Wednesday, February 16, 2011

CSA (Prolog)


Prolog


Malam masih belum larut benar tapi rumah banglo mewah itu benar-benar telah sunyi. Suasana di sekeliling kelihatan suram. Angin yang bertiup kencang menggoncang pepohonan berhampiran, menghasilkan bunyi gemersik.  Lampu-lampu jalan sudah lama tidak berfungsi. Tiada siapa yang peduli. Malah rumah-rumah yang berhampiran pun hanya terletak beberapa kilometer di antara satu sama lain.
            Seekor kucing parsi berwarna putih sedang asyik menjilat bulunya tanpa mempedulikan petir yang sabung menyabung di luar. Tiba-tiba kucing itu berhenti dari menjilat tubuhnya. Ia berdiri dan memasang telinga. Ekornya tegak dan bergoyang-goyang.
            Bunyi gemerincing semakin mendekati. Kucing itu berlari mendapatkan kelibat yang semakin menghampiri. Tubuhnya digesel di kaki kelibat itu. Terdengar suara ketawa manja. Kucing itu menggolek-golekkan tubuhnya apabila bulunya diusap oleh jejari halus nan runcing.
            Kelibat itu mengambil kucing berbulu lebat itu dan mendukungnya. Dia melabuhkan punggung di kerusi malas yang diperbuat daripada rotan. Bunyi berkeriut sesekali kedengaran apabila kerusi itu bergoyang. Kucing itu diam dipelukan tuannya. Seakan mengerti yang tuannya ingin berteman di malam yang sepi ini. Kelibat itu menghalakan pandangan matanya ke arah tingkap yang tertutup rapat. Titisan air hujan mula menjalar di dinding tingkap kaca yang bertutup rapat itu.
            Seketika, dia bangun dan berdiri menghampiri tingkap. Si kucing parsi masih di dalam dukungan. Mata bening itu memandang ke luar yang gelap gelita. Sudah lama dia hidup begini. Sudah lama dia ditemani kesunyian. Siang dan malam tiada beza baginya. Sama sahaja. Tetap sunyi dan sepi. Bilalah agaknya akan ada seseorang yang mampu membebaskannya dari belenggu hidup begini.
            Dia mengeluh perlahan. Dengan langkah longlai dia membalikkan tubuh dan berjalan menjauhi tingkap. Gaun sutera berwarna putih yang dipakainya beralun lembut mengikut lenggok tubuhnya.
            Apa yang mampu dilakukannya kala ini hanya menanti dan terus menanti. Sampai bila dia sendiri pun tidak tahu. Siapakah agaknya yang akan dapat membantunya keluar dari belenggu kesunyian ini. Yang akan menyempurnakan hidupnya nanti. Sudah lama dia tidak bergelak ketawa. Sudah lama dia tidak berbual-bual dengan sesiapa pun melainkan seorang lelaki tua yang seminggu sekali akan berkunjung ke rumah ini untuk menjenguk. Sejak dia menghuni rumah banglo ini bersama kedua ibu bapanya 20 tahun yang lalu, jarang sekali dia dapat keluar rumah. Jiran tetangga tidak ada yang dikenalinya.
Dia tahu lelaki tua itu bukan sekadar melakukan tugas yang telah diamanahkah oleh kedua ibu bapanya. Kerana lelaki tua itu tetap juga berkunjung ke sini walaupun kedua orang tuanya sudah lama meninggalkan dunia fana ini. Hanya lelaki tua itu sahaja yang dia ada. Hanya dengan lelaki tua itu sahaja dia boleh meluahkan segala apa yang terbuku di hatinya. Dia sudah menganggap orang tua itu sebagi pengganti kedua ibu bapanya. Begitu juga dengan lelaki itu. Melayannya seperti seorang anak. Buktinya lelaki itu sentiasa ada di sampingnya tatkala dia memerlukan. Semenjak kehilangan orang tuanya, dia hanya berkurung di dalam rumah.
Bukan tidak pernah dia berjalan keluar dari rumah ini. Bersendirian. Diam-diam tanpa pengetahuan lelaki tua itu. Namun seringkali dia dimarahi jika lelaki tua itu mendapat tahu yang dia keluar dari rumah. Kata lelaki tua itu, dia tidak boleh dan jangan sesekali keluar dari rumah ini. Dia tahu dan cukup faham jika dia keluar ke mana sahaja pun, dia masih tetap sendirian. Tiada siapa yang ingin berbicara dengannya. Tetapi dia seronok. Dia boleh menghiburkan hati melihat gelagat orang yang dijumpainya. Dan yang lebih penting, dia juga tidak perlu takut akan ancaman yang mungkin dihadapinya kerana berjalan bersendirian. Tiada siapa yang akan mengganggunya. Tapi dia susdh bosan! Bosan tiada teman!
Rumah ini tiada penghuni tetap. Setiap kali ada orang datang ke rumah ini, pastinya semuanya tidak akan kekal lama tinggal di sini. Dia semakin kecewa. Dia tidak bermaksud mahu menggangu, dia Cuma mahukan teman. Dia mengeluh berat.
            Pintu gelongsor yang memisahkan balkoni dan ruang tamu di tingkat atas banglo itu ditolak perlahan. Angin menyerbu masuk dan mengibaskan rambutnya yang hitam lebat dan panjang itu, membawa harum kasturi ke segenap ruang. Di situ dia tegak berdiri. Rintik-rintik tempias hujan tidak langsung mengganggu dirinya. Kucing parsi yang di dalam dukungan mula meronta minta dilepaskan. Pegangan dilonggarkan dan kucing tersebut melompat turun dan berlari ke bawah kerusi di ruang tamu. Dia ketawa perlahan. Si kucing parsi itulah yang menemaninya selama ini. Doanya agar suatu hari nanti dia akan dapat merasai nikmat sebenar kehidupan seperti waktu dahulu.

0 comments:

 

Aryanie Aleem Template by Ipietoon Cute Blog Design