Friday, February 01, 2019

Cerpen - Saham

Assalamualaikum & Salam Sejahtera


Tajuk : Saham
Penulis : Aryanie Ismail
Tarikh Disiarkan : Harmoni
DIA berjalan dengan laju. Kain yang berwarna biru cair yang dipakainya terangkat kerana langkah yang sengaja dibesarkan. Tudung berwarna putih yang dipakainya sengaja di ke depankan menutup separuh daripada wajahnya. Saat ini dia tidak mahu berjumpa dengan sesiapa. Tujuannya hanya satu, agar cepat sampai ke rumah. Sebaik sahaja kakinya menjejaki tangga rumah, dia terus membuka kasut dan stoking dengan hati yang sebal. Dia masuk ke dalam rumah tanpa menunggu salamnya berjawab. Dia lantas masuk ke dalam bilik dan menguncinya dari dalam. Dia menghempaskan tubuhnya yang kurus itu di birai katil. Tudung di kepala ditanggalkan dan dicampak di atas katil. Dia mengeluh berat.
Perlahan-Iahan dia bangkit dari katil menuju ke arah cermin sederhana besar yang tergantung di dinding berhampiran tingkap biliknya. Wajahnya ditenung. Dia benci melihat pantulan imej yang dilihatnya. Perlahan-Iahan tangannya meraba ke serata wajahnya. Jerawat! Dia benci akan jerawat yang tumbuh banyak di mukanya. Dia sering diejek oIeh kawan-kawan terutama kawan-kawan lelaki.
Salahkah jika wajahnya ditumbuhi ierawat? Satu dosakah jika seseorang itu berjerawat? Soalnya berkali-kali dalam hati. Tidak! Dia tidak bersalah atau berdosa kerana mukanya berjerawat. Semua ini bukanlah kehendaknya. Dia sendiri tidak tahu kenapa wajahnya ditumbuhi jerawat sedangkan dia sentiasa menjaga wajahnya.
"Jiha!"
"Ya mak!" sahutnya.
"Kamu dah solat belum? Kalau belum cepat mandi dan solat. Lepas tu bolehlah kita makan sama-sama. Mak masak ayam goreng kesukaan kamu ni," laung Mak Senah dari dapur.
Tanpa berlengah, Jiha terus mengambil tuala yang tersangkut di birai katil dan melangkah ke dapur. Dia tersenyum melihat emaknya yang sedang mencuci pinggan. Emaknya tidak pernah menyuruh dia membuat kerja rumah. Segalanya akan diuruskan oleh emak seorang diri. Selalu juga dia mendengar rakan-rakan perempuannya merungut kerana disuruh oleh emak mereka menyapu rumah atau mencuci pinggan. Malah ada juga yang sudah disuruh membasuh pakaian sendiri. Kebanyakan rakannya mengatakan yang dia beruntung. Ya,dia memang beruntung. Ah, mengelamun pula. Langkah kaki terus dihalakan ke bilik mandi.
"Jiha!”
Jiha mengeluh. Apalagi la mak ni, rungutnya dalam hati.
"Kenapa mandi lambat sangat? Waktu Zuhur pun dah nak habis. Apa kamu buat lama sangat dalam bilik mandi tu?" jerit Mak Senah dari luar. Perutnya sendiri sudah berkeroncong minta diisi. Kerana mahu menunggu anak bertuahnya itu, dia terpaksa menahan lapar. Pernah dia makan tanpa menunggu anaknya itu, hampir seharian jugalah Jiha merajuk dengannya. Dia menggeleng kepala perlahan. Itulah satu-satunya anak yang dia ada. Mak Senah terkejut melihat Jiha yang baru keluar dari bilik air. Wajahnya merah.
"Kenapa muka kamu tu?"
"Kenapa mak?" Tanya Jiha kembali.
"Kamu picit lagi ya jerawat kamu tu!"
"Ala, mak ni. Jiha benganglah tengok jerawat ni. Kalau boleh rasa nak gosok je muka ni dengan gosok dawai tu."
"Amboi ... buatlah kalau kamu dah tak sayang muka kamu tu lagi. Nanti tinggal bekas hitam-hitam, jangan nak menangis tak berlagu pula," marah Mak Senah.
"Saham Jiha dah jatuh mak." Mak Senah menjegilkan matanya.
"Bila pula kamu beli saham ni? Banyak duit kamu?”
Jiha ketawa. Malas mahu menerangkan pada emaknya.
Kadang-kadang cemburu juga dia melihat rakan-rakannya menerima surat atau hadiah dari peminat atau kekasih masing-masing. Sedangkan dia masih sendiri. Dia selalu menyalahkan jerawatnya atas 'kejatuhan sahamnya' itu.
"Dah, pergi cepat solat! Lepas tu cepat turun makan. Mak dah lapar ni," kata Mak Senah lagi.
Jiha hanya memandang lauk ayam goreng yang terhidang di dalam pinggan. Dia berbelah bahagi sama ada mahu mengambilnya atau tidak.
"Kenapa tak ambil ayam tu? Kan kesukaan kamu tu?" tegur Mak Senah. Dia mengambil seketul ayam goreng dan meletakkannya di dalam pinggan Jiha.
"Jiha tak mahulah mak," kata Jiha perlahan.
"Kenapa pula?" tanya Mak Senah lagi.
"Orang kata kalau banyak makan makanan yang berminyak, nanti jerawat Jiha makin banyak," jawab Jiha sedih.
"Ya Allah, budak ni ... Itu yang di fikirkannya. Siapalah yang menghasut kamu ni? Jangan nak mengada-ngada. Makan! Mak dah masak tu. Patutnya kamu bersyukur sebab dapat makan lauk yang mewah macam ni. Cuba kamu tengok kat Afrika tu atau negara-negara yang tengah berperang. Nak makan pun susah," Mak Senah mula membebel . Dan, Jiha hanya diam dan terus menyuakan ayam goreng ke mulutnya.
**************************
"Eh Jiha ... ada orang bagi kau surat ni," Kata rakan sekelasnya sambil menghulurkan surat tersebut.
Dia mengambilnya dengan dada yang berdebar-debar. Bukan tidak pernah dla menerima surat sebelum ini. Surat yang disangkanya surat untuk berkenalan itu rupa-rupanya adalah surat mengejeknya hanya kerana wajahnya sudah mula berjerawat. Sehingga kini dia masih tidak tahu siapakah pengirimnya. Tapi dia tahu orang itu tentulah orang yang dengki dengannya.
"Tapi, kenapa?” tanya Jiha masih keliru.
"Cepatlah Jiha buka surat tu!" desak rakan-rakannya.
Namun Jiha hanya membatu. Dia serba salah mahu membuka surat itu. Dia sudah tidak sanggup menahan malu dikutuk lagi. Rakan-rakannya dipandang dengan pandangan kosong.
"Cepatlah Jiha," desakan itu kedengaran lagi.
Jiha hanya buat tidak tahu sahaja. Surat itu dimasukkan ke dalam beg sekolahnya. Dia akan membukanya di rumah nanti. Biarlah dia malu sendiri daripada diketawakan rakan-rakannya.
Jiha tergamam membaca surat yang berwarna biru itu. Benar kah apa yang dibacanya? Dia seakan-akan tidak percaya. Seakan mahu menjerit. Surat itu sudah berkali-kali dibacanya tanpa jemu. Haruskan dibalas surat itu? Tapi, bagaimana mahu menjawabnya? Fikirannya buntu. Dia bukan pernah membalas surat begini. Keinginan untuk membalas berkobar-kobar di dalam dirinya. Jika surat itu dibalas, dia dapat membuktikan pada rakan-rakannya bahawa dia juga seperti mereka.
Dia membalas juga surat itu seadanya. Bahasa yang digunakan juga tidak terlalu 'berbunga'. Dia tidak mahu juga dikatakan perasan sendiri. Hampir sehari semalam juga dia mengarang surat balasan itu. Jika dia tidak berpuas hati, kertas yang berwarna putih itu di ronyok dan dicampak ke dalam tong sampah. Kertas kajangnya sudah hampir tinggal separuh, barulah dia berpuas hati.
Dia tersenyum sendiri. Esok, akan bermulalah episod baru dalam hidupnya. Jiha melonjak-Ionjak gembira apabila membaca surat kedua yang dihantar kepadanya. Dia kini sudah boleh tersenyum gembira. Ha ... biar mereka semua tahu bahawa seburuk-buruk dia sahamnya masih tinggi lagi. Dia mahu' membuktikan kepada orang yang pernah mengutuknya bahawa dia tidaklah seburuk yang disangka.
"Kau ni kenapa Jiha?" tegur rakan-rakannya yang sejak dari tadi kehairanan melihatnya.
Dengan wajah selamba, Jiha menghulurkan sekeping surat kepada rakannya. Rakan-rakannya berebut-rebut mahu membacanya. Pelbagai reaksi yang dapat dilihatnya. Ada yang mencebik, ada yang tersenyum sinis dan ada juga yang tumpang gembira. Jiha sudah tidak peduli itu semua lagi.
"Jiha dah ada pakwe," kata rakan-rakannya hampir serentak.

No comments: