Penerbit: DearNovels
Pak Mat mengeluh berat. Perlahan-lahan dia mengorak langkah, menjengukkan
kepala ke dalam rumah.
Penghuni rumah yang menyedari kehadirannya segera mampir dan menyerahkan
segugus kunci kepadanya.
“Saya harap dalam masa seminggu ni, saya akan dapat semula duit pendahuluan
saya,” ujar penghuni rumah.
“Betul ke nak pindah hari ni juga?” tanya Pak Mat.
“Siapa yang nak duduk dalam rumah berhantu ni, pak cik? Anak-anak saya
semua ketakutan malam tadi. Saya ingatkan dah seronok la dapat duduk kat rumah
yang besar dan cantik ni. Malah saya dah buat keputusan nak beli terus rumah
ni. Tapi rupa-rupanya, indah khabar daripada rupa. Patutlah sewa murah sangat.
Baru dua hari kami di sini, dah macam-macam perkara berlaku. Penat berpindah
pun belum hilang lagi dah terpaksa pindah semula,” rungut Asraf.
“Baiklah, kalau itu keputusan kau. Nanti aku pulangkan semula duit kau tu.
Jangan risau,” balas Pak Mat.
“Kalau macam tu, kami pergi dululah.”
Pak Mat mengangguk. Setelah wang pendahuluan dipulangkan, tanggungjawab
menjaga rumah agam ini akan kembali terbeban di bahunya.
Dia sudah tua. Sampai bila kudratnya harus dikerah begini?
Bukan dia merungut, tetapi dia sudah berusaha sehabis daya. Tetap juga
rumah ini tidak berjaya dijual.
Harga yang ditawarkan juga rendah daripada pasaran. Asalkan rumah ini
terjual, sudah membuatkan dia lega. Duit itu nanti akan disalurkan ke tempat
yang sepatutnya. Selepas itu, bolehlah dia bernafas dengan lega.
Tapi nampaknya, dia harus mencari pembeli yang baru lagi.
Pak Mat memerhatikan lori yang bermuatan penuh itu bergerak perlahan-lahan
meninggalkan rumah agam, sehingga hilang daripada pandangan.
Menggeleng dia melihat ketamakan penghuni itu yang membawa beberapa buah
perabot dari rumah ini bersama mereka. Kononnya sebagai ganti rugi.
Dia yang malas mahu memanjangkan hal ini hanya mampu bersetuju tanpa rela.
Kepala didongak memandang ke langit yang sudah berubah ke warna jingga.
Bermakna tidak lama lagi maghrib akan menghampiri.
Perlahan-lahan Pak Mat menyusur ke halaman belakang. Berdiri menghadap tembok
tinggi yang dibina menggunakan batu-bata berwarna merah. Pohon-pohon menjalar
menjadi hiasan sepanjang dinding tembok.
Di depan tembok itu, dibina sebuah bilik kecil yang dijadikan bilik stor.
Pintu bilik stor yang memang tidak dikunci, dibuka. Dia melangkah ke dalam dan
menghampiri sebuah lagi pintu yang agak tersorok di bahagian belakang. Kunci di
dalam poket dicapai.
Sebaik sahaja pintu yang tersorok itu dibuka, dia masuk ke dalam lorong
kecil dan mengetuk sebuah lagi pintu sambil mulutnya menyeru satu nama. Tidak
lama kemudian, kedengaran bunyi tapak kaki mendekati.
“Kenapa singgah sini?” tegur satu suara.
Hairan melihat Pak Mat menjenguk melalui laluan belakang rumah agam.
“Tak takut ke kalau penghuni baru tahu siapa yang ada di sini?”
“Apa yang kau dah buat semalam?” Pak Mat bertanya.
Suaranya mendatar. Tidak berperasaan.
“Kenapa? Apa yang dah berlaku?” Suara itu kedengaran sedikit sebak.
Pak Mat mengeluh berat.
“Aku terima aduan, penghuni rumah ini mengalami gangguan semenjak mereka tinggal
di sini. Aku dah pesan banyak kali dengan kau, jangan kacau penghuni rumah ni.
Tempat kau di belakang ni. Kalau kau bosan, main sahaja di belakang ni. Usah
diganggu orang lain. Usah berlegar-legar dalam rumah agam tu dan menakutkan
orang. Aku tak mahu kejadian seperti yang sudah-sudah berulang kembali. Tapi
kau degil!”
“Tapi...” Belum sempat dia berkata-kata, percakapannya dipintas.
“Aku bukan suka-suka nak marah kau, tapi dah banyak kali aku ingatkan kau.
Kau pun bukan tak tahu dah berapa ramai penyewa rumah ni asyik bertukar ganti.
Tiada yang kekal lama. Tidak sampai seminggu mereka semua dah minta aku
pulangkan semula duit mereka.
“Yang ini pulak, dua malam sahaja betah di rumah tu, dah hari ini minta
pindah dan dipulangkan semula duit mereka. Sampai bila aku nak biarkan hal ini
berlanjutan? Semua orang cakap aku penipu. Semua orang tuduh aku menjual rumah
yang berhantu!”
Sedikit beremosi suara Pak Mat.
Kedengaran suara esak tangis. Mendayu.
Dia tidak buat apa-apa pun. Sepanjang hari dia tidak ke mana-mana, hanya
duduk di belakang ni saja. Dia mahu bersuara menafikan sekerasnya, tapi dia
tahu tiada gunanya kerana dia sering sahaja dipersalahkan.
Jauh di sudut hati, dia sedih kerana dituduh yang bukan-bukan.
Bukan dia pinta semua ini berlaku. Bukan dia minta jasadnya hilang daripada
pandangan, tapi dia sendiri masih berlegar-legar begini. Dia pun tidak tahu
kenapa.
Dia hanya menerima takdir hidupnya dengan reda. Sepanjang dua hari ini dia
hanya duduk di rumah sahaja. Masih memikirkan bagaimana anak kecil yang baru
sahaja berpindah itu boleh melihat dirinya.
Suasana menjadi sepi seketika.
“Aku dah tak punya banyak masa lagi. Tenaga aku semakin lama semakin
lemah.”
Usai berkata, Pak Mat keluar semula.
1 comment:
Casino Review & Ratings by Real Players - JT Hub
Casino Review & Ratings by Real Players. Find trusted 진주 출장마사지 Casino Review. Get 대전광역 출장안마 latest bonus codes, 이천 출장샵 promotions & 태백 출장마사지 more at trusted casinos.Game Selection: Hundreds of Casino 시흥 출장샵 games
Post a Comment