Wednesday, June 26, 2013

Semoga Bertemu di Jannah!

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Ayah, damailah di sana.      Ya Allah, ampunilah dosa-dosa ayahku,  Lapangkanlah kuburnya, ringankan siksaaan kuburnya, terimalah segala amalannya dan tempatkanlah dia di SyurgaMu..amin
      Ayah, semoga bertemu di Jannah, Insya Allah.


Rasa menggigil jemari untuk aku coretkan entri kali ini. Hati ini masih terasa sedih dan sayu atas kehilangan, namun ketentuan Ilahi tiada siapa dapat menghalangnya...

06 Jun 2013 bersamaan dengan 27 Rejab 1434 (Israk Mikraj)

Tarikh yang pasti tidak dapat kami sekeluarga lupakan sehingga akhir hayat. Pagi jam 2.56 perginya ayahanda yang sangat kami kasihi.
Mengimbas kembali...
       
3/4/2013 -
         Hari Isnin aku ke rumah orangtuaku melawat ibu dan ayah. Seperti biasa sampai sahaja di parking rumah kepalaku pasti akan menoleh melihat ke muka pintu..orang yang ku cari adalah ayah..kerana beberapa bulan selepas pulang dari umrah ayah kesihatan ayah tidak berapa baik. Setelah melihat ayah duduk di kerusi dengan tenang hati sedikit lega. Tapi hari itu tiada makanan yang ku bawa seperti kebiasaannya apabila melawat mereka aku akan membawa kuih muih samada yang ku buat sendiri atau beli di kedai.

             Masuk ke dalam rumah, segera aku merapati ayah dan bertanya khabarnya. Sayu hati apabila ayah berkata "Mata abak dah tak nampak".
            Allah, airmata seperti mahu mengalir melihat keuzurannya itu. Aku meminta diri untuk mengerjakan solat. Di dalam solat seperti biasa ku panjatkan doa buat semua orang2 tersayang sambil menangis. Tidak berapa lama kemudian, kakakku dan anaknya tiba.
            Setelah selesai solat, aku duduk di sisi ayah dan bertanya, "Ayah sudah makan?"
           Jawabnya, "Ada makanan?"
           Hati aku sedikit pilu kerana hari itu tidak membawa apa2 makanan untuknya.
           Kemudian mak pula bersuara, "Mak ada buat bubur sum-sum. Abak kamu tu kurang nak makan sekarang ni. Cubalah suapkan.".
           Syukur ada makanan. Dengan senang hati aku ambilkan semangkuk bubur dan menyuap ayah. Selera ayah agak kurang beberapa hari sebelum itu. Dapatlah juga aku suapkan ayah dalam 4-5 sudu sebelum dia menolak lembut tanganku yang berterusan menyuakan sudu ke mulutnya..Entah kenapa pilu mula bertandang di sudut hati. Airmata cuba ku tahan agar tidak gugur di hadapan keluargaku.
            Mungkin anak buahku perasan akan perubahan wajahku menegur, "Kenapa mata acik merah ni?" Aku diamkan sahaja..
           Aku tidak berlama-lama di rumah orangtuaku kerana aku ada tanggungjawab lain setelah berkahwin. Menjelang maghrib aku pulang ke rumah sendiri, ingin memasak buat keluargaku pula. Dalam perjalanan suami memberitahu tidak perlu memasak kerana dia sudah membeli barang-barang makanan utk steamboat sahaja. Lega rasa hati kerana aku memang tidak ada mood mahu memasak.
          Selesai mengerjakan solat maghrib, ku buka yasin yang kebiasaannya hanya ku baca selepas solat maghrib di malam jumaat. Kali ini hatiku sayu dan terasa itulah cara untuk aku tenangkan fikiran. Sepanjang malam aku menangis sehingga mata bengkak. Entah apa yang aku tangiskan beria-ia benar pun aku tidak tahu yang pasti hatiku terasa ingin menangis....
        Mujur suami sangat memahami, dia menyediakan makan malam. Kebetulan anak buah pula menginap di rumah kami. Bila suami ajak makan aku enggan, selera makanku langsung tiada. Maka duduklah aku di dalam bilik kecil yang di khaskan untuk ku menaip di sana. Ingin meneruskan manuskrip yang lama tidak bersentuh, fikiranku pula langsung tidak ada di sana. Sudahnya aku hanya duduk di bilik sambil menangis.
         Suami pun mungkin hairan dengan kelakuanku namun dia tidak bertanya banyak. Memberi ruang untukku. Dalam pada itu sempat ku minta izin dari suami untuk menginap di rumah orangtuaku barang sehari dua. Malam itu aku tidur berendam airmata..:(
  
4/4/2013 -
       Aku tidak pergi ke tempat kerja kerana keadaanku yang tidak terurus. Mataku bengkak dan kepala pun pening akibat banyak menangis. Ku khabarkan kepada suami bahawa aku tidak bekerja. Seharian aku hanya duduk di rumah mengemas rumah dan buat apa yang patut sambil berehat. Hati kembali tenang...
       Hari ini merupakan ulangtahun perkahwinan aku dan suami. Sempat ku layangkan ucapan dan luahan perasaan aku padanya (Semoga jodoh kami berpanjangan dan berbahagia ke akhir hayat, amin).
       Petangnya pula, aku menyediakan nasi ayam untuk juadah makan malam. Ku cuba suap nasi ke dalam mulut bagi mengisi perut yang dibiarkan kosong semenjak semalamnya. Namun hanya beberapa suap sahaja yang masuk ke dalam perut.

5/5/2013 -
      Aku pergi kerja seperti biasa. Satu jam berada di pejabat, anak buah aku menelefon mengkhabarkan keadaan ayahku yang tidak berapa sihat - sesak nafas. Kakak aku yang tinggal bersama orangtuaku pula telah berangkat ke Langkawi atas urusan kerja. Kata anak buahku mahu membawa atuknya ke klinik. Namun ayahku meminta agar dibawa ke hospital sahaja - mahu minta ubat katanya.
      Aku berpesan kepada anak buahku, siapkan segala barang keperluan sementara aku pulang ke rumah. Setelah meminta izin dari bos, aku bergegas pulang ke rumah. Melihat keadaan ayah, hatiku pilu. Kasihan ayah..bernafas terasa sukar. Segera ku panggil anak2 buahku (kebetulan cuti sekolah) dan kakak sulongnya juga mahu ikut serta.
       Aku menelefon ke klinik bertanyakan tentang oksigen namun hanya hospital sahaja yang membekalkan oksigen. Lantas aku mengambil keputusan membawa ayah ke pusat di mana dia menerima rawatan - Institut Respiratory Malaysia.
       Sewaktu di dalam kereta, keadaan ayah stabil. Fikirku mungkin ayah mahu mengambil udara segar. Setelah sampai ayah diberi bantuan oksigen. Keadaannya memang agak lemah namun kelihatan stabil. Doktor yang memeriksa memberitahu mahu menahan ayah di wad barang sehari 2 bagi tujuan pemantauan yang lebih dekat. Kami bersetuju memandangkan di sana segala kemudahan ada.
       Ayah masuk ke dalam wad. Aku belikan ayah sup sayur dan sebungkus nasi putih. Ku suapkan, namun selera ayah masih belum memberangsangkan. Setelah beberapa suap, akhirnya kakakku pula mengambil alih. Aku mahu solat dan pulang semula ke pejabat dan bercadang akan datang semula secepat mungkin. Kedua anak buahku juga turut serta kerana mahu mengambil barang2 keperluan atuk mereka. Ku tinggalkan ayah bersama kakakku. Ku usap bahu ayah dengan penuh rasa kasih. Entah kenapa hari itu aku langsung tidak berpamitan dengannya seperti selalu jika aku menjenguknya, apabila pulang pasti aku akan usap belakang badannya sambil berpamitan dan berjanji akan datang semula.
         Anak buahku menghantar aku ke pejabat sementara dia pulang ke rumah dan mengambil brg2. Sekitar jam 4.30ptg anak buahku tiba dan aku sekali lagi meminta izin dari ketua jabatan untuk keluar awal. Mujur dia memahami. Sebelum sampai di Institut tersebut, kami singgah di KFC. Aku mahu belikan untuk ayah. Satu bungkus dinner plate bersama kentang putar dan sayur. Semoga selera ayah akan terbuka.
          Namun apabila ku sampai di sana, mata ayah tertutup dan nafasnya tercungap-cungap sedikit. Ku tanya kepada kakakku kenapa keadaan ayah begitu. Kata kakak doktor menyuntik ubat tahan sakit. Doktor yang datang memantau keadaan ayah juga hairan kenapa keadaan ayah begitu. Jururawat memberi bantuan oksigen dan nap untuk ayah. Apabila dipanggil atau digerakkan ayah langsung tidak membuka mata. Hatiku dipagut rasa risau yang berpanjangan.
          Setelah ayah diberi bantuan oksigen, keadaan ayah agak stabil sedikit namun nafasnya masih tercungap sedikit. Tapi keadaan ayah kelihatan agak selesa. Aku duduk di sisi ayah sepanjang hari sambil memegang tangannya dan sesekali mengurut kakinya. Ku bacakan ayat2 suci di telinga ayah dan mengajarnya mengucap. Kami sentiasa pasangkan surah yasin sambil turut membaca.
          Sehingga hampir malam keadaan ayah masih belum berubah. Aku khabarkan kepada adik beradik yang lain. Juga kepada makcikku (yakni adik bongsu ayah). Juga ku suruh anak buahku menjemput emak datang ke hospital sekali. Mujur di sini kawalan tidak berapa ketat. Kami bebas keluar masuk ke dalam wad.
         Sepanjang masa kami putarkan surah yasin berdekatan telinga ayah. Selesai setiap solat kami akan berkumpul dan membaca yasin beramai. Sesekali keadaan ayah ku pantau. Airmata terasa bergenang di kelopak mata cuba ku tahan. Mata ayah masih tertutup, namun ada airmata yang mengalir di sudut matanya. Aku lap dengan penuh hati2 dan rasa kasih.
         Menjelang malam hampir ke jam 11. Aku tanyakan kepada emak apakah dia mahu menjaga ayah di hospital atau pulang. Emak ketika itu agak serba salah. Di sudut hati dia mahu tinggal di situ, tapi keadaan yg tidak berapa selesa untuk dia berbaring sepanjang malam membuatkan dia serba salah. Lantas aku mengajak emak pulang sahaja dan berjanji esok pagi akan membawa emak ke hospital lagi. Akhirnya emak bersetuju juga. Tinggallah anak buahku dan kakak sulongku menjaga ayah.

6/6/2013 -
         Hari sudah larut malam namun mata masih belum mengantuk. Aku berbaring sahaja. Entah pukul brp aku terlelap tidak pasti. Sekitar jam 3 pagi aku menerima panggilan dari kakakku mengatakan ayah sudah tiada. Seluruh badanku menggeletar. Aku kejutkan suami dan emak. Namun pada emak tidak terus ku khabarkan berita duka itu. Aku tidak mahu nanti emak terkejut. Biarlah dia melihat sendiri di hospital.
         Ketika bersiap, airmata langsung tidak mengalir, hanya kakiku terasa lemah dan badan menggeletar. Dalam perjalanan, suami menenangkan aku. Meminjamkan kekuatan buat aku. Terima kasih abang, kerana sentiasa ada di sisi Yani.
        Sampai di hospital akhirnya mengalir jua airmataku melihat ayah yang terbujur kaku. Di saat2 ini aku rasakan kosong sekosong2nya. Melihat wajah ayah yang tenang aku redha akan ketentuanNya.
      Dari situ bermula tugas kami sebagai anak2 untuk menyermpurnakan jenazah ayahanda tercinta. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan cepat. Terima kasih kepada suami, kakak2ku dan abang2 iparku.
      Kini, ayah telah tiada. Kosong kami rasakan. Setiap kali aku singgah di rumah orangtuaku, hati pasti dipagut rasa pilu. Terbayang2 wajah ayah yang tersenyum tatkala aku dtg melawatnya. Terdengar2 suaranya yang suka mengajak kami berbicara.
      Ayah, damailah di sana.
      Ya Allah, ampunilah dosa-dosa ayahku,  Lapangkanlah kuburnya, ringankan siksaaan kuburnya, terimalah segala amalannya dan tempatkanlah dia di SyurgaMu..amin
      Ayah, semoga bertemu di Jannah, Insya Allah.

Nota : Ya Allah, sesungguhnya kami redha di atas pemergian ini. Kami bersyukur kerana sepanjang hayatnya kami dapat menjaganya dengan terbaik. Dan..di penghujung kisah, airmataku mengalir jua...

2 comments:

Zah said...

sedihnye baca post yg ni kak rabul...smoga Arwah tenang di sana...aminn..al-fatihah

Aryanie Ismail said...

Thanks Miar. Bila akak baca balik post ni pun mengalir lagi airmata.. Ya, semoga allahyarham tenang di sana..