Monday, July 01, 2019

Novel - Cantik (Bab 2)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Tajuk : Cantik
Penulis: Yanie Ismail
Penerbit : DearNovels

BAB 2

Wajah nenek itu berkedut seribu seperti usianya sudah hampir mencecah ratusan tahun. Matanya terperosok ke dalam. Tulang pipinya cengkung. Jemari tangannya runcing dan kurus. Bulu romaku tiba-tiba terasa meremang.

Nenek itu masih merenung ke arahku. Kemudian dia tersenyum. Namun senyumannya itu tidak mampu menenangkan hatiku. Senyumannya seperti menyimpan satu muslihat.

“Eh, tak apalah nenek. Saya cari sendiri,” ujarku, tergesa-gesa mahu berlalu.

Belum sempat aku berpaling, terasatanganku dipegang. Sejuk. Aku perhatikan tangan kanan nenek itu kejap memegang pergelangan tanganku. Aku pandang nenek itu, dia berpaling ke hadapan.Tangannya kirinya diangkat dan dia menunjuk ke hadapan. Aku memerhatikan arah yang ditunjuk oleh nenek itu. Sayup-sayup kulihat papantanda nama kondominium yang ingin kupergi itu terpampang di bahagian atas bangunan. Aku menarik nafas lega. Cepat-cepat aku mahu beredar dari situ, tapi nenek itu masih tidak mahu melepaskan tanganku. Dia memandangku dengan sebuah senyuman sinis. Perlahan-lahan pegangan dilepaskan.

Dengan pantas aku mengucapkan terima kasih dan berjalan menuju ke kereta yang kuparkir di bawah pohon berhampiran perhentian bas. Sewaktu melewati beberapa orang yang sedang menunggu aku perasan mereka memandang semacam ke arahku. Wanita yang mula-mula aku tegur tadi memandangku sambil menggeleng-geleng.

“Harapkan muka je cantik tapi tak siuman rupanya.”

Aku berpaling ke arah suara itu. Itu lelaki yang memandang aku semacam tadi. Dia merenungku tajam. Dia bercakap pasal aku ke? Kurang ajar betul cakap aku tak siuman. Langkah pantas kuhayun menuju ke kereta.

Aku sampai di lokasi kondominium dalam setengah jam kemudian. Masuk ke dalam kawasan kondominium ini terbit rasa kagum. Cantik sungguh kawasan kondominium ini. Persekitarannya sunyi, bersih dan nyaman.

Aku mencari petak parkir yang tertera di atas kertas yang diberi oleh pengawal kondominium ini tadi sewaktu aku mendaftar masuk. Kemudian aku mencari lif.

Dari jauh aku melihat satu pintu kaca yang kukira jalan masuk ke kondominium itu.

Aku cuba menolak pintu kaca tersebut tapi tidak boleh dibuka.Terpaksalah aku menanti di situ dengan harapan ada sesiapa yang akan melalui pintu itu.

Tidak lama menunggu, ada sebuah keluarga tiba dan membuka pintu kaca itu menggunakan kad. Aku turut mencelah masuk sebelum pintu tertutup sendiri.

Wah, bagus juga ciri keselamatan di kondiminium ni. Maknanya bukan orang sembarangan boleh masuk ke dalam kawasan ni.

Lif di ruangan ini ada tiga unit namun hanya satu sahaja yang kulihat berfungsi. Itu pun dapat aku teka berdasarkan nyalaan nombor yang tertera di mana lif itu berada.

Ting!

Pintu lif terbuka. Aku mendahului keluarga tadi masuk ke dalam lif. Butang berangka 13A aku tekan. Aku menoleh memandang wanita yang masuk akhir sekali, yang kukira adalah si isteri. Memberi senyuman dan isyarat kening bertanyakan tingkat berapa tujuannya. Memandangkan aku berdiri berhampiran deretan butang bernombor itu, tidak salah sekiranya aku membantu.

Tetapi dia langsung tidak membalas senyumanku, sebaliknya reaksi wajahnya kelihatan pelik melihat nombor yang menyala. Dia kemudian menekan butang bernombor 3. Aku hanya mampu tersenyum hambar memandang kedua pasangan itu. Anak kecilnya dikendong oleh si ayah.

Aku lihat pasangan suami isteri itu berpandangan sesama sendiri kemudian mencuri-curi pandang kepadaku. Dah kenapa dia orang ni? Apa yang pelik pada aku? Aku belek baju yang tersarung dibadan. Elok sahaja tidak terbalik pun. Aku betulkan tudung di kepala. Kemudian aku pandang pasangan suami isteri itu sekali lagi. Keduanya melarikan padangan apabila tertangkap mereka mencuri pandang ke arahku. Aku kemudian menghalakan pandangan melihat nombor di skrin kecil yang semakin menaik.

Pintu lif terbuka ditingkat tiga dan pasangan suami isteri tadi keluar seperti tergesa-gesa. Seperti takutkan sesuatu. Sebelum pintu tertutup sepenuhnya aku melihat si isteri sekali lagi memandang aku dengan pandangan pelik.

Sampai di tingkat 13A aku keluar dari lif. Aku berhenti di hadapan lif sebentar. Jalan mana yang harus aku ambil? Aku keliru mahu mengambil lorong kanan atau kiri. Ah, lorong kanan dululah. Bukan kah di dalam Islam, apa sahaja yang kita lakukan haruslah dimulakan dengan kanan kecuali kalau masuk ke tandas.

Aku mencari-cari nombor rumah seperti yang dimaklumkan oleh tuan rumah. Rumah bernombor 13. Sah aku salah jalan kerana di sebelah kanan semua rumah bernombor genap. Aku berpatah-balik semula. Mata aku halakan ke kiri dan ke kanan melihat setiap unit rumah yang aku lalui. Semua rumah tertutup rapat pintunya. Sunyi! Tingkat 13A ini adalah tingkat yang paling atas di kondominium ini. 13A tu bermaksud tingkat 14. Menurut kepercayaan orang cina nombor 4 itu membawa maksud yang tidak baik, jadi mungkin sebab itu dilabel sebagai A, tekaku.

Aku berjalan di lorong kiri pula. Di sini juga begitu. Sunyi sahaja.

Satu persatu unit rumah aku perhatikan nombornya sehingga aku sampai ke rumah paling hujung. Di sebelah kiriku tertera nombor 13 di pintu rumah. Sah, ini rumah yg aku cari!

Aku berdiri di hadapan pintu rumah bernombor 13 itu. Punat loceng kutekan sekali. Dari luar aku dapat mendengar bunyi loceng sayup-sayup. Aku menunggu seketika. Punat loceng kutekan sekali lagi apabila lima minit sudah berlalu tanpa ada sesiapa yang menyambut kedatanganku. Aku mengeluh, mungkin tuan rumah tiada di rumah. Salah aku juga kerana tidak memaklumkan kedatanganku.

Tiba-tiba aku  mendengar bunyi pagar dibuka. Aku berpaling dan dari jauh aku melihat sesusuk tubuh seperti nenek tua yang sudah bongkok sedang berjalan.

“Er..nek!” panggilku.

Nenek itu langsung tidak berpaling memandangku. Aku mengejar nenek itu. Semakin laju kuberlari semakin jauh nenek itu daripadaku.

“Laju pulak orang tua ni jalan,” rungutku. Sampai di simpang menuju ke lif aku terpinga-pinga kerana nenek itu sudah hilang entah kemana. Mustahil dia sudah turun kerana aku tidak mendengar bunyi lif terbuka.

Adakah nenek tadi turun menggunakan tangga? Hebat betul nenek ni jika masih mampu menuruni tangga.

Pintu kecemasan yang berhampiran dengan lif aku buka dan aku perhatikan bahagian tangga menuju ke tingkat atas dan bawah. Aku merapati tangga dan mengintai ke bawah untuk melihat nenek tadi, tapi tiada bayang pun akan kewujudan nenek itu. Kemana nenek tadi pergi?

Kepala aku dongak memandang ke tingkat atas dari celahan tangga.

Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu. Aku menjadi sedikit pelik, bukan kah tingkat 13A ini adalah tingkat yang paling atas sekali? Jadi tangga ke bahagian atas ini pergi kemana? Aku mendaki beberapa anak tangga sebelum langkahku terhenti. Aku memasang telinga, memang benar aku mendengar bunyi seperti hentakan kasut bergema. Bunyi itu seperti dari atas menuju ke bawah. Bunyi itu seperti orang sedang berlari turun dengan laju.

Terasa meremang bulu romaku tiba-tiba. Pantas aku berlari turun semula dan keluar dari pintu kecemasan yang aku masuk tadi.

Aku mengurut dada dan menarik nafas. Tidak semena-mena nenek itu muncul semula di pandangan mataku. Kali ini dia berjalan semula menuju ke rumahnya tadi. Aku menurut dari belakang. Langkahnya laju. Kali ini aku tidak cuba untuk mengejar. Aku hanya memerhatikan nenek itu hilang disebalik pagar yang terbuka.

Perlahan-lahan aku mendekati unit rumah yang terbuka pagarnya itu tapi pintu di dalam tertutup. Punat loceng kutekan. Tiada tindak balas, kemudian aku masuk ke dalam ruangan kecil dan pintu kuketuk sambil memberi salam. Masih tiada sahutan malah suasana terus menjadi sunyi.

Tidak mahu berfikir yang bukan-bukan, aku berpaling dan melangkah semula ke rumah bernombor 13. Aku cuba mendail nombor telefon pemilik rumah namun masih tiada jawapan. Lantas aku menghantar pesanan ringkas. Memaklumkan kedatanganku.

Aku memerhatikan sekeliling. Agak suram dibahagian hujung ini. Aku melihat pintu kecemasan yang tertutup di sebelah kanan, bertentangan dengan koridor.Bermakna ada dua pintu kecemasan. Satu berdekatan dengan lif dan satu lagi berada di hujung sini. Aku sengaja berjalan ke situ dan cuba membukapintu dan mengintai ke arah tangga.Suram dan gelap keadaan di sini, sama seperti tangga di sebelah sana.

Kali ini aku nekad mahu naik ke tingkat atas. Pintu kecemasan aku renggangkan dan aku sendal menggunakan sebongkah batu bata yang memang ada di situ. Senang untuk aku berlari keluar jika terjadi apa-apa.

Belum sempat anak tangga kupijak, terdengar suara seseorang di belakang. Pantas aku berpaling. Hampir luruh jantungku apabila aku melihat sesusuk tubuh sedang berdiri memerhatikanku. 

Novel - Cantik (Bab 1)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera


Tajuk: Cantik
Penulis : Yanie Ismail
Penerbit: DearNovels

BAB 1 

Akhbar di tangan aku teliti. Ruangan iklan aku perhatikan dan kubaca satu persatu. Yang mana dirasakan sesuai dengan citarasaku dan lokasi yang berdekatan dengan tempat kerja, aku tandakan dengan bentuk bulatanmenggunakan pen marker berwarna merah yang aku pinjam dari Naim.

Sudah seminggu aku menjadi pembelisetia akhbar kecil itu. Tujuan aku hanya satu iaitu mencari bilik kosong untuk disewa. Bukan mudah rupanya mencari bilik yang sesuai dengan citarasa. Aku ni bukanlah jenis yang memilihsangat.Tapi dah alang-alang memilih tu, haruslah aku mencari bilik sewa yang memenuhi citarasaku. Jika boleh aku tidak mahu bilik yang terlalu kecil. Aku mahukan kawasan perumahan yang agak sunyi dan nyaman. Jadi aku harus membuat pilihan dengan bijak dan memilih dengan sebaiknya.

“Semoga kali ini ada rezeki aku,” doaku dalam hati.

“Kak, kau ada ambik beg stationery aku tak?” soal Naim yang masuk kebilik secara tiba-tiba.

Aku mengurut dada. Hai lah dia ni. Tak reti bagi salam ke? Jelingan aku hanya disambut dengan sengihan dari dia.

“Mana ada akak ambik. Kan tadi akak pinjam marker ni pun kau yang ambikkan,” ujarku sambil pandangan mata aku halakan semula menatap akhbar di tangan.

“Kau jangan hilangkan pulak marker tu kak. Dah banyak marker aku kau hilangkan dalam masa seminggu ni.”

Ewah, sempat pula dia perli aku.

“Alah, setakat marker macam ni berapa sen sangatlah. Dengan kakak sendiri pun nak berkira!”

“Kalau dengan kau, kak aku memang tak boleh nak berkira. Tapi aku hanya nasihatkan aje. Peringatan. Kau kan selalu je lupa kat mana kau letak barang. Maklumlah faktor penuaan memang aku tak boleh nak cakap apa kak.”

“Weh!” jeritku.

Dia hanya ketawa sambil melabuhkan punggung di sebelahku. Habis bergoyang katil aku kerana hentakan badan besarnya tu.

Aku meneliti semula akhbar di tangan. Kehadirannya tidak aku pedulikan. Perhatian aku lebih kepada akhbar di tangan. Aku membaca semula petak-petak iklan yang sudah aku tandakan. Hati aku tertarik dengan satu iklan ni. Iklannya sangat ringkas.

 

MENCARI BILIK YANG PRIVACY? HUBUNGI SAYA SEGERA.HANYA ADA SATU KEKOSONGAN!

 

Entah kenapa melihat sahaja perkataan privacy itu sudah menarik minatku. Aku mengambil telefon bimbit, mahu menyalin nombor telefon yang disertakan. Namun belum sempat aku habis menyalin, akhbar ditarik kasar.

“Kau dah dapat rumah yang kau cari ke kak?” soal Naim tanpa mempedulikan jelingan maut yang aku hadiahkan kerana mengganggu aku.

“Belum pilih lagi. Adalah beberapa iklan yang akak rasa sesuai. Tapi akak macam suka je tengok iklan ni.” Aku tunjuk satu iklan yang menarik perhatian aku tadi.

Dia meneliti dan membaca iklan tersebut. Kemudian dia pandang aku. Keningnya berkerut.

“Kau yakin ke kak? Tengoklah iklan ni ringkas semacam je. Kau cuba tengok iklan yang lain. Semua ada dinyatakan serba sedikit ciri-ciri bilik yang diiklankan. Alamat lengkap pun ada. Senang kalau kau nak cari review online. Ini tidak, dibuatnya rumah berhantu ke kan naya!”

Aku bingkas bangun apabila mendengar kata-kata Naim. Pehanya aku pukul. Kemudian aku menyeringai kesakitan. Peha ke besi ni, rungutku.

 “Alah, mungkin tuan rumah nak jimat kut,” kataku, cuba husnudzon. “Buat iklan macam ni kau ingat murah ke?”

“Memanglah tak murah kak. Tapi kalau nak jimat sekali pun, takkanlah ringkas sangat macam ni. Aku tengok pun tak menarik. Sewa bulanan pun tak ditulis. Kalau aku dah pangkah awal-awal ni kak. Kat mana rumah ni?” tanya Naim.

Aku menjungkit bahu. “Akak pun tak pasti. Nilah akak nak cuba tanya. Dah kau pulak sibuk kat sini.”

“Cari rumah lain ajelah kak. Ini kalau tak rumah hantu, entah-entah rumah pembunuh bersiri kut,” kata Naim.

“Eh, kau ni! Kalau kau cakap bukan-bukan lagi akak sumbat mulut kau dengan suratkhabar ni,” ugutku.

Naim ketawa. “Aku bukan apa kak. Zaman sekarang ni kita tak boleh nak percaya semua benda bulat-bulat. Orang yang kita nampak baik tu tak semestinya baik, begitulah juga sebaliknya.”

Aku mengeluh. Ada benarnya juga apa yang dikatakan oleh Naim itu.

“Kau tak rasa pelik ke kak?” tanya Naim.

“Pelik apanya?” jawabku sedikit bengang. Tumpuanku asyik terganggu.

“Yalah, sewa rumah tak diberitahu. Alamat pun tak ada.”

“Ish, kau ni. Banyak tanya pulak. Macam yang akak cakap tadi tulah. Mungkin orang ni nak berjimat. Kan dia dah tulis situ telefon nombor untuk dihubungi. So, telefon ajelah kalau berminat,” kataku.

“Tapi nama pun tak dinyatakan kat sini. Entah siapa-siapa yang tulis iklan ni.” Naim terus membebel.

“Eh kau ni, jangan peningkan kepala akak boleh tak?” marahku.

“Sukahati kau lah kak. Tapi kau tengok ni, siap tulis privacy. Apa yang privacy sangat? Takut aku dengar perkataan tu kak. Macam ada sesuatu. Eii seram!”

Privacy tu mungkin maksudnya suasana rumah yang sunyi. Tiada gangguan. Jiran sebelah menyebelah tak sibuk dan membawang hal dalam kain orang lain,” ujarku sekaligus menyedapkan hati sendiri.

“Kau suka ke macam tu kak? Jiran saling tak mengenal antara satu sama lain? Kalau jadi apa-apa kat kau tak ada siapa pun yang tahu tau. Lepas tu kau jangan lupa kak, kerja kau nanti mesti memerlukan kau kerja lebih masa. Kau tak takut ke nanti balik rumah sorang-sorang? Kau bayangkan kau naik lif sorang-sorang di tengah malam yang sunyi. Tiba-tiba ada satu bau yang sangat busuk. Sedangkan dalam lif tu hanya ada kau seorang.”

Aku kusyuk mendengar pendapat Naim sambil membayangkan suasana seperti itu.

“Lepas tu kau pun tercari-cari dari mana datangnya bau busuk itu. Perlahan-lahan kau menoleh kebelakang.... pom!!”

Serentak itu bahu aku terhenjut, terkejut!

“Aku terkentut la kak. Sakit perut,” dia mengekeh ketawa sambil berlalu pergi.

Hampir terkeluar kata-kata makian dari mulut aku. Hampeh punya adik. Tinggalkan bau busuk kat bilik aku.

Aku mengeluh perlahan. Naim ni buat aku seriau pulak. Ada juga betulnya apa yang diperkatakan oleh Naim tu.

Sekali lagi ruang iklan di akhbar itu aku lihat. Aku berkira-kira samada mahu meneruskan atau tidak. Walaupun tidak dinyatakan lokasi rumah namun perkataan privacyitu sangat menarik perhatian aku.Tidak salah rasanyajika aku tengok keadaan rumah tu dulu. Kalau rasa selesa, apa salahnyaaku menyewa di situ. Kalau tidak, aku carilah rumah lain. Apa susah!

Akhirnya aku nekad mahu mencuba.Aku menyalin semula nombor telefon yang tergendala sebentar tadi ke dalam telefon bimbitku.

Dengan lafaz bismillah, jari aku hala ke arah gambar gagang telefon, namun belum sempat aku menekan apa-apa, telefon bimbitku berbunyi. Aku mengerut dahi. Pelik! Ni nombor yang baru sahaja aku simpan. Bagaimana pula nombor aku boleh didail dari sebelah sana? Adakah tadi tanpa sedar aku telah menekan butang dail dan meninggalkan panggilan tidak berjawab? Eh, mustahil sangat! Aku membiarkan deringan mati dengan sendiri. Nak jawab ke tidak? Dalam aku berkira-kira begitu, telefon bimbitku berbunyi sekali lagi. Panggilan dari nombor yang sama!

“Assalamualaikum,” ucapku sebaik sahaja panggilan aku jawab.

Kedengaran seperti suara berbisik-bisik di sebelah sana.

“Hello.. hello..” panggilku lagi.

Masih kedengaran suara berbisik. Kali ini semakin bingit. Eh, nak bercakap ke tak ni? Segera aku matikan talian kerana telingakuterasa sakit mendengar bunyi itu. Mungkin ada gangguan talian, fikirku.

Kali ini aku pula yang mendail nombor telefon itu. Tiada bunyi deringan. Sunyi. Tiada sebarang bunyi di sebelah sana. Aku mencuba sekali lagi. Masih sama juga. Aku memandang skrin telefon pelik. Talianku matikan.

Telefon bimbit aku letakkan di sisi. Tangan mencapai semula akhbar. Mahu menghubungi pemilik rumah yang lain.

Tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi ringkas menandakan ada pesanan yang masuk.

WhatsApp, ujarku saat telefon aku angkat. Aplikasi itu aku buka. Pemilik rumah yang barusan sahaja menghubungi aku tadi menghantar lokasi melalui google map.

Aku meneliti lokasi yang dikongsi. Dekat kawasan bandar ini juga. Jadi tidaklah terlalu jauh dari rumah umi. Yang paling seronok, lokasi itu dekat dengan tempat kerja aku.

Aku membalas pesanan itu dengan bertanyakan harga sewa bulanan yang dikenakan dan berapa bulan deposit yang harus aku dahulukan.

Aku sabar menunggu jawapan dari sebelah sana. Senyap. Tiada tanda menaip atau sebagainya.

Sabar Aisha, bisikku sekadar memujuk diri sendiri.

Sepuluh minit berlalu, namun masih tiada balasan. Eh, lama pula dia ni nak balas mesej aku. Aku cuba mendail nombor telefon pemilik rumah itu sekali lagi namun seperti tadi, tiada langsung bunyi di sebelah sana.

Aku cuba menaip nama kondominium yang kongsikan oleh pemilik rumah tadi di carian google. Tetapi satu artikel mahupun gambar tentang kondominium itu tidak aku temui. Mungkin kondominium itu baru sahaja siap, tekaku.

Perlu ke aku pergi lihat keadaan rumah tu dulu? Kalau aku pergi hari ini pun apa salahnya memandangkan aku tidak ada aktiviti apa-apa sepanjang hari ini, fikirku. Aku nekad mahu melihat rumah itu hari ini juga.

Setelah meminta izin dari umi aku pun memandu ke tempat tersebut berpandukan lokasi yang dihantar oleh tuan rumah.Tidak aku khabarkan kepada pemilik rumah akan kedatanganku. Pelawaan Naim untuk menemani aku tolak. Nanti lagi bermacam-macam benda mengarut yang dicakapnya.

Setengah jam memandu, aku rasakan aku sudah sesat jalan. Berpusing-pusing aku mencari lokasi tempat itu dan berkali-kali juga aku berpusing di tempat yang sama. Peta yang tertera di telefon bimbit aku perhatikan. Eh, kenapa senyap tak ada arah ni? Haih, aku mengeluh.

Kereta aku perlahankan apabila tiba di satu perhentian bas. Di perhentian bas itu aku melihat ada beberapa orang sedang menunggu. Aku mengambil keputusan untuk bertanyakan arah. Mungkin aku sudah hampir di kawasan lokasi cuma bangunan sahaja yang belum aku temui.

Aku cuba menegur seorang wanita yang sedang asyik memerhatikan telefon bimbit sambil tersenyum-senyum. Namun kehadiran aku tidak dilayan, hanya sebuah jelingan yang kuterima. Aku mengalihkan pandangan ke arah seorang lelaki yang sedang berdiri bersandar di tiang perhentian bas itu. Lelaki itu tersengih-sengih memandang aku semacam. Terus aku batalkan niat untuk bertanya.

Di hujung perhentian bas itu, kulihat seorang tua yang sudah agak bongkok sedang duduk membelakangi jalan raya. Orang tua itu aku dekati.

“Assalamualaikum nenek. Er, nenek tahu tak tempat ni kat mana?” tanyaku seraya menunjukkan peta lokasi di telefon bimbitku.

Orang tua yang kupanggil nenek tadi menoleh ke arahku. Aku terundur beberapa langkah ke belakang kerana terkejut melihat wajah nenek itu. 

Novel - Cantik (Blurb)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera



Tajuk : Cantik
Karya : Yanie Ismail
Penerbit : DearNovels

BLURB 

Diam, itulah satu-satu jalan yang aku rasakan terbaik.

“Sudikah awak jadi kawan saya?” Azrin bertanya tanpa memalingkan wajah. Aku tahu soalan itu ditujukan untukku.

 “Boleh tak kalau kita jadi kawan selamanya?” tanyanya lagi.

Aku angguk.

“Boleh tak kalau kita bersama selamanya?” soalnya lagi.

Okay, aku sudah mula rasa lain macam dengan pertanyaan Azrin.

 “Tolong saya Aisha. Janji dengan saya yang awak takkan tinggalkan saya walau apapun yang terjadi. Janji yang kita akan bersama selamanya. Janji yang kita tidak terpisah walau maut sekalipun menjemput.”

Aku sedikit kurang senang dengan kata-kata Azrin.

“Janji?” desak Azrin, sambil menghulurkan jari kelingkingnya. Wajahku ditenung dalam-dalam.

Dalam keadaan serba salah aku akhirnya mengikat janji dengan Azrin.

Dalam samar aku lihat Azrin tersenyum. Eh, itu bukan senyum tapi lebih kepada menyeringai. “Jangan mungkir janji tau!”

 Tanpa Aisha sedar, perjanjian yang difikirkannya biasa-biasa itu rupanya menuntut sebuah pengorbanan berdarah. Apakah perjanjian antara Aisha dan Azrin sebenarnya? 



Saturday, June 01, 2019

Cerpen - Terowong

Assalamualaikum & Salam Sejahtera


Terowong
Oleh: Aryanie Ismail
(Disiarkan di page Arkeb Angker Negara)
Suatu malam, aku melalui terowong yang satu itu. Ya terowong itu. Terowong yang gelap, kelam dan menakutkan. Terowong yang sudah lama tidak dilalui oleh sesiapa. Terowong yang banyak kisah demi kisah diceritakan tentangnya.
Ya terowong yang itulah! Entah kenapa malam ini aku begitu berani melalui terowong itu. Keberanian yang entah dari mana datangnya. Mungkin dek kerana desakan fikiran yang sudah sempit dengan cerita-cerita orang tentang terowong itu.
Ya, malam ini aku ingin tahu apa yang ada di terowong itu. Kenapa terowong itu sangat ditakuti oleh orang? Kenapa terowong itu menjadi momokan ibu bapa kepada anak-anak mereka? Seolah-olah di dalam terowong itu ada sesuatu menakutkan sedang memerhatikan sesiapa jua yang melalui jalan ini.
Demi mencari sebuah kebenaran, aku di sini. Berdiri di tengah-tengah laluan terowong itu. Tiada apa yang dapat kulihat di terowong itu hanya kegelapan yang pekat. Tiada sedikit pun cahaya yang menerangi terowong itu. Adakah penghuni di dalam sana? Bertekadkan azam aku harus melalui terowong ini. Terowong yang dikatakan sangat misteri sehingga sesiapa yang melalui terowong ini tidak akan menemui jalan kembali.
Dengan lafaz bismillah aku menghayun langkah, dimulai dengan kaki kanan. Aku mula membelah kegelapan terowong yang menyeramkan itu. Setelah agak jauh ke dalam terowong, aku berdiri. Kaku. Retina mataku mula mengembang, sedikit demi sedikit menzahirkan suasana di dalam terowong itu.
Suasana di dalam terowong itu sunyi sahaja. Tiada sesiapa di situ. Tiada haiwan merayap mencari makanan. Tiada pengemis jalanan yang tidur di sepanjang terowong seperti di terowong-terowong yang lain. Terowong ini berbeza sama sekali. Senyap. Sunyi. Gelap gelita. Dari jauh kedengaran lolongan anjing. Seram. Meremang.
Aku meneruskan langkah. Pandanganku tertancap secara tiba-tiba ke suatu arah. Di situ terlihat sepasang mata merah menyala sedang merenung ke arahku. Mata merah itu menyala tanpa berkerdip sedikitpun.
Aku menghayun langkah dengan lebih laju. Ingin keluar segera dari terowong yang menakutkan itu. Larianku lurus sahaja. Aku menoleh ke belakang, sepasang mata merah itu mengikuti gerak langkahku.
Aku semakin cemas. Larianku semakin laju, dan laju. Di belakangku, kedengaran derapan tapak kaki mengejarku seiring dengan rentak larianku. Aku berlari dan terus berlari. Dup dap dup dap, degup jantungku.
Destinasi larianku tidak jelas. Yang aku tahu, aku harus berlari dan terus berlari kerana di belakang, sesuatu sedang mengejarku. Aku terus berlari sehingga samar-samar, nun di hujung kelihatan satu bulatan cahaya. Aku yakin di situ penghujung terowong ini. Bermakna itu jalan keluar buatku. Bulatan cahaya itu semakin membesar ketika aku semakin menghampiri. Aku menjerit kegembiraan.
BEBERAPA MALAM SEBELUM..

Aku menzahirkan rasa kepada teman serumahku. Padanya aku katakan bahawa aku teringin melalui terowong itu.
“Kau jangan jadi bodoh. Kau dah gila ke?" katanya memarahiku.
Aku hanya tersenyum. Ya, mungkin juga aku sudah gila. Gila kerana asakkan rasa ingin tahu. Aku benar-benar penasaran untuk mengetahui rahsia yang tersimpan di terowong itu.
“Kau pasti tidak akan kembali apabila melalui terowong itu," tambahnya lagi.
Percaya atau tidak, kata-katanya itu membuatkan rasa ingin menerokai terowong itu semakin menggebu dalam diri. Diam-diam angan-angan kupasang, terowong itu pasti akan kulalui suatu hari nanti.
“Kau jangan berangan-angan nak masuk dalam terowong itu.” Dia masih cuba memberi amarah kepadaku.
Aku tergelak kecil kerana teman serumahku seakan mengerti apa yang ada di dalam fikiranku. Wajahnya dengan mata yang dijegilkan aku perhatikan. Terbit senyuman di bibirku.
“Sayang jugak kau dengan aku ya,” tuturku, masih tersenyum.
“Mestilah. Kau kan kawan baik aku. Janji, yang kau tidak akan masuk dalam terowong tu,” katanya. Jari kelingkingnya dihulur kepadaku.
Serba salah aku mahu menuturkan janji kerana aku tahu, suatu hari pasti janji itu akan aku mungkiri.
Dia memandangku tajam. Seakan memaksa aku mengikat janji.
“Yalah. Aku tak akan masuk dalam terowong tu,” kataku, akhirnya.
“Janji dulu.” Dia masih tidak berpuas hati.
Aku mengeluh perlahan. Lambat-lambat jari kelingkingnya kupaut dengan jari kelingkingku. Menzahirkan sebuah perjanjian. Dalam hati sempat aku berniat bahawa aku tidak akan berpegang kepada janji ini.
“Kalau kau pergi juga, aku doakan semoga tubuh kau akan diratah oleh makhluk yang menyeramkan!”
Aku tersentak mendengar kata-katanya. Kata-kata itu seperti satu sumpahan. Andai aku mungkiri, mungkinkah sumpahan itu akan berlaku? Ah, karut semua itu. Aku cuba berfikir secara rasional.
Makhluk apa yang mungkin tinggal di dalam terowong itu? Di zaman yang serba moden begini, bagiku semua itu tidak benar. Jika ada makhluk yang mendiami terowong itu, tidak lain tidak bukan adalah manusia yang cuba menakut-nakutkan orang ramai. Yang mahu menjadikan terowong itu sebagai tempat mereka. Tempat melakukan sesuatu yang salah di sisi undang-undang. Aku sangat yakin tentang itu.

MALAM BERIKUTNYA,
aku berlari dan terus berlari sehingga sampai di hadapan rumah. Bajuku lencun dibasahi peluh. Di pagar aku berdiri seketika, membiarkan angin malam menyapa tubuh sekaligus memberi rasa nyaman. Peluh di dahi kukesat. Aku membetulkan pakaian dan mengemaskan diriku yang sedikit berantakan gara-gara berlari tadi.
Dengan ucapan salam, pintu rumah kubuka. Di situ, di atas sofa teman serumahku sedang berbaring. Gelak tawanya kedengaran. Seronok benar dia berbual-bual dengan seseorang di sebelah sana. Salamku langsung tidak dijawabnya. Aku mendekati. Menguit telinganya. Serentak dia bangun dan menepis sesuatu di telinga.
Wajahnya kebingungan memandang sekeliling. Aku hanya tergelak melihat ulahnya yang kurasakan lucu.
Dia kemudian baring semula dan menyambung perbualan yang terhenti. Aku terus berlalu masuk ke dalam bilik. Ingin membersihkan diri dan seterusnya berehat sahaja di dalam bilik.
Jam sudah hampir pukul 2 pagi.
Setelah membersihkan diri aku duduk menghadap cermin. Menyikat rambut yang masih belum sempurna keringnya. Melihat pantulan diriku di cermin. Wajahku pucat. Sejuk kerana berembun dan mandi di pagi buta begini.
Tiba-tiba ku rasakan ada angin menyapa wajahku. Di cermin ku lihat rambutku yang panjang terbuai-buai ditiup angin. Dari mana datangnya angin yang tiba-tiba itu? Tidak sedap perasaan hatiku. Aku bangkit kerana terkejut. Tiupan angin itu hanya disekitar wajahku.
Bilikku tidak kubuka penghawa dingin mahupun kipas. Hanya membiarkan sekeping tingkap terbuka. Tingkap itu ditutupi langsir yang disingkap separuh. Di situ tidak ada tanda-tanda angin yang berhembus, tapi kenapa seluruh tubuhku terasa kedinginan? Menggigil-gigil aku menahan rasa sejuk yang menjalar ke tulang hitam. Rasa sejuk itu datangnya dari hujung kaki dan seterusnya naik hingga ke kepala. Terduduk aku menahan gigil. Dengan merangkak aku menghampiri katil dan memanjat ke atas katil. Selimut aku tarik dan aku mengerekot menahan kesejukan. Aku terasa ingin menjerit memanggil teman serumahku tapi aku tidak berdaya untuk membuka mulut. Sudahnya mata ku pejam rapat sambil berharap kedingin pagi ini cepat berlalu.

MALAM ini, di sini, di lorong terowong ini aku berdiri. Ya, sekali lagi. Seakan tidak serik setelah apa yang berlaku ke atasku semalam. Terowong yang gelap dan kelam itu aku perhatikan. Rasa hati seakan ditarik-tarik agar aku segera masuk ke dalam terowong.
Langkah kaki aku hayun masuk ke dalam terowong. Kali ini aku nekad untuk tidak melarikan diri. Aku mahu berhadapan dengan apa juga makhluk yang cuba menakutkanku semalam.
Dalam kepekatan malam, aku tegap berdiri. Kali ini aku lebih bersedia. Aku mengeluarkan lampu suluh kecil yang memang aku bawa. Punatnya kutekan. Pandanganku lebih meluas kali ini. Sorotan lampu kuhalakan ke bawah. Aku memandang kanan dan kiri. Bayangan tubuhku terbias di dinding terowong. Namun ada sesuatu yang menyentap perasaanku. Di belakangku, ada satu lagi bayang-bayang besar. Rapat. Aku membalikkan tubuh dan menghalakan lampu suluh ke arah belakang. Tiada apa di situ.
Sorotan lampu suluhku hanya menyorot dedaunan yang bertiup kencang di pintu terowong.
Aku membalikkan tubuh semula. Pandangan aku halakan ke suatu arah. Arah di mana aku melihat sepasang mata merah semalam. Tapi kali ini mata itu tidak muncul. Mungkinkah takut dengan cahaya lampu suluhku? Aku mematikan lampu suluh dan berdiam seketika. Tidak lama kemudian aku mendengar seperti ada pergerakan. Arahnya dari atas di bumbung terowong. Pandangan aku halakan ke atas. Bunyi deraman semakin jelas. Pantas lampu suluh kuhalakan ke atas dan punat kecil kutekan. Di situ, jelas kelihatan seekor lembaga besar berbulu hitam sedang merenungku tajam. Mulutnya ternganga memperlihatkan gigi taring yang berkarat.
Tanpa menunggu lebih lama, terus aku hayun langkah berlari. Kali ini aku tahu tujuanku ke mana. Aku harus cepat sampai ke hujung terowong dan seterusnya keluar dari terowong yang menakutkan itu. Begitu aku hampir mendekati cahaya putih itu aku terdengar bunyi erangan. Lampu suluh ku halakan ke arah itu.
Tergamam aku apabila melihat ada susuk tubuh seseorang sedang diratah oleh lembaga hitam yang besar seperti yang ku lihat tadi. Tiba-tiba lembaga itu menoleh memandangku. Mata merahnya terus-terusan merenungku. Teragak-agak aku mahu melangkah. Tubuh yang sedang dikoyak-koyakkan itu masih cuba menggapai tangan. Sepertinya meminta bantuan. Aku tidak tahu mahu berbuat apa. Bila sahaja lembaga besar itu mahu menerkam ke arahku, terus sahaja aku berlari tanpa menoleh ke belakang lagi.

SAMPAI sahaja di rumah, terus sahaja aku masuk ke dalam bilik. Di birai katil aku melabuhkan punggung. Wajah ku tekap dengan telapak tangan yang kencang gigilannya. Terasa ingin menangis tapi airmataku enggan mengalir. Aku bangkit, berjalan ke hulu ke hilir dengan lemah. Masih terbayang peristiwa ngeri semalam, menyebabkan malam ini aku tidak punyai keberanian untuk masuk ke dalam terowong itu.
Hanya sekadar berlegar di pintu terowong. Peristiwa semalam amat jelas di mataku. Tubuh yang sedang kesakitan itu sedaya upaya cuba untuk meloloskan diri. Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu menghulurkan bantuan. Aku sendiri ketakutan, menjadi orang yang pentingkan diri, berusaha melepaskan diri sendiri.
Aku keluar dari bilik, menuju ke bilik teman serumah. Pintu biliknya ku ketuk kuat sambil melaungkan nama teman serumahku. Tiada sahutan. Aku keliru. Buntu. Tanganku menggigil. Aku berdiri mundar mandir di hadapan pintu bilik teman serumahku.
Tiba-tiba daun pintu terbuka. Aku hampir terjerit kecil. Di hadapanku berdiri susuk tubuh teman serumahku. Keadaan dirinya tidak terurus. Matanya sembab.
“Kau kenapa ni?” soalku.
Namun dia tidak mengendahkanku. Memandang padaku pun tidak, apatah lagi menjawab pertanyaanku. Dia terus berlalu menuju ke bilik air. Langkahnya aku ekori. Aku mundar mandir pula di hadapan pintu bilik air.
Tidak lama kemudian teman serumahku keluar dari bilik air. Mukanya basah. Esakan kecil kedengaran.
“Ya Allah, kau dah kenapa ni? Cuba cerita kepada aku. Weh, kenapa kau menangis ni? Apa yang dah berlaku?” soalku bertalu-talu.
Risau melihat keadaan dirinya yang seperti sedang dalam dilema besar. Namun dia masih tidak mengacuhkan keberadaan di situ. Terus sahaja langkah kakinya menonong mahu masuk ke dalam bilik.
“Nur Ain binti Salehuddin!” Nama penuhnya ku jerit.
Langkahnya terhenti. Kemudian dia berpaling. Pandangannya kosong. Tiba-tiba dia mencebik-cebik dan mula menangis. Aku kaku. Tidak tahu mahu berbuat apa. Berasa pelik melihat kelakuan teman serumahku. Dia yang ku tahu adalah seorang yang periang. Ini pertama kali aku melihat keadaan dirinya seperti ini. Putus cinta? Atau bergaduh dengan teman lelakinya? Bukan aku tidak kenal teman lelaki teman serumahku itu. Panas baran!
“Ana, kenapa kau tinggalkan aku? Kau suka biarkan aku sendirian macam ni kan? Kenapa kau layan aku macam ni? Kita kan kawan baik. Selama ni kau selalu berkongsi masalah kau dengan aku tapi kenapa sekarang ni kau lain? Kau berbeza. Kenapa Ana, kenapa?” Esak tangis teman serumahnya semakin mendayu.
Aku menghampiri. Perlahan bahunya ku sentuh. Dia tersentak. Menapak beberapa tapak ke belakang.
“Apa yang kau merepek ni Ain? Aku ada di sini. Masih di sini bersama kau. Aku tidak pernah rahsiakan sesuatu daripada kau,” ujarku. Aku menggigit bibir, rasa bersalah atas penipuanku.
“Okay, okay. Aku mengaku aku ada tipu kau. Aku masuk ke dalam terowong tu Ain. Aku tak endahkan nasihat kau. Tapi aku berjaya keluar. Sudah dua kali aku lepas tapi ada sesuatu yang harus aku beritahu pada kau.” Aku pandang Ain. Dia berdiri sahaja di situ, hanya esak tangis sahaja yang kedengaran.
“Ya, betul kata kau. Terowong itu didiami oleh satu makhluk, eh bukan satu. Aku jumpa dua ekor. Seekor bermata merah menyala. Seekor lagi matanya berwarna hitam. Rupa makhluk itu sangat menakutkan. Hari pertama aku masuk ke terowong itu, aku dikejar oleh makhluk bermata merah itu. Kali kedua pula, aku jumpa makhluk bermata hitam. Hari ini, kali ketiga aku cuba untuk masuk ke dalam terowong itu namun aku tidak punya keberanian. Hanya berlegar-legar di hadapan terowong. Aku cuba mencari laluan lain untuk ke hujung terowong sebelah sana namun tidak berjaya. Penat aku cuba memanjat bukit namun aku tidak jumpa di mana pengakhiran terowong itu sedangkan sudah dua kali aku berjaya meloloskan diri. Aku tidak ingat laluan mana yang aku ikut untuk pulang ke rumah.” Aku sedikit beremosi. Rasa sebak ku tahan.
Dia masih mendiamkan diri. Berdiri kaku.
“Yang paling menakutkan, aku melihat makhluk bermata merah itu sedang meratah tubuh seorang manusia. Aku.. aku takut! Aku tidak nampak rupa manusia itu tapi aku sedih kerana aku tidak berjaya membantu orang itu. Tolong aku, Ain. Teman aku pergi balai polis buat aduan. Mahkhluk jahanam itu patut dihapuskan.
Bagaimana cara menghapuskannya aku tidak tahu. Yang penting sekarang ni, kau kena ikut aku pergi balai polis.” Aku berdiri di hadapan Ain.
“Aku sayangkan kau, Ana. Kau kawan baik aku dunia akhirat.”
Sebaik sahaja dia berkata begitu, dia terus masuk ke dalam bilik dan menghempas pintu bilik.
Aku terkaku. Kenapa dia berkelakuan begitu? Adakah dia marah kerana aku menipunya? Pintu bilik ku ketuk dan namanya kulaung. Senyap. Sunyi.
Tahulah aku bahawa dia masih marah lagi denganku. Aku masuk semula ke dalam bilik. Perlukah aku pergi ke balai polis sendirian? Apa yang akan ku katakan kepada pegawai polis? Mahukah mereka percaya akan ceritaku? Aku menggaru kepala. Aku membaringkan tubuh di atas tilam. Terlentang sambil mataku memandang siling bilik. Entah bila, aku akhirnya terlena.

AKU terjaga dari lena. Mendengar suara tangisan di luar bilik. Aku bangkit dan berjalan keluar. Di situ, di ruang tamu kulihat ibu sedang ditenangkan oleh ayah. Ahli keluargaku semua sudah berada di sini. Sejak bila mereka sampai?
Apa yang berlaku? Kenapa mereka semua menangis? Ada kematiankah? Aku duduk mendekat.
“Kenapa ni? Apa yang berlaku?” soalku.
Ibu menghalakan pandangan ke arahku. “Ana, kemana kau pergi nak?”
“Ana ada kat sini mak. Ana tak ke mana-mana,” jawabku.
“Kenapa kau degil Ana? Kan aku dah larang kau pergi ke terowong tu!” Kali ini Ain bersuara. Tiada rasa marah dari nada suaranya. Hanya rasa sedih dan terkilan.
“Kau masih merajuk dengan aku, Ain?” soalku, teringat kelakuan pelik teman serumahku semalam.
“Aku sebenarnya marah dengan kau Ana! Aku cukup terkilan kerana kau tak dengar nasihat aku. Aku sayangkan kau, Ana. Tapi kenapa kau masih pergi juga ke terowong tu! Kau degil Ana! Degil! ” Ain sudah meraung. Terjelepok terduduk di sisi ibuku.
Belum sempat aku menghampiri, Ain sudah dipeluk oleh ibuku.
“Maafkan aku, Ain. Aku salah. Aku tak patut masuk ke dalam terowong tu. Aku cuma nak tahu apa yang ada di dalam tu. Sekarang aku dah tahu, ada makhluk menghuni terowong tu. Makhluk tu sangat kejam. Kita perlu lapurkan kepada pihak berkuasa. Tindakan harus diambil.” Kelam kabut aku berdiri. Aku harus yakinkan Ain dan seluruh keluargaku akan kewujudan makhluk itu.
Tiba-tiba suara orang memberi salam kedengaran. Ayah menyambut kedatangan tetamu tersebut. Aku menarik nafas lega melihat dua orang pegawai polis masuk ke dalam rumah. Yakin bahawa kedatangan pegawai polis itu adalah mahu mengambil keterangan dariku. Dalam hati aku berterima kasih kepada Ain kerana bertindak awal memanggil pegawai polis.
Wajah pegawai polis itu kelihatan muram. Dia kemudian menyerahkan satu sampul berukuran A4 berwarna coklat kepada ayah. Aku lihat ayah menyambut dengan teragak-agak. Ayah menjenguk ke dalam sampul. Aku lihat mata ayah merah.
Kemudian isi di dalam sampul coklat itu dimuntahkan di atas meja. Aku tergamam. Tidak mungkin!

SUATU MALAM, aku berjalan ke dalam terowong dengan tenang. Kali ini aku tidak perlukan bantuan cahaya lampu suluh kerana retina mataku sudah biasa dengan suasana kelam begini.
Sepertinya kegelapan malam sudah sebati dengan hidupku. Aku rasa tenang di dalam terowong ini. Tiada lagi rasa ketakutan. Tiada lagi rasa ingin mencari jalan keluar dari terowong ini. Tapi sampai bila pengakhiran hayatku di sini? Sampai bila aku akan terkurung di sini? Aku melabuhkan punggung di kerusi yang sebelum ini tidak pernah aku tahu akan kewujudannya di dalam terowong ini. Suasana di dalam terowong ini tidak seperti sewaktu aku mula-mula masuk ke dalamnya.
Di sana sini ku lihat lembaga berkeliaran tidak tentu arah. Mereka kelaparan, mahu mencari mangsa. Tiba-tiba air liurku terasa bergenang di dalam mulut. Perutku mula berkeroncong. Sudah berapa hari aku tidak makan? Entahlah aku seakan masih belum dapat membezakan fantasi dan realiti. Siapa aku sebenarnya kini? Apa gelaran yang aku sandang? Pontianak? Drakula? Memori lama mengimbau dalam fikiran….

SUATU MALAM, aku nekad untuk meneruskan pencarian misteri terowong ini. Aku harus mencari jawapan makhluk kejam apakah yang aku temui di dalam terowong ini? Yang menghisap darah dan meratah daging manusia.
Kali ini aku membawa lampu minyak tanah. Lampu yang ku jumpa di dalam bilik stor di rumah yang ku sewa bersama temanku Ain. Kuraih keberanian dengan membayangkan kekejaman makhluk itu. Aku merasakan apa yang kulakukan ini adalah suatu jihad.
Seperti hari-hari sebelumnya aku akan berdiri di tengah-tengah terowong, meninjau keadaan sekeliling. Lampu minyak tanah aku angkat tinggi menerangi ruang terowong. Sunyi. Sepi. Makhluk yang kulihat sebelum ini tidak kelihatan di mana-mana.
Aku meneruskan perjalanan. Perjalanan ku kali ini lancar sahaja dan akhirnya aku sampai di hujung terowong. Di situ aku nampak makhluk hitam berbulu itu sedang meratah seorang manusia. Kali ini siapakah mangsanya? Masih adakah lagi manusia yang melalui terowong ini? Aku mendekat. Cuba berlagak berani. Aku tahu makhluk yang hidup di dalam kegelapan, pasti takut dengan cahaya terang dari lampu yang kubawa. Makhluk bermata merah itu menoleh memandangku. Di mulutnya terdapat cebisan daging. Dikunyahnya dengan rakus. Semakin aku menghampiri, makhluk bermata merah itu berganjak menjauh. Tubuh manusia yang sudah kaku itu dalam keadaan tertiarap. Badannya berlumuran darah. Kedua tangannya telah tiada. Dirobek dan mungkin sudah ditelan oleh makhluk bermata merah itu. Aku terbatuk-batuk. Menahan hanyirnya bau darah.
Aku perhatikan makhluk bermata merah itu sudah berjalan ke dalam terowong, hilang di sebalik kegelapan.
Perlahan-lahan aku menduduki tubuh kaku itu. Lampu minyak tanah aku letakkan di lantai. Hidung dan mulut aku tutup dengan tangan kanan. Tangan kiriku menggapai tubuh yang tidak sempurna itu. Aku balikkan tubuh itu. Tergamam aku melihat wajah itu. Wajah itu aku kenal. Aku terduduk. Mengengsot ke belakang. Tidak percaya.
“Tidak! Semua ini tidak benar! Tidak!” aku menjerit kuat. Meraung aku di situ semahunya.
Tidak percaya bahawa tubuh yang kaku itu adalah aku sendiri! Rupanya aku tidak pernah berjaya keluar dari terowong ini. Aku tewas sejak dari mula aku melangkah ke dalam terowong maut ini. Aku sedih. Aku kecewa. Namun masa tidak mampu aku putar kembali. Aku tidak pernah mahu mendengar kata-kata Ain.
Sumpahan Ain supaya aku dimakan oleh makhluk menakutkan akhirnya menjadi kenyataan. Tidak, aku tidak marah kepada Ain. Tidak sedikit pun. Dia mengucapkan kata-kata itu sebenarnya adalah sebuah penegasan di atas larangannya. Memang bertujuan menakutkanku. Tapi aku bodoh. Aku tidak endahkan larangannya.
Teringat aku akan keluargaku yang kesedihan atas kehilanganku. Teringat mata merah ayah menahan tangis. Maafkan Ana, ayah. Maafkan Ana, ibu. Ana sudah mengecewakan kalian berdua.
Rupanya kedatangan pegawai polis itu adalah bertujuan membawa barangan aku yang terjatuh di pintu laluan terowong. Sedangkan tubuhku tidak pernah dijumpai. Ain yang mengkhabarkan kehilanganku kepada orang tuaku dan seterusnya mereka melaporkan kehilanganku di balai polis.
Malam ini, aku pasrah. Menerima suratan hidupku. Aku cuma sedikit keliru. Aku tidak berbuat salah. Tetapi kenapa rohku masih bergentayangan di dalam terowong ini? Adakah kerana mayatku tidak disempurnakan?
Kamu, ya kamu yang sedang membaca kisahku ini. Tolong aku! Tolong khabarkan kepada orang di luar sana bahawa aku masih di sini. Carilah tubuh badanku yang masih tersisa di hujung terowong ini. Tolong aku! Jika tidak, aku doakan semoga tubuh kamu juga akan diratah oleh makhluk yang menyeramkan!

Cerpen - Siapa Itu

Assalamualaikum & Salam Sejahtera
Tajuk : Siapa Itu
Penulis : Aryanie Ismail

Deringan telefon di atas meja mengganggu sedikit konsentrasi Badri yang leka membuat kerjanya. Dia memandang sekilas pada skrin telefon bimbitnya untuk melihat nama si pemanggil. Tanpa menjawab panggilan itu, dia meneruskan kerjanya yang tertangguh sebentar tadi.

Tidak lama kemudian, interkomnya pula berbunyi. Dengan perasaan yang sedikit geram, Badri menjawab panggilan.

“Wei,tahulah engkau tu sibuk. Tapi takkan sampai tak ada masa nak makan!” tegur suara di hujung talian.

Pantas Badri melihat jam yang tergantung di dinding biliknya. Hmm..patutlah Zamri mencarinya. Mahu mengajaknya makan tengah hari. Badri tergelak kecil.

“Okaylah aku turun sekarang.” ujarnya sambil menutup komputer riba di atas meja.

Pintu bilik segera dikunci. Di luar dilihatnya tiada sesiapa. Semua pekerja telah keluar makan rupanya. Langkah kaki dihayun laju menuruni anak tangga. Kalau mahu tunggu lif, alamat membebellah Zamri nanti.

“Huh..busy betul kau ya Bad?” tegur Syukur.

“Sorrylah beb. Aku tak perasan dah waktu makan.” Badri memohon maaf di atas kelewatannya itu.

“So, kita nak makan kat mana ni?” soal Badri.

“Makan kat kantin sahajalah. Kau orang berdua ada plan nak makan kat mana-mana ke?” Soal Syukur pula. Dia hanya mencadangkan, sekiranya kedua sahabatnya mahu makan di luar, dia mengikut sahaja.

“Aku pun rasa kita makan kat kantin ajelah. Nak keluar hari pun panas.” Zamri menyokong usul Syukur.
Mereka bertiga berjalan menuju ke kantin yang terletak di bahagian timur bangunan. Makanan di sini murah dan sedap juga. Cuma mereka jarang makan di sini kerana pilihan makanannya agak terhad.
Setelah mengambil makanan masing-masing, mereka makan sambil bercerita.

“Eh, kau orang pernah nampak hantu tak?” tanya Syukur tiba-tiba.
Badri tersedak. Segera air suam di atas meja dicapai dan diteguk rakus. Lega!

“Apalah kau ni Syukur. Mana ada hantu dalam dunia ni!” tegas Badri sambil ketawa mengejek. Entah apa kena Syukur hari ni, tiba-tiba buka cerita pasal hantu pula.

Nasib baik tak tersembur makanan di dalam mulutnya tadi.

“Aku pun mula-mula tak percaya. Minggu lepas aku tengok sendiri dengan mata kepala aku ni.” bersungguh-sungguh Syukur bercerita.

“Yeke? Kat mana kau nampak” Soal Zamri. Dia kelihatan teruja mendengar cerita Syukur.

“Kat pejabat kita ni lah.” Syukur berbisik. Bimbang sekiranya cerita ini didengar oleh orang lain. Bukan apa, takut menimbulkan ketakutan di kalangan pekerja apatah lagi pekerja wanita.

“Apalah kau orang ni. Cerita macam tu pun nak percaya. Yang kau ni Syukur, entah ya entah tidak yang kau nampak tu hantu. Bayangan kau aje tu!” bantah Badri. Dia memang cukup tidak suka mendengar cerita-cerita hantu yang baginya semua karut. Kalau adapun hantu, mereka di dunia mereka. Mana boleh masuk ke dalam dunia kita.

“Kau memang tak percaya ada hantu ke atau kau tak mahu percaya? Kau ni penakut juga agaknya.” Serentak Syukur dan Zamri ketawa. Badri terasa panas telinga.

“Heh, tolong sikit! Aku tak percaya benda karut ni. Kalau betul hantu tu ada, kenapa selama ni aku tak pernah kena kacau pun?” Badri berkata dengan angkuh.

“Kau jangan cakap takbur Bad.” Syukur mengingatkan.

“Bukanlah aku takbur. Tapi kalau aku jumpa hantu tu, aku ajak dia join aku sekali.

Tolong aku buat kerja aku yang melambak tu.” Badri sudah mengekek ketawa.

“Lantak engkaulah. Bila kau kena nanti, padan muka!” malas Syukur mahu melayan keegoan Badri.

SEORANG demi seorang pekerja meninggalkan bangunan pejabat. Badri masih lagi sibuk menyiapkan laporan kewangan syarikat. Sebagai seorang akauntan, setiap akhir bulan dia harus menyediakan laporan kewangan sepanjang bulan itu kepada bosnya. Tapi kali ini kerjanya lebih rumit lagi kerana dia harus menyediakan laporan tahunan kewangan. Minggu depan akan ada pembentangan. Terpaksalah dia bertungkus lumus dan bersiap sedia dengan sebarang soalan yang akan dikemukakan oleh bosnya nanti. Badri melirik jam yang tergantung di dinding pejabatnya. Lantas gagang telefon diangkat serta menekan tiga nombor di badan telefon.
“Zam, kau balik pukul berapa nanti?” tanya Badri.

“Sekejap lagi aku nak balik dah ni. Kau pula?”

“Aku mungkin lambatlah Zam. Keje aku tak siap lagi ni.” beritahu Badri. Leher yang terasa sengal dipicit dengan jari jemari.

“Habis nanti kau balik macamana?” soal Zamri pula.

Badri menepuk dahi. Dia terlupa yang minggu ini giliran Zamri membawa kereta. Memang sejak menjadi rakan serumah, apatah lagi bekerja di tempat yang sama, mereka sering berkongsi kereta ke tempat kerja.

“Hmm..aku terlupa pula kau yang bawa kereta hari ni. Tak apalah, nanti aku telefon teksi aje.” ujar Badri.

Setengah jam kemudian, pintu biliknya diketuk dan tidak lama kemudian wajah Zamri terjongol di muka pintu
“Bad, aku nak balik dah ni. Aku ingat aku tumpang Syukur je. Kau bawalah kereta aku.” Zamri meletakkan kunci keretanya di atas meja Badri.

“Kau biar betul ni Zam. Kau ni memang kawan yang baik. Thanks.” puji Badri.

“Baru kau tahu? Aku kesiankan kau. Nanti balik lambat, susah nak dapat teksi. Okaylah aku chow dulu. Jangan stay lama-lama sangat tau. Aku seriau juga dengar cerita Syukur tadi.” nasihat Zamri. Bimbang juga dia dengan keselamatan Badri. Bukan tidak pernah mereka bekerja lewat, tapi selalunya pasti bersama-sama.

“Engkau ni Zam. Tak habis-habis nak percaya dengan perkara karut macam tu. Kau jangan risaulah, tak ada hantu yang berani kacau aku. Kalau aku jumpa hantu tu, aku akan suruh dia tolong aku buat kerja. Sekurang-kurangnya aku ada teman.” ujar Badri mengulangi kata-katanya siang tadi.

“Kau ni Bad. Jangan takbur sangat.” Zamri muak dengan perangai Badri yang suka cakap lepas itu.

BADRI meneruskan kerjanya dengan tekun. Suasana persekitaran sunyi sepi sahaja. Tiba-tiba Badri berdiri tegak. Telinganya menangkap bunyi di luar ruang pejabatnya. Pen di tangan diletakkan di atas meja dengan perlahan tanpa mengeluarkan bunyi. Dengan langkah berjaga-jaga dia keluar dari bilik. Tiada sesiapa di luar. Badri menggeleng kepala. Perasaannya sahaja rupanya. Dia menapak ke pantri. Cadangnya mahu membuat air milo panas. Biar segar sedikit.

Sewaktu membuat air, Badri perasaan ada seseorang sedang memerhatikannya dari belakang. Dengan pantas Badri menoleh. Tiada sesiapa! Badri tidak puas hati, dia menapak keluar dan mencari kelibat yang dilihatnya tadi di ruang legar pejabat. Tiada sesiapa.

Badri berpusing kebelakang mahu masuk semula ke pejabat apabila tiba-tiba dia melihat Milah, rakan sekerjanya yang bekerja di tingkat bawah, kini berada di ruang penyambut tetamu. Segera Badri mendekati.

“Milah, kau tak balik lagi ke?” tegur Badri.

Milah hanya membisu. Kepalanya ditundukkan.

“Milah, aku bercakap dengan kau ni, bukan dengan tunggul!” marah Badri apabila Milah tidak menjawab pertanyaannya.

Milah masih seperti tadi. Membisu dan menunduk. Zamri menjadi semakin bengang.

“Hish..memang gilalah kau ni. Aku macam bercakap dengan hantu aje.” Badri menghamburkan lagi kemarahannya.

Tiba-tiba Badri menekup hidungnya. Busuknya. Bau apa ni? Ni mesti si Milah ni. Tuduhnya.

“Kau ni tak mandi ke Milah? Busuk betul bau badan kau ni. Tak tahulah aku macamana laki kau boleh dekat dengan kau!” Badri mengutuk lagi. Dia memang terkenal di kalangan kawan-kawan sebagai seorang yang bermulut lepas. Sesiapa yang tidak biasa dengannya pasti akan terasa hati dengan setiap kutukannya.

Badri tergesa-gesa masuk ke dalam semula. Dia menyambung semula kerjanya namun bau busuk itu masih mengekorinya. Kerana tidak tahan, Badri mengambil keputusan untuk pulang sahaja. Duduk lama di sini pun bukannya dia boleh buat kerja. Dalam hati berbakul sumpah seranahnya pada Milah.

Sewaktu melewati ruang penyambut tetamu, dilihatnya Milah sudah tiada. Namun bau busuk tersebut masih kuat berlegar di ruang pejabat. Cepat-cepat Badri mengunci pintu dan berlalu pergi.

Badri meraba poket seluarnya mencari kunci kereta yang dipinjamkan oleh Zamri kepadanya tadi. Kemudian beg kerjanya pula diselongkar apabila dia tidak menemukan kunci kereta Zamri. Kemudian dia menepuk dahi. Kunci tersebut tertinggal atas meja. Ini semua Milah hantu ni punya pasal. Makinya lagi.

Badri menapak semula ke pejabat. Dengan pantas dia menggapai kunci kereta. Sebaik sahaja dia berpaling, Badri tersentak sambil mengurut dada.

“Hantu betul kau ni Milah!” marahnya kerana terperanjat apabila Milah tiba-tiba pula muncul di hadapannya. Milah hanya menunduk sahaja.

“Aku dah nak balik ni.” beritahu Badri. Kemudian dia teringat sesuatu. “Kau dari mana ni? Tadi aku dah kunci pintu pejabat ni. Aku ingat kau dah balik. Takkanlah aku terkunci kau pulak dalam ni tadi?” tanya Badri curiga. Milah tetap diam.

“Suka hati kaulah Milah!” Badri bosan dengan kebisuan Milah. Dia berjalan keluar sambil diikuti oleh Milah di belakangnya. Badri semakin hairan kerana sampai di kereta, Milah masih lagi mengekorinya.

“Kau nak tumpang aku balik ke?” tegur Badri. Kasihan pula melihat Milah yang pulang sendirian. “Dahlah, cepat masuk!”

Di dalam kereta Milah diam seribu bahasa. Badri hanya mampu menahan nafas dan menyumpah dalam diam kerana bau busuk mengitari ruang kereta. Cermin kereta diturunkan sedikit.

“Aku tak tahu rumah kau kat mana Milah. Suami kau tak jemput kau ke?” soal Badri.

Milah hanya menggeleng. Tangannya diluruskan ke depan.

“Kau nak turun kat depan tu? Eh kau biar betul ni Milah. Dah dekat pukul 12 malam ni. Kawasan perumahan jauh kat depan sana. Aku turunkan kau kat sana nanti.” Badri membuat keputusan.

Namun Milah tetap menggeleng dan tangannya masih diluruskan ke hadapan.

Badri mengeluh “Suka hati kaulah. Nanti jadi apa-apa jangan tuduh aku pulak.” Badri geram dengan kedegilan Milah. Walaupun dia kurang suka dengan Milah, namun dia bukanlah sekejam itu mahu meninggalkan Milah sendirian di tempat sunyi begini.

Sebelum turun, Milah sempat menepuk bahu Badri tanda terima kasih. Badri kemudian memecut pergi.

“Dah balik?” tegur Zamri sebaik sahaja Badri melangkah ke dalam rumah. Badri melabuhkan punggung di sofa, melepaskan kepenatan.

“Kerja kau dah siap ke? Cepatnya. Betullah si hantu dah menolong kau buat kerja ni?” Zamri mengekek ketawa.

“Siap apanya! Si Milah tadi mengganggu aku. Bau badan dia busuk betul tak tahan aku.” kutuk Badri lagi.

“Milah?” soal Zamri kebingungan.

“Yalah si Milah tu. Pastu tumpang aku balik tadi, minta aku turunkan dia kat kawasan sunyi dan sepi jauh dari kawasan perumahan. Gila ke apa?” cerita Badri.

“Kau gila ke apa Bad? Bukan ke si Milah tu cuti bersalin dah 2 minggu.”

Kenyataan Zamri menyentak semangat Badri. Tiba-tiba bahunya terasa pedih. Dia melihat di bahunya terdapat kesan lebam. Tadi Milah yang menepuknya. Tapi itu bukan Milah. Siapa? Badri terus jatuh terkulai di atas sofa.