Assalamualaikum & Salam Sejahtera
Tengah sibuk mendelete email2 yang sudah bersawang dalam kotak email yang sudah hampir mencecah ke angka seribu tu, aku terjumpa cerpen lama aku ni. Aku lupalah samada pernah aku hantar ke mana2 majalah ataupun tidak. Memang lama dah. Waktu aku mula2 berjinak nak menghantar cerpen. Hehe gaya penulisan pun masa itu masih kolot bebenar dengan tatabahasa yang tunggang langgang. Tergelak aje aku membacanya. Aku kongsikan di dalam blog ini..:-
Aryanie Ismail, dengan bangganya mempersembahkan........(^_^)
KU NANTI KEPULANGANMU
Bukan cover sebenar |
Aryanie Ismail, dengan bangganya mempersembahkan........(^_^)
KU NANTI KEPULANGANMU
“Kau okay tak?” tanya Saiful.
Nadia mengangguk.
Termengah-mengah dia mengambil nafas. Dalam hatinya menyumpah-nyumpah. Dijelingnya Farhan yang tersengih-sengih. Kalau diikutkan hatinya mahu dia
menumbuk si Farhan tu. Kurang ajar!
“Awak ni bila marah cantiklah Nadia.” usik Farhan.
Nadia menjelirkan
lidahnya. Tak senonoh!
“Ei, awak ni buat saya geram aje!” Farhan tidak serik mengusik Nadia.
Saiful di sebelah yang merenungnya tidak dihiraukan. Peduli apa dengan budak
lembut tu. Seronok benar dia dapat mengusik Nadia.
“Boleh tak kau jangan ganggu aku? Aku benci tengok muka kau. Kalau
aku dan Saiful kena gigit anjing tadi, nahas kau aku kerjakan!” marah Nadia.
Geram benar dia melihat gelagat Farhan yang sering mengganggunya.
“Jangan benci-benci, nanti awak suka. Kalau awak suka, saya lagi
suka.”
Sekali lagi Farhan dijelingnya. Ini bukan pertama kali malah seringkali
dia dan Saiful melalui lorong itu, pasti mereka dikejar anjing. Kalau tidak
kerana Farhan yang suka mengagah anjing tersebut sudah tentu mereka tidak perlu
berjoging di waktu tengahari begini. Selalunya Farhan yang kebetulan melalui
lorong yang sama akan lari terlebih dahulu, meninggalkan dia dan Saiful terkial-kial
di belakang cuba menyelamatkan diri.
“Sudahlah Saiful. Jangan dilayan orang gila ni. Jom kita masuk
kelas.” Nadia mengajak Saiful masuk ke dalam kelas. Malas mahu bertelagah
dengan Farhan.
“Alah Nadia. Dengan mamat lembut ni kau berkawan. Cubalah kau cari
kawan lelaki yang gagah macam aku ni.” perli Farhan. Dia ketawa sambil diikuti
oleh rakan-rakannya yang lain.
Nadia mencebik Farhan. Lengan Saiful dipautnya. Dia memandang wajah
Saiful. Mengerti perasaan Saiful.
“Jangan ambil hati dengan mereka Saiful.” pujuk Nadia.
“Saya dah biasa begini Nadia. Mulut orang nak bercakap tiada siapa
boleh menghalangnya.” sayu suara Saiful. Dia memandang Nadia, tersenyum
menyembunyikan kedukaannya. Mereka berpisah di hujung koridor memandangkan
kelas mereka berlainan. Saiful tua setahun dari Nadia. Walaupun secara zahirnya
Saiful kelihatan lembut, namun Nadia yakin di sebalik kelembutannya tersembunyi
naluri kelakian Saiful. Sejak dari kecil mereka berkawan, Entah kenapa Nadia
berasa selamat apabila berjalan dengan Saiful. Lagipun Saiful merupakan jiran
sebelah rumahnya. Emak dan ayah juga percayakan Saiful. Ke mana dia pergi,
pasti Saiful ada bersama.
NADIA tersenyum
sendiri. Setiap hari dia pasti akan melalui lorong tersebut. Kenangan bersama
Saiful 12 tahun yang lalu sering membuatkannya ketawa sendiri. Entah di mana
Saiful agaknya ketika ini. Selepas tamat PMR Saiful telah pergi ke Perak. Dia
mendapat peluang belajar di Sekolah Menengah Teknik di sana . Mereka cuma berhubung melalui surat sahaja. Saiful juga
tidak pulang ke rumah bila cuti menjelang. Selepas tamat SPM, Saiful meneruskan
pelajaran di peringkat lebih tinggi dan Nadia sendiri melanjutkan pelajaran di
Universiti Malaya . Malangnya hubungan mereka
semakin hari semakin jauh dan seterusnya terputus begitu sahaja. Entah Saiful
masih ingat lagi atau tidak akan dirinya. Bagaimana rupa Saiful sekarang? Masih
terkenang di ingatannya Saiful berjumpa dengannya sebelum pergi ke Perak.
“Nadia…”
Nadia terpaku mendengar suara Saiful yang berbisik memanggil
namanya. Di pandangnya wajah nakal Saiful yang menunduk dan hanya sesekali
memandangnya. Saiful boleh diketegorikan sebagai lelaki kacak namun sayang
sekali dia berperwatakan lembut. Kadang kala kasihan juga Nadia apabila melihat
Saiful diejek oleh rakan-rakannya. Nadialah orang pertama yang akan dicari oleh
Saiful untuk menceritakan masalahnya. Nadia sabar menanti butir bicara Saiful
selanjutnya.
“Kalau aku tak ada nanti, kau akan rindukan aku tak?”
“Mestilah aku akan rindukan kau. Kaulah kawan baik aku Saiful. Kawan
ketawa dan kawan menangis. Kalau kau tak ada nanti, siapa yang nak temankan aku
lagi? Siapa yang nak selamatkan aku dari dibuli oleh Farhan?” sebak Nadia
mengenangkan Saiful yang akan pergi jauh darinya.
“Aku takut kalau aku tak dapat melindungi kau Nadia. Tapi sebaik
mungkin aku akan jaga engkau. Yang pasti, aku akan sentiasa rindukan kau.” kata
Saiful.
Suasana sepi antara mereka. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
“Bila kau sampai sana nanti, tulislah surat kepada aku ya. Kau
jangan lupakan aku.” pesan Nadia.
“Aku tidak akan lupakan kau. Nadia, boleh tak kalau kau tunggu
sampai aku balik?”
Nadia tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Saiful. Nada suara
Saiful juga agak berlainan, namun dia hanya mengangguk sahaja.
“Kalau aku dikejar anjing nanti, siapa yang nak lari bersama-sama
dengan aku?” Nadia berseloroh.
“Saya akan pastikan yang Farhan tidak akan mengganggu awak lagi.”
kata Saiful serius.
Nadia tidak tahu apa yang telah diperkatakan oleh Saiful kepada
Farhan kerana selepas itu memang Farhan tidak lagi mengganggunya.
Nadia tersentak, lamunannya hilang entah kemana apabila dikejutkan dengan bunyi bingit
hon kereta dari arah belakang. Bingit dan bertalu-talu. Hish, tidak reti
bersabarkan orang belakang ni? sempat Nadia merungut. Dengan cepat dia melajukan
kenderaannya. Diusap-usap dadanya. Nasib baiklah aku tak ada sakit jantung.
Setelah memarkir keretanya di halaman rumah, Nadia berlari-lari naik
ke atas rumah. Waktu Maghrib sudah hampir ke penghujungnya, takut kalau dia
tidak sempat mengerjakan kewajipan terhadapNya. Pesanan Saiful supaya dia
menjaga solat sentiasa kemas dalam ingatannya. Hari ini sekali lagi dia
terpaksa pulang lewat, banyak kerja yang harus disiapkan. Fikirnya tadi mahu
mengerjakan solat di surau pejabat, tapi memandangkan dia hanya bersendirian di
pejabat, dibatalkan sahaja niatnya.
“Ya ALLAH, budak ni!” tegur Puan Fauziah yang hampir dilanggar oleh
Nadia. Menggeleng kepala melihat gelagat anak tunggalnya itu.
Selesai solat, Nadia membantu emaknya menghidang lauk pauk untuk
hidangan makan malam.
“Assalamualaikum…”
Salam yang dihulurkan dijawab dengan ikhlas. Nadia pantas membuka
pintu dan melihat seorang lelaki tersenyum memandangnya.
Nadia termangu. Direnungnya wajah lelaki di hadapannya “Er.., cari
siapa?” tanyanya. Wajah lelaki di hadapannya ini mirip benar dengan wajah
Saiful, cuma penampilannya jauh berbeza. Nadia ingin bertanya, namun dibatalkan
hasratnya, bimbang tersilap orang.
“Emak ada?” tanya lelaki itu sambil tersenyum manis.
“Ada. Er, sebentar ya. Mak!”panggil Nadia.
“Eh..,bila balik?” tanya Puan Fatimah yang baru keluar dari dapur.
“Tengahari tadi sampai makcik.. Ni ha, ada lauk mak suruh hantar.”
“Marilah naik. Jemputlah makan sekali.” Pelawa Makcik Timah.
“Tak apalah Makcik. Lain kali saja.” Saiful berlalu, namun sempat
mengenyitkan mata pada Nadia.
Nadia memerhatikan wajah lelaki bertubuh sasa itu dengan penuh tanda
tanya.
“Siapa tu mak?” soal Nadia kepada
emaknya.
“Lah, kan itu Saiful. Jiran kita
dulu. Kawan baik kamu.” Ujar Makcik Timah seraya berlalu ke dapur.
Nadia termangu di situ. Saiful? Berubah
benar dia. Tidak lembut seperti dahulu. Tapi kenapa Saiful langsung tidak mahu
menegurnya? Sudah lupakah Saiful dengannya?
Mustahil.
“SAIFUL? Betul ke Saiful ni?” tanya Nadia meminta kepastian.
“Kenapa? Tak percaya ke?” usik Saiful lagi.
“Apa bukti kalau awak ni Saiful?” duga Nadia.
Saiful mengeluarkan saputangan berwarna kehijauan dari poket seluarnya
dan menghulurkan kepada Nadia.
Nadia menyambut sambil membelek-belek saputangan tersebut. Dia
mencari-cari sesuatu. Kemudian dia memandang Saiful.
“Awak dah berubah. Jauh berubah.” perlahan suara Nadia. Saputangan
yang terukir namanya dan nama Saiful itu digenggam erat. Itu adalah hadiah
daripadanya sewaktu Saiful mahu berangkat ke Perak. Dia tidak menyangka
Saiful masih menyimpannya.
“Awak suka dengan perubahan saya ni?” tanya Saiful.
“Perubahan awak ni bagus untuk masa depan awak Saiful. Saya tumpang
gembira.”
“Awak yang membuatkan saya berubah.”
“Saya?” Nadia kehairanan.
Saiful mengangguk. “Saya sayangkan awak dari dulu lagi Nadia. Tapi
saya tak berani nak luahkan isi hati sebab saya tahu awak pasti tidak akan
menerima lelaki macam saya. Maksud saya, lelaki yang tidak pasti kelelakiannya. Lagipun waktu itu kita masih di bangku sekolah. Saya pergi jauh mencari kekuatan diri dan alhamdulillah, saya berjaya menjadi
seorang lelaki sejati pada fizikalnya.”
“Tapi, kenapa baru sekarang awak balik Saiful? Setelah 12 tahun.”
“Kenapa? Awak dah ada kekasih ke?” Saiful merenung wajah Nadia dalam
kesamaran malam. Angin yang bertiup terasa membahang.
Nadia
ketawa “Kalau iya, bagaimana?”
Saiful menarik nafas dalam-dalam. Dia berdiri dan berpeluk tubuh.
Tubuhnya sasa, kelihatan otot-otot lengannya yang tegap di sebalik T-shirt lengan
panjang yang dipakainya.
“Saya tidak boleh memaksa awak untuk menunggu saya, Nadia. Saya
faham dan saya turut bahagia sekiranya awak gembira. Nampaknya saya bertepuk
sebelah tangan. Sebelum pulang ke sini, saya sudah bersedia menghadapi apa-apa
sahaja kemungkinan. Seandainya awak tidak terima saya, saya redha. Mungkin
jodoh saya bukan dengan awak.” Saiful berpaling menatap Nadia. “Siapa lelaki
yang bertuah itu Nadia? Awak tidak mahu memperkenalkan dia dengan saya?”
“Kasih awak terlalu murni buat saya Saiful. Bila saya dah yakin, dan
bila tiba masanya nanti, saya akan kenalkan dengan awak, Saiful. Dia lelaki
yang baik,. Saya pasti awak akan suka dengan pilihan saya. Dan yang lebih
penting, awak kenal dengan dia.” Nadia tersenyum, berlari meninggalkan Saiful
yang termangu.
Dua bulan telah
berlalu….
Nadia menjengok ke luar jendela. Keadaan di luar sana agak riuh dan meriah.
“Aku takutlah.” kata Nadia memandang Hanim yang sedang menggeledah
kotak make-upnya.
“Rilekslah. Duduk sini
cepat, aku nak jampi sikit supaya make-up
aku menjadi hari ni.” arah Hanim.
“Alah kau ni. Bukannya nak kahwin pun. Lagipun aku kan dah cantik, kau tak payah risau.” Usik
Nadia.
“Sayang oi! Sebab cantiklah aku risau. Takut nanti aku solekkan
engkau dah jadi tak cantik.”
Nadia ketawa. Dia duduk dan menghadap cermin solek. Dengan perlahan
Hanim menyentuh wajahnya.
“Ha,dah siap! Cantik juga kerja tangan aku. Dah tak macam Nadia
lagi, tapi macam Siti Nurhaliza.” puji Hanim.
“Ah, engkau angkat bakul sendiri. Tapi yalah. Aku ni memang cantik
rupanya.” Nadia memuji diri sendiri.
Hanim ketawa. “Manalah Saiful tak tertarik”
Nadia turut ketawa. Sewaktu dia memperkenalkan wajah kekasihnya
kepada Saiful sebulan yang lalu, dapat dilihatnya riak wajah Saiful penuh
kegembiraan. Kasih yang dihulur bersambut jua akhirnya. Bukan kerana Saiful
segak dan kacak, tapi kerana Saiful yang memahami dirinya, yang akan
melindunginya bila dia memerlukan. Suara orang memberi salam menambahkan
getaran di dada Nadia.
“Dah sampailah Nadia rombongan pihak lelaki” kata-kata Hanim disambut
dengan senyuman. Dia sabar menanti perbincangan antara keluarganya dan keluarga
Saiful. Sesekali kedengaran ketawa mereka yang berada di luar beradu. Debaran
di dada Nadia semakin bertambah apabila tiba-tiba pintu biliknya terkuak dan
ibu Saiful datang menyarungkan cincin pertunangan di jari manisnya.
TAMAT
No comments:
Post a Comment