Saturday, June 01, 2019

Cerpen - Terowong

Assalamualaikum & Salam Sejahtera


Terowong
Oleh: Aryanie Ismail
(Disiarkan di page Arkeb Angker Negara)
Suatu malam, aku melalui terowong yang satu itu. Ya terowong itu. Terowong yang gelap, kelam dan menakutkan. Terowong yang sudah lama tidak dilalui oleh sesiapa. Terowong yang banyak kisah demi kisah diceritakan tentangnya.
Ya terowong yang itulah! Entah kenapa malam ini aku begitu berani melalui terowong itu. Keberanian yang entah dari mana datangnya. Mungkin dek kerana desakan fikiran yang sudah sempit dengan cerita-cerita orang tentang terowong itu.
Ya, malam ini aku ingin tahu apa yang ada di terowong itu. Kenapa terowong itu sangat ditakuti oleh orang? Kenapa terowong itu menjadi momokan ibu bapa kepada anak-anak mereka? Seolah-olah di dalam terowong itu ada sesuatu menakutkan sedang memerhatikan sesiapa jua yang melalui jalan ini.
Demi mencari sebuah kebenaran, aku di sini. Berdiri di tengah-tengah laluan terowong itu. Tiada apa yang dapat kulihat di terowong itu hanya kegelapan yang pekat. Tiada sedikit pun cahaya yang menerangi terowong itu. Adakah penghuni di dalam sana? Bertekadkan azam aku harus melalui terowong ini. Terowong yang dikatakan sangat misteri sehingga sesiapa yang melalui terowong ini tidak akan menemui jalan kembali.
Dengan lafaz bismillah aku menghayun langkah, dimulai dengan kaki kanan. Aku mula membelah kegelapan terowong yang menyeramkan itu. Setelah agak jauh ke dalam terowong, aku berdiri. Kaku. Retina mataku mula mengembang, sedikit demi sedikit menzahirkan suasana di dalam terowong itu.
Suasana di dalam terowong itu sunyi sahaja. Tiada sesiapa di situ. Tiada haiwan merayap mencari makanan. Tiada pengemis jalanan yang tidur di sepanjang terowong seperti di terowong-terowong yang lain. Terowong ini berbeza sama sekali. Senyap. Sunyi. Gelap gelita. Dari jauh kedengaran lolongan anjing. Seram. Meremang.
Aku meneruskan langkah. Pandanganku tertancap secara tiba-tiba ke suatu arah. Di situ terlihat sepasang mata merah menyala sedang merenung ke arahku. Mata merah itu menyala tanpa berkerdip sedikitpun.
Aku menghayun langkah dengan lebih laju. Ingin keluar segera dari terowong yang menakutkan itu. Larianku lurus sahaja. Aku menoleh ke belakang, sepasang mata merah itu mengikuti gerak langkahku.
Aku semakin cemas. Larianku semakin laju, dan laju. Di belakangku, kedengaran derapan tapak kaki mengejarku seiring dengan rentak larianku. Aku berlari dan terus berlari. Dup dap dup dap, degup jantungku.
Destinasi larianku tidak jelas. Yang aku tahu, aku harus berlari dan terus berlari kerana di belakang, sesuatu sedang mengejarku. Aku terus berlari sehingga samar-samar, nun di hujung kelihatan satu bulatan cahaya. Aku yakin di situ penghujung terowong ini. Bermakna itu jalan keluar buatku. Bulatan cahaya itu semakin membesar ketika aku semakin menghampiri. Aku menjerit kegembiraan.
BEBERAPA MALAM SEBELUM..

Aku menzahirkan rasa kepada teman serumahku. Padanya aku katakan bahawa aku teringin melalui terowong itu.
“Kau jangan jadi bodoh. Kau dah gila ke?" katanya memarahiku.
Aku hanya tersenyum. Ya, mungkin juga aku sudah gila. Gila kerana asakkan rasa ingin tahu. Aku benar-benar penasaran untuk mengetahui rahsia yang tersimpan di terowong itu.
“Kau pasti tidak akan kembali apabila melalui terowong itu," tambahnya lagi.
Percaya atau tidak, kata-katanya itu membuatkan rasa ingin menerokai terowong itu semakin menggebu dalam diri. Diam-diam angan-angan kupasang, terowong itu pasti akan kulalui suatu hari nanti.
“Kau jangan berangan-angan nak masuk dalam terowong itu.” Dia masih cuba memberi amarah kepadaku.
Aku tergelak kecil kerana teman serumahku seakan mengerti apa yang ada di dalam fikiranku. Wajahnya dengan mata yang dijegilkan aku perhatikan. Terbit senyuman di bibirku.
“Sayang jugak kau dengan aku ya,” tuturku, masih tersenyum.
“Mestilah. Kau kan kawan baik aku. Janji, yang kau tidak akan masuk dalam terowong tu,” katanya. Jari kelingkingnya dihulur kepadaku.
Serba salah aku mahu menuturkan janji kerana aku tahu, suatu hari pasti janji itu akan aku mungkiri.
Dia memandangku tajam. Seakan memaksa aku mengikat janji.
“Yalah. Aku tak akan masuk dalam terowong tu,” kataku, akhirnya.
“Janji dulu.” Dia masih tidak berpuas hati.
Aku mengeluh perlahan. Lambat-lambat jari kelingkingnya kupaut dengan jari kelingkingku. Menzahirkan sebuah perjanjian. Dalam hati sempat aku berniat bahawa aku tidak akan berpegang kepada janji ini.
“Kalau kau pergi juga, aku doakan semoga tubuh kau akan diratah oleh makhluk yang menyeramkan!”
Aku tersentak mendengar kata-katanya. Kata-kata itu seperti satu sumpahan. Andai aku mungkiri, mungkinkah sumpahan itu akan berlaku? Ah, karut semua itu. Aku cuba berfikir secara rasional.
Makhluk apa yang mungkin tinggal di dalam terowong itu? Di zaman yang serba moden begini, bagiku semua itu tidak benar. Jika ada makhluk yang mendiami terowong itu, tidak lain tidak bukan adalah manusia yang cuba menakut-nakutkan orang ramai. Yang mahu menjadikan terowong itu sebagai tempat mereka. Tempat melakukan sesuatu yang salah di sisi undang-undang. Aku sangat yakin tentang itu.

MALAM BERIKUTNYA,
aku berlari dan terus berlari sehingga sampai di hadapan rumah. Bajuku lencun dibasahi peluh. Di pagar aku berdiri seketika, membiarkan angin malam menyapa tubuh sekaligus memberi rasa nyaman. Peluh di dahi kukesat. Aku membetulkan pakaian dan mengemaskan diriku yang sedikit berantakan gara-gara berlari tadi.
Dengan ucapan salam, pintu rumah kubuka. Di situ, di atas sofa teman serumahku sedang berbaring. Gelak tawanya kedengaran. Seronok benar dia berbual-bual dengan seseorang di sebelah sana. Salamku langsung tidak dijawabnya. Aku mendekati. Menguit telinganya. Serentak dia bangun dan menepis sesuatu di telinga.
Wajahnya kebingungan memandang sekeliling. Aku hanya tergelak melihat ulahnya yang kurasakan lucu.
Dia kemudian baring semula dan menyambung perbualan yang terhenti. Aku terus berlalu masuk ke dalam bilik. Ingin membersihkan diri dan seterusnya berehat sahaja di dalam bilik.
Jam sudah hampir pukul 2 pagi.
Setelah membersihkan diri aku duduk menghadap cermin. Menyikat rambut yang masih belum sempurna keringnya. Melihat pantulan diriku di cermin. Wajahku pucat. Sejuk kerana berembun dan mandi di pagi buta begini.
Tiba-tiba ku rasakan ada angin menyapa wajahku. Di cermin ku lihat rambutku yang panjang terbuai-buai ditiup angin. Dari mana datangnya angin yang tiba-tiba itu? Tidak sedap perasaan hatiku. Aku bangkit kerana terkejut. Tiupan angin itu hanya disekitar wajahku.
Bilikku tidak kubuka penghawa dingin mahupun kipas. Hanya membiarkan sekeping tingkap terbuka. Tingkap itu ditutupi langsir yang disingkap separuh. Di situ tidak ada tanda-tanda angin yang berhembus, tapi kenapa seluruh tubuhku terasa kedinginan? Menggigil-gigil aku menahan rasa sejuk yang menjalar ke tulang hitam. Rasa sejuk itu datangnya dari hujung kaki dan seterusnya naik hingga ke kepala. Terduduk aku menahan gigil. Dengan merangkak aku menghampiri katil dan memanjat ke atas katil. Selimut aku tarik dan aku mengerekot menahan kesejukan. Aku terasa ingin menjerit memanggil teman serumahku tapi aku tidak berdaya untuk membuka mulut. Sudahnya mata ku pejam rapat sambil berharap kedingin pagi ini cepat berlalu.

MALAM ini, di sini, di lorong terowong ini aku berdiri. Ya, sekali lagi. Seakan tidak serik setelah apa yang berlaku ke atasku semalam. Terowong yang gelap dan kelam itu aku perhatikan. Rasa hati seakan ditarik-tarik agar aku segera masuk ke dalam terowong.
Langkah kaki aku hayun masuk ke dalam terowong. Kali ini aku nekad untuk tidak melarikan diri. Aku mahu berhadapan dengan apa juga makhluk yang cuba menakutkanku semalam.
Dalam kepekatan malam, aku tegap berdiri. Kali ini aku lebih bersedia. Aku mengeluarkan lampu suluh kecil yang memang aku bawa. Punatnya kutekan. Pandanganku lebih meluas kali ini. Sorotan lampu kuhalakan ke bawah. Aku memandang kanan dan kiri. Bayangan tubuhku terbias di dinding terowong. Namun ada sesuatu yang menyentap perasaanku. Di belakangku, ada satu lagi bayang-bayang besar. Rapat. Aku membalikkan tubuh dan menghalakan lampu suluh ke arah belakang. Tiada apa di situ.
Sorotan lampu suluhku hanya menyorot dedaunan yang bertiup kencang di pintu terowong.
Aku membalikkan tubuh semula. Pandangan aku halakan ke suatu arah. Arah di mana aku melihat sepasang mata merah semalam. Tapi kali ini mata itu tidak muncul. Mungkinkah takut dengan cahaya lampu suluhku? Aku mematikan lampu suluh dan berdiam seketika. Tidak lama kemudian aku mendengar seperti ada pergerakan. Arahnya dari atas di bumbung terowong. Pandangan aku halakan ke atas. Bunyi deraman semakin jelas. Pantas lampu suluh kuhalakan ke atas dan punat kecil kutekan. Di situ, jelas kelihatan seekor lembaga besar berbulu hitam sedang merenungku tajam. Mulutnya ternganga memperlihatkan gigi taring yang berkarat.
Tanpa menunggu lebih lama, terus aku hayun langkah berlari. Kali ini aku tahu tujuanku ke mana. Aku harus cepat sampai ke hujung terowong dan seterusnya keluar dari terowong yang menakutkan itu. Begitu aku hampir mendekati cahaya putih itu aku terdengar bunyi erangan. Lampu suluh ku halakan ke arah itu.
Tergamam aku apabila melihat ada susuk tubuh seseorang sedang diratah oleh lembaga hitam yang besar seperti yang ku lihat tadi. Tiba-tiba lembaga itu menoleh memandangku. Mata merahnya terus-terusan merenungku. Teragak-agak aku mahu melangkah. Tubuh yang sedang dikoyak-koyakkan itu masih cuba menggapai tangan. Sepertinya meminta bantuan. Aku tidak tahu mahu berbuat apa. Bila sahaja lembaga besar itu mahu menerkam ke arahku, terus sahaja aku berlari tanpa menoleh ke belakang lagi.

SAMPAI sahaja di rumah, terus sahaja aku masuk ke dalam bilik. Di birai katil aku melabuhkan punggung. Wajah ku tekap dengan telapak tangan yang kencang gigilannya. Terasa ingin menangis tapi airmataku enggan mengalir. Aku bangkit, berjalan ke hulu ke hilir dengan lemah. Masih terbayang peristiwa ngeri semalam, menyebabkan malam ini aku tidak punyai keberanian untuk masuk ke dalam terowong itu.
Hanya sekadar berlegar di pintu terowong. Peristiwa semalam amat jelas di mataku. Tubuh yang sedang kesakitan itu sedaya upaya cuba untuk meloloskan diri. Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu menghulurkan bantuan. Aku sendiri ketakutan, menjadi orang yang pentingkan diri, berusaha melepaskan diri sendiri.
Aku keluar dari bilik, menuju ke bilik teman serumah. Pintu biliknya ku ketuk kuat sambil melaungkan nama teman serumahku. Tiada sahutan. Aku keliru. Buntu. Tanganku menggigil. Aku berdiri mundar mandir di hadapan pintu bilik teman serumahku.
Tiba-tiba daun pintu terbuka. Aku hampir terjerit kecil. Di hadapanku berdiri susuk tubuh teman serumahku. Keadaan dirinya tidak terurus. Matanya sembab.
“Kau kenapa ni?” soalku.
Namun dia tidak mengendahkanku. Memandang padaku pun tidak, apatah lagi menjawab pertanyaanku. Dia terus berlalu menuju ke bilik air. Langkahnya aku ekori. Aku mundar mandir pula di hadapan pintu bilik air.
Tidak lama kemudian teman serumahku keluar dari bilik air. Mukanya basah. Esakan kecil kedengaran.
“Ya Allah, kau dah kenapa ni? Cuba cerita kepada aku. Weh, kenapa kau menangis ni? Apa yang dah berlaku?” soalku bertalu-talu.
Risau melihat keadaan dirinya yang seperti sedang dalam dilema besar. Namun dia masih tidak mengacuhkan keberadaan di situ. Terus sahaja langkah kakinya menonong mahu masuk ke dalam bilik.
“Nur Ain binti Salehuddin!” Nama penuhnya ku jerit.
Langkahnya terhenti. Kemudian dia berpaling. Pandangannya kosong. Tiba-tiba dia mencebik-cebik dan mula menangis. Aku kaku. Tidak tahu mahu berbuat apa. Berasa pelik melihat kelakuan teman serumahku. Dia yang ku tahu adalah seorang yang periang. Ini pertama kali aku melihat keadaan dirinya seperti ini. Putus cinta? Atau bergaduh dengan teman lelakinya? Bukan aku tidak kenal teman lelaki teman serumahku itu. Panas baran!
“Ana, kenapa kau tinggalkan aku? Kau suka biarkan aku sendirian macam ni kan? Kenapa kau layan aku macam ni? Kita kan kawan baik. Selama ni kau selalu berkongsi masalah kau dengan aku tapi kenapa sekarang ni kau lain? Kau berbeza. Kenapa Ana, kenapa?” Esak tangis teman serumahnya semakin mendayu.
Aku menghampiri. Perlahan bahunya ku sentuh. Dia tersentak. Menapak beberapa tapak ke belakang.
“Apa yang kau merepek ni Ain? Aku ada di sini. Masih di sini bersama kau. Aku tidak pernah rahsiakan sesuatu daripada kau,” ujarku. Aku menggigit bibir, rasa bersalah atas penipuanku.
“Okay, okay. Aku mengaku aku ada tipu kau. Aku masuk ke dalam terowong tu Ain. Aku tak endahkan nasihat kau. Tapi aku berjaya keluar. Sudah dua kali aku lepas tapi ada sesuatu yang harus aku beritahu pada kau.” Aku pandang Ain. Dia berdiri sahaja di situ, hanya esak tangis sahaja yang kedengaran.
“Ya, betul kata kau. Terowong itu didiami oleh satu makhluk, eh bukan satu. Aku jumpa dua ekor. Seekor bermata merah menyala. Seekor lagi matanya berwarna hitam. Rupa makhluk itu sangat menakutkan. Hari pertama aku masuk ke terowong itu, aku dikejar oleh makhluk bermata merah itu. Kali kedua pula, aku jumpa makhluk bermata hitam. Hari ini, kali ketiga aku cuba untuk masuk ke dalam terowong itu namun aku tidak punya keberanian. Hanya berlegar-legar di hadapan terowong. Aku cuba mencari laluan lain untuk ke hujung terowong sebelah sana namun tidak berjaya. Penat aku cuba memanjat bukit namun aku tidak jumpa di mana pengakhiran terowong itu sedangkan sudah dua kali aku berjaya meloloskan diri. Aku tidak ingat laluan mana yang aku ikut untuk pulang ke rumah.” Aku sedikit beremosi. Rasa sebak ku tahan.
Dia masih mendiamkan diri. Berdiri kaku.
“Yang paling menakutkan, aku melihat makhluk bermata merah itu sedang meratah tubuh seorang manusia. Aku.. aku takut! Aku tidak nampak rupa manusia itu tapi aku sedih kerana aku tidak berjaya membantu orang itu. Tolong aku, Ain. Teman aku pergi balai polis buat aduan. Mahkhluk jahanam itu patut dihapuskan.
Bagaimana cara menghapuskannya aku tidak tahu. Yang penting sekarang ni, kau kena ikut aku pergi balai polis.” Aku berdiri di hadapan Ain.
“Aku sayangkan kau, Ana. Kau kawan baik aku dunia akhirat.”
Sebaik sahaja dia berkata begitu, dia terus masuk ke dalam bilik dan menghempas pintu bilik.
Aku terkaku. Kenapa dia berkelakuan begitu? Adakah dia marah kerana aku menipunya? Pintu bilik ku ketuk dan namanya kulaung. Senyap. Sunyi.
Tahulah aku bahawa dia masih marah lagi denganku. Aku masuk semula ke dalam bilik. Perlukah aku pergi ke balai polis sendirian? Apa yang akan ku katakan kepada pegawai polis? Mahukah mereka percaya akan ceritaku? Aku menggaru kepala. Aku membaringkan tubuh di atas tilam. Terlentang sambil mataku memandang siling bilik. Entah bila, aku akhirnya terlena.

AKU terjaga dari lena. Mendengar suara tangisan di luar bilik. Aku bangkit dan berjalan keluar. Di situ, di ruang tamu kulihat ibu sedang ditenangkan oleh ayah. Ahli keluargaku semua sudah berada di sini. Sejak bila mereka sampai?
Apa yang berlaku? Kenapa mereka semua menangis? Ada kematiankah? Aku duduk mendekat.
“Kenapa ni? Apa yang berlaku?” soalku.
Ibu menghalakan pandangan ke arahku. “Ana, kemana kau pergi nak?”
“Ana ada kat sini mak. Ana tak ke mana-mana,” jawabku.
“Kenapa kau degil Ana? Kan aku dah larang kau pergi ke terowong tu!” Kali ini Ain bersuara. Tiada rasa marah dari nada suaranya. Hanya rasa sedih dan terkilan.
“Kau masih merajuk dengan aku, Ain?” soalku, teringat kelakuan pelik teman serumahku semalam.
“Aku sebenarnya marah dengan kau Ana! Aku cukup terkilan kerana kau tak dengar nasihat aku. Aku sayangkan kau, Ana. Tapi kenapa kau masih pergi juga ke terowong tu! Kau degil Ana! Degil! ” Ain sudah meraung. Terjelepok terduduk di sisi ibuku.
Belum sempat aku menghampiri, Ain sudah dipeluk oleh ibuku.
“Maafkan aku, Ain. Aku salah. Aku tak patut masuk ke dalam terowong tu. Aku cuma nak tahu apa yang ada di dalam tu. Sekarang aku dah tahu, ada makhluk menghuni terowong tu. Makhluk tu sangat kejam. Kita perlu lapurkan kepada pihak berkuasa. Tindakan harus diambil.” Kelam kabut aku berdiri. Aku harus yakinkan Ain dan seluruh keluargaku akan kewujudan makhluk itu.
Tiba-tiba suara orang memberi salam kedengaran. Ayah menyambut kedatangan tetamu tersebut. Aku menarik nafas lega melihat dua orang pegawai polis masuk ke dalam rumah. Yakin bahawa kedatangan pegawai polis itu adalah mahu mengambil keterangan dariku. Dalam hati aku berterima kasih kepada Ain kerana bertindak awal memanggil pegawai polis.
Wajah pegawai polis itu kelihatan muram. Dia kemudian menyerahkan satu sampul berukuran A4 berwarna coklat kepada ayah. Aku lihat ayah menyambut dengan teragak-agak. Ayah menjenguk ke dalam sampul. Aku lihat mata ayah merah.
Kemudian isi di dalam sampul coklat itu dimuntahkan di atas meja. Aku tergamam. Tidak mungkin!

SUATU MALAM, aku berjalan ke dalam terowong dengan tenang. Kali ini aku tidak perlukan bantuan cahaya lampu suluh kerana retina mataku sudah biasa dengan suasana kelam begini.
Sepertinya kegelapan malam sudah sebati dengan hidupku. Aku rasa tenang di dalam terowong ini. Tiada lagi rasa ketakutan. Tiada lagi rasa ingin mencari jalan keluar dari terowong ini. Tapi sampai bila pengakhiran hayatku di sini? Sampai bila aku akan terkurung di sini? Aku melabuhkan punggung di kerusi yang sebelum ini tidak pernah aku tahu akan kewujudannya di dalam terowong ini. Suasana di dalam terowong ini tidak seperti sewaktu aku mula-mula masuk ke dalamnya.
Di sana sini ku lihat lembaga berkeliaran tidak tentu arah. Mereka kelaparan, mahu mencari mangsa. Tiba-tiba air liurku terasa bergenang di dalam mulut. Perutku mula berkeroncong. Sudah berapa hari aku tidak makan? Entahlah aku seakan masih belum dapat membezakan fantasi dan realiti. Siapa aku sebenarnya kini? Apa gelaran yang aku sandang? Pontianak? Drakula? Memori lama mengimbau dalam fikiran….

SUATU MALAM, aku nekad untuk meneruskan pencarian misteri terowong ini. Aku harus mencari jawapan makhluk kejam apakah yang aku temui di dalam terowong ini? Yang menghisap darah dan meratah daging manusia.
Kali ini aku membawa lampu minyak tanah. Lampu yang ku jumpa di dalam bilik stor di rumah yang ku sewa bersama temanku Ain. Kuraih keberanian dengan membayangkan kekejaman makhluk itu. Aku merasakan apa yang kulakukan ini adalah suatu jihad.
Seperti hari-hari sebelumnya aku akan berdiri di tengah-tengah terowong, meninjau keadaan sekeliling. Lampu minyak tanah aku angkat tinggi menerangi ruang terowong. Sunyi. Sepi. Makhluk yang kulihat sebelum ini tidak kelihatan di mana-mana.
Aku meneruskan perjalanan. Perjalanan ku kali ini lancar sahaja dan akhirnya aku sampai di hujung terowong. Di situ aku nampak makhluk hitam berbulu itu sedang meratah seorang manusia. Kali ini siapakah mangsanya? Masih adakah lagi manusia yang melalui terowong ini? Aku mendekat. Cuba berlagak berani. Aku tahu makhluk yang hidup di dalam kegelapan, pasti takut dengan cahaya terang dari lampu yang kubawa. Makhluk bermata merah itu menoleh memandangku. Di mulutnya terdapat cebisan daging. Dikunyahnya dengan rakus. Semakin aku menghampiri, makhluk bermata merah itu berganjak menjauh. Tubuh manusia yang sudah kaku itu dalam keadaan tertiarap. Badannya berlumuran darah. Kedua tangannya telah tiada. Dirobek dan mungkin sudah ditelan oleh makhluk bermata merah itu. Aku terbatuk-batuk. Menahan hanyirnya bau darah.
Aku perhatikan makhluk bermata merah itu sudah berjalan ke dalam terowong, hilang di sebalik kegelapan.
Perlahan-lahan aku menduduki tubuh kaku itu. Lampu minyak tanah aku letakkan di lantai. Hidung dan mulut aku tutup dengan tangan kanan. Tangan kiriku menggapai tubuh yang tidak sempurna itu. Aku balikkan tubuh itu. Tergamam aku melihat wajah itu. Wajah itu aku kenal. Aku terduduk. Mengengsot ke belakang. Tidak percaya.
“Tidak! Semua ini tidak benar! Tidak!” aku menjerit kuat. Meraung aku di situ semahunya.
Tidak percaya bahawa tubuh yang kaku itu adalah aku sendiri! Rupanya aku tidak pernah berjaya keluar dari terowong ini. Aku tewas sejak dari mula aku melangkah ke dalam terowong maut ini. Aku sedih. Aku kecewa. Namun masa tidak mampu aku putar kembali. Aku tidak pernah mahu mendengar kata-kata Ain.
Sumpahan Ain supaya aku dimakan oleh makhluk menakutkan akhirnya menjadi kenyataan. Tidak, aku tidak marah kepada Ain. Tidak sedikit pun. Dia mengucapkan kata-kata itu sebenarnya adalah sebuah penegasan di atas larangannya. Memang bertujuan menakutkanku. Tapi aku bodoh. Aku tidak endahkan larangannya.
Teringat aku akan keluargaku yang kesedihan atas kehilanganku. Teringat mata merah ayah menahan tangis. Maafkan Ana, ayah. Maafkan Ana, ibu. Ana sudah mengecewakan kalian berdua.
Rupanya kedatangan pegawai polis itu adalah bertujuan membawa barangan aku yang terjatuh di pintu laluan terowong. Sedangkan tubuhku tidak pernah dijumpai. Ain yang mengkhabarkan kehilanganku kepada orang tuaku dan seterusnya mereka melaporkan kehilanganku di balai polis.
Malam ini, aku pasrah. Menerima suratan hidupku. Aku cuma sedikit keliru. Aku tidak berbuat salah. Tetapi kenapa rohku masih bergentayangan di dalam terowong ini? Adakah kerana mayatku tidak disempurnakan?
Kamu, ya kamu yang sedang membaca kisahku ini. Tolong aku! Tolong khabarkan kepada orang di luar sana bahawa aku masih di sini. Carilah tubuh badanku yang masih tersisa di hujung terowong ini. Tolong aku! Jika tidak, aku doakan semoga tubuh kamu juga akan diratah oleh makhluk yang menyeramkan!

No comments: