Monday, February 16, 2015

Perginya Seorang Murabbi - Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Assalamualaikum & Salam Sejahtera



Saya merasa terpanggil untuk menulis entri tentang allahyarham Tuan Guru Nik Aziz (TGNA). Entri ini adalah kenangan buat diri saya secara peribadi.

Hari ini masuk hari ke-lima pemergian allahyarham (Perginya pada 12 February 2015.) Namun perasaan sayu masih bersarang di dalam hati. Setiap kali mengingatkan allahyarham, airmata pasti murah benar mengalir. Entah kenapa aku pun tidak tahu. Namun terasa benar jauh di sudut hati. Aku bukanlah kenal TGNA secara peribadi, malah beliau juga sudah tentulah tidak mengenali aku. Namun sedari kecil aku sentiasa di dedahkan dengan cerita tentang allahyarham. Cerita yang aku dengar dari allahyarham ayahku sendiri. Ayahku juga merupakan salah seorang yang menghormati TGNA.

Ketika menyaksikan pengkebumian secara langsung di RTM1, air mata aku tidak henti-henti mengalir. Melihat ramainya orang yang datang menziarahi. Betapa allahyarham sangat disayangi. Meninggal 12 Februari 2015 di malam Jumaat di rumahnya.

Sesungguhnya pemergian allahyarham adalah satu kehilangan besar buat kita semua. Sifat allahyarham sebagai seorang pemimpin yang sangat ikhlas dan jujur kerana Allah mendekatkan lagi hati kita semua kepada allahyarham.

Saya sayang Tok Guru.

Namun di sudut hati kecil saya terkilan juga dengan kata-kata buruk orang di luar sana, caci maki, keji mengeji dan kata-kata kesat yang dilemparkan buat allahyarham. Tidakkah langsung ada perasaan kasih buat seorang ulama yang tersohor begini? Cubalah pandang dari sudut Islam - keperibadian allahyarham itu sendiri, Jangan kaitkan dengan politik. Rata-rata orang yang membenci dan mencaci allahyarham adalah kerana pegangan fahaman politik yang berbeza. Yang lebih menyedihkan apabila kata-kata kesat itu diungkap sendiri oleh orang yang beragama Islam juga. Astaghfirullahaladzim....

Biar apa jua yang orang kata, aku tetap memandang allahyarham sebagai seorang pemimpin yang sangat zuhud, yang tidak ada penggantinya. Perginya takkan kembali lagi.

Alangkah bertuahnya isteri dan anak-anak allahyarham kerana memiliki orang sebaik allahyarham. Semoga semua keluarga tabah menerima kehilangan ini.


Biodata TGNA

Nama: Nik Abdul Aziz Nik Mat. 
Tahun Lahir: 10 Januari 931
Tempat Lahir: Pulau Melaka

Pendidikan:
• Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat (3 Bulan). - 1936
• Sekolah Pondok Tok Kenali Kubang Kerian.
• Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas Besut, Terengganu.
• Universiti Deobond, India – 1952.
• Lahore, Pakistan – Ilmu Tafsir Quran – 1957.
• Universiti Al-Azhar, Mesir – Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab.
• Universiti Al-Azhar, Mesir – Sarjana Perundangan Islam.

Pekerjaan:
• Guru Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Panchor.
• Guru Sekolah Menengah Agama Darul Anwar, Pulau Melaka.
• Penyelia Kelas Dewasa – KEMAS.
• Guru Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, Kota Bharu.

Politik:
• 1967 – Daftar sebagai ahli PAS.
• 1967-1969 -Pilihanraya Kecil – Ahli Parlimen Kelantan Hilir.
• 1969-1974 - Ahli Parlimen Kelantan Hilir.
• 1974-1978 - Ahli Parlimen Kelantan Hilir. (Kawasan ini ditukar nama kepada Parlimen Pengkalan Chepa).
• 1978-1982 – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.
• 1982-1986 - Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.
• 1986-1990 – Ahli Dewan Undangan Negeri Semut Api Kelantan.
• 1990-Sekarang – Menteri Besar Kelantan.

Trivia Tok Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan:
•Tiap-tiap pagi menjadi imam subuh dan memberi tazkirah
•40% dari gaji beliau digunakan untuk parti PAS di Kelantan.
•Rumah beliau dekat tepi masjid dibuat dari kayu dan tangga dari simen, tiada batu marmar,mozaik atau hiasan yang mahal-mahal.
•Rumah beliau tidak berpagar tiada pengawal dan tiada orang gaji pun.Siapa-siapa boleh masuk kalau nak jumpa beliau.
•Dia seorang yang warak dan zuhud.
•Sejak dulu, elaun rumah, elaun keraian, elaun buka puasa malah elaun hari raya pun tak pernah beliau ambil.
•Beliau berpesan kepada semua ahli-ahli exco yang terpilih supaya tidak menerima sebarang bentuk hadiah dari sesiapa pun kerana hadiah itu berkemungkinan adalah berupa sogokan atau rasuah yang boleh menyebabkan korupsi.


Al-Fatihah buat allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat & allahyarham ayahandaku Ismail Bin Abu Bakar. Damailah di sana. Di dunia yang kekal abadi. Semoga mereka di tempatkan di kalangan orang beriman..aamiin.