Penerbit : DearNovels
BAB 4
Berdiri di hadapan kami
seorang wanita berkebaya nyonya berwarna hitam. Kepalanya ditutup dengan
selendang renda berwarna merah. Wajahnya disolek tipis, menyerlahkan kulitnya
yang putih bersih. Kecantikannya benar-benar terserlah. Azrin! Bila masa pula dia
balik dan bila pula dia masuk ke dalam rumah? Aku rasa aku tak dengar bunyi pintu
dibuka pun.
“Azrin? Bila masa pulak awak balik? Kami tak perasan
pun,” tegurku bagi menghilangkan rasa canggung.
Aku lihat Naim sudah terlopong. Aku cuit dia. Barulah
dia tersedar. Tersenyum malu kerana tertangkap dalam keadaaan macam tu. Tulah,
bila aku cerita tentang Azrin dia tak percaya. Sekarang lihatlah sendiri.
Azrin berjalan menghampiri kami. Lemah gemalai rentak
langkahnya. Dia menjinjing beg raga seperti bakul yang diperbuat daripada rotan.
Beg raga itu diletakkan di atastable top
berhampiran sinki.Entah apa isi di dalamnya, tidak pula aku tahu. Sewaktu dia
berjalan melewatiku, semerbak bau haruman yang dipakainya. Bau bunga kemboja.
“Kenapa tak mahu makan makanan yang saya masak? Pakcik
dan makcik tak sudi ke?” tanya Azrin sambil tersenyum memandang umi dan walid.
Aku lihat umi dan walid terkedu. Dari tadi mereka
hanya memerhatikan Azrin. Aku dah agak dah, sesiapa yang melihat Azrin pasti
akan terpesona dengan aura dia.
“Penat sahaja saya masak. Tapi tak ada seorang pun
yang sudi menjamah masakan saya.” Lenggok suara Azrin seakan merajuk. Tapi pada
pendengaranku macam menggedik pula. Jangan mengada nak mengurat adik aku.
Mengurat walid aku lagilah jangan berani-berani!
“Kenapa tercegat aje tu? Marilah duduk. Kita makan
sama-sama ya. Saya pun lapar ni.” Azrin membuka pinggan yang terlangkup satu
persatu. Apabila dia melewati Naim, aku perhatikan Naim sudah berpeluh. Aku
tergelak dalam hati. Dah kenapa dia ni? Selalu bukan main lagi tunjuk macho.
Azrin mengambil tempat duduk di bahagian dia mula-mula
sampai tadi. Aku mengambil tempat di sebelah Naim, bertentangan dengan umi.
“Silakan makan.” Azrin mempelawa. Dia memandang Naim
dengan senyuman.
Cepat sahaja Naim mencapai mangkuk berisi nasi. Amboi,
laju aje kalau pasal makan, kutuk aku dalam hati. Tadi bukan main kata tak nak
makan masakan Azrin.
“Kak, betullah kata kau Azrin tu lain macam. Unik
betul!”
Naim berbisik di telingaku. Mulut penuh dengan makanan
punsibuk nak bercakap. Tak senonoh!
“Berapa umur dia agaknya kak?” tanya Naim lagi.
Aku hanya menjungkit bahu. Aku sendiri pun tidak tahu
berapa umur Azrin tu. Kalau dilihat dari wajahnya aku rasa dalam pertengahan
dua puluhan. Lebih kurang sama dengan aku.
“Sedap awak masak Azrin,” pujiku. Sumpah memang sedap
masakan Azrin. Tak sangka aku wanita muda seperti Azrin pandai memasak. Lebih
kurang macam masakan umi aku yang dah bertahun-tahun kerjanya memasak tu.
“Terima kasih. Biasa-biasa aje.” Sopan Azrin menjawab.
Bibir merahnya dilap perlahan menggunakan napkin.
“Nanti bolehlah akak belajar masak dengan Cik Azrin
ni.”
Ewah, Naim bersuara. Siap bercik-cik pula.
Azrin ketawa.
Aku lihat umi dan walid tidaklah begitu berselera
menjamah makanan yang ada. Cuma aku dan Naim sahaja yang beria menambah.
Selesai makan aku menyuruh Naim membawa umi dan walid
ke ruang tamu. Aku membantu Azrin membersihkan meja makan dan membasuh pinggan.
Aku melirik Azrin yang sedang membancuh kopi. Apabila
dia menuang air panas yang berasap ke dalam teko, aku lihat mulutnya terkumat
kamit seperti membaca sesuatu.
Dia ni sedang baca doa ke baca mentera? Syak wasangka
mula terbit di sudut hati aku.
“Tak baik tau awak curiga dengan saya.”Tiba-tiba Azrin
besuara.
Terkejut aku. Dia boleh baca ke apa yang ada dalam
fikiran aku tadi?
“Er.. curiga apa?” tanyaku, buat-buat tidak faham.
Azrin membalikkan badan, menghadap ke arahku. “Awak
percaya tak bila kita buat sesuatu dengan ikhlas, mesti hasilnya pun akan jadi
terbaik.”
“Ya saya percaya. Tapi kalau kita buat benda yang tak
baik, boleh ke dikatakan ikhlas?” tanyaku.
Azrin terus berpaling daripadaku sambil mendengus
kasar. Sumpah, terkejut aku dengan tindak balas dia begitu. Salah cakap ke aku?
Bukan aku menuduh dia buat benda tak baik, cuma aku saja mahu bertanya
pendapatnya tapi tak sangka pula begitu sekali tindakan Azrin. Ah, lantaklah.
Selesai mencuci pinggan, aku menyertai mereka di ruang
tamu. Kulihat langsir pintu gelongsor telah terselak sepenuhnya. Pintu
gelongsor juga dibuka separuh. Angin malam terasa sejuk sampai ke tulang.
Aku berjalan ke arah pintu gelongsor, mahu menutup sedikit
pintu kerana aku tidak tahan dengan angin sejuk.
“Jangan tutup pintu tu!!!”
Langkah aku terhenti apabila Azrin menjerit. Aku
pandang wajah Azrin. Betul ke Azrin yang menjerit tadi? Kenapa suara dia
tiba-tiba menjadi garau dan kasar?Persis suara yang menegurku sewaktu mula-mula
aku bertemu dengan Azrin. Aku lihat walid, umi dan Naimberiak biasa sahaja
sambil mereka menjamah buah epal yang dipotong Azrin tadi. Aku seorang sahaja ke
yang perasan suara Azrin berubah? Sumpah suara yang aku dengar tadi sangat
menakutkan.
Azrin aku pandang. Dia melemparkan senyuman. Aku
memeluk tubuh yang terasa kedinginan, bercampur dengan seram sejuk.
Ya Allah, betul ke keputusan aku pindah rumah ni? Tiba-tiba
hatiku berbolak balik. Semoga semuanya baik-baik sahaja, doaku dalam hati.
Aku duduk di sebelah Naim. Kulihat Naim bukan main
rancak lagi berbual dengan Azrin. Hai, dah lupa ke girlfriend yang setia kat sana tu.
Aku lihat walid tidak banyak bercakap tapi mata walid
sesekali melirik ke arah Azrin. Seperti ada sesuatu yang bermain di dalam
fikiran walid. Umi pula ralit menonton televisyen. Aku pun turut menghalakan
pandangan ke arah televisyen.Aku duduk sambil berpeluk tubuh. Aku seorang aje
ke yang rasa sejuk sangat ni?
“Rasanya eloklah kami beransur. Hari pun dah jauh
malam ni.”
Aku menoleh apabila mendengar suara walid. Walid sudah
berdiri dan terus berjalan ke pintu utama. Umi dan Naim turut bangun dan
mengekori langkah walid.
Aku turut menghantar mereka ke depan pintu. Bersandar,
memerhatikan Naim yang sedang memakai kasutnya.
Entah kenapa aku terasa sebak berpisah dengan ahli
keluargaku. Walaupun sebelum ini aku pernah tinggal di asrama, tetap juga aku merasa
sebak apabila berjauhan dengan keluarga.
“Dah duduk jauh ni, pandai-pandai jaga diri. Jangan mudah
percaya sangat dengan orang yang kita belum kenal. Jaga solat. Jangan pernah
tinggal solat. Solat tu tiang agama. Rajin-rajin juga baca al-quran. Jangan
sesekali kita lalai. Orang yang lalai ni senang diperdaya syaitan. Kalau ada
apa-apa cepat beritahu kami.” Panjang pesanan daripada walid.
Aku menggangguk. Sebak aku tahan. Lain macam pula aku
dengar nasihat walid. Mungkin walid tidak sedap hati aku berjauhan daripada
keluarga. Ah, tapi bukan tidak biasa pun.
“Alah, tak payahlah nak sendu sangat kau ni kak. Macam
tak biasa pulak. Lagipun bukan jauh sangat rumah sewa kau ni dengan rumah
walid. Nanti hujung minggu kau jangan lupa balik tau,” pesan Naim pula.
“Jaga diri baik-baik ya, nak. Jangan lupa telefon umi
selalu.” Umi menyentuh pipi aku dengan lembut.
“Assalamualaikum.” Ucap mereka hampir serentak.
Aku menjawab salam di dalam hati. Pemergian mereka aku
iringi dengan rasa sayu. Entah kenapa aku terlebih sensitif pula malam ni.
Setelah kelibat mereka hilang dari pandangan, aku
masih lagi berdiri di koridor. Memerhatikan laluan yang sunyi dan suram.
Unit-unit rumah kulihat semuanya gelap sahaja seperti tidak berpenghuni. Sudah
tidurkah mereka semua ni?
Cepat-cepat aku masuk semula ke dalam rumah apabila rasa
meremang tiba-tiba. Lampu ruang tamu aku tutup dan membiarkan lampu kecil
menerangi lorong bilik. Azrin sudah tidak nampak bayang. Mungkin sudah masuk ke
dalam biliknya.
Jam di dinding aku kerling. Sudah masuk tengah malam
namun mata aku masih belum mengantuk. Aku masuk ke dalam bilik dan mengunci
pintu bilik. Aku merebahkan badan di atas tilam. Terlambung sedikit tubuhku.
Selesa betul tilam ni sama seperti tilam di bilik aku sendiri.
Aku hampir terlelap apabila tiba-tiba aku ternampak sesusuk
tubuh berdiri memandang ke arah aku dari pantulan jendela bilik. Pantas aku
bangun kerana terkejut. Aku menoleh ke arah pintu. Di situlah aku nampak bayang
itu tadi.Bongkok seperti orang tua! Tapi sekarang tiada sesiapa pun di situ.
Aku berjalan menghampiri tingkap dan menarik langsir menutup jendela. Jendela
di bilik ini jenis yang kalis cahaya jadi jika malam akan memantulkan bayangan
di dalam.
Lampu tidur aku nyalakan sebelum menutup lampu utama.
Beg baju aku buka dan baju tidur kutarik. Langkahku laju menuju ke bilik air. Aku
harus mandi dan solat dahulu sebelum tidur.
Selesai solat aku mengambil al-quran yang memang aku
bawa di dalam beg sandang. Memandangkan mata aku masih belum mahu lelap, lebih baik
aku mengaji. Aku mengambil keputusan membaca surah Yasin malam ini. Ini adalah
satu amalan mudah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Itu pun masih juga gagal
diamalkan oleh seorang muslim.Aku pernah baca satu hadis ni, menurut Ibnu Kasir
dia ada menyatakan secara jelas bahawa setiap perkara sulit atau musibah dan
malapetaka, malah sekiranya kita mengharapkan perkara yang baik-baik, maka
bacalah surah Yasin.Bait-bait Surah Yasin dapat meluruhkan niat-niat jahat
seseorang kerana kekuatan surahYasin itu sendiri dapat menghalau kegigihan
syaitan atau jin kafir yang sedang menggoda manusia untuk melakukan hal hal
yang mengundang dosa.Aku berharap sangat semoga kehadiran aku di rumah ini
dipermudahkan.
Aku mula membaca surah Yasin dengan perlahan. Sungguh
aku kusyuk dalam bacaan aku sendiri apabila tiba-tiba aku mendengar ada suara
mendengus di luar bilik aku. Aku kuatkan sedikit suaraku apabila bacaan aku
sampai pada ayat ke-58 yang membawa maksud ‘Salam sebagai ucapan dari Tuhan yang maha pengasih’.
SALAMUN QAULAM MIR
RABBIR RAHIM
Aku baca ayat yang merupakan jantung surah Yasin itu
dengan sedikit kuat sebanyak tujuh kali. Kemudian aku berhenti seketika. Mata
aku halakan ke bawah pintu bilik, mahu melihat sekiranya ada bayangan dari
celahan pintu. Gelap. Tidak ada cahaya yang tembus masuk. Bukan ke lampu lorong
tengah ni aku biarkan terbuka tadi?
Ah, mungkin perasaan aku sahaja. Aku sambung membaca
surah Yasin. Semakin aku lanjutkan bacaan semakin kuat suara mendengus itu.
Kali ini diikuti bunyi bising di luar bilik. Aku berlari keluar membuka pintu
bilik. Ya Allah, gelapnya. Suis lampu bilik aku buka. Cukuplah cahaya itu
menerangi kawasan ini.
Apa bunyi yang bising tadi? Sungguh aku mendengar
dengan jelas. Tapi keadaan di luar ini tenang sahaja. Pintu bilik Azrin aku
ketuk. Aku panggil nama Azrin dengan kuat apabila tiada sahutan dari dalam.
Tidak lama kemudian, pintu bilik Azrin terbuka.
“Azrin??!!”
No comments:
Post a Comment