Tajuk : Surprise
Penulis : Aryanie Ismail
Tarikh Disiarkan : Harmoni
MATANYA tertumpu pada skrin komputer sejak dari tadi. Tapi fikirannya terbang entah ke mana. Di skrin komputernya terpampang gambar dia bersama isterinya berserta dengan anaknya yang berumur lima tahun. Fikirannya yang buntu kini, mencari-cari apakah salahnya. Adakah dia ada berbuat salah atau menyakitkan hati isteri dan anaknya tanpa sengaja? Seingatnya tidak pernah pula dia mengeluarkan kata-kata yang tidak menyenangkan. Dia sayangkan isteri dan anaknya. Bukan senang hendak memikat isterinya dulu. Entah berapa ramai elaki yang menjadi pesaingnya. Namun akhirnya berjaya juga dia memiliki Aminah.
Dia tahu Aminah bahagia hidup dengannya. Dia boleh lihat kegembiraan itu melalui seri muka Aminah, dari cara Aminah melayannya. Masakan tidak, dia mampu memberi nafkah zahir dan batin pada Aminah. Apa sahaja permintaan Aminah akan ditunaikannya. Namun sejak dua tiga minggu kebelakangan ini, Aminah seakan menjauhkan diri darinya. Dia kerap melihat Aminah berbisik melalui telefon dengan seseorang.
Curiga juga di hatinya, adakah isterinya mempunyai lelaki lain? Isterinya masih cantik. Malah semakin cantik dan berseri sejak mereka berumah tangga. Tidak mustahil isterinya menjadi rebutan lagi. Tapi dia percayakan Aminah. Aminah tidak pernah lupa menjalan kan tanggungjawabnya sebagai isteri. Aminah tidak pernah pula bersikap dingin padanya. Cuma kelakuan Aminah yang agak berahsia kebelakangan ini yang merunsingkannya.
"Hashim, aku nampak isteri kau dengan seorang lelaki minggu lepas. Aku ingatkan kau, tapi bila aku amati betul-betul, bukan kau pula.Siapa lelaki itu?" pertanyaan itu membuatkan jantungnya berdegup pantas. Darahnya terasa panas menyerbu ke muka.
"Di mana kau nampak dia? Mereka berdua sahaja ke?" tanyanya, masih cuba mahu memastikan berita yang di dengarnya ini.
“Dekat Mid Valley. Berdua aje. Mesra gelak ketawa.”
Kenyataan dari Fauzi benar-benar membuatkannya seperti cacing kepanasan. Duduk tidak kena, berdiri tidak selesa. Dia tidak boleh diamkan sahaja perkara ini.
"Alah, kau jangan fikirkan sangatlah. Mungkin saudara dia atau kawan dia. Nasihat aku, kau tanyalah dia sendiri nanti," pujuk Fauzi. Risau juga dia melihat Hashim yang sudah merah padam mukanya.
Hashim pulang ke rumah awal dari biasa. Nekad mahu bersemuka dengan isterinya. Namun tekadnya hilang apabila melihat emak dan adik perempuannya ada di rumah. Dia memaniskan rana wajah. Tidak mahu emaknya curiga.
Aminah dilihatnya mesra seperti biasa. Tangannya dikucup oleh Aminah. Anaknya juga berbuat demikian. Dengan senyum manis, Aminah mengambil beg bimbitnya. Rasa curiga terhadap Aminah terbang entah ke mana. Aminah masih sayangkannya!
Malam ini sekali lagi Hashim gelisah. Dia melihat isterinya bercakap dengan seseorang di telefon bimbitnya. Apabila dia mendekati isterinya itu, Aminah melarikan diri, seakan bimbang sekiranya Hashim terdengar perbualan mereka. Hashim masih mundar-mandir di ruang tamu.
"Apa yang kamu menungkan tu Shim?" tegur Puan Habibah yang kehairanan melihat anaknya yang bagaikan cacing kepanasan. Hashim mengeluh. Haruskah dia memberitahu ibunya apa yang sedang bermain di fikirannya. Tapi andainya perkara itu tidak betul, sudah tentu menimbulkan prasangka emaknya terhadap Aminah. Dia tahu emaknya juga menyenangi Aminah.
"Ceritalah ... "pujuk Puan Habibah.
Lama Hashim merenung emaknya. sebelum memulakan bicara. "Saya perasan Aminah berkelakuan agak ganjil kebelakangan ini
"Ganjil yang macam mana?"
"Dia seakan melarikan diri dari saya. Seakan dia menyimpan satu rahsia yang tidak mahu saya ketahui,"
Puan Habibah hanya tersenyum "Fikiran kamu aje tu. Mak tengok Aminah tak ada peliknya pun. Malah dia semakin mesra melayan kamu. Percayalah dia bahagia dengan kamu," Puan Habibah menepuk bahu anaknya sebelum melangkah kebilik. Hashim sedikit lega dengan penerangan emaknya, namun rasa curiga terselit jua.
**************************
Pagi Jumaat itu, Aminah menyediakan sarapan pagi yang istimewa daripada biasa. Selalunya hanya roti bakar sahaja tapi pagi ini menunya adalah nasi lemak berserta sambal sotong. Isterinya pun kelihatan gembira sahaja pagi ini. Namun, dia sedikit terkilan kerana hari ini adalah hari jadinya tapi isterinya itu berlagak selamba seolah-olah tiada apa yang terjadi. Jangankan hadiah, ucapan selamat juga tidak keluar dari mulut isterinya. Selesai bersarapan, Hashim bertolak ke tempat kerja seperti biasa.
Hari ini jadual kerjanya agak padat. Sehingga petang masanya terisi.Sebelah pagi dia harus menyemak kertas cadangan yang disiapkan oIeh pekerja bawahannya. Tengah hari dan petang ini pula ada beberapa temu janji yang telah ditetapkan seminggu yang lalu.
Petang itu dia kembali semula ke pejabat dengan rasa letih namun kepenatannya itu berbaloi. Dapatlah juga dia projek yang memang diidamkan sekian lama. Petang nanti dia ada satu lagi temu janji dengan pelanggan dari Jepun. Dia sudah lama bercadang mahu mengembangkan perniagaannya ini ke peringkat antarabangsa dan inilah peluang keemasan baginya. Segala kertas cadangan telah disiapkan, hanya menunggu keputusan dari pelanggan sahaja.
Telefon yang berdering di atas meja diangkat gagangnya dengan yakin.
"Good afternoon”
“Assalamualaikum. Wei ... Hashim. Akulah ... Fauzi.“
"Waalaikumsalam. Kau Fauzi, aku ingat siapalah tadi," jawabnya sambil tergelak. Namun Fauzi di sebelah sana diam sahaia. Lain benar Fauzi hari ini, fikirnya. Selalunya dialah yang paling kuat ketawa dan paling kuat menyakat orang.
"Kenapa Fauzi? Lain macam saja kau hari ni.“
"Shim ... aku ni bukanlah nak jaga tepi kain rumah tangga kau. Cuma,sebagai kawan aku harus ambil berat juga."
"Kenapa Fauzi?" berderau darah Hashim mendengar mukadimah dariFauzi. Kenapa dengan rumah tangganya? Dulu sewaktu Fauzi membawa cerita yang tidak enak tentang isterinya, dia cuba bersabar. Kali ini cerita apa pula agaknya.
"Begini ... tengah hari tadi aku terserempak dengan isteri kau lagi ... "
"Dia dengan siapa?" potong Hashim.
"Dengan lelaki yang aku ceritakan tempoh hari la," Hashim terdiam. Panas mukanya mendengar cerita dari Fauzi.
"Aku pun curiga juga. Jadi aku ikutlah isterinya dari belakang. Aku nampak mereka ke pasar raya, banyak juga barang yang dibeli. Yang paling aku tak sedap hati. Mereka berdua menuju ke rumah kau"
Hashim sudah tidak dengar apa yang diperkatakan oIeh Fauzi. Dia rasa kemarahannya sudah mahu meledak. Sampai hati isterinya, Aminah berlaku curang padanya. Rasa di saat dan ketika ini juga dia mahu pulang bersemuka dengan isterinya tapi mengenangkan temu janji penting petang ini, dia terpaksa bersabar juga.
"Janganlah kamu risaukan tentang Aminah. Mak tahu dia jujur dan setia dengan kamu Jangan percaya dengan apa yang kamu dengar."pujuk emaknya sewaktu dia meminta agar emaknya bersemuka dengan Aminah. Tapi kenapa emak terlalu yakin yang Aminah jujur dan setia padanya? Adakah emak pun bersubahat sama? Mustahil! Tidak mungkin! Mana ada ibu yang sanggup melihat anaknya menderita.
Petang itu dia cuba mengusir segala masalah yang bersarang dikepalanya Dia tidak mahu temu janji yang telah dirancang sekian lama ini akan sia-sia sahaja. Nampaknya setakat ini temu janji kali ini berjalan dengan lancar. Kalau berjaya, dapatlah syarikatnya keuntungan yang besar. Dia tersenyum senang apabila berjabat tangan dengan pelanggan yang ditemuinya petang ini. Temu janji ini berakhir dengan jayanya. Dia tersenyum senang.
Panggilan telefon dari emaknya mematikan kegembiraannya. Kata emak, kalau sudah habis temu janji pulang ke rumah segera Dadanya mula berdebar kencang. Kenapa emak mendesaknya pulang segera kerumah? Adakah perkara buruk yang berlaku? Tapi dari nada suara emak, tidak pula begitu. Lantas apa yang berlaku?
Dia menekan pedal minyak dengan lebih kuat lagi. Kereta Mercedes miliknya meluncur laju di atas aspal. Ketika hampir sampai ke rumah,dadanya semakin berdebar-debar melihat banyak kereta tersadai berhampiran rumahnya. Persekitaran rumahnya gelap dan pintu rumah juga tertutup. Dengan segera dia memarkir kereta di ruang yang tersedia di pekarangan rumahnya Tanpa mengunci kereta, dia segera berjalan ke rumah. Pintu rumah dibuka dengan hati yang berdebar-debar. Tiba-tiba….
"Surprise !!!!“
Serentak dengan laungan itu, ruangan rumah menjadi terang benderang. Ramai orang sedang memandang ke arahnya. Berdiri dihadapannya adalah isterinya, Aminah bersama anaknya sambil menolak troli berisi kek. Bertalu-talu ucapan tahniah diterima atas ulang tahun kelahirannya. Kini dia boleh menarik nafas lega. Tahulah dia kenapa isterinya seakan berahsia dengannya sejak kebelakangan ini.