Thursday, January 28, 2021

Novel - Adelia (Bab 7)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Tajuk : Adelia
Penulis : Aryanie Ismail
Penerbit: DearNovels

BAB 7

PAK MAT melepaskan lelah setelah selesai menyiapkan kerja-kerja memotong rumput. Di waktu malam begini, penglihatannya agak terbatas. Badannya mula terasa sakit-sakit.

Dari tadi dia tidak habis berfikir tentang lembaga hitam berbulu yang mengganggunya di bilik stor tadi.

Bukan tidak pernah dia melihat makhluk itu. Makhluk itu yang sering mengganggu dia dan isterinya. Dia boleh tahu melalui bau yang muncul setiap kali makhluk berbulu itu datang.

Tapi dia tak sangka makhluk itu ada di sini juga. Di rumah agam ini.

Dia tidak takut, tetapi lebih kepada risau. Risau memikirkan Adelia. Bagaimana jika makhluk itu mengganggu Adelia?

Jika makhluk itu sudah berada di sini, mungkinkah seseorang sudah tahu mengenai Adelia? Atau adakah makhluk itu dihantar seseorang dengan tujuan tertentu?

Adakah dihantar oleh orang yang sama yang pernah cuba menghancurkan hidup Tan Sri Adam dan keluarganya? Apa sebenarnya yang dimahukan oleh orang itu? Bagaimana dia mahu membantu Adelia kerana dia tidak dapat melihat Adelia?

Pisau Rambo di dalam kocek bajunya dikeluarkan. Diperhatikan pisau kecil itu. Sepertinya bukan barang baru, tetapi pisau itu masih berada dalam keadaan baik, dijaga rapi oleh tuan punya.

Hatinya terdetik sesuatu. Pisau Rambo ini bukan biasa-biasa. Hanya orang tertentu sahaja yang pakai pisau seperti ini. Mungkinkah orang yang dicarinya selama ini pernah datang ke sini?

Pak Mat tergeliat kecil tatkala terasa ada usikan di daun telinganya. Pisau Rambo terjatuh daripada genggaman. Cepat-cepat dikutip dan disimpan semula ke dalam kocek baju.

Novel - Adelia (Bab 6)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Tajuk : Adelia
Penulis : Aryanie Ismail
Penerbit: DearNovels

BAB 6

ADELIA berbuai di halaman. Perutnya sudah kenyang setelah selesai menjamu selera. Sekejap-kejap matanya memandang ke belakang, sekejap-sekejap dia melihat jam di tangan.

“Mana pulak Pak Mat ni? Nak kata dah balik, motosikal dia ada lagi. Lagipun Pak Mat tak pernah balik tanpa beritahu.” Adelia bersuara sendirian.

Dia melihat rumput-rumput di halaman.

“Pak Mat dah siap mesin rumput ke? Cepat betul! Tapi, kenapa rumput ni kelihatan sama sahaja macam tadi?”

Adelia rasa tidak sedap hati. Ke mana Pak Mat pergi?

Adelia cuba mengingati. Sebelum dia masuk ke dalam rumah tadi, Pak Mat kata hendak ke stor belakang.

Pantas Adelia melangkah ke belakang. Dia melihat pintu bilik stor tertutup rapat. Adelia membuka pintu bilik dan cuba memanggil nama Pak Mat.

Uhuk! Uhuk! Uhuk!

Tertunduk-tunduk Adelia menahan batuk sambil tangannya mengibas asap hitam yang menyerbu keluar dari dalam sebaik sahaja pintu stor dibuka.

Adelia menolak pintu bilik stor agar terbuka luas. Dia melihat asap berwarna hitam pekat berkepul-kepul keluar dari dalam bilik. Beberapa saat kemudian, keadaan kembali seperti biasa.

Novel - Adelia (Bab 5)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Tajuk : Adelia
Penulis : Aryanie Ismail
Penerbit: DearNovels

BAB 5

BUNYI enjin motosikal berhenti benar-benar di sebelahnya.

Adelia hanya mematung di situ. Dia memerhatikan kelibat Pak Mat turun dari motosikal yang ditongkat di tepi balkoni.

Pak Mat mengambil tuala kecil dari dalam raga motosikal. Peluh yang menitis di dahi, dikesat perlahan.

Adelia menggerakkan kakinya, membuatkan buaian yang didudukinya bergerak perlahan.

“Astaghfirullah al-azim. Kau ni Adelia, suka sangat buat aku terkejut. Dah berapa lama kau berada kat situ?” tegur Pak Mat.

Adelia menutup mulut. Menahan tawa. Lucu melihat wajah Pak Mat yang terkejut.

Lelaki tua ini dikenali sebagai seorang yang garang, tidak berapa mesra. Percakapannya pun agak kasar. Kau dan aku sahaja.

Pak Mat sudah lama bekerja dengan keluarganya. Sebelum dia dilahirkan lagi. Sewaktu kecil, Adelia sangat takut dengan orang tua ini. Tetapi semakin lama dia mengenali Pak Mat, ternyata Pak Mat seorang yang penyayang.

Ketika dia dalam jagaan isteri Pak Mat, Adelia lihat Pak Mat sudah pandai menunjukkan sedikit kemesraan dengannya. Malah, kasih sayang Pak Mat kepadanya semakin hari semakin dapat dirasai. Apatah lagi, setelah kedua ibu bapanya meninggal.

Walaupun Pak Mat cuba menyembunyikannya dengan berkata kasar, tapi dia tahu Pak Mat memang seorang yang sangat prihatin. Walaupun Adelia tidak seperti orang lain dan dunia mereka berbeza, namun Pak Mat tetap melayannya dengan baik.

“Dah lama dah Adelia dekat sini. Dari tadi perhatikan Pak Mat yang kacak ni,” kata Adelia.

Novel - Adelia (Bab 4)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Tajuk : Adelia
Penulis : Aryanie Ismail
Penerbit: DearNovels

BAB 4

HAKEEM memerhatikan cebisan kertas di tangan. Pasti inilah tempat yang dicarinya.

Dengan lafaz dan doa semoga dipermudahkan segala urusannya, dia melangkah dengan penuh yakin. Sambil mengejapkan pegangan fail di tangan, pintu utama bangunan yang gah itu dilalui.

Tidak semena-mena fail yang dipegang melayang sebelum jatuh ke lantai dan menerbangkan beberapa kepingan kertas berwarna putih berserakan.

Tubuhnya bergerak sedikit ke hadapan, namun dia berjaya mengimbangkan badan agar tidak terjatuh.

“Hei, kau buta ke?” herdik seorang wanita.

Matanya mencerlung memandang Hakeem. Kedua tangannya diletakkan di pinggang.

“Ambil telefon aku tu!” arahnya.

Jari yang runcing dengan kuku yang dicat warna biru senada dengan warna baju yang dipakainya tu dihala ke arah telefon bimbit yang jatuh berhampiran kaki Hakeem.

Hakeem tidak berganjak. Matanya tajam menatap wajah wanita di hadapannya ini.

“Nampaknya kau ni bukan sahaja buta kan? Pekak jugak! Aku suruh ambik telefon aku tu! Yang kau tercegat sahaja ni kenapa? Tak pernah tengok orang?!” marah wanita itu lagi sambil tersenyum sinis.

“Atau, kau tak pernah tengok wanita yang cantik macam aku? Sampai terkaku macam tu?”

Wanita itu ketawa mengekek.

Hakeem tunduk. Mengambil telefon bimbit yang tergeletak di sebelah kakinya. Sarung telefon bimbit yang berwarna putih di sebelahnya diambil sama.

Dia memasukkan telefon bimbit tersebut ke dalam sarungnya sebelum menyerahkan kepada wanita cantik dan seksi di hadapannya ini.

Wanita itu mengambil dengan hujung jarinya. Mimik mukanya mencebik. Tanpa sebarang ucapan, wanita itu terus berjalan pergi.

Hakeem memerhati langkah wanita itu yang diatur selari. Seperti berjalan di pentas peragaan lagaknya. Dia tergelak kecil.

Jalan kucing! Huh, lagi cantik jalan si Comot kucing sebelah rumah aku tu.

Kertas yang bertebaran di lantai dikutip dan dimasukkan ke dalam poket fail. Dia menepis habuk yang mungkin melekat di muka fail.

Nafas panjang ditarik sebelum langkah kaki diatur menuju ke lif yang berhampiran.

Novel - Adelia (Bab 3)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Tajuk : Adelia
Penulis : Aryanie Ismail
Penerbit: DearNovels

BAB 3

SEBUAH bilik sederhana besar yang gelap itu hanya diterangi oleh cahaya lilin. Di tengah-tengahnya terletak kemenyan yang masih berasap. Baunya memenuhi ruang yang pengap.

Mantera dibaca. Dia menyeru satu nama.

Tidak lama kemudian, kelihatan kepulan asap hitam masuk melalui celahan pintu. Berpecah, kemudian bersatu semula membentuk rupa lembaga. Hitam dan besar. Matanya merah menyala.

Dia ketawa melihat kemunculan lembaga hitam itu.

“Bagus! Kau memang bagus. Semua suruhan aku kau berjaya lakukan setakat ini. Aku perintahkan kau ganggu semua orang yang tinggal di rumah itu. Jangan ada yang berani tinggal lama pun di situ. Kau faham?”

Lembaga hitam itu mendengus.

“Tugasan pertama telah berjaya kau lakukan dengan baik sekali. Suka hati aku apabila semua keturunan dia berjaya dihapuskan. Sekarang hanya perlu memastikan semua rancangan aku berjaya. Buat masa ini, kau tolong awasi sahaja orang tua itu. Jangan buat sesuatu tanpa arahan daripada aku.”

Dendam yang membara dalam jiwanya tetap menyala walaupun musuh utamanya telah berjaya dihapuskan. Dia tidak bisa bersenang-lenang selagi rancangannya masih belum selesai sepenuhnya.

Daging mentah yang dibungkus di dalam kain berwarna kuning itu dibuka. Kain kuning itu basah disimbahi darah. Ketulan daging besar dicampakkan ke arah lembaga hitam itu. Pantas disambut lalu dimamah rakus.

Itu adalah habuan sebagai tanda terima kasihnya kepada makhluk peliharaannya itu kerana telah berjaya melakukan tugasan yang disuruh.

Dia berpuas hati, tapi masih belum lega sepenuhnya. Enam telah berjaya dihapuskannya. Yang lagi dua itu hanya menunggu masa sahaja.

Kalau yang dua itu tidak mengganggu rancangannya, mungkin dia akan berbaik hati melepaskan mereka. Jika tidak, dia terpaksa menghapuskan mereka.

“Sudah, pergi kau! Jalankan tugas kau. Buat masa ini, kau intai dan perhatikan mereka. Ingat, jangan buat apa-apa tanpa arahan daripada aku.”

Lembaga hitam yang kekenyangan itu hilang sekelip mata.

Suis lampu bilik ditekan. Bilik yang suram dan samar tadi terus menjadi terang-benderang. Lilin dihembus sehingga padam. Bara kemenyan disimbah dengan air.

Dia meliarkan pandangan di sekitar bilik sebelum menutup lampu dan keluar dari bilik pengap itu. Kunci dikeluarkan dari poket seluar dan pintu bilik dikunci sebaiknya.

Hanya dia sahaja yang memegang kunci bilik itu. Isterinya sudah diberi amaran sekerasnya supaya tidak menceroboh bilik itu.

Setelah memastikan semuanya berada dalam keadaan baik, dia melangkah menuruni tangga, ke ruang bawah pula. Tidak berniat untuk masuk ke dalam bilik tidur.

Dia melabuhkan punggung di sofa. Kenangan lama mula bermain dalam fikiran. Kenangan yang masih kuat melekat dalam dirinya sehingga mencetuskan api kemarahan.

Novel - Adelia (Bab 2)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Tajuk : Adelia
Penulis : Aryanie Ismail
Penerbit: DearNovels

BAB 2
PAK MAT menongkatkan motosikalnya di luar halaman rumah agam itu. Dia memerhatikan sebuah lori sederhana besar yang dipenuhi perabot terparkir di halaman.

Dia tahu penghuni rumah ini sedang memindahkan barang-barangnya. Itu sebab dia dipanggil ke mari.

Pak Mat mengeluh berat. Perlahan-lahan dia mengorak langkah, menjengukkan kepala ke dalam rumah.

Penghuni rumah yang menyedari kehadirannya segera mampir dan menyerahkan segugus kunci kepadanya.

“Saya harap dalam masa seminggu ni, saya akan dapat semula duit pendahuluan saya,” ujar penghuni rumah.

“Betul ke nak pindah hari ni juga?” tanya Pak Mat.

“Siapa yang nak duduk dalam rumah berhantu ni, pak cik? Anak-anak saya semua ketakutan malam tadi. Saya ingatkan dah seronok la dapat duduk kat rumah yang besar dan cantik ni. Malah saya dah buat keputusan nak beli terus rumah ni. Tapi rupa-rupanya, indah khabar daripada rupa. Patutlah sewa murah sangat. Baru dua hari kami di sini, dah macam-macam perkara berlaku. Penat berpindah pun belum hilang lagi dah terpaksa pindah semula,” rungut Asraf.

“Baiklah, kalau itu keputusan kau. Nanti aku pulangkan semula duit kau tu. Jangan risau,” balas Pak Mat.

“Kalau macam tu, kami pergi dululah.”

Pak Mat mengangguk. Setelah wang pendahuluan dipulangkan, tanggungjawab menjaga rumah agam ini akan kembali terbeban di bahunya.

Dia sudah tua. Sampai bila kudratnya harus dikerah begini?

Bukan dia merungut, tetapi dia sudah berusaha sehabis daya. Tetap juga rumah ini tidak berjaya dijual.

Harga yang ditawarkan juga rendah daripada pasaran. Asalkan rumah ini terjual, sudah membuatkan dia lega. Duit itu nanti akan disalurkan ke tempat yang sepatutnya. Selepas itu, bolehlah dia bernafas dengan lega.

Tapi nampaknya, dia harus mencari pembeli yang baru lagi.

Pak Mat memerhatikan lori yang bermuatan penuh itu bergerak perlahan-lahan meninggalkan rumah agam, sehingga hilang daripada pandangan.

Menggeleng dia melihat ketamakan penghuni itu yang membawa beberapa buah perabot dari rumah ini bersama mereka. Kononnya sebagai ganti rugi.

Dia yang malas mahu memanjangkan hal ini hanya mampu bersetuju tanpa rela.

Wednesday, January 27, 2021

Novel - Adelia (Bab 1)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera


Tajuk: Adelia
Penulis : Aryanie Ismail

Penerbit: DearNovels

BAB 1
GADIS itu tersenyum gembira apabila mendapat perkhabaran bahawa penghuni baru rumah agam ini akan berpindah masuk hari ini. Dia menari kegirangan.

Alunan lunak suaranya sesekali kedengaran mendendangkan lagu. Suka benar hatinya. Jika penghuni yang baru ini kekal lama, maka dia tidak akan kesunyian lagi.

Dia hanya memerhatikan seorang lelaki tua yang sibuk membersihkan kawasan persekitaran. Lelaki tua yang sering datang ke sini, membersihkan kawasan luar dan dalam banglo agam ini, kelihatan begitu sibuk.

Dia melabuhkan punggung di buaian besi yang terletak di halaman. Buaian itu bergerak ke hadapan dan ke belakang.

Pak Mat menoleh sekilas.

“Hari ini penghuni baru akan masuk. Aku harap kau jaga kelakuan. Jangan takutkan orang. Harap-harap kali ini biarlah kekal lama penyewa ni,” pesan Pak Mat.

Gadis itu hanya menganggukkan kepala walaupun dia tahu Pak Mat tidak dapat melihatnya. Dia tersenyum nakal.

Bukan maksudnya mahu menakutkan atau mengganggu setiap penghuni yang pernah menyewa rumah banglo ini, tetapi dia sekadar mahu berkawan.

Kenapa mereka semua tak faham? Kenapa mereka takut dengannya?

Dia bukan mengganggu mereka dengan rupa yang menakutkan. Rupanya sama sahaja dari dahulu dan kini. Tiada yang berubah.

“Tempat kau kat belakang sana. Kau duduk diam sahaja kat belakang tu. Tak payah masuk rumah ni lagi dan menakutkan semua orang.” Pak Mat menasihati lagi.

Si gadis sekadar mencebikkan bibir.

Ah, bukannya lelaki itu tahu pun kalau dia merayau di dalam rumah ni. Dia bukan setiap hari ke sini. Hanya mampir sekiranya ada pekerjaan yang harus diselesaikannya.

Sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapan pagar utama rumah agam.

Si gadis memanjangkan leher mahu melihat penghuni baru itu. Dengan pantas dia berdiri.

“Sudah, kau pergi balik. Jangan ikut! Biar aku sahaja yang uruskan mereka. Ingat pesan aku, jangan diganggu penghuni baru ni!”

Si gadis tidak mempedulikan larangan Pak Mat. Perlahan-lahan dia mengekori. Dia memerhatikan lelaki tua itu bersalaman dengan keluarga baru itu.

Sepasang suami isteri bersama anak-anak mereka. Anak lelaki mereka berumur sekitar tiga tahun, berdiri di sisi ibunya yang sedang mengendong seorang bayi.

Si gadis menghampiri wanita muda itu. Dia melihat bayi di dalam kendongan dan mengagah bayi perempuan itu.

Bayi itu tiba-tiba menangis. Si ibu memujuk anaknya, namun anaknya masih tidak mahu diam.

Novel - Adelia (Blurb)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera


Tajuk : Adelia
Penulis : Aryanie Ismail
Penerbit : DearNovels

BLURB

Bukan Adelia pinta semua ini berlaku. Bukan Adelia minta jasadnya hilang daripada pandangan, tapi dia sendiri masih berlegar-legar begini. Dia pun tidak tahu kenapa.

 Adelia hanya menerima takdir hidupnya dengan reda.

 Siang dan malam tiada beza baginya. Sama sahaja. Tetap sunyi dan sepi. Adakah akan tiba hari di mana dia akan bebas dari belenggu ini? Akan terungkaikah segala yang menjadi pertanyaan selama ini?  

"Awak, Adelia kan?"
"Awak...awak nampak saya ke?"
"Betul kan awak Adelia? Adelia binti Tan Sri Adam Zainuddin?"
"Ya,saya."
Tapi, Bukan ke awak dah meninggal?"
"Saya... saya..."

Kehadiran Hakeem dan adiknya, Faradiba, membawa sinar kegembiraan buat Adelia yang sudah bertahun hidup dalam kesunyian.

“Siapa kau sebenarnya, ya? Kenapa aku tak dapat melihat kau, tapi aku dapat rasakan yang kau ada di sini. Dekat dengan aku.“Terlalu dekat, sehingga aku dapat mencium harumanmu.- Hakeem.

Adelia sebenarnya sudah mula sukakan Hakeem sejak pertemuan pertama lagi sehingga dia tidak boleh menolak kata hari. Bahawa dia sudah jatuh cinta!

Namun, untuk bersama dengan lelaki itu adalah amat mustahil!

Kerana dia, Adelia. Dia ada, serupa tiada. Dia hidup antara manus, tetapi tiada siapa yang dapat melihatnya. Tapi dia tetap punya perasaan. Salahkah jika dia jatuh cinta, dengan manusia?

 

Novel - Adelia (Pengenalan)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera



Tajuk : Adelia
Penulis: Aryanie Ismail
Penerbit : DearNovels


PENGENALAN

Malam masih belum larut benar tetapi rumah agam di atas bukit itu benar-benar telah sunyi. Suasana sekitar suram, sunyi dan muram. Angin yang bertiup kencang menggoncang pepohonan berhampiran, menggeserkan dedauan dan menghasilkan bunyi seperti siulan.

Lampu-lampu jalan sudah banyak yang tidak berfungsi. Tiada siapa yang peduli. Tiada siapa yang mengambil tahu. Rumah-rumah yang berhampiran juga hanya terletak beberapa kilometer di antara satu sama lain dan rumah agam ini terletak di bahagian paling hujung.

          Seekor kucing parsi berwarna putih sedang asyik menjilat bulunya tanpa mempedulikan petir yang sabung menyabung di luar. Tiba-tiba kucing itu berhenti dari menjilat tubuhnya. Ia berdiri dan memasang telinga. Ekornya tegak dan bergoyang-goyang.

          Bunyi derapan tapak yang lembut menginjak lantai semakin mendekati. Kucing itu berlari mendapatkan kelibat yang semakin menghampiri. Tubuhnya digesel di kaki kelibat itu. Terdengar suara ketawa manja. Kucing itu menggolek-golekkan tubuhnya apabila bulunya diusap lembut oleh jejari halus nan runcing.

          Kelibat itu mengambil kucing berbulu lebat itu dan mendukungnya. Dia melabuhkan punggung di kerusi malas yang diperbuat daripada rotan. Bunyi berkeriut sesekali kedengaran apabila kerusi itu berayun.

Kucing parsi itu diam di dalam pelukan tuannya. Seakan mengerti yang tuannya ingin berteman di malam yang sepi ini. Kelibat itu menghalakan pandangan matanya ke arah tingkap yang tertutup rapat. Titisan hujan mula menjalar di dinding tingkap kaca itu, menambahkan kesyahduan malam.

          Seketika, dia bangun dan berdiri menghampiri tingkap. Si kucing parsi masih di dalam dukungan. Mata bening itu memandang keluar jendela yang gelap gelita. Sudah lama dia hidup begini. Sudah lama dia hidup dalam kesunyian.

Siang dan malam tiada beza baginya. Sama sahaja. Tetap sunyi dan sepi. Adakah akan tiba hari di mana dia akan bebas dari belenggu ini? Akan terungkaikah segala yang menjadi pertanyaan selama ini?  Atau, dia terpaksa hidup begini selama-lamanya? Menunggu dan terus menunggu sehingga kiamat. Dirinya sudah tidak lagi wujud di dunia nyata. Dia sendiri juga tidak tahu dunia apa yang dihuninya ketika ini.

          Dia mengeluh perlahan. Dengan langkah longlai dia membalikkan tubuh dan berjalan menjauhi tingkap. Gaun sutera berwarna putih yang dipakainya beralun lembut mengikut lenggok tubuhnya. Indah.

          Apa yang mampu dilakukannya kala ini hanya menanti dan terus menanti. Sampai bila, dia sendiri pun tidak pasti. Hidupnya sunyi tiada teman. Hanya kucing putih itu sahajalah yang menemaninya di sini.  

Bukan tidak pernah dia berjalan keluar dari rumah ini. Bersendirian. Dia tahu dan cukup faham jika dia keluar ke mana sahaja pun, dia masih tetap sendirian. Tiada siapa yang ingin berbicara dengannya. Tiada sesiapa yang nampak akan dirinya. Tetapi dia seronok. Dia boleh menghiburkan hati melihat gelagat orang yang dijumpainya.

Dan yang lebih penting, dia juga tidak perlu takut akan ancaman yang mungkin dihadapinya kerana berjalan bersendirian. Ancaman manusia yang tiada belas kasihan. Tetapi dia sudah bosan! Bosan tiada teman.

Setiap kali ada yang melewati kawasan rumah ini, pastinya akan berlari ketakutan. Entah kenapa.

          Dia mengeluh berat. Pintu gelongsor yang memisahkan balkoni dan ruang tamu di tingkat atas rumah agam itu ditolak perlahan. Angin menyerbu masuk dan mengibaskan rambutnya yang hitam lebat dan panjang itu, membawa haruman kasturi ke segenap ruang. Di situ dia tegak berdiri.

Tempias dari rintik-rintik hujan tidak langsung mengganggu dirinya. Kucing parsi yang di dalam dukungan mula meronta minta dilepaskan. Pegangan dilonggarkan dan kucing tersebut melompat turun dan berlari ke bawah kerusi di ruang tamu. Dia ketawa perlahan. 



Tuesday, December 01, 2020

Novel - Adelia

Assalamualaikum & Salam Sejahtera



Tajuk : Adelia
Penulis : Aryanie Ismail
Penerbit : DearNovels
Terbit: January 2021

Alhamdulillah, karya ketiga saya dan yang kedua bersama DearNovels akan terbit pada January 2021.
Sebuah kisah cinta-misteri.
Nanti saya akan upload blurb dan beberapa bab di sini.


Friday, July 26, 2019

Lesen Menyelam (Diving License)

Assalamualaikum dan salam sejahtera



Aduh, apa nak jadi dengan lesen diving ni?
Sebenarnya saya adalah sejenis yang takutkan air. Kenapa? Sebabnya pernah ada kenangan pahit.

Jadi beberapa tahun lepas, company bagilah trip incentive ni. Mula-mula dulu cadangnya nak pergi ke Turkey tapi masa tu ada pulak kejadian yang tak berapa best di sana jadi terpaksa tukar lokasi. Kawan-kawna pula nak pergi bercuti sambil bercanda di tepian pantai..aduh lemah..

Tapi ikut ajelah. Jadinya pergilah kami berlima orang ke Maldives.
Disebabkan peruntukan ada terlebih sedikit (alhamdulillah rezeki) yang mana harus digunakan sepenuhnya, maka keluarlah cadangan diving ni.

Kami 4 orang ni memang tak pernah ada experience pun hehe.. yang seorang tu dah pro sangat.
Maka, dalam keadaan yang terpaksa dan hati yang berdebar aku pun join jelah.

Bagi orang yang takutkan air memang dup dap rasanya..hahahaha..

Tapi alhamdulillah akhirnya lulus juga dengan cemerlang (yeke??) 3 hari kami di pulau redang ambik ujian setelah beberapa kali pergi kursus di kolam renang.

Subhanallah, bila berada di dalam air (di dasar) satu perasaan yang tak dapat digambarkan. Boleh menangis tau...cantik sangat!!! tapi dalam masa yang sama dup dap dup dap berdebar.

Okay, dah lulus tu bersemangatlah kami nak pergi menyelam kat Maldives tu 😜
Sampai je masa kat sana dah siap2 pilih pakaian memasing tibalah masa nk menyelam.
Seperti biasa masa awal-awal tu tentulah ada ujian basic kena hadap dulu seperti buka mask sepenuhnya dan pasang balik di dalam air tu. Buka corong oksigen dan pakai semula.

Dan.... taraaaaa... aku fail! Tak tahulah sebab nervous sgt ke atau sebab mata aku memang tak nampak bila kat laut tu (bila berada di bahagian yang tidak berapa dalam, airnya tidak berapa jernih sebab bercampur dengan pasir) Sudahla aku sejenis yang rabun. mana boleh nak pakai cermin mata kan sebab kena pakai goggle. Masa ni memang buat beberapa kali pun aku dah jadi blur.

Haha sudahnya aku give up...
Berhuhu jelah tgk kawan2 menyelam di laut Maldives tu.

Aku? Lepak-lepak jelah kat pantai Club Med tu ambil angin sambil-sambil baca buku.

Haruskah aku cuba beranikan diri semula? Hmmmm.....



Friday, July 05, 2019

Novel - Cantik (Bab 5)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Tajuk : Cantik
Penulis : Yanie Ismail
Penerbit : DearNovel

BAB 5 

Aku terjaga apabila wajahku terasa berbahang. Aku memicingkan mata dan mengangkat lenganku menahan panahan matahari dari terus membakar kulit wajah.

Kepala aku terasa sedikit pening. Aku memicit kepala sambil memejam mata seketika. Apabila terasa kembali tenang aku buka mata perlahan-lahan.

Kenapa aku di sini? Aku cuba mengingati apa yang berlaku semalam sehingga aku boleh tidak sedarkan diri.

Azrin! Pantas nama itu melintas difikiran.

“Azrin! Azrin!” pintu bilik Azrin aku ketuk. Apabila tiada jawapan, aku cuba memulas tombol pintu. Berkunci! Aku cuba merapatkan telinga ke daun pintu, sekadar untuk memastikan ada atau tidak orang di dalam. Tiada sebarang bunyi dari dalam.

“Mana pulak dia pergi ni? Apa yang terjadi pada aku sebenarnya?” Aku sedikit keliru. Cuba mengingati apa yang terjadi malam tadi. Sedang membaca yasin, aku terdengar bunyi bising dan aku keluar dari bilik. Kemudian aku mengetuk pintu bilik Azrin. Tidak lama selepas itu pintu bilik Azrin terbuka. Di situ aku lihat berdiri seorang nenek yang wajahnya berkedut seribu dengan rambut yang mengerbang. Aku menjerit memanggil nama Azrin kemudian terus tidak sedarkan diri.

Nenek semalam seperti pernah aku jumpa, tapi di mana ya? Aku cuba mengingat namun kepalaku terasa pening. Selain Azrin dan aku, siapa lagi yang tinggal di sini? Adakah nenek itu nenek Azrin? Tapi kenapa Azrin tak pernah sebut apa-apapun pun pasal nenek tu. Ah, aku bermimpi agaknya. Mungkin kerana kepenatan mengemas semalam.

Aku masuk semula ke dalam bilik untuk membersihkan diri. Perut pula tiba-tiba terasa lapar.

Sesudah mandi aku ke dapur. Mahu melihat apa yang boleh dimakan atau dimasak. Kalau ada mee segera pun jadilah.

Di dapur, kulihat di atas meja sudah tersusun sebuah pinggan diletakkan secara telangkup menutupi pinggan yang berada di bawah. Aku angkat pinggan yang telangkup itu. Ada bihun goreng. Memang kesukaan aku ni.

Aku menarik kerusi dan duduk di situ. Gelas yang tersedia di situ aku angkat untuk mengisi air teh kosong yang masih panas.Secebis kertas jatuh ke lantai. Aku mengambil dan membacanya.

 

Tuai padi antara masak

Esok jangan layu-layuan

Makan ini setelah nampak

Saya keluar mencari makan

 

Ish, berpantun pulak si Azrin ni. Mencari makan apa kalau makanan dah terhidang di depan mata. Adakah maksud si Azrin ni, dia pergi bekerja? Aku tergelak kecil. Perlu ke berpantun bagai nak beritahu dia pergi kerja?

“Kerja apa ya si Azrin tu? Hari Ahad pun bekerja. Kerja jadi cikgu kut? Tapi cikgu apa? Cikgu masakan? Atau cikgu solekan?” teka aku sambil ketawa.

Aku makan perlahan-lahan tanpa sedar licin sudah bihun di pinggan. Rasa tak cukup pula sebab perut aku terasa lapar lagi. Aku berjalan menuju ke peti sejuk. Mencari makanan. Kulihat ada lebihan buah epal yang sudah dipotong semalam. Warna buah epal itu masih putih lagi dan kelihatan segar. Selalunya buah epal yang sudah dibelah pasti akan menjadi lebam.

Aku membawa pinggan yang berisi buah menuju keruang tamu. Aku menekan remote control TV dan mencari siaran yang menarik.

“Eh, Melodi. Syok jugak layan ni.” Aku menyelesakan diri di atas sofa. Sambil makan buah, mata aku ralit menonton berita terkini dunia artis.

Panggg!!!

Aku terkejut. Bunyi itu datangnya dari arah dapur.

“Ya Allah, aku lupa nak letak pinggan aku makan tadi ke sinki.” Aku berlari ke dapur. Kulihat seekor kucing berwarna hitam, menghidu-hidu pinggan yang sudah retak dua itu, tetapi seperti takut untuk menghampiri.Aku menghalau kucing berwarna hitam itu supaya menjauhi pinggan. 

Kucing hitam itu menyeringai dan berbunyi kuat apabila melihat aku. Aku terkejut kerana hampir sahaja aku dicakarnya.

“Eh kau ni. Masuk ke rumah orang entah dari mana, lepas tu nak marah orang pulak!” bebelku.

Kucing hitam itumenyorok di tepi peti ais. Menderam-deram seperti marahkan sesuatu. Tanpa mempedulikan kucing itu, aku mengemas lantai dan membuang pinggan yang pecah tadi.

Nampaknya aku kena ganti la pinggan Azrin yang pecah ni.

Kucing hitam itu aku hampiri. Menderam-deram ia memandangku dan sesekali menyeringai menampakkan taringnya. Risau dicakar, aku membuka pintu rumahseluas-luasnya dan menolak kucing hitam itu mengguna mop lantai perlahan-lahan menuju ke luar.

Meowwww!!!

Aku dengar kucing itu menjerit nyaring disebalik pintu yang baru kututup. Langkah kaki aku halakan ke bilik setelah televisyen dan kipas kumatikan suisnya. Baik aku layan movie online, otakku sudah membayangkan beberapa buah cerita yang menjadi senarai pilihan.

Selesai solat aku membawa komputer riba ke atas katil dan akuberbaring.Suasana tengari ini terasa tenang tanpa gangguan. Nyaman dan sunyi. Wah, betapa aku suka suasana begini.

Aku membuka laman sesawang dan mencari filem apa yang akan kutonton. Aku menekan pilihan genre seram. Terpapar di skrin komputer aku semua filem yang dikategorikan sebagai seram.

Aku memilih cerita Hindustan yang berjudul Khamoshiyan. Memang menarik ceritanya. Lebih kurang satu jam menonton, mataku terasa layu. Mengantuk. Beberapa kali aku tersengguk-sengguk. Entah bila aku terlelap aku pun tidak pasti.

Bangun sahaja aku lihat persekitaran aku gelap. Teraba-raba aku aku bangun memetik suis lampu berhampiran pintu bilik. Habislah dah berapa waktu solat aku terlepas ni. Kenapalah asyik mengantuk sahaja mata aku. Aku berpaling semula dan terkejut melihat Azrin sedang duduk di birai katil.

“Eh, bila masa awak masuk bilik saya ni?” soalku, terkejut. Cuba menahan rasa marah. Aku tidak suka cara Azrin menceroboh bilikku. Walaupun ini adalah rumahnya namun dia harus menghormati hak aku sebagai penyewa di sini.

Azrin hanya tersenyum tanpa menjawab pertanyaanku.

Dia memerhatikan aku tidur ke? Dah berapa lama pula dia di situ agaknya? Tak reti nak buka lampu?

“Er, kenapa awak tak hidupkan lampu?” soalku. Suara aku seperti tertelan. Aku berdehem sedikit.

Azrin membetulkan duduknya. Kali ini aku lihat penampilannya seperti biasa sahaja. Rambutnya yang hitam berkilat dibiarkan lepas. Jika dihadapan walid dan adikku tempoh hari Azrin mengenakan selendang.

“Saya dah duduk di sini dari petang tadi. Saya balik tengok awak tengah tidur. Saya tak mahu mengganggu. Jadi saya pun duduklah di sini, tengok awak tidur. Ralit tengok awak tidur, saya pun tidak sedar dah malam.” Azrin ketawa kecil.

Tengok aku tidur? Okay, tak kelakar. Seram pula aku mendengar kata-kata Azrin. Kenapa pula dia nak tengok aku tidur?

“Awak sangat cantik walaupun sedang tidur. Saya suka tengok.” Azrin bangun. Dia mendekatiku.

“Awak pergi mandi dulu. Nanti kita makan sama-sama ya.” Azrin mengelus pipiku. Aku tergamam, tidak sempat mahu mengelak.

Azrin keluar dari bilik meninggalkan aku kebingungan. Seram pula aku dengan perangai Azrin ni. Jangan-jangan dia ni… aku mengeliat kegelian. Tidak mahu memikirkan kumungkinan itu. Aku wanita tulen ya. Aku sukakan lelaki bukan kaum sejenis. Alahai, peliknya perangai Azrin ni.

Aku segera masuk ke bilik air untuk mandi dan mengambil wuduk. Kemudian kain batik aku bentangkan dan mula membaca iqamat perlahan. Semasa membaca surah al-fatihah terasa bahuku ditepuk perlahan. Kukira Azrin mahu solat bersama. Aku melihat bayangan Azrin yang berdiri disebelah kananku. Lantas suara aku kuatkan sedikit cukup untuk  Azrin mendengarnya.

Sewaktu solat aku mendengar Azrin mendesir-desir membaca ayat lazim. Tumpuan aku sedikit terganggu. Aku tidak dapat menangkap apa yang Azrin baca hanya bunyi berbisik-bisik yang kuat. Aku cuba fokus dengan memejamkan mata.

Selesai membaca tahiyat akhir, aku memberi salam dan menoleh ke kanan. Aku tidak nampak wajah Azrin yang sedang duduk disebelahku. Telekung yang dipakainya menutupi keseluruhan wajahnya. Aku menoleh kekiri pula dan memberi salam kedua. Kemudian pandangan aku hala ke hadapan semula dan meraup wajah dengan tangan. Aku beristighfar beberapa kali.

Aku menoleh ke kanan semula, mahu bersalaman dengan Azrin.Tapi di sebelah kananku kosong! Tiada sesiapa. Kemana pula Azrin pergi? Aku menoleh ke kiri dan ke kanan, di belakang juga kucari namun Azrin tidak kelihatan di mana-mana. Aneh, mustahil begitu cepat Azrin keluar dari bilik.

Pintu yang memang terbuka kupandang curiga. Tidak mahu berfikir yang bukan-bukan, aku menadah tangan berdoa.Selesai berdoa, kain batik dan telekung kulipat dan letak di atas katil.

Melangkah keluar dari bilik aku terdengar suara Azrin menyanyi. Mendayu suaranya menyanyikan lagu Cindai. Ah, sudah!Dalam banyak-banyak lagu yang hit sekarang ni lagi Siti tu jugak yang dipilihnya. Perlahan-lahan aku menapak ke dapur dan berhenti tidak jauh daripada Azrin. Memerhatikan dia dari belakang.

“Sedap ke suara saya menyanyi sampai awak terpaku?”

Aku mengerutkan muka. Aku rasa sudah cukup perlahan aku menapak tadi, macamana minah ni boleh tahu aku ada kat belakang dia?

“Biasa aje,” jawab aku sambil ketawa kecil.

“Jemputlah duduk. Kita makan sama-sama.”

Pelawaan Azrin aku sambut dengan sengihan. Perut memang terasa lapar.

Azrin duduk berhadapan denganku. Rambut hitamnya yang panjang itu ditarik ke sisi.

Ya Allah cantiknya Azrin ni, aku memuji di dalam hati.

Azrin menjeling aku sambil ketawa kecil. Aku hanya mampu ketawa hambar apabila tertangkap merenung Azrin. Bukan aku sengaja tetapi kecantikan Azrin aku rasa seperti sesuatu yang mustahil. Terlalu sempurna.

Aku berdehem. “Azrin, awak ada sejadah lebih tak?” soalku baru teringat untuk bertanya.

Azrin menggeleng.

Aku mengeluh. Tak apalah, esok-esok kalau sempat aku ambik dari rumah walid, jika tidak aku beli sahaja.

Azrin membuka tudung saji. Mata aku sudah terbeliak menyaksikan nasi bryani yang terhidang bersama ayam masak merah dan dalca berserta sepinggan keropok. Liurku meleleh. Harum sungguh bau masakan Azrin.

Sebiji pinggan yang dihulurkan Azrin aku capai. Apabila pinggan sudah kuletak di depanku, aku melihat ada secebis kertas berwarna hijau yang dilipat. Azrin kupandang. Wajahnya selamba sahaja.Kertas yang berlipat dua itu aku buka.

 

Anak dara di pinggir telaga

Buat mengisi sebuah baldi

Kalau ada rasa curiga

Jangan simpan di dalam hati.

 

Apalah maksud pantun ni agaknya? Azrin kupandang sekali lagi. Dia hanya tunduk bermain dengan jari jemari.

“Mari kita makan!”

Ajakan Azrin aku sambut dengan anggukan. Terfikir juga kenapa Azrin suka meletakkan secebis kertas yang terkandung pantun di dalamnya. Pantun lama. Bukannya aku reti bab-bab menjual dan membeli pantun ni.

Aku menoleh semula melihat kertas yang aku letak di sisi. Mencerlung mataku apabila melihat titisan merah mengalir di setiap perkataan yang ditulis, seakan-akan kata-kata itu ditulis menggunakan darah!