Thursday, January 28, 2021

Novel - Adelia (Bab 5)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Tajuk : Adelia
Penulis : Aryanie Ismail
Penerbit: DearNovels

BAB 5

BUNYI enjin motosikal berhenti benar-benar di sebelahnya.

Adelia hanya mematung di situ. Dia memerhatikan kelibat Pak Mat turun dari motosikal yang ditongkat di tepi balkoni.

Pak Mat mengambil tuala kecil dari dalam raga motosikal. Peluh yang menitis di dahi, dikesat perlahan.

Adelia menggerakkan kakinya, membuatkan buaian yang didudukinya bergerak perlahan.

“Astaghfirullah al-azim. Kau ni Adelia, suka sangat buat aku terkejut. Dah berapa lama kau berada kat situ?” tegur Pak Mat.

Adelia menutup mulut. Menahan tawa. Lucu melihat wajah Pak Mat yang terkejut.

Lelaki tua ini dikenali sebagai seorang yang garang, tidak berapa mesra. Percakapannya pun agak kasar. Kau dan aku sahaja.

Pak Mat sudah lama bekerja dengan keluarganya. Sebelum dia dilahirkan lagi. Sewaktu kecil, Adelia sangat takut dengan orang tua ini. Tetapi semakin lama dia mengenali Pak Mat, ternyata Pak Mat seorang yang penyayang.

Ketika dia dalam jagaan isteri Pak Mat, Adelia lihat Pak Mat sudah pandai menunjukkan sedikit kemesraan dengannya. Malah, kasih sayang Pak Mat kepadanya semakin hari semakin dapat dirasai. Apatah lagi, setelah kedua ibu bapanya meninggal.

Walaupun Pak Mat cuba menyembunyikannya dengan berkata kasar, tapi dia tahu Pak Mat memang seorang yang sangat prihatin. Walaupun Adelia tidak seperti orang lain dan dunia mereka berbeza, namun Pak Mat tetap melayannya dengan baik.

“Dah lama dah Adelia dekat sini. Dari tadi perhatikan Pak Mat yang kacak ni,” kata Adelia.

Tersungging senyuman di bibir Pak Mat.

Adelia menahan tawa. Pak Mat ni muka nampak garang, tapi lucu juga.

“Patutlah Mak Minah sayang dengan Pak Mat. Dahlah kacak, rajin pulak tu. Pergi masjid pun tak pernah culas.” Adelia memuji lagi.

Semakin lebar senyuman Pak Mat, menampakkan giginya yang masih utuh. Adelia ketawa kuat.

“Ah, kau ni. Suka sangat kacau aku. Sudah, pergi sana! Aku nak mesin rumput ni,” halau Pak Mat.

“Amboi, garang betul Pak Mat ni. Pergilah Pak Mat buat kerja. Adelia dekat sini saja. Tak ganggu Pak Mat pun,” balas Adelia.

“Yalah kau tu. Bukan boleh percaya sangat. Suka betul menyakat aku. Perangai macam hantu. Suka buat orang terkejut.”

Adelia ketawa. Kalau tidak kenal dengan Pak Mat, pasti dia akan terasa dengan kata-kata Pak Mat. Tapi dia sudah biasa. Pak Mat memang begitu.

“Sudahlah, aku nak pergi buat kerja,” ulang Pak Mat.

Kakinya mula melangkah menuju ke halaman belakang, mahu mengambil mesin pemotong rumput yang disimpan di stor di belakang rumah.

Adelia sekadar memerhatikan langkah Pak Mat. Mulutnya dimuncungkan. Pak Mat terlupa sesuatu.

“Dalam raga tu ada mangkuk tingkat. Makan malam kau!” jerit Pak Mat dari jauh.

Adelia melonjak kegirangan.

“Terima kasih, Pak Mat!” jeritnya.

Pak Mat berlalu dari situ dengan senyuman. Walaupun pada pandangan mata kasarnya dia tidak nampak Adelia, namun dia dapat membayangkan bagaimana reaksi Adelia.

Bukan sehari dua dia mengenali anak gadis itu. Sudah lama, sejak Adelia masih kecil lagi. Dia berjanji akan menjaga Adelia walaupun dia tidak dapat melihat anak gadis itu.

Setiap kali Pak Mat singgah ke sini, pasti ada lauk-pauk yang dibawanya untuk Adelia. Kadang-kadang terbit rasa kasihan kepada anak gadis itu. Sampai bilakah dia akan begini?

Kasihan, Adelia terperangkap di dalam dunia yang berbeza. Dia ingin sekali membebaskan Adelia.

Pak Mat juga tidak tahu sama ada Adelia itu manusia atau sebaliknya. Dia tidak dapat melihat Adelia melalui mata kasar, tetapi dia masih dapat mendengar suara Adelia dan merasa sentuhan Adelia.

Dia sendiri tidak faham apa yang berlaku. Entah, kadangkala naik buntu otaknya memikirkan. Boleh jadi gila.

Pertama kali dia disapa Adelia, dia sangat terkejut. Sewaktu itu dia berada di rumah agam ini setelah sebulan memencilkan diri. Meraih kekuatan dalaman. Apa yang berlaku sangat memberi kesan kepadanya sehinggakan dia terus-terusan menyalahkan dirinya.

Anak gadis itu menyapanya bersama tangisan yang mendayu. Dia tidak percaya dengan apa yang dialaminya. Tidak pernah terlintas dalam fikirannya bahawa seseorang yang telah disahkan meninggal dunia telah pulang semula, tetapi bukan seperti manusia biasa.

Terlalu sukar untuk dicerna oleh akal fikirannya.

Bukan tidak pernah dia berusaha untuk membantu Adelia. Ke sana sini dia cuba mencari jawapan. Asal ada sahaja perawat hebat yang didengarnya, semua dijejakinya. Namun, Adelia tetap juga begitu.

Akhirnya dibiarkan sahaja, tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi.

Pintu bilik stor yang tidak dikunci, dibuka perlahan. Terasa pengap bilik tanpa ruang udara itu.

Pak Mat memetik suis lampu di dinding berhampiran pintu. Dia melangkah masuk dan membiarkan pintu terbuka bagi memberi ruang udara.

Pak Mat menghampiri rak yang berada di hujung sekali, di mana terletaknya mesin pemotong rumput.

Pak Mat memerhatikan sekeliling. Dahinya berkerut. Bilik ini seperti telah dimasuki orang. Siapa? Adelia?

Mungkin juga, tapi dia tahu Adelia tidak suka menggunakan laluan ini kerana berhabuk. Adelia lebih selesa mengambil laluan bawah, terus ke dalam rumah agam.

Lagipun dia cukup yakin Adelia tidak suka mengusik barang-barang di sini.

Jika bukan Adelia, siapa? Kali terakhir dia mengemas bilik stor ini adalah selepas penghuni terakhir berpindah dari sini. Itu kira-kira sebulan yang lalu.

Pak Mat mendekati sebuah pintu yang agak tersorok, di bahagian belakang. Tombol pintu dipulas. Berkunci!

Lega apabila pintu itu tidak dicerobohi. Dia hanya mahu memastikan.

Pak Mat meninjau sekeliling bilik stor yang sederhana besar itu. Terbongkok-bongkok dia memerhati. Terdapat barang-barang yang telah dialih dari tempatnya.

Pak Mat arif benar dengan keadaan stor ini. Di mana letaknya mesin, di mana letaknya getah paip, di mana tersusunnya paku-paku, semua berada di dalam kepalanya.

Pak Mat melangkah pula ke tengah ruang. Tanpa sengaja kakinya tersepak sesuatu. Benda berkilat itu meluncur ke bawah rak kayu tinggi yang disandarkan di tepi dinding.

Pak Mat mencangkung. Tangannya dipanjangkan ke bawah rak kayu itu untuk mencapai benda tersebut. Dia meraba-raba, namun tidak menjumpai apa-apa.

Pak Mat bangkit semula dan sedikit menjingkit, mencapai sesuatu di rak paling atas.

Setelah terjumpa benda yang dicarinya, Pak Mat meniarap di atas lantai yang sejuk itu dan lampu picit yang besar itu disuluh ke bawah rak. Punat ditekan.

Lampu suluh itu dihala ke kiri dan ke kanan. Suluhan terhenti apabila balikan cahaya mengganggu matanya. Tangan dihulur untuk mengambil benda itu. Akhirnya dia berjaya menggenggam benda itu. Terasa sejuk.

Pak Mat menarik benda itu keluar. Terbuntang matanya.

“Pisau Rambo?”

Dum! Terdengar bunyi pintu dihempas kuat.

Pak Mat tersentak. Dia berlari ke pintu. Dipulas-pulas tombol pintu, namun ia tidak dapat dibuka.

Dengan menggunakan pisau Rambo yang dijumpainya tadi, Pak Mat cuba mencungkil tombol pintu, tapi tidak juga berjaya.

Pak Mat menghela nafas kasar. Dia berjalan ke rak yang paling hujung. Membongkok dan mencari sesuatu di dalam bekas besar berwarna putih.

Setelah menjumpai apa yang dicari, kapak sederhana besar itu diambil keluar dari kotak tersebut. Lebih senang jika dipecahkan sahaja pintu ini.

Baru sahaja Pak Mat melangkah, lampu bilik tiba-tiba terpadam. Pandangannya menjadi gelap-gelita.

Pak Mat mendepangkan tangan, meraba-raba. Matanya ditutup rapat beberapa saat sebelum perlahan-lahan dibuka kembali. Retina mata menjadi besar, tapi bilik yang tiada ruang udara ini terlalu gelap, tetap membataskan pandangan.

Perlahan-lahan Pak Mat kembali ke tempat tadi, cuba mencari semula lampu suluh yang ditinggalkan di atas lantai. Setelah mendapat apa yang dicari, Pak Mat menekan punat kecil. Cahaya terpantul.

“Arghhh!”

Tercampak lampu suluh dari tangan Pak Mat tatkala lampu suluhannya menyuluh sesuatu yang berada tepat di hadapannya. Satu lembaga hitam bermata merah sedang merenungnya tajam.

Pak Mat terundur beberapa langkah ke belakang. Berdebar hebat jantungnya.

Namun, langkahnya terhenti tiba-tiba apabila hidungnya tercium sesuatu. Sesuatu yang berbau busuk. Pak Mat menutup hidung.

Huk! Huk! Huk! Pak Mat terbatuk-batuk. Nafasnya tiba-tiba menjadi sempit. Dia tidak boleh bernafas. Matanya pedih. Badannya menjadi lemah sebelum rebah tidak sedarkan diri.


No comments: