki tua
yang sering datang ke sini, membersihkan kawasan luar dan dalam banglo agam
ini, kelihatan begitu sibuk.
Dia melabuhkan punggung
di buaian besi yang terletak di halaman. Buaian itu bergerak ke hadapan dan ke
belakang.
Pak Mat menoleh
sekilas.
“Hari ini penghuni baru
akan masuk. Aku harap kau jaga kelakuan. Jangan takutkan orang. Harap-harap
kali ini biarlah kekal lama penyewa ni,” pesan Pak Mat.
Gadis itu hanya
menganggukkan kepala walaupun dia tahu Pak Mat tidak dapat melihatnya. Dia
tersenyum nakal.
Bukan maksudnya mahu
menakutkan atau mengganggu setiap penghuni yang pernah menyewa rumah banglo
ini, tetapi dia sekadar mahu berkawan.
Kenapa mereka semua tak
faham? Kenapa mereka takut dengannya?
Dia bukan mengganggu
mereka dengan rupa yang menakutkan. Rupanya sama sahaja dari dahulu dan kini.
Tiada yang berubah.
“Tempat kau kat
belakang sana. Kau duduk diam sahaja kat belakang tu. Tak payah masuk rumah ni
lagi dan menakutkan semua orang.” Pak Mat menasihati lagi.
Si gadis sekadar
mencebikkan bibir.
Ah, bukannya lelaki itu
tahu pun kalau dia merayau di dalam rumah ni. Dia bukan setiap hari ke sini.
Hanya mampir sekiranya ada pekerjaan yang harus diselesaikannya.
Sebuah kereta berhenti
betul-betul di hadapan pagar utama rumah agam.
Si gadis memanjangkan
leher mahu melihat penghuni baru itu. Dengan pantas dia berdiri.
“Sudah, kau pergi
balik. Jangan ikut! Biar aku sahaja yang uruskan mereka. Ingat pesan aku, jangan
diganggu penghuni baru ni!”
Si gadis tidak
mempedulikan larangan Pak Mat. Perlahan-lahan dia mengekori. Dia memerhatikan
lelaki tua itu bersalaman dengan keluarga baru itu.
Sepasang suami isteri
bersama anak-anak mereka. Anak lelaki mereka berumur sekitar tiga tahun,
berdiri di sisi ibunya yang sedang mengendong seorang bayi.
Si gadis menghampiri
wanita muda itu. Dia melihat bayi di dalam kendongan dan mengagah bayi
perempuan itu.
Bayi itu tiba-tiba menangis. Si ibu memujuk anaknya, namun anaknya masih tidak mahu diam.
Dia turut memujuk bayi
itu dengan membuat mimik muka yang lucu, tapi semakin kuat pula bayi itu
menangis.
Dipandang pula
kanak-kanak lelaki yang menarik gaun yang dipakainya. Budak lelaki itu
menggeleng-gelengkan kepalanya.
Dia terkejut.
Membongkok memandang wajah kanak-kanak lelaki itu. Dia membuat mimik muka.
Kanak-kanak lelaki itu tersengih-sengih.
Si gadis keliru. Ada
yang ingin ditanyakannya kepada anak kecil itu.
Wanita muda itu menepuk
bahu anak lelakinya. Si gadis menjauhkan diri.
Pak Mat berdeham tiga
kali sebagai tanda amaran. Dia tahu siapa yang mengusik. Menggeleng kepalanya
dengan kedegilan si gadis. Nasihatnya langsung tidak diendahkan.
Sempat dia melihat
sekeliling sebelum berlalu masuk ke dalam rumah dengan membawa beg-beg
kepunyaan keluarga yang baru berpindah masuk itu.
Amina segera memeluk
bayinya yang kembali nyenyak di dalam dukungan. Kemudian menarik tangan anak
lelakinya agar mengikutnya masuk ke dalam rumah.
“Kita nak tinggal sini
ke mama?” soal Aiman.
“Ya, sayang. Mulai hari
ini, kita akan tinggal di sini. Aiman suka tak?” soal Amina.
“Suka. Rumah ni cantik
kan bu? Kakak tadi pun cantik,” ujar Aiman.
Amina tergamam. Kakak?
Siapakah yang dimaksudkan oleh anaknya itu?
Matanya melilau melihat
sekitar rumah. Bulu romanya berdiri serta-merta. Seram mendengar kata-kata
anaknya. Ada orang lain ke yang tinggal di dalam rumah ini selain mereka?
“Sayang, penat ya?
Pergilah berehat kat atas. Biar abang kemaskan barang-barang ni. Mandikan
anak-anak sekali.”
Asraf yang baru masuk
ke dalam memberi arahan. Kasihan melihat si isteri yang kepenatan melayan
kerenah anak-anak yang masih kecil.
“Abang pun mesti penat.
Memandu dari tadi. Berehatlah dulu. Barang-barang ni esok-esok masih boleh
dikemaskan lagi.” Amina memberi cadangan.
Asraf hanya mengangguk.
Memang dia berasa penat. Memandu sejak dari pagi tadi. Dia melemparkan senyuman
kepada isteri yang sentiasa memahami dirinya.
“Sayang suka tak rumah
baru kita ni?” soal Asraf kepada Amina yang sedang meletakkan anak yang
dikendong di atas sofa.
Anak kecil itu
terbangun apabila diletakkan, tetapi tidak pula dia menangis kerana tidurnya
terganggu. Terkebil-kebil matanya memandang si ibu.
“Rumah ni cantik, bang.
Kemas sahaja. Saya suka,” jawab Amina, tersenyum memandang suaminya.
Tangannya sibuk menepuk
kaki anaknya perlahan-perlahan dengan harapan anak kecil itu tertidur kembali.
Anak kecil itu ketawa
tiba-tiba. Amina dan Asraf berpandangan seketika sebelum tersenyum. Asraf
mendekati.
“Nurin pun suka rumah
ni ya?” soal Asraf sambil mencium pipi si anak kecil.
Anak kecil yang
dipanggil Nurin itu ketawa. Sesekali tangannya digapai-gapai.
“Tak pernah Nurin
ketawa macam ni kan bang?”
Amina turut gembira
mendengar tawa si anak. Perasaan tidak selesa yang mengganggunya tadi dibuang
jauh-jauh.
Asraf mengangguk
setuju.
“Kalau tak ada apa-apa,
aku balik dululah ya. Beg-beg tadi aku dah letakkan kat atas. Harap kamu
sekeluarga suka tinggal di sini. Kalau perlukan apa-apa, telefon sahaja aku.”
Lelaki tua yang
menyambut kedatangan mereka tadi, muncul semula dari tingkat atas.
“Baik. Terima kasih ya,
pak cik,” ucap kedua suami isteri itu hampir serentak.
Pak Mat hanya
mengangguk sahaja. Tiada senyuman menghiasi bibirnya. Wajahnya seperti tiada
perasaan.
Pasangan suami isteri
itu memerhatikan lelaki tua itu berlalu.
“Garangnya pak cik tu
abang. Ni rumah dia ke?” soal Amina.
“Mungkin juga sebab
abang sewa rumah ni pun memang melalui dia. Tapi sepanjang berurusan dengan dia
memang tak ada masalah langsung. Senang sahaja.”
“Tapi pelik juga kan,
sebab dia sewa rumah ni murah sangat. Abang dah periksa betul-betul ke sebelum
sewa rumah ni?”
“Ina tak payah risau
semua tu. Sudahlah, tak perlu kita nak fikirkan sangat. Yang penting sekarang
ni, kita dah ada rumah untuk berteduh. Besar dan cantik pula tu.” Asraf
memujuk.
Dia berkira-kira mahu
membeli rumah ini kerana harga yang ditawarkan juga sangat murah. Siapa yang
tidak mahu rumah yang sebegini besar dan cantik? Murah pula tu.
“Yalah, alhamdulillah,”
balas Amina.
Betul juga kata
suaminya. Kenapa dia harus risaukan hal itu?
“Aiman mana, Ina?”
tanya Asraf sambil memandang sekeliling.
“Eh, tadi ada dekat
sini. Main kat luarlah tu. Baik abang pergi tengok. Pagar depan tu tutup sekali
bang.”
“Yalah, abang pergi
tengok sekejap.”
Di luar, Asraf
ternampak anak lelakinya sedang duduk di buaian sambil tersenyum-senyum.
Langkah kaki diatur menghampiri anaknya itu. Belum sempat dia menegur,
terdengar suara Aiman seperti sedang berbual-bual.
“Kakak dah lama ke
tinggal sini?” tanya Aiman.
Asraf tidak nampak
sesiapa pun berlawan bicara anaknya. Tidak juga dia mendengar suara siapa-siapa
selain anaknya yang bercakap-cakap sendiri.
“Aiman baru saja pindah
sini. Dulu Aiman tinggal kat tempat lain. Dulu rumah Aiman kecik. Sekarang ni
ayah ajak kami duduk rumah besar ni. Rumah ni rumah kakak ke?”
Terdengar lagi Aiman
bertanya kepada seseorang.
Asraf yang semakin
risau melihat, segera menegur.
“Aiman, buat apa kat
sana tu? Aiman bercakap dengan siapa?” tanya Asraf tegas.
Aiman menoleh,
tersenyum.
“Aiman tengah bercakap
dengan kakak ni. Hmm, kakak tu dah pergi.” Aiman menjawab.
Wajah cerianya
tiba-tiba muram.
“Kakak mana ni, Aiman?”
tanya Asraf dengan nada suara dikeraskan.
Aiman hanya menunduk.
Tidak berani bertentang mata dengan si ayah yang kelihatan marah.
“Dah, pergi masuk ke
dalam.” Asraf menyuruh Aiman masuk ke dalam rumah.
Dahinya berkerut. Pelik
benar kelakuan anaknya. Selama ini tidak pernah pula dia mendengar isterinya
mengadu anak mereka bercakap-cakap sendiri. Atau adakah dia yang tidak tahu?
Nanti akan ditanyakan
kepada isterinya.
Asraf jarang meluangkan
masa dengan anak-anaknya kerana pagi ketika dia keluar bekerja, anak-anaknya
masih tidur. Pulang ke rumah pula, ketika anak-anaknya sudah bersiap sedia
hendak masuk tidur. Jika hujung minggu pun, selalunya masanya lebih banyak
dihabiskan dengan tidur.
Asraf tetap berdiri di
situ. Matanya meliar memerhati sekeliling rumah. Suatu perasaan yang tidak enak
mula hadir dalam hatinya.
No comments:
Post a Comment