Penerbit: DearNovels
PAK MAT melepaskan lelah setelah selesai menyiapkan kerja-kerja memotong rumput.
Di waktu malam begini, penglihatannya agak terbatas. Badannya mula terasa
sakit-sakit.
Dari tadi dia tidak habis berfikir tentang lembaga hitam berbulu yang
mengganggunya di bilik stor tadi.
Bukan tidak pernah dia melihat makhluk itu. Makhluk itu yang sering
mengganggu dia dan isterinya. Dia boleh tahu melalui bau yang muncul setiap
kali makhluk berbulu itu datang.
Tapi dia tak sangka makhluk itu ada di sini juga. Di rumah agam ini.
Dia tidak takut, tetapi lebih kepada risau. Risau memikirkan Adelia.
Bagaimana jika makhluk itu mengganggu Adelia?
Jika makhluk itu sudah berada di sini, mungkinkah seseorang sudah tahu
mengenai Adelia? Atau adakah makhluk itu dihantar seseorang dengan tujuan
tertentu?
Adakah dihantar oleh orang yang sama yang pernah cuba menghancurkan hidup
Tan Sri Adam dan keluarganya? Apa sebenarnya yang dimahukan oleh orang itu?
Bagaimana dia mahu membantu Adelia kerana dia tidak dapat melihat Adelia?
Pisau Rambo di dalam kocek bajunya dikeluarkan. Diperhatikan pisau kecil
itu. Sepertinya bukan barang baru, tetapi pisau itu masih berada dalam keadaan
baik, dijaga rapi oleh tuan punya.
Hatinya terdetik sesuatu. Pisau Rambo ini bukan biasa-biasa. Hanya orang
tertentu sahaja yang pakai pisau seperti ini. Mungkinkah orang yang dicarinya
selama ini pernah datang ke sini?
Pak Mat tergeliat kecil tatkala terasa ada usikan di daun telinganya. Pisau Rambo terjatuh daripada genggaman. Cepat-cepat dikutip dan disimpan semula ke dalam kocek baju.