Wednesday, February 16, 2011

CSGE (Episod 1)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera


Malam masih belum larut benar tapi rumah banglo mewah itu benar-benar telah sunyi. Suasana di sekeliling kelihatan suram.  Angin yang bertiup kencang menggoncang pepohon berhampiran, menghasilkan bunyi gemersik.  Lampu-lampu jalan sudah lama tidak berfungsi. Tiada siapa yang peduli. Malah rumah-rumah yang berhampiran pun hanya terletak beberapa kilometer di antara satu sama lain.
            Seekor kucing parsi berwarna putih sedang asyik menjilat bulunya tanpa mempedulikan petir yang sabung menyabung di luar. Tiba-tiba kucing itu berhenti dari menjilat tubuhnya. Ia berdiri dan memasang telinga.
            Bunyi gemerincing semakin mendekati. Kucing itu berlari mendapatkan kelibat yang semakin menghampiri. Tubuhnya digesel di kaki kelibat itu. Terdengar suara ketawa yang gemersik. Kucing itu menggolek-golekkan tubuhnya apabila bulunya diusap oleh jejari halus nan runcing.
            Kelibat itu mengambil kucing berbulu lebat itu dan mendukungnya. Dia melabuhkan punggung di kerusi malas yang diperbuat daripada rotan. Bunyi berkeriut sesekali kedengaran apabila kerusi itu bergoyang. Kelibat itu menghalakan pandangan matanya ke arah tingkap yang tertutup rapat. Titisan air hujan mula menjalar di dinding tingkap kaca itu.
            Seketika, dia bangun dan berdiri menghampiri tingkap. Si kucing parsi masih di dalam dukungan. Mata bening itu memandang ke luar yang gelap gelita. Sudah lama dia hidup begini. Sudah lama dia ditemani kesunyian. Bilalah agaknya akan ada seseorang yang mampu membebaskannya dari belenggu hidup begini.
            Dia mengeluh perlahan. Dengan longlai dia membalikkan tubuh dan berjalan menjauhi tingkap. Gaun sutera berwarna putih yang dipakainya beralun mengikut lenggok tubuhnya.
            Apa yang mampu dilakukannya kala ini hanya menanti dan terus menanti. Sejak dia menghuni rumah banglo ini bersama kedua ibu bapanya 20 tahun yang lalu, jarang sekali dia dapat keluar rumah. Jiran tetangga tidak ada yang dikenalnya. Apatahlagi semejak kematian kedua ibu bapanya. Dia hanya berkurung di dalam rumah. Setiap kali ada orang datang ke rumah ini, semuanya tidak kekal lama tinggal di sini. Dia semakin kecewa.
            Pintu gelongsor yang memisahkan balkoni dan ruang tamu di tingkat atas banglo itu ditolak perlahan. Angin menyerbu masuk dan mengibaskan rambutnya yang hitam lebat dan panjang itu, membawa harum kasturi ke segenap ruang. Di situ dia tegak berdiri. Rintik-rintik tempias air tidak langsung mengganggu dirinya. Kucing parsi yang di dalam dukungan mula meronta minta dilepaskan. Pegangan dilonggarkan dan kucing tersebut melompat turun dan berlari ke bawah kerusi di ruang tamu. Dia ketawa perlahan. Si kucing parsi itulah yang menemaninya selama ini. Doanya agar suatu hari nanti dia akan dapat merasai nikmat sebenar kehidupan seperti waktu yang dulu.

0 comments:

 

Aryanie Aleem Template by Ipietoon Cute Blog Design