Wednesday, February 16, 2011

CSGE (Episod 3)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera


BAB 3
            Gadis itu tersenyum gembira kerana penghuni rumah yang baru akan masuk hari ini. Dia menari-nari kegirangan. Alunan lunak suaranya sesekali mendendangkan lagu. Suka benar hatinya. Kalau penghuni yang baru ini kekal lama, maka dia tidak akan kesunyian lagi.
Dia hanya memerhatikan Pak Mat, si tukang kebun sibuk membersihkan kawasan persekitaran. Pak Mat yang seminggu sekali datang membersihkan kawasan luar dan dalam banglo mewah ini. Gadis itu melabuhkan punggung di buaian besi yang terletak di halaman. Buaian itu bergerak ke depan dan kebelakang. Pak Mat menoleh sekilas.
“Aisha, hari ini penghuni baru akan masuk. Pak Mat harap Aisha jaga kelakuan ya. Jangan takutkan orang tau. Harap-harap kali ini biarlah kekal lama penyewa ni.”
Aisha hanya menganggukkan kepala. Dia tersenyum nakal. Bukan maksudnya mahu menakutkan atau mengganggu setiap penghuni yang pernah menyewa rumah banglo ini tapi dia sekadar ingin berkawan. Kenapa mereka tak mahu faham? Kenapa mereka takut dengannya?
“Tempat Aisha kan kat belakang tu. Aisha main ajelah kat belakang itu, tak payah masuk rumah ni lagi ya?” Pak Mat menasihati lagi.
Aisha sekadar mencebik bibirnya. Ah, bukannya Pak Mat tahu pun kalau dia merayau dia rumah ni. Pak Mat bukan selalu ke sini. Cuma sesekali sahaja.
Sebuah kereta berhenti betul-betul di pagar utama rumah banglo itu. Aisha memanjangkan kepalanya mahu melihat penghuni baru itu.
“Aisha pergi balik. Jangan ikut!. Biar Pak Mat uruskan mereka.”
Aisha tidak mempedulikan larangan Pak Mat. Perlahan-lahan dia mengekori langkah Pak Mat. Dia memerhatikan Pak Mat bersalaman dengan keluarga baru itu. Sepasang suami isteri bersama anak-anak mereka. Anak lelaki mereka berumur sekitar empat tahun berdiri di sisi ibunya yang sedang mengendong seorang bayi. Aisha menghampiri wanita muda itu. Dia melihat bayi di dalam kandungan dan mengagah bayi perempuan itu. Bayi itu tiba-tiba menangis. Sang ibu memujuk anaknya namun anaknya masih tetap menangis. Aisha juga turut memujuk bayi itu tapi semakin kuat bayi itu menangis. Aisha memandang pula kanak-kanak lelaki yang menarik-narik gaun yang dipakainya. Budak lelaki itu menggeleng-gelengkan kepalanya.
Aisha tersenyum sambil mengangguk. Akur dengan arahan budak lelaki itu agar tidak mengganggu adiknya. Aisha menjauhkan dirinya.
Pak Mat berdehem tiga kali sebelum berlalu dari situ sambil mengangkat beg-beg kepunyaan keluarga itu.
Si ibu segera memeluk bayinya yang kembali nyenyak di dalam dukungan. Dia kemudian menarik tangan anak lelakinya agar mengikutinya masuk ke dalam rumah.
“Kita nak tinggal sini ke ibu?” soal budak lelaki itu.
“Ya sayang. Mulai hari ini, kita akan tinggal di sini.” Beritahu sang ibu. “Aiman suka tak?”
“Suka. Rumah ni cantik kan bu? Kakak tadi pun cantik.” Beritahu Aiman. Dia berlari-lari ke sana ke mari.
Sang ibu tergamam. Kakak? Siapakah yang dimaksudkan oleh anaknya itu?
“Sayang, penat ya? Pergilah berehat kat atas. Biar abang kemaskan barang-barang ni. Mandikan anak-anak sekali.” Sang suami memberi arahan. Kasihan melihat si isteri yang kepenatan melayan karenah anak-anak.
“Abang pun mesti penat. Memandu dari tadi. Berehatlah dulu. Barang-barang ni esok-esok masih boleh dikemaskan lagi.” Si isteri memberi cadangan. Si suami hanya mengangguk. Memang dia berasa penat. Dia melemparkan senyuman kepada isteri yang sentiasa memahami dirinya.

0 comments:

 

Aryanie Aleem Template by Ipietoon Cute Blog Design